Wednesday, 10 November 2010

Ultrasound sessi ke 6

Pemeriksaan ultrasound seterusnya diteruskan hari ini, 10 November 2010 selepas ditunda dari tarikh yang dijanjikan sebelum (5 Novemeber 2010). Alhamdulillah perkembangan bayi baik setakat usia 33 minggu + 3 hari ini. Hasil pemeriksaan sama seperti sebelum di mana tiada sebarang masalah yang timbul selain exomphalos. Anggaran saiz exomphalos sebesar 4 cm dan hanya mengandungi sebahagian kecil hati. Jantung bayi pun dalam keadaan baik setakat ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Sesungguhnya segala ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buat kami sekeluarga. Semoga ujian kecil ini dapat memperbaiki diri kami sekeluarga agar lebih  menjadi muslim yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang diberi.  Tak lupa juga, mohon sanak saudara dan kawan-kawan (sekiranya terbaca mesej ini) turut mendoakan kesejahteraan bayi dalam kandungan Ummi dan juga kita semua.  Mudah-mudahan doa kita semua diterima, terutamanya pada hari wukuf Arafah nanti.

Oh ya, selepas habis pemeriksaan ultrasound tadi, kami di bawa melawat ke "Neonatal Intensive Care Unit" tempat di mana bayi kami akan diletakkan sejurus selepas lahir nanti. Ianya bertujuan memberikan gambaran apa yang akan berlaku selepas kelahiran dan mengurangkan kejutan kepada kedua ibubapa. Semasa bayi berada dalam inkubator, bayi hanya memakai "nappy" sahaja. Midwife memberitahu yang kami perlu sediakan "nappies" bayi kerana stok yang mereka ada tidak mencukupi. Namun segala peralatan bayi yang lain seperti baju dll sudah tersedia rapi di situ. Malah pam susu, botol dan peti sejuk juga disediakan. Jika ada rezeki, kami akan diberikan pam susu percuma sekiranya stok ada.

Di hadapan Neonatal Intensive Care Unit, Queens Medical Centre

Pemeriksaan ultrasound seterusnya lagi 2 minggu, pada 24 November 2010. Kali ini doktor akan bagi tahu bagaimana cara kelahiran bayi. Kalau ikutkan "consultant/doktor pakar", dia lebih selesa secara normal kerana saiz exomphalos agak kecil dan agak risau jika secara pembedahan kerana Ummi dah ada luka pembedahan masa lahirkan Insyirah dulu. Namun pakar bedah kanak-kanak lebih selesa jika bayi dilahirkan secara pembedahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap hati bayi. Apa pun mereka berdua akan berbincang bagaimana cara  kelahiran yang terbaik bagi kedua-dua pihak, ibu dan bayi, jeng..jeng..jeng....tunggu keputusan lagi 2 minggu insyaAllah:)

Wednesday, 20 October 2010

20102010..Rabu



Tarikh hari ini agak menarik 20102010. Dan bermula pada hari ini juga dengan rasminya Nuha boleh sebut perkataan Ummi. Sebenarnya pada malam sebelum tu, adalah dua kali Nuha menyebut perkataan Ummi hasil daripada meniru Insyirah yang memanggil Ummi dari tingkat atas. Tetapi lepas disuruh menyebut Ummi sekali lagi, Nuha enggan mengikutnya. Namun pada tanggal 20102010, Nuha dengan yakinnya boleh memanggil Ummi dengan panggilan Ummi. Alhamdulillah, akhirnya diusia 1 tahun 5 bulan & 5 hari, Nuha boleh menyebut Ummi. Kalau panggilan Ayah tu umur belum cecah setahun lagi dah boleh panggil dengan jelas. Yang peliknya, perkataan lain boleh pula disebutnya seperti strawberry, bubble, Dora, Upsy daisy, kakak, buka, air, susu dll. Tapi perkataan Ummi tu susah sangatlah nak disebut. Kalau tak dipanggil mama, dipanggilnya yah, yah..hehehe. Apa pun, alhamdulillah berjaya gak Nuha menyebut Ummi, yeay! :D

Wednesday, 13 October 2010

Panggilan haji Ayahbonda tercinta

Masih segar dalam ingatan ketika mendaftarkan Abah dan Mak ke tabung haji beberapa tahun yang lepas. Ketika itu terasa lamanya lagi giliran Abah dan Mak untuk boleh menunaikan haji ke Mekah. Ku hitung-hitung usia mereka setelah pakcik di kaunter itu memberikan anggaran tahun mereka boleh menunaikan haji. Usia mereka hampir mencecah 70 tahun ketika giliran mereka tiba. Oh, masih laratkah mereka untuk melaksanakan ibadah rukun islam yang ke-5 ini diusia itu. Sesungguhnya kita hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui segalanya.

Alhamdulillah, hari ini masanya telah tiba untuk mereka. Akhirnya mereka dipanggil untuk menunaikan haji ke Mekah pada tahun 2010 ini. Agak cepat berbanding jangkaan tahun yang diberikan ketika mendaftar dahulu. Hari ini, Rabu 13 Oktober 2010 bersamaan dengan 5 Zulkaedah 1431H merupakan tarikh penerbangan mereka ke tanah suci Mekah. Adik beradik, saudara mara serta jiran tetangga menghantar mereka ke Lapangan terbang Senai. 

Kami doakan agar Abah dan Mak dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna serta selamat pergi dan balik. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang akan menunaikan haji ke Mekah pada tahun ini, semoga semuanya memperoleh haji yang mabrur insyaAllah. 
Salam sayang dari kami di perantauan buat Abah dan Mak. Semoga memperoleh haji yang mabrur dan sentiasa di dalam rahmat Allah, insyaAllah. Walaupun jauh dimata namun sentiasa dekat dihati. Gambar ini diambil semasa Mak tengah bercakap denganku melalui telefon, lebih kurang jam 7 pagi waktu Malaysia = 12tgh malam waktu UK sebelum mereka masuk ke balai berlepas pada jam 7.30 pagi. Terima kasih banyak kepada abang iparku yang sepantas kilat mengupload gambar ni di facebook :)

p/s: Kepada adik lelaki ku juga, semoga isterinya selamat melahirkan cahaya matanya yang ke-2. Tengah sibuk-sibuk di lapangan terbang Senai, tiba-tiba isterinya berasa sakit nak bersalin dan terus ke hospital dengan segera. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, amin.

Wasalam.

Friday, 8 October 2010

Ultrasound sessi ke-5

Hari ini, 8 Oktober 2010 Ummi menghadiri temujanji di QMC pada jam 10.30 pagi. Selain pemeriksaan biasa, kali ini Doktor lebih fokus pada keadaan jantung bayi (Doppler Ultrasound). Di dalam hati, Ummi menjangkakan perkara negatif berlaku pada jantung bayi kerana Doktor mengambil masa agak lama memeriksa keadaan jantung bayi. Namun hati cuba menidakkannya dan setelah selesai akhirnya Doktor mengatakan bahawa jantung bayi normal. Alhamdulillah. Saiz exomphalus setakat ini ialah 3.6 cm dan kali ini Doktor menyatakan hanya mengandungi hati sahaja.  Setakat ini, tiada masalah lain yang dapat dikenalpasti pada bayi. Semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya. Selain ultrasound, Ummi perlu diambil darah untuk melihat paras hemoglobin dan keputusannya 10.6. Agak rendah dan perlu mengambil "iron tablet". Padanlah Ummi mudah penat dan nak pitam.

Oh ye, kali ini juga Doktor fokus pada wajah bayi dan "print" kan untuk kami. 
Inilah wajah hero kami insyaAllah di usia 28 minggu + 5 hari. Doktor tu kata wajahnya mirip muka ayahnya. Ye ke?? Apa pun Ummi tak kisah, yang penting anak kami ini sihat dan normal seperti kanak-kanak lain dan membesar menjadi anak yang soleh penyejuk hati kami sekeluarga.

Temujanji seterusnya pada 5 November 2010, jam 10 pagi. Wasalam.

Thursday, 9 September 2010

Ultrasound sessi ke-4

Pada 9 September 2010, jam 1.30 petang merupakan temujanji Ummi yang pertama di QMC bersama Doktor pakar bersama dengan pakar bedah kanak-kanak. Usia bayi ketika ini 24 minggu + 4 hari. Pakar bedah kanak-kanak turut sama dalam temujanji ini untuk melihat keadaan sebenar exomphalus yang dialami  bayi bagi merancang kaedah pembedahan apa yang sesuai untuk bayi kelak. Walaubagaimanapun, pemeriksaan kali ini mendapati keadaan uri berada sedikit rendah dan boleh mengakibatkan pendarahan pada diri Ummi. Keadaan bayi pula menunjukkan normal kecuali exomphalus. 

Selepas menjalani ultrasound kami berbincang dengan pakar bedah kanak-kanak untuk mengetahui apa perancangan beliau selanjutnya. Beliau juga menerangkan kaedah pembedahan yang bakal dilakukan ke atas bayi dan perkara-perkara yang perlu kami jangkakan berlaku di masa hadapan. Hasil perbincangan yang dibincangkan terkandung dalam isi surat di bawah. Semoga bayi dapat dibedah dengan hanya sekali pembedahan sahaja, bukan berulang-ulang kali. Pakar bedah tersebut juga lebih suka untuk melakukan "single  operation" untuk mengurangkan risiko jangkitan terhadap bayi. Walaubagaimanapun segalanya bergantung pada saiz exomphalus dan keadaan bayi selepas lahir. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat bayi yang bakal dilahirkan kelak.

Hasil laporan bersama pakar bedah kanak-kanak.