Showing posts with label Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Ahmad. Show all posts

Friday, 11 October 2013

Ahmad dan selipar Upin & Ipin



Video di atas diambil pada beberapa bulan lepas (14 April 2013) di Mydin Ipoh. Kami singgah selepas menghadiri kenduri kahwin rakan sekerja kami di Taman Meru Ipoh. Dalam Mydin ini terdapat kedai makan Upin & Ipin. Pertama kali belikan Ahmad selipar yang perlu selit jari di tengah-tengah. Selalu pakai kasut sarung terus tu jer. Tu yang macam pelik je Ahmad mula-mula nak suaikan diri dengan selipar tu (diseretnya dulu selipar tu mula-mula takut tertanggal), hehehhe.

Dalam kedai makan Upin & Ipin, Mydin Ipoh :))

Sunday, 21 April 2013

Hari Sukan Tadika Cinta Bestari 2013

Semalam, Sabtu 20 April 2013 Insyirah dan adik-adik menghadiri hari sukan tadika cinta bestari di padang Bukit Panchor, Nibong Tebal. Kami semua menyertai sukaneka yang diadakan dari 8 - 11 pagi. Ummi dan Ayah juga turut serta dengan kedua-dua sukaneka yang diadakan untuk keluarga. Malah dapat tempat pertama dan ketiga lagi, hehehe. Ini merupakan kali kedua Insyirah dan Nuha menyertai hari sukan tadika manakala kali pertama untuk adik Ahmad. Walaupun Ahmad baru pertama kali menyertainya, namun Ahmad sangat bersungguh-sungguh melakukannya. Biarlah gambar dan video yang menceritakan segalanya :)

Ahmad Mujahid seronok dengan hadiah yang diterima. Alamak dapat bekas air pink lah!

Nuha Rumaisa malu-malu dengan pingat yang diperolehi :)

Yeay, Insyirah pun dapat pingat juga. Terima kasih cikgu!

Anak-anak didikan cinta bestari dalam perbarisan. 

  Ahmad beraksi dalam sukaneka kedua untuk kanak-kanak 2-3 tahun dari Taska Cinta Bestari.
 

Nuha dan Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 4 tahun, tapi Insyirah turut serta sebab tak cukup orang.


Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 5-6 tahun.

Ok itu sahaja coretan Insyirah buat masa ini untuk kenangan di masa hadapan :)

Sampai jumpa lagi insyaAllah.

Wasalam.

Monday, 17 September 2012

Lama tak update

Kemaskini setelah agak lama menyepi.

Sekarang Ahmad dah semakin besar, jalan pun dah makin stabil, cuma dah malas nak turun tangga sendiri. Asyik suruh orang dukung bila nak turun naik tangga. Masa zaman merangkak dulu semuanya buat sendiri, kita yang risau sampai terpaksa pasang gate.

Ahmad pun suka melukis juga, cuma banyak menyepah dari lukis. Sekejap saja pensel warna berterbaran di atas lantai.

Harap-harap lepasni boleh rajin semula mengupdate blog ini :)

Friday, 16 March 2012

Hand, Food, Mouth Disease (HFMD)

Hari ini dan semalam, Ummi ambil cuti kecemasan untuk mengambil alih menjaga Ahmad dan Nuha yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut sejak Ahad yang lalu. Isnin hingga Rabu, mereka dijaga oleh ayahnya kerana Ummi sangat sibuk di tempat kerja berikutan dengan dokumen yang perlu dihantar segera dan menerima kunjungan pemeriksa luar pada hari Selasa dan Rabu. Tak menang tangan dibuatnya akibat daripada pemberian kerja disaat akhir.

Bermula dari Sabtu malam Ahad, Ahmad langsung tidak boleh menelan susu. Sepanjang malam menangis, mengamuk menahan kesakitan. Akhirnya Ummi memaksanya meminun susu menggunakan shringe. Alhamdulillah dalam jam 5 pagi, Ahmad boleh tidur. Kasihan dia kelaparan. Nak minum susu tapi mulut sakit. Pada siang hari kami membawanya ke poliklinik namun, Dr tidak memeriksanya dengan teliti dan antibiotik yang hendak diberikan kepada Ahmad pula habis. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Nuha menunjukkan tangannya ada bintik-bintik, lalu Ummi terus menyuruhnya membuka mulut. Allahuakbar, penuh ulser di dalam mulut Nuha. Terus Ummi meminta Ayah ke hospital parit buntar bahagian kecemasan kerana dikhuatiri mereka dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Di nursery mereka memang ada kes yang serupa 2-3 minggu yang lepas.

Setelah 3 jam lebih menunggu giliran, akhirnya mereka dibawa berjumpa dengan doktor yang bertugas. Doktor mengesahkan kedua-duanya dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Mereka perlu melaporkan kepada Kementerian Kesihatan kerana penyakit ini di bawah kawalan. Mereka perlu dikuarantin di rumah dan tiada ubat yang spesifik untuk penyakit ini. Mereka hanya diberikan paracetamol dan ubat titik ke dalam mulut. Tidak perlu untuk makan antibiotik kerana penyakit ini disebabkan oleh virus.

Sekarang ini, keadaan Ahmad semakin ok, dah boleh minum susu. Keadaan Nuha sahaja yang masih belum pulih sepenuhnya dan kurang selera makan kerana mulutnya yang masih sakit. Hanya bergantung kepada susu sepenuhnya. Itu pun kadang merengek nangis sakit apabila ingin makan/minum. Asyik nak gosok gigi ingat giginya yang sakit :D

Semoga mereka kembali pulih sepenuhnya.

Terima kasih kepada Ayah mereka yang sangat memahami sanggup menjaga anak di rumah. Ini kali ke-2 Ayahnya terpaksa duduk rumah menjaga mereka, pertama semasa Ummi ada bengkel OBE di Hotel Equatorial pada 9 Feb yang lalu.

Untuk Insyirah, Nuha dan Ahmad, kami sayang kamu semua.

Thursday, 1 December 2011

Gigi ke-2 Spongebob :)

Sejak balik Malaysia ini, sudah beberapa kali Ahmad demam. Kelmarin si Kakak Nuha baru sembuh dari demam sehingga tidak ke nursery dan semalam petang masa ambil Ahmad dari Nursery, pengasuhnya beritahu yang Ahmad pula demam. Dia perasan badan Ahmad panas masa tengahari selepas Ahmad bangun dari tidur. Katanya selalu aktif jer selepas bangun tidur, tapi semalam lembik sahaja. Macam lari berganti-ganti pula, passing baton. Selepas Nuha, sambung Ahmad pula. Harap-harap janganlah lepasni Insyirah pula demam.

Malam tadi juga baru perasan yang gigi ke-2 Ahmad hendak tumbuh di bahagian bawah. Gigi pertama tumbuh bahagian bawah masa Oktober lepas, masa Ayah dan Ummi tengah sibuk-sibuk bungkus barang nak bawa balik masuk kontena. Masa tu demam juga. Sekarang ini Ahmad semakin cergas panjat tangga rumah. Masa balik rumah Atuk Nenek hari tu baru pandai panjat satu anak tangga. Sekarang sudah semakin laju. Ahmad cukup suka main air. Ada satu pagi tu Ummi tengah ambil air sembahyang, laju je Ahmad merangkak ke bilik air main air. Habis lencun Ahmad dengan baju tidurnya.

Kini Ahmad sudah pandai tepuk tangan dan duduk sendiri selepas penat merangkak. Kalau dulu bila penat merangkak dia akan meniarap atau baring. Lagi 7 hari umurnya genap setahun. Cepatnya masa berlalu. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat Ahmad dan menjadi anak yang cerdik, cerdas penyejuk hati kami sekeluarga.

Wednesday, 28 September 2011

Ahmad mula merangkak & melambai tangan

Akhirnya, setelah hampir sebulan mengangkat bont*tnya, hari ini 27 September 2011, lebih kurang jam 5.40 petang (waktu UK) Ahmad sudah mula merangkak ke hadapan walaupun masih diperingkat amatur :) Kebiasaannya meniarap dan bergerak secara mengundur sahaja. Apa yang memaksa Ahmad merangkak ke hadapan? Semuanya disebabkan hendak pergi ke arah Ummi yang berada di bilik air yang sedang memandikan Insyirah dan Nuha, hehehe. 

Selain itu hari ini juga Ahmad sudah pandai meniru aksi melambai tangan. Jika di suruh babai, Ahmad akan melambai tangannya meniru aksi Ummi atau Ayah atau si kakak-kakak yang mengajarnya :)

Alhamdulillah, semoga Ahmad terus membesar sihat dan cergas seperti kanak-kanak lain dan menjadi anak soleh penyejuk hati kami sekeluarga, amin.

Setiap anak adalah unik dan mereka mempunyai carta tumbesarannya yang tersendiri. Jika Insyirah dahulu tidak merangkak, terus sahaja duduk, berdiri dan berjalan. Manakala Nuha pula mula merangkak di usia 8 bulan lebih tetapi sudah mula mengangkat bont*tnya sejak berusia 7 bulan. Ahmad pula mula merangkak di usia 9 bulan dan 19 hari :)

Tuesday, 27 September 2011

Perkembangan bayi 9 bulan

Ahmad sudah 9.5 bulan, Umminya baru berkesempatan hendak update perkembangannya pada 9 bulan, hihihi :) 

Perkembangan Ahmad yang terkini setakat ini:
1) Sudah mula angkat punggungnya untuk merangkak sejak 1 Syawal yang lalu.
2) Sudah pandai menjelajah sekitar ruang dan pelosok dengan meniarap dan bergerak secara mengundur :)
3) Sudah mula hendak bercakap tattattattatta
4) Sudah boleh duduk tanpa support
5) Sudah lebih pandai bermain. Suka masukkan blok ke dalam box dan kemudian membuangnya balik ke luar, huhuhu.
6) Suka menjatuhkan barang ke lantai dan meminta kita mengambilnya semula dan bila diambil dan diberikan kepadanya pasti akan dijatuhkan balik ke lantai. Proses ini berulang-ulang sampai Umminya letih melayan, huhuhu.
7) Sekarang ini asyik nak berkepit sahaja dengan Umminya dan sudah mula takut dengan sesetengah orang.
8) Sudah mula menolak untuk minum guna botol susu, huhuhu.
9) Sudah boleh menolak walkernya dengan bantuan :)
10) Sudah pandai menyakat kakak-kakaknya sehingga mereka menangis :D

Gambar sekitar Aidilfitri ketika berusia 9 bulan

Masa bulan puasa yang lepas, Ahmad senang sahaja minum susu atau air masak daripada botol susunya. Siap pandai pegang sendiri botolnya walau tidak diajar. Tetapi sekarang ini Ahmad tidak mahu minum daripada botol susunya, huhuhu. Jika diberikan botol, digigit-gigitnya sahaja puting botol tersebut dan bermain dengannya. Umminya sudah mula risau jika Ahmad tidak mahu minum menggunakan botol kerana tidak lama lagi Umminya akan mula bekerja.

Ahmad minum susu dan air masak menggunakan botol susu semasa bulan puasa yang lepas

Wednesday, 21 September 2011

Baby highchair/booster seat

Ahmad suka duduk dikerusi makannya namun ada yang tidak puas hati :D

Muka orang yang tidak puas hati di belakang Ahmad, hehehe.

Seronok dapat duduk di booster ini. Senang hendak makan katanya. Jika tidak perlu angkat pinggan letak atas peha kerana kedudukan meja yang agak tinggi buat dirinya yang rendah :)

Nasib baik Nuha tidak berebut sama hendak duduk dikerusi ini. Harus cari lagi kerusi seperti ini. Best dan mudah untuk anak-anak duduk makan sekali semeja kerana boleh laras ketinggian kerusi :). Selain itu :-

-Mudah untuk membasuh tray makanan kerana tray boleh ditanggalkan.
-sesuai untuk bayi dari umur 6 bulan hingga berat 20kg
-Ada 3 ketinggian dan tray boleh dilaras untuk sesuaikan dengan saiz badan bayi
-Mudah untuk travel dan di bawa kemana sahaja

Sebelum ini guna folding high chair dan ikea high chair yang warna putih itu, dua-dua pun best. Tapi yang ini lebih suka sebab jimat ruang dan booster seat ini boleh letak atas kerusi makan. Anak-anak lebih mudah hendak duduk makan sekali dengan ibubapa semeja :)


Tuesday, 20 September 2011

Allergic Telur

Selain daripada allergic terhadap susu lembu dan antibiotik Flucloxacillin, Ahmad Mujahid allergic terhadap telur juga yang mana kami mula mengenalpastinya pada 28 Ogos 2011, jam 6.20 petang, 2 hari sebelum umat Islam menyambut hari raya aildilfitri 1432H. 

Semuanya bermula ketika Ummi sedang sibuk memasak didapur untuk juadah berbuka dan Ayah sedang bertadarus di masjid Madni. Untuk melekakan Ahmad bermain sendirian untuk membolehkan Ummi memasak didapur, Ummi meletakkan Ahmad di kerusi makannya dan memberikannya pelbagai struktur makanan untuk dipegangnya. Antaranya spagethhi, timun dan akhir sekali telur rebus yang masih belum dikupas kulitnya. Pada mulanya Ahmad hanya membelek-belek telur rebus tersebut dan kemudian menggolek-golekkan di atas meja makannya. Ummi leka didapur memasak dan tiba-tiba terdengar Ahmad menangis dan Ahmad menoleh ke arah Ummi di dapur. Alangkah terkejutnya apabila melihat mata kirinya bengkak dan mukanya naik merah-merah. Allahuakbar! Terus Ummi mengangkatnya dan menyusukannya untuk meredakan tangisnya. Tangannya asyik menggosok-gosok mukanya kerana kegatalan. Ummi melihat telur rebus yang diberikan telah dimakannya sedikit. Kulit-kulit bertaburan di atas meja dan lantai. Selepas tangisnya reda, Ummi terus memandikannya dan melumurkan krim ke seluruh badannya untuk mengurangkan kegatalannya. Alhamdulillah keesokan harinya matanya yang bengkak sudah surut walaupun tidur malamnya tidak lena kerana kegatalan.

Mata Ahmad terus naik bengkak mendadak hanya kerana sebiji telur rebus :D

Inilah telur yang dimakan Ahmad, huhuhu. Tidak tahu bagaimana Ahmad mengopek telur ini dan memakannya. Gigi sebatang pun belum ada lagi, huhuhu.

Wednesday, 7 September 2011

Gaya baby bersilat?

Catatan lepas masa Ahmad Mujahid 8 bulan, ada menyatakan habit Ahmad yang suka menepuk-nepuk kedua belah tangannya seperti aksi nak buka langkah silat (ye ke?). Lebih-lebih lagi jika dia berlawan dengan si Ayah yang meniru aksi tangannya itu. Namun kini habitnya ini sudah berkurangan. Di bawah ini ada video yang merakamkan aksi tangannya itu ketika usianya 8 bulan lebih namun kali ini Ahmad tidak begitu fokus seperti sebelumnya. Sekarang ini sudah jarang-jarang dapat melihat aksi tangannya ini kerana habitnya sekarang menghisap ibujari kaki dan jelir lidah pula, huhuhu :D


Kalau dulu,lagi pantas aksi tangannya ini dan sangat fokus. Kini Ahmad buat santai-santai sahaja sekadar mengisi masa lapangnya bermain sendirian :)

Tuesday, 16 August 2011

Mujahid 8 bulan

Alhamdulillah, pada 8 Ramadhan 1432H = 8 Ogos 2011, genaplah usia Ahmad Mujahid 8 bulan :). Sekarang ini usianya sudah 8 bulan dan 8 hari. Sedar tidak sedar, sudah 16 hari umat islam berpuasa.
Saya sudah 8 bulan sekarang, alhamdulillah :)


Perkembangan Ahmad setakat ini, badannya semakin kuat dan tegap. Jika bulan lepas Umminya baru berani meletakkannya duduk di atas bumbo chair, sekarang ini Ahmad sudah pandai keluar dari bumbo chair itu, huhuhu. Setakat ini sudah 2 kali dia keluar dari bumbo chair, semalam dan hari ini sebab hendak mengambil mainan di atas lantai. Ahmad berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya sampai terangkat-angkat b*ntot dan akhirnya tertiarap di atas lantai, huhuhu. Suka hati sebab dapat ambil mainan yang dikehendaki. Nampaknya lepasni perlu letakkan tray di bumbo chair itu untuk mengelakkannya keluar. Pernah juga sekali tertidur di atas bumbo chair itu, hehehe. Walaupun Ahmad agak lambat mengangkat kepalanya tegak dan tulang belakangnya tidak berapa kuat, namun apabila beliau mendapatkan kedua-dua itu sekejap sahaja dia boleh buat pergerakan yang lain. Jika diletakkan di atas "entertainer" nya, siap sudah boleh berdiri sekarang sambil "bouncing" lagi :D.
Tertidur selepas geng bermain tertidur dan Ummi sibuk membungkus barang, hehehe.

Sepanjang ramadhan ini, alhamdulillah Ummi Ahmad dapat berpuasa penuh sambil menyusukan Ahmad. Hanya 2 kali Ummi Ahmad memberikannya susu formula sebagai tambahan, 6 oz jer pun, itu pun menyebabkannya sembelit, huhuhu. Ahmad sudah mula makan secara rasmi sekarang tetapi perlu pastikan makanan tersebut betul-betul cair baru dia nak. Kalau tidak pasti akan dimuntahkannya balik. Sekarang Ahmad sudah pandai makan buah-buahan atau sayur-sayuran dan dia suka pegang sendiri sahaja. Untuk mengelakkan daripada tercekik, Ummi belikan "Fresh Food Feeder" ini. Best sangat benda ni:)
Terima kasih kepada Aunty Nadira dan Aunty Wan yang cadangkan benda ini. Ummi Ahmad dan Ahmad sangat seronok. Tidak perlu Umminya nak suapkan Ahmad lagi;).

Jika betul-betul lapar dan susu itu suam-suam, laju sahaja Ahmad meminumnya. Setakat ini tiada masalah dengan botol. Cumanya masalah sembelit sahaja jika minum susu formula ini. Agaknya kena kurangkan scoop susu tu bancuh cair-cair kot. Minum sekali 3oz sahaja. Perutnya tidak boleh terlalu kenyang/penuh untuk mengelakkannya muntahkan balik kesemuanya, huhuhu.

10 Ogos 2011 yang lalu, Ahmad mempunyai temujanji dengan doktor yang membedahnya dahulu untuk memeriksa keadaan luka pembedahan exomphalos dan hernia. Alhamdulillah semuanya ok dan doktor menyuruh kami datang kembali selepas 6 bulan untuk pemeriksaan selanjutnya. Namun kami memberitahu bahawa kami ingin pulang ke Malaysia "for good" tidak lama lagi. Dengan itu Ahmad secara rasminya telah di "discharge" di bawah pemerhatian doktor dan doktor tersebut akan memberikan surat untuk rujukan dikemudian hari. Doktor tersebut memberitahu di Malaysia juga ada doktor bedah yang bagus seperti Dr. Tan (tidak tahulah Dr. Tan yang mana yang dimaksudkan).

Semalam, 15 Ogos 2011 pula, Ahmad mempunyai temujanji dengan Dermatologist, pakar kulit berhubung dengan masalah eczema nya. Alhamdulillah, setakat ini masalah eczemanya sudah semakin ok. Cuma Umminya perlu pantang betul-betul terhadap susu lembu. Kadang-kadang Umminya sukar untuk mempantangkan diri lebih-lebih lagi bila dihidangkan dengan air teh susu, coklat, aiskrim dan macam-macam lagi. Kiranya pantang tengoklah! Hehehehe. Dengan itu pasrah jer bila kulit Ahmad naik bintik-bintik kecil terutama di sekeliling mulutnya namun ianya masih dalam keadaan terkawal. Selepas 2-3 hari ianya akan hilang. Doktor tersebut memberitahu bila Ahmad sudah besar seperti setahun setengah, kami boleh cuba memberikannya susu lembu dan lihat bagaimana kesannya. Allergic terhadap susu lembu ini akan sembuh semakin membesar kanak-kanak tersebut kerana sistem imunisasinya semakin baik. Harap-harapnya begitulah insyaAllah.

Berat badan Ahmad yang terkini ialah 6.48kg dan panjang 66.6cm yang diambil pada 15 Ogos 2011. Habitnya yang terkini suka menepuk-nepuk tangannya seperti aksi bersilat. Tidak tahulah di mana dia dapat idea membuat gaya tersebut sebab tiada orang yang mengajarnya :D Nanti bila sempat, Ummi letak video aksi tangannya itu di sini:)
Semoga Ahmad Mujahid terus sihat membesar, cerdas, pintar dan menjadi anak yang soleh untuk berbakti kepada agama, bangsa & negara, amin.

Esok, 17 Ramadhan 1432H, hari nuzul quran.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan yang terang benderang dengan izinNya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus. (Surah Al-Maidah, ayat 15-16).

Salam Nuzul Al-Quran untuk semua pembaca :)

Sunday, 14 August 2011

EBM oh EBM

Akhirnya EBM Ahmad terbuang begitu sahaja, sedih sangat, huhuhu. Hendak diberikan kepada Nuha pun, dia tidak mahu sebab sudah dibekukan. Dulu jika diberikan kepada Nuha sejurus selepas diperah, Nuha minum berbotol-botol. Sayang sangat tetapi tidak boleh nak buat apa jika disimpan kerana masa Ummi memerah susu tersebut Ummi tidak pantang kepada susu lembu kerana masih tidak mengetahui yang Ahmad allergic terhadap susu lembu. Minum milo sahaja harus 3- 4 kali sehari. Tidak termasuk minum susu lembu segar. Sekarang ini pun jika Umminya makan aiskrim satu dua sudu pun, kulitnya sudah naik bintik-bintik akibat allergic.Tetapi masih terkawal.
Susu Ahmad yang terpaksa dibuang :( Sebelum ini asyik tak sampai hati hendak membuangnya tetapi disebabkan tiada ruang di dalam peti ais, akhirnya dibuang juga, huhuhu.

Hari ini sudah 13 hari kita berpuasa dan alhamdulillah Ahmad masih boleh menyusu badan walaupun Umminya berpuasa. Sepanjang berpuasa ini hanya 2 kali Umminya memberikan susu formula Nutramigen kepada Ahmad sebagai tambahan. Itu pun disebabkan Umminya terlajak tidur dan tidak bersahur, huhuhu. Di bulan puasa ini memang perlu minum air bergelas-gelas ditambah dengan minuman soya (pengganti susu) bagi memastikan bekalan susu Ahmad cukup disiang hari. Sekarang ini cuba minum air halba untuk meningkatkan pengeluaran susu sebabnya baru-baru ini pengeluaran susu menakjubkan, tidak seperti biasa. Mungkin dari sumber makanan kari kepala ikan yang diletakkan halba campur. Wallahualam.

Tuesday, 26 July 2011

Potong rambut baby

18 Julai 2011 yang lalu, Ahmad potong rambut sebab rambutnya sudah panjang dan bila tidur berpeluh-peluh kepala dia. Bila berpeluh, tangan asyik menggaru-garu kepalanya, mungkin rimas dan gatal. Ini merupakan kali ke-3 Ahmad potong rambut. Ummi Insyirah memotong rambut Ahmad menggunakan mesin potong rambut Ayah Insyirah. Mesin ini tidak berapa bising dan kurang getarannya berbanding mesin rambut sebelumnya. Harap-harapnya selamatlah untuk digunakan memotong rambutnya sebab ada yang kata ok dan tidak ok (bila google) untuk memotong rambut baby menggunakan "hair clipper". Yang penting kita tahu apa yang kita buat dan pastikan keselamatannya.
Gambar dari kanan: Sebelum potong rambut, tengah gunting rambut dan baju putih tu setelah mandi selepas gunting rambut :)

Gambar terkini Ahmad berambut pendek:)

Kali kedua potong rambut pada 12 April 2011 juga menggunakan mesin. Gambar kanan sebelum dan kiri selepas gunting :) Masa ini terpaksa gunting sebab kulit kepalanya kering dan kami perlu meletakkan Aqueus cream dikepalanya.

Pertama kali rambut Ahmad dipotong sehingga botak licin pada 1 Januari 2011 setelah 24 hari lahir ke muka bumi ini. Masa ini kami tidak menggunakan mesin kerana kulit kepalanya lembut lagi. Kami guna pencukur gillette sahaja. Insyirah dan Nuha, kedua-duanya dicukur botak pada hari ke-7, tetapi Ahmad masih di hospital pada hari ke-7.

Adalah sunat untuk dilakukan aqiqah dan cukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran anak itu. Marilah sama-sama kita merebut pahala sunat tersebut, cukur rambut sepenuhnya kemudian timbang dan dinilaikan dengan harga emas/perak. Bukan setakat cukur jambulnya sahaja dan masukkan rambut tersebut ke dalam kelapa.

Ahmad Mujahid tiarap & gelak

Semakin usianya meningkat, lehernya juga semakin tegap, alhamdulillah. Ini permintaan nenek yang ingin melihat gambarnya meniarap.
Agaknya nenek hendak nengok besar mana kepala Ahmad untuk nenek buatkan baju melayu Ahmad ya, takut nanti tak muat pula baju yang nenek buat, hehehe;)

Ahmad diusia 7 bulan setengah

 
Ahmad gelak-gelak, seronok bermain dengan Ummi :)

Semoga Ahmad Mujahid terus sihat, cergas, bijak dan menjadi anak yang soleh penyejuk hati kami sekeluarga, amin.

Monday, 18 July 2011

Ahmad 7 bulan

Alhamdulillah, kini usia Ahmad Mujahid sudah 7 bulan dan 10 hari. Berat terkini ketika timbang pada 4 Julai yang lalu adalah 6.2kg sahaja. Coretan kali ini lebih banyak gambar berkenaan dengan perkembangan Ahmad yang terkini.
Cara tidur Ahmad Mujahid:)
Tidur sendiri setelah minum susu, berak dan disalin lampinnya :) Walaupun mudah untuk tidur (hanya ketika kenyang dan lampinnya bersih!), namun telinganya sangat sensitif dengan sebarang bunyian. Mudah terjaga. Jika sudah mengantuk sangat dan perut tidak betul-betul kenyang, perlu didokong, mendodoi untuk menidurkannya kerana jika terlalu mengantuk sangat, susu pun akan ditolaknya:D

Masa meninggalkan anak-anak diruang tamu sebelum menunaikan solat di atas, masing-masing masih cergas dan kedengaran Insyirah berkata yang beliau ingin membuat puzzle selepas memakan buah oren yang diberikan. Ahmad pula setelah diberi susu dan disalin lampinnya, Ummi meletakkannya di atas buaiannya (off) untuk mengelakkan sikakak terlanggar adik jika diletakkan di atas lantai. Kedengaran riuh rendah suara masing-masing setelah Ummi mengambil wuduk, namun setelah solat, tiada lagi suara kedengaran. Nengok-nengok semuanya sudah ketiduran dan puzzle yang Insyirah buat pun tidak sempat disiapkan, hanya tinggal lagi 3 sahaja untuk siap. Sudah mengantuk sangatlah tu:D

Opps, gambar kita mandi pun kakak Insyirah nak ambil ke?? Ummi tengah sibuk mandikan si Ahmad, si Insyirah sibuk dengan kamera ambil gambar si adik. Sekarang ini sudah boleh mandikan Ahmad dengan meletakkannya di atas tempat duduk mandinya. Senang sikit Ummi nak mandikannya:) Berkenaan masalah kulitnya, Alhamdulillah ianya semakin ok.

Ummi baru berani hendak meletakkan Ahmad di dalam "bumbo chair"nya. Itu pun tidak boleh bertahan lama, sekejap jer duduk tegak kemudian sudah melepek ke tepi kerusi, huhuhu. Risau juga sebab "head control" nya tidak berapa bagus lagi walau sudah 7 bulan. Kenapa yer??


Hehehe, abaikan yer sudu pink tu sebab guna balik si kakaknya sudu :D Sekarang sudah ada sudu biru, alhamdulillah:) Ini pertama kali beri Ahmad makan pada 21 Jun yang lalu. Mulanya ingat nak beri 2 ,3 sudu sahaja sebagai percubaan. Tetapi Ahmad seronok pula makan sampai nak habis semangkuk buburnya itu. Hari pertama Ummi beri bubur kosong. Hari kedua Ummi bagi pisang lenyek. Hari ketiga, Ummi beri bubur campur brokoli campur susu formula (Nutramigen) yang diberikan. Ketiga-tiga hari ini memang Ahmad makan bersungguh-sungguh. Sedap jer nengok dia makan tetapi malam hari ketiga yang Ahmad makan tu tiba-tiba nangis sakit. Rupanya sembelit. Semalaman kami tidak lena kerana sembelitnya, hehehe. Esoknya terus Ummi berhenti berikannya makan. Si Ayah cakap "itulah Ummi excited sangat suap dia makan, mentang-mentang dia nganga, Ummi sumbat jer, mungkin perut Ahmad tak berapa kuat lagi kot". Selepas itu, Ummi rasa menyesal tak sudah sebab menyebabkan Ahmad sembelit, huhuhu. Sampai sekarang, kami masih tidak betul-betul memberikan Ahmad makan sebab Ahmad seperti tidak lalu nak makan seperti sebelumnya. Walaupun Ummi membuatkannya bubur, namun Ahmad makan hanya satu dua sudu sahaja. Kalau nengok mulutnya macam beria jer nak makan dan sekarang ini pun sudah pandai ambil barang dan masukkan ke dalam mulutnya, huhuhu.

Terima kasih pada Ibu Eriem yang berikan kopiah untuk Ahmad, Ahmad suka! :)
Ini gambar masa 8 Julai yang lalu apabila sekali lagi Ummi teringin nak makan kek lobak makcik Zana :) Ahmad baru masuk 7 bulan!

Ini video Ahmad yang terkini. Sudah pandai main sendiri. Kalau boleh semua barang nak dirasanya ;)

Gambar Ahmad "rolling" tiada dalam simpananlah pula. Bulan lepas sibuk sangat dengan kerja "rolling" nya itu, tapi bulan ini nampak berkurang sikit kerja "rolling" tu. Sekarang banyak aktiviti bermain menggunakan tangan pula.

Sekarang ini, kami tidak sabar menunggu temujanji dengan "surgeon" Ahmad pada 10 Ogos ini. Sudah beberapa kali tunda dari bulan Mei lagi, huhuhu. Semoga Ahmad Mujahid sihat, cergas membesar menjadi anak yang soleh untuk berbakti pada agama, amin.

Wednesday, 6 July 2011

Temujanji susulan dengan Pakar Kulit:)

Seperti biasa, entry ini hanya untuk mencatit temujanji Ahmad Mujahid dengan pakar kulit di dalam diari online ini:) Temujanji tersebut pada 4 Julai 2011 jam 2.30 petang. Keadaan kulit Ahmad semakin pulih setelah Ummi berpantang daripada mengambil produk tenusu terutama pada bahagian pipi, dada dan kedua belah siku. Namun pada bahagian betis masih teruk, tiada perubahan. Ummi memberitahu doktor bahawa "Eumovate oinment" (moderate streoid) yang digunakan semakin memburukkan keadaan betis Ahmad di mana ianya menjadikan betisnya lebih merah dan berair yang mengakibatkan kegatalan yang maksima. Oleh itu, setiap masa Ahmad perlu memakai pakaian yang menutup bahagian betisnya bagi mengelakkannya daripada menggaru yang boleh menyebabkan pendarahan.

Setelah doktor melihat keadaan betisnya, beliau memberitahu bahawa Ahmad tidak serasi menggunakan "Eumovate Oinment" tersebut dan menukarnya kepada "Elocon Oinment". Hydrocortisone Cream yang Ummi gunakan bagi menggantikan "Eumovate Oinment"  juga hanya berjaya mengeringkan betisnya sahaja, tidak boleh memulihkan keadaan kulitnya. Alhamdulillah, setelah beberapa hari menggunakan "Elocon Oinment" tersebut, keadaan kulitnya semakin cantik. Semoga Allah memberikan kesembuhan yang berpanjangan kepada Ahmad Mujahid. Kebiasaannya, keadaan eczema Ahmad ini sekejap ok, sekejap tidak. Ada sahaja perkara yang merangsang eczema nya merebak.

Rawatan kali ini seperti biasa, Ahmad Mujahid perlu memakai "Elocon Oinment" sekali sehari selama 2 minggu, kemudian rehat dan hanya pakai sekali sehari setiap Sabtu dan Ahad (hanya 2 hari dalam seminggu). Doublebase cream dan Hydromol dipakai seperti sebelumnya.

Semoga Allah memberikan kesembuhan yang berpanjangan kepada Ahmad Mujahid dan membesar menjadi anak soleh penyejuk hati kami sekeluarga, amin.

Wednesday, 8 June 2011

Ahmad 6 bulan

Berat terkini Ahmad baru 5.85 kg (timbang minggu lepas, 2 Jun 2011). Sekarang ini masih menyusu badan sepenuhnya dan belum mula makan apa-apa. Haritu Dietitian sudah mula suruh untuk mula memberikan Ahmad makan, cuma Umminya sahaja yang agak ragu-ragu nak bagi. Ummi Ahmad pula telah pantang dari segala jenis makanan yang berunsurkan susu kerana menyusu Ahmad seperti cow's milk, butter, margarine, cheese, cream, aiskrim dan yogurt. Sekarang ni Ummi Ahmad hanya minum susu soya dan mengambil supplement calcium & vitamin D. Walaupun Ummi Ahmad pantang dari makanan-makanan tersebut, nampaknya eczema Ahmad makin teruk. Ini mungkin disebabkan telur rebus yang dimakan oleh Umminya (gara-gara nak habiskan Nuhanya telur), huhuhu. Agak tensi juga sebab Umminya telah berusaha untuk mengawal pemakanannya tetapi keadaan eczema Ahmad masih teruk. Sepatutnya telur tiada unsur susu dan boleh di makan. Terus terdetik dalam hati kalau bagi susu Nutramigen tu, adakah eczema Ahmad akan pulih?? Tapi apa nak buat dengan susu yang sedia ada ni, takut jadi bengkak susu pula, huhuhu.

Perkembangan Ahmad sekarang semakin aktif dan sudah boleh pusing-pusing. Asyik-asyik nak meniarap sahaja. Agak susah nak salin lampinnya sebab asyik nak meniarap :) Lehernya juga semakin kuat dan Ummi sudah boleh meletakkannya di dalam bumbo chair :) Seperti biasa, Ahmad sangat pemurah dengan senyuman kepada orang yang dikenalinya. Pantang ditegur, ketawalah dia :)

Sepatutnya sekarang ini kami sekeluarga berada di Italy mengikuti Ayah yang ada conference di sana tetapi disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, hanya Ayah yang berada di sana. Ummi dan anak-anak berada di rumah. Ini merupakan kali pertama Ummi menjaga anak-anak sendirian dan kali pertama Ayah berenggang dengan anak-anak. Sejak Ahad lepas Ayah berada di Italy dan kami semua tidak sabar nak tunggu hari Jumaat ini. Penerbangan Ayah dijangka tiba di lapangan terbang Birm jam 9.30 malam. Harap-harap janganlah ditunda hendaknya. Semoga perjalanan Ayah dipermudahkan.

Thursday, 2 June 2011

Allergic to COW'S MILK

3 hari lepas, balik dari Scotland terima banyak surat. Kebanyakannya untuk Ahmad dan salah satunya adalah surat keputusan ujian darah yang diambil masa jumpa pakar kulit hari tu. Dengan itu, adalah disahkan Ahmad allergic terhadap susu lembu. Patutlah masa kami di Scotland terima panggilan telefon untuk buat temujanji dengan Dietitian (di mukasurat belakang surat tu terus cc kepada Dietitian agar buat temujanji dengan ibubapa Ahmad). Masa tu dalam hati sebab apa pula nak kena jumpa Dietitian ni, terus ingat salah dengar agaknya, mungkin temujanji dengan Paedtrician bukan Dietitian. Temujanji bersama Dietitian tu pagi tadi, 2 Jun 2011 jam 10 pagi di Hospital QMC.
Surat yang menyatakan keputusan ujian darah Ahmad

Selepas berjumpa dengan Dietitian pagi tadi, saya termangu kejap sebab banyak sangat yang kena pantang makan. Agak mencabar juga bagi diri ini yang jenis pemakan, hehehe. Saya diberi pilihan sama ada hendak memberi Ahmad susu formula "Nutramigen" yang diberi oleh pihak Hospital atau nak teruskan penyusuan dengan syarat perlu amalkan diet "dairy free". Segala jenis susu tidak boleh dimakan termasuk susu kambing. Kalau tidak minum susu macam mana nak banyakkan susu ya :S. Sebelum ini memang minum susu segar setiap hari. Kalau tak pun minum horlicks atau milo. Bila berbincang dengan en. suami keputusannya terletak atas diri saya sendiri, cuma diingatkan yang susu ibu tiada tandingan khasiatnya walaupun susu formula diberikan secara percuma. En suami suruh senaraikan kebaikan dan keburukan kedua-duanya. Haishh pening-pening. Rasanya demi anak tercinta, saya cuba meneruskan penyusuan dahulu, jika susu berkurangan dan tidak cukup untuk Ahmad barulah dibantu dengan susu formula. Kena belajar mengawal nafsu makan:D

Friday, 20 May 2011

Air mata darah :)

Pulang dari temujanji bersama pakar kulit di Hospital QMC pada 4 Mei 2011 yang lalu, mata kanan Ahmad sudah mula membengkak tetapi tidak merah. Keesokannya, mata kanannya membengkak lagi dan bila bangun dari tidur menyebabkan mata kanannya sukar dibuka dan bertahi mata, tetapi tidaklah merah seperti orang sakit mata. Ingatkan bengkak disebabkan tangannya yang menggosok-gosok matanya. Pada hari berikutnya nampak mata putihnya dah mula merah dan bengkak masih ada. Dan bermula dari pagi Sabtu jam 2pagi, Ahmad tiba-tiba diserang demam panas pula seperti di entry Ahmad 5 bulan yang memaksa kami membawanya ke bahagian kecemasan. Selain daripada antibiotik yang diberikan untuk merawat jangkitan di dadanya, Ahmad juga diberikan ubat sakit mata "eye oinment" untuk dipakai selama 5 hari pada mata kanannya yang disahkan conjuctivitis.
Chloramphenicol Eye Oinment

Namun setelah lebih daripada 5 hari, matanya masih merah dan bengkak, tiada perubahan walau sudah menyapu ubat mata yang diberi, 4 kali sehari. Setelah 7 hari memakai ubat mata tersebut dan tiada perubahan, kami memutuskan ingin membawa Ahmad ke klinik untuk berjumpa dengan GP pada hari Isnin, 16 Mei 2011. Tetapi pada hari Sabtu, 14 Mei 2011, lebih kurang jam 9.45 malam ketika sedang menyusukan Ahmad, terlihat air matanya yang bertakung berwarna merah. Ummi agak panik ketika itu dan macam tidak percaya air matanya berwarna merah. Setelah dilapkan dengan tisu, ya ternyata air mata itu berwarna merah. Terus kami bergegas ke bahagian kecemasan, hospital QMC tempat yang sama kami bawa minggu sebelumnya akibat demam. Secara kebetulan, bilik rawatan pun sama seperti minggu lalu (nampaknya Ahmad jadi pelawat setia QMC pula, hehehe).

Di bahagian kecemasan, doktor menyapu kelopak mata Ahmad dengan alat yang macam putik kapas tu (untuk korek telinga) dan kapas tu memang merahlah, huhuhu. Inilah pertama kali Ummi lihat air mata bercampur dengan darah. Ummi bertanya kenapa jadi macam tu. Doktor jawab disebabkan keadaan matanya dah "inflame" menyebabkan salur darah dikelopak matanya bocor. Ummi pelik juga sebab tidak pernah mengalami pengalaman conjuctivitis yang sebegini. Lalu Ummi menanyakan kepada doktor "adakah ini normal conjuctivitis?. Doktor menjawab ianya lebih teruk dari conjuctivitis" dan agak luar biasa. Apa pun doktor terus menguruskan temujanji dengan pakar mata pula keesokan paginya tepat jam 10 pagi di "eye casualty", ENT hospital QMC. Kami dibenarkan pulang kerana Ahmad masih boleh menyusu dan kelihatan sihat selain dari sakit matanya. Alhamdulillah. Pada malam yang sama, mata kiri Ummi pula sudah mula merah dan gatal-gatal. Alamak berjangkit pula ke Ummi sakit mata Ahmad ini :)

Antibiotik untuk dititiskan 2 kali sehari ke dalam mata Ahmad.

Ubat mata untuk Ummi, Hypromellose eye drop (artificial tears) untuk melembapkan keadaan mata yang kering. Kalau sakit sangat berdenyut-denyut, bolehlah ambil kain dan basahkan dengan air sejuk, kemudian tekupkan pada mata yang sakit tu:)


Keesokan paginya, kami berjumpa pakar mata dan beliau mengesahkan yang mata Ahmad terkena jangkitan bakteria. Lalu Ahmad diberikan antibiotik untuk dititiskan pada matanya bagi membunuh bakteria tersebut. Mulanya doktor memberikan eryhtmicyn ointment tetapi bila ingin diambil di farmasi, antibiotik tersebut kehabisan stok pula. Lalu orang farmasi telefon doktor memberitahu tentang kehabisan stok antibiotik yang dicadangkan. Antibiotik tersebut ditukar kepada antibiotik lain yang disebut Fucithalmic fucidic acid.
  
Bergambar selepas berjumpa pakar mata ;)

Alhamdulillah, setelah dititiskan 2 kali sehari selama 3 hari antibiotik tersebut tiada lagi merah di mata putih Ahmad. Bengkak matanya juga semakin surut. Hari Rabu jam 2.00 petang Ahmad perlu ke eye casualty lagi bagi rawatan susulan. Alhamdulillah keadaan matanya semakin ok. Jenuh Ummi nak tunggu doktor periksa Ahmad sebab kami perlu tunggu 20-30 minit setelah dititiskan "dilation drop" pada mata Ahmad untuk membuka mata hitamnya bagi membolehkan doktor memeriksa keadaan dibahagian belakang matanya (tak berapa faham untuk tujuan apa). Namun setelah 30 minit menunggu, bila doktor periksa, mata hitamnya tak terbuka lagi. Lalu dititiskan sekali lagi dan kami perlu menunggu 30 minit lagi. Bila periksa lagi selepas 30 minit, mata hitamnya tak terbuka lagi dan proses yang sama berulang. Haish, dah naik boring dibuatnya. Selepas kali ke-3 dititis "dilation drop" dan menunggu 30 minit, barulah doktor dapat periksa keadaan di belakang mata Ahmad dan keputusannya semua ok, alhamdulillah. Dari jam 2 petang sampai jam 5 petang baru boleh balik, huhuhu.

Alhamdulillah, Allah memberikan air mata yang bercampur darah kepada Ahmad kerana dengan itu membuatkan kami segera membawanya ke hospital (jika tidak tunggu hari Isnin baru nak bawa ke doktor biasa (GP) dan dapat bertemu dengan pakar mata seterusnya diberikan antibiotik. Dengan izin Allah, matanya pulih selepas 3 hari menitiskan antibiotik tersebut ke dalam matanya. Sama dengan kes demamnya minggu lalu, setelah 3 hari makan antibiotik baru demamnya yang datang dan pergi pulih sepenuhnya. Kalau tidak setiap 6-7 jam demamnya panas balik. Di UK ini susah sangat nak dapatkan antibiotik, kalau boleh dia nak sistem daya tahan badan seseorang itu sendiri melawan penyakit tu. Kalau sakit sikit-sikit susah sangat nak jumpa doktor. Kalau dah meleret dan sampai terkena jangkitan, barulah diberikan antibiotik. Setiap kali kami hendak membawa Ahmad ke klinik/hospital, kami mesti bertanya sesama sendiri, betulke boleh bawa Ahmad ke hospital ni sebabnya Ahmad tu kadang ceria jer walau tengah sakit. Kadang siap boleh gelak-gelak kuat lagi, tu yang konpius nak bawa atau tidak ke hospital :D 

p/s: Di Nottingham ini jika sakit mata rupanya boleh buat temujanji terus di "eye casualty" di bangunan ENT (Eyes, Nose & Throat). Rasanya lebih baik dari pergi ke klinik GP sebab di "eye casualty" ini, mata diperiksa dengan lebih teliti. Pada mulanya kami ingat jika direfer oleh doktor baru boleh datang ke "eye casualty" ini, rupanya tidak. Hari itu Ummi pun boleh buat temujanji terus di "eye casualty" ini.

Tuesday, 10 May 2011

Ahmad 5 bulan

Pejam celik, pejam celik, Ahmad sudah 5 bulan sekarang. Dikala rakan-rakan seusianya sudah boleh guling-guling dan angkat kepala sendiri, Ahmad masih berusaha ke arah itu. Ahmad kurang kuat untuk mengangkat kepalanya jika ditiarapkan, tetapi boleh mengangkat bahagian punggungnya di atas bantuan kakinya. Sekarang ini, jarang sudah pegang leher Ahmad ketika memegangnya, namun masih perlu berhati-hati. Oleh itu, Ummi masih tidak berani hendak meletakkan Ahmad di atas "Bumbo chair". Bila kedua-dua tangannya bersarung tangan pula, Ahmad pandai menggaru peha, lutut dan betisnya dengan menggunakan kaki. Kaki kiri garu kaki kanan dan kaki kanan garu kaki kiri, hehehe. Itu yang kena pastikan Ahmad sentiasa memakai seluar panjang atau pun stokin atau "tight" untuk mengelakkan kakinya daripada digaru. Kalau tidak habislah kulit betisnya merah dan berair-air menjadikan eczema nya semakin teruk.

Di bawah ini diletakkan carta perkembangan bayi dari umur sebulan hingga 5 bulan dan perkembangan Ahmad kebanyakkannya selari dengan column pertama "Mastered skills" kecuali yang bahagian yang boleh angkat kepala dan guling-guling.
Carta perkembangan bayi dari 1 bulan - 5 bulan (klik imej untuk sumber rujukan)

Ahmad juga bukanlah seorang bayi yang bulat walaupun menyusu badan sepenuhnya. Pertambahan berat badannya hanya sedikit setiap kali ditimbang. Berat terkini hanya 5.56 kg yang ditimbang pada 7 Mei 2011 di bahagian A&E Hospital QMC. Sehari sebelum usianya genap 5 bulan, Ahmad demam panas (39.7 darjah celcius) buat pertama kalinya. Demam panasnya baik setelah diberikan paracetamol namun kembali demam selepas 6-7 jam. Selain itu, matanya juga bengkak sejak 4 hari yang lalu selepas pulang dari temujanji dengan pakar kulit dihospital. Lalu Ahmad dibawa ke hospital bahagian A&E sebab hari Sabtu, klinik (GP) tidak buka. Kami sampai lebih kurang jam 3 petang dan nurse menanyakan apa masalah Ahmad sebelum diserahkan kepada doktor untuk pemeriksaan selanjutnya. Ummi hanya memberitahu berkenaan masalah demamnya yang datang dan pergi serta keadaan matanya yang bengkak sejak 4 hari lalu. Nurse memeriksa suhu badan dan denyutan nadi Ahmad. Suhu badan agak ok, 37.6 darjah celcius tetapi denyutan nadi agak tinggi. 

Kemudian doktor pula datang untuk memeriksa Ahmad. Sebelum itu, doktor ingin tahu rekod perubatan Ahmad sebelum ini. Alhamdulillah, Ummi ingat semua yang berlaku ke atas Ahmad beserta tarikh dan nama ubat yang pernah Ahmad terima. Cuma satu ubat yang Ummi lupa namanya iaitu antibiotik yang diberikan untuk merawat kulit pipinya yang berair (oozing) dan batuk. Doktor tidak risau dengan masalah matanya yang bengkak tetapi risau akan pernafasan Ahmad yang agak laju. Sekali lagi suhu badan Ahmad diperiksa pada jam 4.30 petang dan suhunya naik kembali kepada 38.8 darjah celcius. Lalu Ahmad diberikan calpol dan disuruh naik ke wad E37, bahagian Children Assesment Unit (CAU).

Di CAU, Ahmad diminta untuk ke bahagian X-Ray untuk X-Ray dadanya. Dari pemerhatian X-ray, terdapat dot-dot yang menunjukkan dadanya terkena jangkitan (chest infection). Selain itu juga doktor memaklumkan yang ada "thymus" di bahagian dada Ahmad. Selalunya "thymus" ini penting untuk newborn baby untuk menghasilkan sel T untuk sistem daya tahan diri. Thymus ini menolong badan menghasilkan sel darah putih untuk mengelakkan jangkitan. Semakin membesar seseorang kanak-kanak itu, thymus ini akan hilang. Namun terdapat juga kanser thymus yang menyebabkan batuk yang berpanjangan, sakit dada dan sukar untuk bernafas. Semoga Ahmad dijauhi dari ini hendaknya, amin.

Selain perlu di X-ray, Ahmad juga perlu diambil sampel air kencingnya. Ya Allah jenuh Ummi nak dapatkan sampel air kencingnya. Akhirnya selepas 3 jam, Ummi berjaya mendapatkannya, lega. Kemudian Ahmad perlu diberikan antibiotik (cafelaxin) sebelum dibenarkan pulang ke rumah untuk memastikan Ahmad tidak allergic terhadap antibiotik tersebut. Lama betul menunggu di wad tersebut sampaikan Ummi kehabisan tenaga. Tiba-tiba jam 10 malam, nurse datang untuk menyuruh mengambil sampel air kencing Ahmad sekali lagi. Ummi terus terang menolak untuk membuatnya sebab sudah tidak larat sangat ditambah bukan senang untuk mendapatkannya. Tidak tahu apa yang dibuat dengan sampel yang pertama sebab boleh tanya sudah ambil sampel air kencing ke belom. Pada hal Ummi sudah berikan pada nurse sebelah siang sampel tersebut. Jam 11 malam, Ummi terpaksa membawa Ahmad keluar bilik dan menyuruh nurse memeriksa suhu badannya kerana terasa panas. Sebelum ini, setiap 2 jam nurse datang memeriksa suhu badan Ahmad, tetapi sebelah malam tiada pula nurse yang datang. Itu yang terpaksa Ummi yang meminta untuk diperiksa. Bila diperiksa, suhunya sudah mencapai 39 darjah celcius, huhuhu. Jam 11.30 malam baru Ahmad diberikan paracetamol dan juga antibiotik. Untuk dibenarkan keluar, perlukan pemeriksaan doktor terlebih dahulu untuk memutuskan sama ada perlu tinggal di wad atau boleh balik. Kasihan pada Nuha dan Insyirah yang menunggu sehinggakan terpaksa tidur di stroller.

Setia menunggu Ahmad untuk dibenarkan pulang ke rumah.

Jam semakin lewat namun kelibat doktor tidak kelihatan. Sudah beberapa kali Ummi menanyakan pada nurse yang bertugas. Jawapan tetap sama "doktor tengah pusing wad dan tidak lama lagi doktor datang". Akhirnya hampir 3 jam, barulah doktor datang memeriksa Ahmad dan membenarkan kami pulang. Tepat jam 3 pagi, dalam hujan kami pun pulang ke rumah, alhamdulillah.

Ahmad diusia 5 bulan:)
Gambar diambil pada jam 1.24 pagi waktu UK, 8 Mei 2011 (tengah menunggu doktor yang tidak kunjung tiba, huhuhu)

Demam Ahmad masih datang dan pergi selama 3 hari ini berselang seli dengan muntah dan cirit birit sekali sekala tetapi hari ini nampaknya demamnya sudah reda, cuma matanya sahaja yang belum pulih sepenuhnya dan masih cirit birit mungkin disebabkan oleh antibiotik yang dimakan. Harap-harap demam dan mata Ahmad pulih sepenuhnya, amin.Sesungguhnya setiap penyakit itu ada penawarnya :)