Kami suami isteri meminjam dengan PTPTN semasa melanjutkan pengajian "degree" dari tahun 2000 - 2004 dengan jumlah pinjaman sebanyak RM28,000 setiap orang. Jumlah keseluruhan hutang kami adalah sebanyak RM56,000, tidak termasuk kos pentadbiran 3% yang dikenakan, huhuhu. Bayaran mula dilakukan pada tahun 2007 sehingga 2011 dan alhamdulillah kami berjaya menyelesaikan separuh dari hutang kami. Setelah pulang ke Malaysia sejak November 2011, pembayaran hutang tergendala seketika sehingga bajet 2013 diumukan.
Oleh kerana tiada simpanan yang mencukupi untuk membayar sekaligus hutang PTPTN bagi membolehkan mendapat potongan 20%, kami bercadang untuk mengeluarkan simpanan dari akaun 2 KWSP kami. Agak menyedihkan apabila permohonan pengeluaran KWSP kami ditolak disebabkan oleh tarikh perjanjian pinjaman PTPTN kami pada 9 Disember 2000 (rupanya susah juga hendak keluarkan duit sendiri ya). Hanya perjanjian pinjaman bertarikh 2 Januari 2001 ke atas sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengeluaran KWSP tersebut. Tarikh perjanjian kami awal 3 minggu sahaja dari tarikh 2 Januari 2001 tu. Puas sudah berbincang dengan pihak KWSP memohon agar dipertimbangkan permohonan kami, namun tidak berjaya.
Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN
Disebabkan permohonan pengeluaran KWSP kami tidak berjaya, kami buat pinjaman sebahagian dari jumlah hutang tersebut daripada ahli keluarga terdekat untuk membantu kami. Terima kasih tak terhingga atas jasa baik mereka menolong kami.
Pengesahan baki akhir perlu diminta daripada PTPTN dan sah dalam tempoh masa sebulan sahaja untuk menyelesaikan pembayaran. Jika pengesahan baki diterima pada Julai, bayaran perlu diselesaikan pada Julai juga. Jika tidak dapat nak selesaikan pada bulan yang sama, perlu minta pengesahan baki akhir yang lain dari PTPTN. Kami hanya berhubung melalui telefon dan email sahaja untuk memperolehi pengesahan baki akhir tersebut. Kemudian buat bank deraf mengikut baki akhir yang dinyatakan di atas nama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Bawa bank deraf tersebut beserta pengesahan baki ahir ke kaunter cawangan PTPTN yang berhampiran. Setelah proses pembayaran dibuat, surat pelepasan hutang diberikan bersama resit pembayaran. Jika tidak mahu ke kaunter cawangan PTPTN pun boleh, bayaran boleh dibuat mengikut kaedah yang dinyatakan pada gambar yang dilampirkan. Cuma pastikan jangan buat di hujung bulan kerana proses mengambil masa 3-7 hari . Ditakuti proses pembayaran tidak sempat diselesaikan sebelum hari terakhir setiap bulan.
Semoga bermanfaat.
Nota:
Tak sabar rasanya nak bebas dari segala hutang yang ada. Lepas ni pulun bayar hutang pada Abang-abang dan kakakku pula. Semoga Allah mudahkan urusan kami.
Sangat bersyukur Allah memberi kejayaan kepada Ayah Insyirah untuk mendapatkan PhD, so tidak perlulah nak bayar kembali semua perbelanjaan pengajian kami di UK. Cukup-cukuplah hutang PTPTN yang ada. Hutang belajar keliling pinggang kami ni, huhuhu.