Thursday 13 December 2012

Mari kenali Lahar Kepar

Cerita tentang Lahar Kepar 
(Pemberita: Ayah Insyirah yang akan mengambil ujian Bahasa minggu hadapan)

Lahar Kepar ialah sebuah kampung yang terletak di kawasan Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Kampung ini merupakan tempat Ayah Insyirah membesar, mendapat pendidikan awal dan melihat dunia ini daripada kacamata anak kampung sebelum melangkah ke dunia yang lebih luas. Sawah padi mengelilingi kampung dan menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk. Kampung ini terletak lebih kurang 5km (berdasarkan laluan biasa kenderaan) dari Plaza Tol Bertam. Sekiranya pengunjung berada sekitar negeri Kedah (selatan), kebiasaannya pengunjung akan melalui Jambatan Merdeka, yang terletak lebih kurang 6km ke utara Lahar Kepar. Manakala pengunjung dari Butterworth/Jeti Feri boleh datang ke Lahar Kepar melalui Pekan Penaga ataupun Permatang Sintok, yang jauhnya kurang daripada 5km dari Lahar Kepar. Kampung ini juga berjiran dengan Kampung Padang dan Permatang Kuang.

Kedudukan kampung Lahar Kepar (13200 Kepala Batas, Pulau Pinang) dan juga kawasan sekitar.

Terdapat beberapa kemudahan utama/asas yang menjadi mercu tanda kampung Lahar Kepar. Alhamdulillah, sebuah sekolah kebangsaan, dengan akronim SKLK, berada dalam kampung ini yang sekian lama menyediakan peluang pendidikan kepada anak kampung dan juga masyarakat sekitar. Tidak lupa juga, ia menjadi sekolah pertama Ayah Insyirah. Berdasarkan aplikasi Google Earth, SKLK berada pada koordinat 5.538197N, 100.417114E. Selain itu, terdapat juga sebuah masjid yang tidak jauh dari rumah TokWan Insyirah. Masjid ini dalam proses pembinaan semula dan dijangka siap pada awal tahun 2013. Dewan orang ramai dan padang permainan baru juga telahpun diperolehi oleh penduduk kampung semenjak beberapa tahun yang lepas. Dewan ini menjadi tumpuan penduduk bagi mengadakan majlis kenduri dan keramaian selain menjadi gelanggang badminton yang boleh ditempah oleh orang ramai. Kemudahan lain yang wujud di situ juga ialah klinik desa dan sekolah agama rakyat untuk kelas pengajian KAFA. Pelbagai kemudahan ini memberi manfaat dan nikmat hidup buat penduduk Lahar Kepar dan masyarakat sekeliling.

Antara kemudahan utama di kampung Lahar Kepar.







Penduduk luar turut mengenali Lahar Kepar melalui nama sebuah restoran iaitu Restoran Nasi Sila Lahar Kepar. Restoran ini menerima kunjungan pelanggan daripada pelbagai latarbelakang dan bangsa dari luar kampung. Ia menawarkan menu ala kampung dan beroperasi setiap hari kecuali Sabtu, daripada pukul 6 petang sehingga larut malam. Lokasinya juga mudah dikenalpasti, tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan Lahar Kepar.

Pemilik Restoran Nasi Sila bergambar dengan ahli kumpulan Rabbani di restoran beliau. (sumber: nasisila.blogspot.com)

Tidak lupa juga, Lahar Kepar merupakan tempat asal pengasas Kelab Sukan Sinar Dimaja. Kelab kecil ini muncul sejak sekian lama, bermula dengan penubuhan pasukan bola sepak belia di kampung yang menyertai pertandingan di sekitar Pulau Pinang. Perkataan "Dimaja" merujuk kepada nama pengasas kelab iaitu En. Majaid. Kelab ini mula mendapat perhatian media massa setelah menyertai pertandingan bola sepak Piala FAM seterusnya layak ke Liga Perdana Malaysia, dengan modal sendiri sambil dibantu dengan kerjasama anggota TLDM di Lumut.

Pengasas Sinar Dimaja, En. Majaid, bersama rakan-rakan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semasa meraikan kejayaan menjuarai Liga Premier FAP pada tahun 2007.
Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh pasukan bola sepak Kelab Sukan Sinar Dimaja

Akhir sekali, ramai anggota keluarga Insyirah disemadikan di perkarangan Masjid Lahar Kepar. Antaranya ialah Tok dan TokWan Insyirah yang telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2004. Semoga mereka semua dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh di SANA. Amiin.
Gambar kenangan Allahyarham TokWan Insyirah di bendang.

Tuesday 4 December 2012

Ahmad & tabung

Setiap kali terjumpa duit syiling, Ahmad pasti akan mengutipnya dan memasukkan ke dalam iron ini.Selepas berjaya memasukkan ke dalam lubang yang berada di tengah-tengah iron tu, dengan gembiranya akan menepuk tangan sambil ber"yeay".

Memang bagus dah niat tu nak menabung, tapi janganlah iron Ummi yang jadi mangsa, huhuhu. Sudah beberapa kali buka skru iron untuk keluarkan duit syiling yang ada. Sekarang ini kami cuba memberinya tabung dan diletakkan sama aras dengan ketinggiannya. Setakat ini nampak memang dia masukkan syiling dalamtu, setelah diberitahu berkali-kali yang ini tabung Ahmad dan itu iron Ummi. Siap angguk-angguk paham. Bila tak jumpa syiling, siap minta "awet" (baca duit) sambil tadah tangan sebab nak masukkan dalam tabungnya.

Harap-harap lepasni Ahmad tak masukkan syiling dalam iron ummi lagi tau, huhuhu.