Jam 9.30 pagi tadi, 24 Nov 2010 sekali lagi Ummi di scan dan hasilnya tak banyak beza seperti 2 minggu lepas. Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja. Saiz exomphalos bayi 4-5cm dan tiada sebarang masalah lain yang timbul setakat usia 35 minggu 3 hari ini.
Kami berbincang berkenaan dengan cara bersalin dan doktor memberi pilihan sama ada Ummi nak bersalin secara normal atau melalui pembedahan. Jika kami sekeluarga bercadang untuk mempunyai ahli keluarga yang ramai, doktor mencadangkan agar bersalin secara normal kerana keadaan exomphalos bayi agak "shallow" (tak terbonjol besar ke luar). Doktor pun susah nak klasifikasikan saiz exomphalos bayi, nak kata besar, tak berapa besar tapi tak juga kecil, hehehe. Sebabnya bayi mempunyai "wide abdomen defect" yang menyebabkan keadaan exomphalos tu tak berapa terbonjol ke luar tapi melebar ketepi. Lagi satu kalau boleh doktor tak mahu induce Ummi kerana menurutnya ada risiko (1 dalam 250) untuk bekas luka pembedahan Ummi yang lepas terbuka kembali walaupun ianya sudah hampir 3 tahun setengah. Kalau boleh doktor nak Ummi sakit bersalin secara natural. Tapi sekiranya bayi dah genap 40 minggu dan masih tak mahu keluar, pembedahan terpaksa juga dilakukan.
Doktor dah tempah tarikh pembedahan pada 29 Disember 2010 sekiranya bayi tak keluar lagi. Alhamdulillah, Ummi ada peluang untuk bersalin secara normal. Namun semuanya bergantung pada kehendak Allah. Kami redha sama ada ianya secara normal atau pun pembedahan. Tentunya perancangan Allah itu yang terbaik buat hambaNya. Doktor pakar pun mengakui yang beliau tiada "crystal ball" untuk melihat secara jelas apa yang berlaku dalam perut Ummi bagi menentukan apa yang terbaik buat Ummi dan bayi dengan keadaan exomphalos bayi setakat ini. Ya, sudah tentunya hanya Allah yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat. Boleh jer kalau doktor nak putuskan terus melalui pembedahan tetapi menurutnya ianya tidak adil bagi diri Ummi sekiranya Ummi boleh melahirkan secara normal, tambahan pula kami bercadang untuk menambah jumlah anak jika diizinkan Allah. .
Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak untuk menciptakan sesuatu, maka cukuplah Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia. [Al-baqarah: 117]
Sesungguhnya Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui.
Apapun, perbincangan lanjut bersama pakar bedah kanak-kanak berkenaan dengan cara bersalin ini akan diteruskan berdasarkan dengan gambar scan terkini hari ini. Sekiranya pakar bedah tersebut tetap menginginkan Ummi bersalin melalui pembedahan, maka Ummi terpaksa akur dan perlu dibedah ketika usia bayi 39 minggu. Temujanji seterusnya pada 10 Disember 2010, 9.30 pagi 2 hari sebelum Mak Abah sampai insyaAllah.
No comments:
Post a Comment