Tuesday, 21 December 2010

Kisah Ahmad Mujahid:)

Alhamdulillah, setelah 2 minggu di hospital akhirnya Ummi dan Ahmad Mujahid dibenarkan untuk pulang ke rumah pada 21 Disember 2010, jam 3.45 petang.


8 Disember 2010 - Rabu - berat Ahmad ketika lahir 2.44kg
  • Ahmad Mujahid dibawa terus ke bilik pembedahan pada 12:50 tengah hari untuk memasukkan kembali sebahagian kecil hati dan ususnya ke dalam perut yang mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih. Pembedahan dilakukan oleh Dr. Nia Fraser 
  • Lebih kurang jam 3:30 petang, Ahmad Mujahid dikembalikan ke inkubator di NICU dari bilik pembedahan
  • Ahmad Mujahid asyik menangis kesakitan selepas pembedahan dan terpaksa diberi ubat penahan sakit, "morphin".
  • Sepanjang di inkubator, Ahmad Mujahid hanya diberi IV fluid kerana masih belum boleh menerima susu dan alhamdulillah, beliau tidak perlukan bantuan pernafasan.
  • Segala proses pembedahan Ahmad Mujahid dari mula hingga akhir semuanya diuruskan oleh Doktor dan nurse yang menjaganya kerana ketika beliau dibawa ke bilik pembedahan, Ummi masih di "High Dependency Unit (HDU)", keadaan masih lemah dan perlukan 4 unit darah akibat dari kehilangan 2.5 liter darah ketika bersalin. Ahmad pergi dan balik sendirian ke bilik pembedahan tanpa kami disisinya. Ayah pula perlu menjaga kedua puteri kami ketika itu. Ummi tak sempat pun melihat rupabentuk exomphalos tersebut dan tiada gambar yang sempat dirakam. Hanya mendapat gambaran dari Doktor yang membedahnya dan Midwife yang menguruskan Ummi.
(a) Di dalam NICU sejurus lepas lahir (gambar atas); (b) Dah bersiap berbungkus sebelum masuk ke bilik pembedahan (gambar tengah) (c) Selepas pembedahan, tidur lena selepas diberikan morphin (gambar bawah)

9 Disember 2010 - Khamis
  • Ummi mula memerah susu pada jam 9 malam untuk diberikan kepada Ahmad Mujahid. Alhamdulillah, pihak hospital ada menyediakan pam susu elektrik lengkap dengan botol, label dan streliser. Pertama kali memerah hanya berjaya mendapatkan 9ml susu, alhamdulillah walaupun sedikit.
  • Ahmad Mujahid MULA diberikan susu yang diperah pada jam 11:30 malam melalui tiub sebanyak 1.5ml setiap 2 jam dalam jangka masa 12 jam. Doktor perlu mengawasi tahap penerimaan Ahmad terhadap susu tersebut 
10 Disember 2010 - Jumaat 
  • Setelah mendapat tahu Ahmad sudah mula diberikan susu (EBM), Ummi mula tingkatkan usaha untuk memerah susu sebanyak mungkin. Kali kedua perahan berjaya menghasilkan 45ml diikuti dengan 60ml dan 100ml bagi perahan yang ketiga dan keempat. Alhamdulillah rezeki Ahmad semakin bertambah.
  • Jumlah susu yang diberikan kepada Ahmad juga telah dinaikkan kepada 2.5ml setiap 2 jam bermula dari 11:30 pagi dalam jangka masa 12 jam
  • Kemudian selepas 12 jam, jumlah susu dinaikkan kepada 5ml pada 11:30 malam dan diberikan kepada Ahmad dalam tempoh masa 12 jam berikut.
semakin hari semakin bertambah susu yang diperah. Nurse siap buat lawak kata Ummi macam "Dairy Mum":D

11 Disember 2010 - Sabtu
  • Jumlah susu yang diberikan kepada Ahmad ditingkatkan kepada 7.5ml setiap 2 jam bagi tempoh masa 6 jam bermula dari jam 11:30 pagi 
  • Bagaimanapun selepas 6 jam, jumlah susu yang diberikan terpaksa dikurangkan kembali kepada 5ml kerana perut Ahmad masih tidak boleh menerima 7.5ml. Ahmad muntah sebanyak 3 kali apabila diberikan 7.5ml susu setiap 2 jam
  • Ummi mula belajar menukar nappy Ahmad dalam inkubator daripada Cherryl, nurse yang menjaganya ketika itu. Agak sukar bagi Ummi yang baru pertama kali kerana tak berapa pandai nak gayakan tangan dalam inkubator. Ummi juga kerap mendapat makluman yang Ahmad sangat suka menarik keluar tiub yang disambung terus keperutnya melalui hidung dan memaksa nurse untuk memasukkan tiub itu kembali kehidungnya. Sangat sayu melihat Ahmad ketika nurse ingin memasukkan tiub tersebut kehidungnya kerana perlu menjolok ke dalam sehingga tiub tersebut sampai ke perutnya.
Ummi belajar tukar lampin Ahmad dalam inkubator

12 Disember 2010 - Ahad 
  • Pagi ini bila Ummi melawat Ahmad, ternampak ada plaster coklat bertampal dipipi Ahmad bagi mengelakkan beliau menarik tiub keluar.
  • Jumlah susu yang diberikan masih sama, 5ml setiap 2 jam
Pipi dah berplaster untuk mengelakkan Ahmad tarik keluar tiub makanan tu

13 Disember 2010 - Isnin
  • Sekali lagi Ummi menukar nappy Ahmad dalam inkubator dan Ahmad berak 2 kali. Lepas Ummi dah salin nappy, dia berak sekali lagi, hehehe. Sajer bagi kerja lebih kat Ummi lah tu;)
14 Disember 2010 - Selasa
  • Ummi MULA belajar bagaimana nak berikan susu yang diperah melalui tiub. Kali ini nurse, Mercy yang ajar;) Mereka berharap agar ibu bapa sendiri dapat memberikan susu dan menukar nappy anak yang berada di NICU. Walaubagaimanapun jika kami tiada disitu, mereka akan melakukannya secara sukarela:D
  • Agak mencabar juga bagi Ummi yang masih berpantang untuk berulang-alik dari wad ke NICU setiap 2 jam untuk memberi Ahmad susu. Jarak antara wad Ummi ke NICU lebih kurang dalam 100 meter. Alhamdulillah Allah memudahkan urusan
Ummi memberikan susu yang diperah kepada Ahmad melalui tiub

15 Disember 2010 - Rabu - Berat Ahmad turun kepada 2.33kg
  • Ummi melawat Ahmad jam 9pagi dan sangat gembira melihat tiada lagi inkubator. Ahmad dah dipindahkan ke cot biasa tetapi masih di "HDU" di NICU.
  • Jumlah susu yang diberikan juga dah ditingkatkan kepada 10ml setiap 2 jam.
  • Hari ini Ummi berkesempatan berjumpa dengan doktor yang membedah Ahmad, Dr Nia Fraser ketika doktor melawat Ahmad pagi tu. 
  • Ummi sempat bertanyakan bagaimana keadaan exomphalos Ahmad sebelum dibedah kerana Ummi tak sempat melihatnya. Doktor menyatakan exomphalos Ahmad mengandungi lebih kurang 2cm hati dan selebihnya dipenuhi usus. Alhamdulillah, saiz exomphalos agak kecil (tak seperti yang dijangka ketika dalam kandungan) dan doktor mudah untuk memasukkannya kembali ke dalam perutnya.
  • Pada jam 11:30pagi, jumlah susu Ahmad dinaikkan kepada 15ml untuk tempoh 8 jam. Kemudian dinaikkan kepada 20ml pada 9:30malam. Walaupun susu yang diberikan 20ml setiap 2 jam, Ahmad masih perlukan bantuan protein dan fat untuk pembesaran Ahmad.
  • Ahmad perlukan susu sepenuhnya sebanyak 33ml setiap 2 jam untuk berhentikan bantuan protein dan fat yang diberikan. (Full feed = (2.44kg x 165ml/kg) / 12 times = 33ml)
Ahmad Mujahid dalam baby cot. Tiada lagi inkubator, alhamdulillah:)

16 Disember 2010 - Khamis 
  • Alhamdulillah, hari ini Ahmad mula minum susu sepenuhnya 33ml setiap 2 jam. Pagi ini, 9:45 pagi Ummi berikan susu kepada Ahmad melalui cawan. Walaupun mengambil masa dekat setengah jam, Ahmad berjaya menghabiskan secawan susu;)
  • Jam 12.50 tengah hari, Alhamdulillah "long line" yang disambung ke tangan Ahmad bagi menyalurkan  fat & protein ke dalam badan Ahmad selamat ditanggalkan. Ahmad dipindahkan dari "High Dependencies Unit" ke "Low Dependencies Unit" pada jam 1 petang. 
  • Rasa gembira sangat bila Ahmad dah dipindahkan wad dari HDU ke LDU kerana baru bersembang dengan nurse sehari sebelumnya berdasarkan pengalaman beliau, kes macam Ahmad ini kadang ambil masa yang agak lama untuk sembuh, sekurang-kurangnya sebulan dihospital.
tiada lagi "long line" ditangan kerana Ahmad dah bergantung sepenuhnya dengan susu Ummi

17 Disember 2010 - Jumaat
  • Ummi tukar nappy Ahmad. Kali ini Ahmad kencingkan Ummi. Hehehe pengalaman pertama dengan anak lelaki;) Lepas ni lebih berhati-hati ketika ingin menukar nappy nya:D
  • Ahmad mula diberikan susu 50ml setiap 3 jam untuk menggalakkannya breastfeed. Agak sukar untuk breastfeed Ahmad sebab Ahmad asyik tidur. Mungkin disebabkan keadaannya yang masih kurang sihat dan jaundices. 
  • Ummi mula memberikan Ahmad susu melaui botol selain daripada tiub. Ini atas nasihat nurse kerana jika Ahmad dapat minum melalui botol, cepat sikit Ahmad boleh keluar dari wad di NICU. Kalau boleh nak breastfeed Ahmad tapi nengok reaksinya yang asyik tidur agak sukar untuk breastfeed. Alhamdulillah Ahmad berjaya menghabiskan sebotol 50ml susu dalam tempoh setengah jam :D
18 Disember 2010 - Sabtu
  • Ahmad berjaya minum 50ml susu melalui botol
  • Alhamdulillah, jam 6:30 petang, Ahmad dan Ummi dipindahkan ke wad C29.
19 Disember 2010 - Ahad
  • Jam 9:30 pagi, Baby's Doctor periksa hip joint, eyes, neonatal reaction, spine, wound etc. Alhamdulillah semua normal.
  • Jam 10:15 pagi, baby's surgeon pula datang periksa luka pembedahan dan luka diperutnya semakin kering dan jahitannya semakin pulih.
  • Jam 10:30 pagi, Pendengaran Ahmad diperiksa. Kali ini baby's hearing test ke atas Ahmad perlu dijalankan 2 kali kerana Ahmad tinggal di NICU lebih dari 48 jam. Alhamdulillah kedua-dua results PASS. Walaubagaimanapun selepas 8 bulan, Ahmad perlu menjalani pemeriksaan telinga kembali kerana Ahmad mengambil antibiotik selepas lahir disebabkan pembedahan yang dijalaninya.
  • Jam 8.30 malam, Ahmad berjaya menghabiskan sebotol 50ml susu dalam masa 10 minit. Ahmad dan Ummi tarik keluar tiub dihidungnya! :D 
20 Disember 2010 - Isnin
  • Ahmad dah mula boleh breastfeed dan pandai guna botol dengan jayanya. Kalau sebelum ambil masa lebih kuang setengah jam nak habiskan sebotol, tapi kali ini 10-15 minit dah boleh habiskan semuanya. Kencing berak semua ok, alhamdulillah. 
  • Petangtu ada surgeon datang and cakap mungkin boleh discharge esok sebab Ahmad healing very well. 
21 Disember 2010 - Selasa - Beratnya naik kepada 2.45kg
di wad C29 sebelum balik rumah
  • Alhamdulillah, hari ini cukup 15 hari Ummi dihospital dan Ahmad genap 14 hari usianya. Dalam jam 3.15 petang kami dah boleh pulang ke rumah. Sebelum balik, perlu ambil sampel air kencing dan darah Ahmad untuk periksa Jaundices nya. Nasib baik senang nak ambil air kencing Ahmad, buka-buka nappy jer kebetulan dia pun kencing. Ummi pun tadah je lah guna botol yang disediakan:) Good boy Ahmad!
  • 4.30 petang sampai rumah, leganya rasa bila dah sampai rumah. Teratur sikitlah pantang Ummi. Kalau tak rasa macam tak berpantang sebab berjalan ke hulu ke hilir macam orang tak bersalin:) Home sweet home!

Sunday, 12 December 2010

Nikmat kehidupan

Alhamdulillah, Allah masih kurniakan nikmat kehidupan untuk diri ini merasainya lagi. Masih terbayang saat untuk melahirkan Ahmad Mujahid ke muka bumi Allah ini. Ketika itu terbayang mungkin Allah makbulkan permintaan Ana diawal kandungan ketika diberitahu oleh doktor tentang masalah yang menimpa kandungan ketika itu agar diri dapat menggantikan tempatnya bagi mengurangkan beban kesakitan yang bakal dilaluinya. Tidak sanggup rasanya untuk membiarkan anak dalam kandungan ini menghadapi segalanya seorang diri, perlu dibedah sejurus selepas kelahirannya. Ditambah lagi setelah lihat video-video di youtube yang berkaitan dengan masalah anakku itu. http://www.youtube.com/watch?v=0C7QAWCan6c . EXOMPHALOS @ OMPHALOCELE. Ketika itu pun Doktor menyatakan kandunganku mempunyai moderate to large exomphalos size yang menyebabkan pembedahannya lebih rumit berbanding small exomphalos. Diri ini terbayang mampukah tubuh kecil itu menanggungnya. Namun, doa itu tidak lama setelah encik suami berpesan supaya berbaik sangka pada Allah dan jangan terlalu pentingkan diri sendiri dengan hanya menginginkan yang baik-baik sahaja buat diri dan keluarga. Mungkin ini yang terbaik buat kita walaupun merasakan masalah itu agak berat, tapi itu mungkin adalah yang terbaik dari Allah. Lalu, doaku pohon agar Allah memudahkan segala urusan kami dan berilah yang terbaik buat diri dan keluarga. Sejak itu, diri ini pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Tiada lagi air mata bila berbicara tentang masalah yang menimpa kandungan dan diri seakan kuat dan dapat menerima segalanya. Alangkah indahnya jika semuanya kita kembalikan pada Allah. Tak dinafikan pada awalnya diri ini asyik berendamkan air mata mengenangkan nasib anak yang dikandung. Alhamdulillah ianya tidak berlarutan, akhirnya Ana berjaya menerima hakikat sebenar.


Kali ini sekali lagi Ana ditakdirkan untuk melahirkan anak secara pembedahan, emergency ceasearian bagi menyelamatkannya. Air ketuban sudah mula keluar sejak dari pagi 7 Disember 2010 dan kami ke hospital (Antenatal Triage), pada jam 11 pagi. Midwife dan Doktor melakukan pemeriksaan dan  terus ditahan diwad B26, Green bay. Walaupun air ketuban sudah keluar, namun masih tiada rasa sakit lagi. Sekiranya masih tak merasa sakit, Doktor terpaksa melakukan pembedahan keesokan paginya. Suami dan anak-anak tercinta setia menunggu Umminya diwad sehingga habis waktu melawat, jam 9 malam. Riuh rendah dibuatnya wad dengan suara Insyirah dan Nuha, nasib baik ada bilik untuk keluarga beristirehat :)


Walaubagaimanapun, lebih kurang jam 10 malam, tiba-tiba badan menggigil kesejukan, badan rasa seram sejuk. Langsung tak boleh nak bangun dari katil. Suhu badan dan tekanan darah naik mendadak. Denyutan jantung bayi dalam kandungan pula semakin lemah. Lalu, diriku ditolak ke bilik bersalin. Tak lama kemudian mereka memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan yang semakin lemah. Mereka menyuruhku untuk menelefon suami menyatakan yang diri akan dibedah. Di UK, suami dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin sama ada bersalin secara normal ataupun melalui pembedahan. Bagaimanapun Allah tidak mengizinkan suamiku untuk bersama-sama berada di dalam bilik pembedahan kerana anak-anak sudah tidur di rumah dan tidak sampai hati nak mengejutkan mereka. Ana terbesalin 3 minggu awal daripada jangkaan sepatutnya yang jatuh pada hari boxing day, 26 Disember 2010.


Lebih kurang jam 1 pagi, 8 Disember 2010, Ana masuk ke bilik pembedahan. Kali ini Ana masih mampu berjalan ke bilik pembedahan sebab masih tiada rasa "contraction" berbeza ketika melahirkan Insyirah dahulu. Walaupun tiada suami disisi, ramai Midwife dan doktor yang menemaniku dan memberikan sokongan. Seronok melihat semua tenaga kerja dalam bilik pembedahan terdiri daripada golongan Hawa. Midwife siap menawarkan diri untuk mengambil gambarku dan bayi. Anasthetic menyuntik ubat bius di tulang belakang bagi membius separuh badan, dari perut ke hujung kaki. Setelah semua persiapan pembedahan selesai dan badanku telah ditutup sepenuhnya (kecuali bahagian perut yang ingin dibedah), barulah dua orang doktor masuk ke bilik pembedahan, doktor lelaki dan perempuan. Kemudian doktor dan nurse dari Neonatal Intensive Care Unit (NICU) juga masuk untuk menyambut kelahiran bayi.


Doktor tak mempunyai masalah untuk mengeluarkan bayi dan uri. Ahmad Mujahid berjaya dikeluarkan tepat jam 1:25 pagi dan diikuti dengan uri tidak lama setelah pembedahan dijalankan. Namun doktor mempunyai masalah untuk memberhentikan pendarahan yang berlaku disebabkan oleh rahimku yang tidak mengecut setelah bayi dan uri dikeluarkan. Bermulalah detik-detik yang mencemaskan bila mana Ana sudah mula terasa sakit dengan apa yang doktor lakukan ke atas perutku. Badan siap terangkat-angkat menahan kesakitan. Dada pula terasa sempit dan sukar untuk bernafas. Akhirnya Ana diberikan bantuan pernafasan dan doktor meminta persetujuanku untuk memberikan bius sepenuhnya (general anasthetic) kepadaku. Mulanya Ana menolak dan cuba untuk bertahan kerana risau takut-takut tak bangun balik jika dibius penuh (gara-gara banyak nengok tv la ni;). Namun akhirnya diri ini pasrah dan redha akan segala-galanya. Siap mengucap bagai sebab memang terasa diri tak boleh nak bertahan dan ditambah dengan sesak dada tak boleh bernafas. Terbayang-bayang wajah suami, anak-anak dengan mak abah dan sekiranya Allah menjemputku kembali, apalah nasib ku di SANA. Sebelum ditidurkan doktor juga meminta izinku untuk membuang rahimku sekiranya mereka tidak dapat memberhentikan pendarahanku. Aku mengizinkannya jika itu yang terbaik buat diriku.


Lebih kurang jam 3.30 pagi, diri dah mula sedar tapi masih mamai-mamai (menurut suamiku siap cakap omputih dengan dia lagi, seyes memang tak ingat langsung masa ni :D). Kali ini Ana dah dipindahkan ke High Dependency Unit dan suami dah ada kat sebelah. Terima kasih banyak pada Lee dan Eija yang sanggup datang tidur di rumah menemani Insyirah dan Nuha. Sebanyak 4 beg darah dimasukkan ke dalam badan bagi menggantikan 2.5liter darah yang hilang semasa pembedahan. Sedar-sedar, soalan pertama yang terpacul keluar bertanyakan tentang rahimku sama ada masih ada atau tidak. Alhamdulillah, dengan izin Allah rahimku masih ada. Doktor berjaya memberhentikan pendarahan dengan cara mengikat/menjahit rahimku bagi mengecutkannya ke keadaan asal. Dalam ayat perubatan dipanggil "compression suture". Sepanjang di HDU, Ana terpaksa mengambil morphin dan ubat penahan sakit lain bagi mengurangkan sakit "contraction". Masa ni terasa macam belum bersalin pula, sebab baru rasa "contraction" dan perut pun masih buncit ditambah tiada bayi di sebelah katil seperti kebiasaan.


Sepanjang pagi tu doktor, consultant, midwife kerap datang memeriksa rahimku sama ada mengecut atau tidak. Rasa sakit sangat bila mereka menekan-nekan perutku untuk memastikan tiada lagi pendarahan di dalam rahim. Oh ye, selain dari catherer (beg air kencing) yang disambung, drain (beg darah) juga disambung bagi menempatkan lebihan darah yang keluar dari rahim. Asyik berharap cepatlah kedua-dua beg ini dibuka sebab tak sabar nak turun dari katil dan ziarah Ahmad Mujahid di NICU. Seharian duduk di HDU dengan dijaga oleh seorang midwife sepenuh masa mengikut shif kerja. Terima kasih pada semua midwife yang sangat baik dan sabar menjagaku.


Esoknya, Khamis 9 Disember 2010, alhamdulillah lepas pemeriksaan doktor pagi tu, mereka menyuruh membuka kedua-dua beg (catherer and drain). Seronok sangat, terus bangun daripada katil dan menuju ke bilik air untuk mandi. Kemudian bersiap-siap dan petang tu juga dibenarkan keluar dari HDU dan dipindahkan ke ward B26, green bay. Dalam perjalanan ke wad B26, singgah sebentar di NICU melawat Ahmad Mujahid di NICU. Malam tu midwife suruh duduk green bay, wad yang berhadapan dengan reception dan menempatkan 4 orang pesakit. Midwife kata esok boleh dapat bilik sendiri. Tak minta pun untuk diberikan bilik sendiri dan dah rasa bersyukur sangat dengan apa yang diberikan. Malam tu juga lebih kurang jam 9 malam, midwife memberikan pam susu elektrik, streliser dan botol susu untuk menggalakkan Ana memerah susu. Pertama kali perahan hanya berjaya mendapatkan 9ml susu. Namun susu semakin bertambah dengan banyaknya setiap kali perahan. Setiap 3 jam boleh dapat hingga 180ml dan kadang lebih dari itu. Alhamdulillah rezeki Ahmad.






Esok, Jumaat 10 Disember 2010, pagi-pagi (7.30pagi) lagi dah disuruh berkemas untuk tukar wad. Kali ini Ana dipindahkan ke bilik Side Room 12 di hujung koridor, bilik seorang yang dilengkapi dengan bilik air, tv dan sinki di tepi katil. Pagi ini juga, Ana diberikan stokin ketat untuk mengelakkan blood clot. Bilik ini agak besar dan masa malam pertama duduk bilik tu agak menyeramkan sebab besar sangat, hehehe. Lama-lama ok dah. Alhamdulillah kerana dipindahkan ke bilik ini kerana senang sikit Nuha dan Insyirah nak bermain-main, lepak-lepak. Petang tu Ummi terpaksa menjaga Nuha dibilik kerana En suami nak berjumpa dengan supervisornya sekejap untuk mengambil balik pembetulan conference paper. Tak sangka boleh terbesalin awal sebab masa ini En suami sangat sibuk dengan kerja-kerja PhD nya. Deadline paper yang perlu dihantar untuk conference tu pada 15 Disember 2010. Hari ini Ana berasa sihat daripada hari sebelumnya dan sangat bertenaga ulang-alik dari wad ke NICU untuk melawat Ahmad Mujahid.


11 Disember 2010,  Sabtu, Hari ini kesihatan agak kurang memuaskan berbanding hari sebelumnya. Suhu badan tetiba naik dan Ana tak boleh turun dari katil pagi tu sebab sangat takde kudrat. Alhamdulillah ada staff yang masuk ke bilik untuk menggantikan jug air masak dan Ana memintanya mencapaikan buzzer dikepala katil untuk Ana memanggil midwife. Midwife datang dan memberikan paracetamol dan periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah selepas makan paracetamol baru boleh gagahkan diri untuk bangun dari katil untuk ambil sarapan pagi. Hari ini Ana hanya berehat dalam bilik sahaja sebab terasa diri seakan nak bentan pula. Mungkin sebab hari sebelumnya Ana sangat aktif berjalan ke hulu ke hilir macam tak bersalin :D  


12 Disember 2010, Ahad - Kesihatanku semakin pulih walaupun kadang-kadang terasa pening-pening. En suami dan rakannya pergi ke lapangan terbang Stansted, London untuk mengambil Mak dan Abah yang baru sampai dari Malaysia. Alhamdulillah perjalanan mereka ke sini lancar. Mereka sampai ke Nottingham dalam jam 12 tengah malam. Rutin harian seperti biasa, midwife periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung setiap 8 jam, perah susu setiap 3 jam (tapi bila malam kadang terlajak tidur lepas 6, 7 jam baru perah susu:D) perah lambat sikit dari 3 jam tu yang dapat berbotol-botol sekali perah, sampai 8 botol :D. Sepanjang waktu melawat akan ditemani dengan anak-anak dan suami sehingga habis waktu melawat jam 9 malam, cuma hari ini mereka balik awal 3.30 petang sebab En suami nak ke lapangan terbang. Anak-anak dihantar ke rumah rakan. Bab makan pula, sepanjang duduk dihospital, alhamdulillah ada rakan-rakan yang bergilir-gilir memasak untuk meringankan beban kami sekeluarga. Bantuan rakan-rakan SANGAT membantu memudahkan kerja-kerja suami semasa Ana di hospital. Semoga Allah memurahkan REZEKI rakan-rakan semua. Hanya doa daripada Ana sekeluarga yang mampu Ana berikan buat masa sekarang. 


13 Disember 2010, Isnin hari ke-6 berpantang, staples diperut Ana dibuka oleh ketua midwife. Sepatutnya staples ini dibuka pada hari ke-5 selepas bersalin tapi Ana terlambat sehari. Patutlah rasa tak selesa jer kat perut ni bila nak bergerak-gerak. Rasa pedih kat perut bila bergerak sebab stapler tu berlaga-laga dengan kulit perut. Nak batuk, ketawa dan berjalan pun seksa. Kena pegang perut tu betul-betul kalau nak batuk ke ketawa. Malah berjalan pun terpaksa pegang perut betul-betul. Bila stapler tu dah dibuka, rasa selesa sangat. Hilang dah rasa sakit nak batuk, ketawa atau berjalan. Alhamdulillah. Hari ini mendapat tetamu yang amat istimewa :D Mak dan Abah datang melawatku di hospital. Gembira tak terkira. Alhamdulillah, selepas kedatangan Mak Abah ni, mudah sikit urusan En Suami. Tak payahlah nak membawa Insyirah dan Nuha ke sana ke mari.


14 Disember 2010, Selasa, Ana dah di discharge dari pemerhatian doktor sebab kesihatan dah semakin pulih. Doktor tak perlu datang setiap pagi untuk memeriksa keadaanku. Sekali lagi ditukar bilik ke Room 4, bahagian kediaman ibubapa yang menunggu anak di NICU. Bilik ini kecil sedikit berbanding bilik sebelumnya yang sangat luas namun dilengkapi dengan almari baju, bilik air, tv dan sinki. Ubat tahan sakit pun diberikan sepapan-sepapan dan makan bila perlu. Tak perlu midwife datang setiap 4 jam untuk memberikan ubat tahan sakit sebab Ana tak berada di bilik sepenuh masa, masa banyak dihabiskan di NICU. Namun, midwife masih datang ke bilik setiap 8 jam bagi memeriksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah sepanjang berada dihospital, mereka menjagaku sepenuhnya.


15 - 18 Disember 2010 - Masih duduk di wad B26, room 4 dan rutin seperti biasa. Lebih kurang jam 1 tengah hari, nurse memberitahu yang Ahmad Mujahid akan dipindahkan dari NICU ke wad C29. Ana terlompat dari katil bila mendengar khabar yang amat menggembirakan. Alhamdulillah jam 6 petang 18 Disember tu, Ana juga dipindahkan ke wad C29 untuk bersama-sama dengan Ahmad Mujahid.


21 Disember 2010 - Selepas 4 hari tinggal di wad C29 (bersamaan dengan 15 hari dihospital), akhirnya kami dibenarkan pulang pada petang itu. Alhamdulillah. Bawah ini laporan daripada pihak hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Wednesday, 8 December 2010

Anugerah terindah

Syukur kehadrat Ilahi, akhirnya Ahmad Mujahid selamat dilahirkan pada 08 Disember 2010, Rabu jam 01:25 pagi bersamaan dengan 02 Muharam 1432H ketika kandungan Ummi berusia 37 minggu. EDD sepatutnya 26 Disember 2010 :) Kelahiran kali ini melalui pembedahan kerana air ketuban Ummi dah mula keluar dari pagi Selasa tetapi masih tiada rasa sakit. Ummi ditahan di wad QMC hospital pada 7 Disember 2010, 11 pagi menunggu saat untuk bersalin. Jika masih tiada rasa sakit, Ummi perlu dibedah pada keesokan paginya. Namun, lebih kurang jam 10 malam suhu badan Ummi naik tiba-tiba (37.9 darjah celcius) dan tekanan darah juga naik. Ummi ditolak terus masuk ke bilik bersalin lebih kurang jam 11 malam dan Midwife memeriksa denyutan jantung bayi dalam kandungan. Denyutan jantung bayi sedikit rendah dan kurang pergerakan. Doktor memutuskan perlu dibedah segera untuk menyelamatkan bayi kerana ditakuti terkena jangkitan. Lebih kurang jam 1 pagi, Ummi ditolak ke bilik pembedahan dan tepat jam 1.25 pagi, lahirlah Ahmad Mujahid bin Abdullah Aziz seberat 2.44kg.





New Baby Announcements
Birth Announcements by WiddlyTinks.com


AHMAD MUJAHID
Ahmad : Yang terpuji, sempena nama nabi Muhammad SAW, moga anakanda kami mengikut contoh sunnah baginda dalam kehidupan mendatang.

Mujahid : Pejuang/orang yang berusaha bersungguh-sungguh, mudah-mudahan nama ini menjadikan "Ahmad" orang yang kuat dalam kehidupan... Amiinn



Semoga Ahmad Mujahid menjadi anak yang soleh, sihat cergas seperti kanak-kanak lain dan menjadi seorang yang "imamun lil muttaqin", insyaAllah.

Friday, 3 December 2010

Snow 2010

Jumaat 9.30 pagi, 3 Disember 2010, suhu mencecah sampai -7 darjah celcius di Nottingham. Di bawah takat beku ni, sangat sejuk! Tadi Ayah pergi hantar Insyirah ke sekolah sebab dah 2 hari tak pergi sekolah akibat dari snow yang lebat dan Insyirah kurang sihat. Lupa pula nak cek online sama ada sekolah buka atau tutup. Sampai-sampai di sekolah, senyap sunyi jer sekolah dan ada orang jaga depan pintu pagar menyatakan sekolah tutup hari ni. Hehehe. Patah balik rumah semula, nasib baik sekolah dekat jer :D. Kemudian Ayah bersiap-siap nak pergi Universiti pula. Tunggu-tunggu bas, takde pun bas lalu seperti kebiasaannya. Akhirnya Ayah ambil kunci kereta, pergi naik kereta jer :)

Musim sejuk kali ini, snow turun agak awal di Nottingham bermula dari pagi Sabtu, 27 Nov 2010 yang lepas. Bangun-bangun pagi nengok kat luar rumah dah dipenuhi salji tapi tak berapa tebal. Insyirah seronok sangat dan nak keluar main snow di subuh hari. Ummi malas nak keluar. Ayah bawa Nuha dan Insyirah ke luar rumah ambil gambar sementara Ummi duduk dalam rumah jer :D 

Insyirah dan Nuha bersama Ayah (photographer) di luar rumah, 7 pagi :D

Insyirah masih tak puas bermain snow di luar, diajaknya Ayah lagi. Kali ini (lebih kurang 8 pagi) hanya Insyirah dan Ayah jer berposing kat luar rumah (Ayah siap bawa tripod tu:D), hehehe. Nuha dan Ummi duduk dalam rumah jer :D

29 dan 30 Nov 2010, Insyirah ke sekolah seperti biasa. Selalu Ayah yang hantar, tapi 30 Nov tu hari Selasa seperti kebiasaan Ayah ada temujanji dengan supervisor setiap 10pg. Maka Ummi terpaksa hantar Insyirah ke sekolah pagi tu sebab Insyirah berkeras nak ke sekolah juga (suka lah tu sebab snow tengah turun lebat). Keesokannya bila Ayah nak hantar ke sekolah, Insyirah taknak pergi pula sebab memang masa tu dia tak berapa sihat pun. Tapi Ummi tahu, dia nak tuntut janji dengan Ayah dia lah tu nak bawa dia gi main snow. Kalau Ayah takde nak jer pergi sekolah sebab tahu Umminya memang malas nak melayan, hehehe:D

Ni masa nak keluar rumah amik Insyirah balik sekolah. Snow turun dengan lebatnya. 

01 Disember 2010, Rabu, Insyirah tak pergi sekolah dan kebetulan Uncle Lee mesej ajak gi Wollaton Park main snow. Masa tu Ummi tengah goreng karipap sardin. Terus siap-siapkan bekal dengan air panas nak gi main snow, hehehe. Insyirah mula-mula seronok sangat tapi bila sampai Wollaton Park jer, dia menangis kesejukan. Terpaksa balik rumah semula tambah ketebalan baju dan tukar kasut yang lebih sesuai. Sanggup tu patah balik rumah semula, hehehe. Yelah kan dah alang-alang Ayah dah tak pergi Universiti haritu sebab petang tu Ummi ada temujanji dengan Midwife. Alhamdulillah, lepas patah balik semula tu, Insyirah seronok sangat main snow.

Ni bergambar sesampai di Wollaton Park. Insyirah menangis-nangis pula minta didukung sebab tak tahan kesejukan. Sebelum tu, dia yang seronok nak gi main snow. Nuha rileks jer atas stroller tu. Lepas ni kitorang balik rumah semula tambah ketebalan baju :D

Gambar ni selepas di tambah ketebalan baju dan tukar kasut, baru lah seronok tak kira si Insyirah. Masa ni Nuha sedang tidur lena dalam stroller.


Insyirah seronok sangat berbanding mula-mula sampai tadi. Nuha pula tengah tidur lena dalam stroller :)

Nuha selepas bangun dari tidur :D

Bukan setakat Insyirah jer yang seronok main, Umminya pun sama, huhuhu. Ummi Insyirah bermain sledge ketika kandungan berusia 36 minggu. Permainan ini sangat tidak digalakkan untuk ibu-ibu yang tengah mengandung yer. Tapi memandangkan ini musim sejuk terakhir kami di sini (insyaAllah)...redah jerlaa :D

Alhamdulillah, Allah bagi nikmat sekali lagi merasai salji di bumi Nottingham ini. Bukannya senang nak turun salji di tempat kami ini walaupun suhu sejuk bukan main. Alang-alang dah sejuk tu kan, baik turun salji sekali. Apa pun segalanya atas kehendak Allah. Seronok bila salji turun tapi bila berterusan naik risau dibuatnya sebab sistem pengangkutan terjejas, sekolah terpaksa ditutup, keadaan jalan licin dll. Harap-harap janganlah lapangan terbang ditutup minggu depan sebab Mak dan Abah nak sampai minggu depan. Semoga Allah permudahkan perjalanan mereka ke UK minggu depan.

Dan kami juga berharap agar musim sejuk ini yang terakhir bagi kami di UK. Doakan kami agar dapat menamatkan perjuangan kami di sini dengan jayanya dan kembali ke tanah air tercinta. Daripada bertiga (Insyirah baru berusia 3 bulan ketika itu) masa mula-mula sampai di sini, September 2007 dan kini bakal berlima insyaAllah. Terasa pantasnya masa berlalu. Sudah tiba masanya untuk kami pulang berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara:) Semoga Allah permudahkan urusan kami di sini.

Friday, 26 November 2010

Selamat kembali

Alhamdulillah, hari ini Jumaat 26 November 2010, Abah dan Mak selamat sampai ke Lapangan terbang Senai, Johor lebih kurang jam 11 pagi tadi. Tadi sempat menelefon Abah dan Mak yang telah sampai ke rumah. Lega rasa mendengar suara mereka berdua dicorong telefon. Alhamdulillah, keduanya sihat, cuma batuk dan selsema sikit. Seronok mendengar cerita-cerita Mak dan Abah ketika menunaikan haji dan semoga ibadat hajinya diterima oleh Allah. Terima kasih juga di atas doa yang dipanjatkan ke atas kesejahteraan kami sekeluarga ketika di sana. Semoga Abah dan Mak cepat sihat daripada batuk-batuk dan selesema. InsyaAllah bolehlah kita berjumpa 2 minggu lagi. 
Rindu semua.

Thursday, 25 November 2010

Khas buat Acu

Lama dah Ummi tak update keletah puteri berdua Insyirah dan Nuha, asyik-asyik update pasal bakal adik baru jer kan. Banyak benarnya yang nak diupdate kan tapi tak berkesempatan, hehehe. Video Nuha pun lama dah tak ambil dan tak sebanyak masa Insyirah dulu. Maafkan Ummi ya Nuha. Almaklumlah sibuk melayan mereka berdua. Ni pun baru baik dari cirit birit, muntah-muntah, sakit gigi dan sengal-sengal badan. Kesian kat Ayah, dahlah sibuk nak kejar deadline siapkan paper, Ummi pula asyik tak sihat. Semoga Allah mempermudahkan urusan penulisan Ayah dan diberikan idea yang bernas. Ni dok menghadap blog sebab Ayah suruh rehat dan jangan buat kerja berat-berat dulu, bagi sihat betul-betul. Kalau ikutkan hati nak kemas kotak-kotak kat atas tu. Sabarlah dulu.

Berbalik pada Insyirah dan Nuha, kadang rasa diri dah cukup adil melayan mereka berdua, tapi pernah juga terkeluar dari mulut Insyirah pada suatu hari "It's unfair Ummi!" Bila si Ummi asyik menyebelahi Nuha dengan menyuruh si kakak mengalah sebab dah besar. Ye lah kan si adik kecil lagi dan tahunya nak menangis jer bila nak kan sesuatu. Peningla kepala Ummi bila asyik menangis jer. Walaubagaimanapun terima kasih Insyirah sebab mengingatkan Ummi untuk berlaku adil kepada kamu berdua. Tidak sepatutnya alasan masih kecil untuk adik bermaharajalela untuk mendapatkan semua yang dikehendaki. Sejak kecil lagi, Nuha perlu diajar berkongsi  dan hormat hak orang lain. Contohnya, janganlah bila si kakak dah penat siapkan menara (lego)  tinggi-tinggi, datang si adik sedap jer robohkan dengan sekelip mata. Mahu tak meradang si kakak. Insyirah pun kena pandai berkongsi dan saling tolak ansur dengan adik ye sayang. Alhamdulillah sekarang dah boleh bermain bersama walaupun kadang-kadang bergaduh juga bila masing-masing mood tak stabil, hahaha. 

Bila nengok TV pula, Insyirah dah tak layan cerita-cerita masa usianya sebesar Nuha macam In the Night Garden, Teletubbies, Dora the explorer dll. Lebih suka kepada kartun yang macam Ben & Holly little kingdom, barbie, little bear dll. Makanya bila tukar rancangan kegemaran Insyirah, si Nuha kata no, no bila tidak menepati citarasanya dan disuruhnya tukar rancangan lain begitu juga sebaliknya. Baru berdua dah macam-macam ragam.  

Insyirah sekarang dah nak masuk 3 tahun setengah dan Nuha pula setahun 7 bulan. Tak lama lagi bakal mempunyai adik baru insyaAllah. Insyirah sekarang dah semakin tinggi (tapi saiz badan sama jer) dan semakin suka berkawan. Nuha pula dah banyak perkataan yang dikuasai hasil tunjuk ajar si kakak. Ya buat masa sekarang ni, Insyirahlah tok gurunya. Lagi cepat ikut bila si Insyirah yang ajar berbanding Umminya sebab Nuha suka meniru. Gigi Nuha semakin banyak (tak tahu dah berapa) tapi agak bersimpang siur, hehehe. Tak tahu kenapa dia naik berkembar-kembar. Pelik sikitla, nak pergi tanya doktor gigi tak tertanya-tanya pula. Takpelah sayang, yang penting Nuha membesar sihat, cerdik dan cerdas.

Ok Acu, ni video permintaan Acu. Layan! ;) Video Insyirah nantilah ek. Lambatlah bila upload video ni. Video ni ambil masa musim raya aidilfitri yang lepas, Nuha baru setahun 4 bulan dan masa ambil video ni Insyirah pergi sekolah. 


Masa ini, perkataan Ummi tak pandai sebut lagi. Baru jer boleh sebut Ummi masa 20102010 hari tu.

Wednesday, 24 November 2010

Ultrasound sessi ke 7

Jam 9.30 pagi tadi, 24 Nov 2010 sekali lagi Ummi di scan dan hasilnya tak banyak beza seperti 2 minggu lepas. Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja. Saiz exomphalos bayi 4-5cm dan tiada sebarang masalah lain yang timbul setakat usia 35 minggu 3 hari ini.

Kami berbincang berkenaan dengan cara bersalin dan doktor memberi pilihan sama ada Ummi nak bersalin secara normal atau melalui pembedahan. Jika kami sekeluarga bercadang untuk mempunyai ahli keluarga yang ramai, doktor mencadangkan agar bersalin secara normal kerana keadaan exomphalos bayi agak "shallow" (tak terbonjol besar ke luar). Doktor pun susah nak klasifikasikan saiz exomphalos bayi, nak kata besar, tak berapa besar tapi tak juga kecil, hehehe. Sebabnya bayi mempunyai "wide abdomen defect" yang menyebabkan keadaan exomphalos tu tak berapa terbonjol ke luar tapi melebar ketepi. Lagi satu kalau boleh doktor tak mahu induce Ummi kerana menurutnya ada risiko (1 dalam 250) untuk bekas luka pembedahan Ummi yang lepas terbuka kembali walaupun ianya sudah hampir 3 tahun setengah. Kalau boleh doktor nak Ummi sakit bersalin secara natural. Tapi sekiranya bayi dah genap 40 minggu dan masih tak mahu keluar, pembedahan terpaksa juga dilakukan. 

Doktor dah tempah tarikh pembedahan pada 29 Disember 2010 sekiranya bayi tak keluar lagi. Alhamdulillah, Ummi ada peluang untuk bersalin secara normal. Namun semuanya bergantung pada kehendak Allah. Kami redha sama ada ianya secara normal atau pun pembedahan. Tentunya perancangan Allah itu yang terbaik buat hambaNya. Doktor pakar pun mengakui yang beliau tiada "crystal ball" untuk melihat secara jelas apa yang berlaku dalam perut Ummi bagi menentukan apa yang terbaik buat Ummi dan bayi dengan keadaan exomphalos bayi setakat ini. Ya, sudah tentunya hanya Allah yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat. Boleh jer kalau doktor nak putuskan terus melalui pembedahan tetapi menurutnya ianya tidak adil bagi diri Ummi sekiranya Ummi boleh melahirkan secara normal, tambahan pula kami bercadang untuk menambah jumlah anak jika diizinkan Allah. . 

Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak untuk menciptakan sesuatu, maka cukuplah Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia. [Al-baqarah: 117]
Sesungguhnya Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui.

Apapun, perbincangan lanjut bersama pakar bedah kanak-kanak berkenaan dengan cara bersalin ini akan diteruskan berdasarkan dengan gambar scan terkini hari ini. Sekiranya pakar bedah tersebut tetap menginginkan Ummi bersalin melalui pembedahan, maka Ummi terpaksa akur dan perlu dibedah ketika usia bayi 39 minggu. Temujanji seterusnya pada 10 Disember 2010, 9.30 pagi 2 hari sebelum Mak Abah sampai insyaAllah. 

Tuesday, 16 November 2010

Selamat Hari Lahir

Kali ini hari ulangtahun kelahiran Ayah Insyirah dan Nuha yang ke-29 jatuh pada hari raya haji di UK. 10 Zulhijjah 1431H jatuh pada tanggal kelahirannya, 16 November 2010 (Di Malaysia Aidiladha jatuh pada 17 November 2010). Selamat Hari Lahir Ayah, semoga Allah menganugerahkan kesihatan yang baik dan mempermudahkan urusan pengajian PhD Ayah, juga berbahagia dunia & akhirat di samping orang-orang yang tersayang. Kami sayang Ayah.


Photo Albums at WiddlyTinks.com
Scrapbooking Photo Tinks by WiddlyTinks.com

Kali ini kami tak sambutnya di luar memandangkan hari ini hari raya haji. Ummi buat laksa utara dan juga sate.  Selepas solat sunat aidiladha di dewan Islamia school bersama dengan warga NMC yang lain, kami bergegas ke Derby untuk membuat biometric bagi tujuan perlanjutan tempoh visa. Balik dari Derby, kami tak pergi beraya ke mana, hanya menanti di rumah menunggu ketibaan rakan-rakan beraya.

Menu di hari raya haji = hari lahir Ayah :D 

Antara tetamu yang datang beraya. Terima kasih kerana sudi hadir. Ummi dahlah masak agak banyak tapi tak ramai yang datang. Yelah kalau hujung minggu tu selalunya beraya sampai ke jam 12tgh malam, tapi kali ni memandangkan esoknya hari sekolah dan hari bekerja, masing-masing tak beraya sakan. Kali ini pun kami tak sempat nak beraya ke mana sebab kekangan masa. Minta maaf kepada rakan-rakan yang menjemput.

Apa pun Selamat Hari Raya AidilAdha buat semua sanak saudara dan sahabat handai. Maaf Zahir dan Batin :)

Wednesday, 10 November 2010

Ultrasound sessi ke 6

Pemeriksaan ultrasound seterusnya diteruskan hari ini, 10 November 2010 selepas ditunda dari tarikh yang dijanjikan sebelum (5 Novemeber 2010). Alhamdulillah perkembangan bayi baik setakat usia 33 minggu + 3 hari ini. Hasil pemeriksaan sama seperti sebelum di mana tiada sebarang masalah yang timbul selain exomphalos. Anggaran saiz exomphalos sebesar 4 cm dan hanya mengandungi sebahagian kecil hati. Jantung bayi pun dalam keadaan baik setakat ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Sesungguhnya segala ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buat kami sekeluarga. Semoga ujian kecil ini dapat memperbaiki diri kami sekeluarga agar lebih  menjadi muslim yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang diberi.  Tak lupa juga, mohon sanak saudara dan kawan-kawan (sekiranya terbaca mesej ini) turut mendoakan kesejahteraan bayi dalam kandungan Ummi dan juga kita semua.  Mudah-mudahan doa kita semua diterima, terutamanya pada hari wukuf Arafah nanti.

Oh ya, selepas habis pemeriksaan ultrasound tadi, kami di bawa melawat ke "Neonatal Intensive Care Unit" tempat di mana bayi kami akan diletakkan sejurus selepas lahir nanti. Ianya bertujuan memberikan gambaran apa yang akan berlaku selepas kelahiran dan mengurangkan kejutan kepada kedua ibubapa. Semasa bayi berada dalam inkubator, bayi hanya memakai "nappy" sahaja. Midwife memberitahu yang kami perlu sediakan "nappies" bayi kerana stok yang mereka ada tidak mencukupi. Namun segala peralatan bayi yang lain seperti baju dll sudah tersedia rapi di situ. Malah pam susu, botol dan peti sejuk juga disediakan. Jika ada rezeki, kami akan diberikan pam susu percuma sekiranya stok ada.

Di hadapan Neonatal Intensive Care Unit, Queens Medical Centre

Pemeriksaan ultrasound seterusnya lagi 2 minggu, pada 24 November 2010. Kali ini doktor akan bagi tahu bagaimana cara kelahiran bayi. Kalau ikutkan "consultant/doktor pakar", dia lebih selesa secara normal kerana saiz exomphalos agak kecil dan agak risau jika secara pembedahan kerana Ummi dah ada luka pembedahan masa lahirkan Insyirah dulu. Namun pakar bedah kanak-kanak lebih selesa jika bayi dilahirkan secara pembedahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap hati bayi. Apa pun mereka berdua akan berbincang bagaimana cara  kelahiran yang terbaik bagi kedua-dua pihak, ibu dan bayi, jeng..jeng..jeng....tunggu keputusan lagi 2 minggu insyaAllah:)

Wednesday, 20 October 2010

20102010..Rabu



Tarikh hari ini agak menarik 20102010. Dan bermula pada hari ini juga dengan rasminya Nuha boleh sebut perkataan Ummi. Sebenarnya pada malam sebelum tu, adalah dua kali Nuha menyebut perkataan Ummi hasil daripada meniru Insyirah yang memanggil Ummi dari tingkat atas. Tetapi lepas disuruh menyebut Ummi sekali lagi, Nuha enggan mengikutnya. Namun pada tanggal 20102010, Nuha dengan yakinnya boleh memanggil Ummi dengan panggilan Ummi. Alhamdulillah, akhirnya diusia 1 tahun 5 bulan & 5 hari, Nuha boleh menyebut Ummi. Kalau panggilan Ayah tu umur belum cecah setahun lagi dah boleh panggil dengan jelas. Yang peliknya, perkataan lain boleh pula disebutnya seperti strawberry, bubble, Dora, Upsy daisy, kakak, buka, air, susu dll. Tapi perkataan Ummi tu susah sangatlah nak disebut. Kalau tak dipanggil mama, dipanggilnya yah, yah..hehehe. Apa pun, alhamdulillah berjaya gak Nuha menyebut Ummi, yeay! :D

Wednesday, 13 October 2010

Panggilan haji Ayahbonda tercinta

Masih segar dalam ingatan ketika mendaftarkan Abah dan Mak ke tabung haji beberapa tahun yang lepas. Ketika itu terasa lamanya lagi giliran Abah dan Mak untuk boleh menunaikan haji ke Mekah. Ku hitung-hitung usia mereka setelah pakcik di kaunter itu memberikan anggaran tahun mereka boleh menunaikan haji. Usia mereka hampir mencecah 70 tahun ketika giliran mereka tiba. Oh, masih laratkah mereka untuk melaksanakan ibadah rukun islam yang ke-5 ini diusia itu. Sesungguhnya kita hanya merancang, tetapi Allah itu Maha Mengetahui segalanya.

Alhamdulillah, hari ini masanya telah tiba untuk mereka. Akhirnya mereka dipanggil untuk menunaikan haji ke Mekah pada tahun 2010 ini. Agak cepat berbanding jangkaan tahun yang diberikan ketika mendaftar dahulu. Hari ini, Rabu 13 Oktober 2010 bersamaan dengan 5 Zulkaedah 1431H merupakan tarikh penerbangan mereka ke tanah suci Mekah. Adik beradik, saudara mara serta jiran tetangga menghantar mereka ke Lapangan terbang Senai. 

Kami doakan agar Abah dan Mak dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan agar dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna serta selamat pergi dan balik. Begitu juga dengan rakan-rakan lain yang akan menunaikan haji ke Mekah pada tahun ini, semoga semuanya memperoleh haji yang mabrur insyaAllah. 
Salam sayang dari kami di perantauan buat Abah dan Mak. Semoga memperoleh haji yang mabrur dan sentiasa di dalam rahmat Allah, insyaAllah. Walaupun jauh dimata namun sentiasa dekat dihati. Gambar ini diambil semasa Mak tengah bercakap denganku melalui telefon, lebih kurang jam 7 pagi waktu Malaysia = 12tgh malam waktu UK sebelum mereka masuk ke balai berlepas pada jam 7.30 pagi. Terima kasih banyak kepada abang iparku yang sepantas kilat mengupload gambar ni di facebook :)

p/s: Kepada adik lelaki ku juga, semoga isterinya selamat melahirkan cahaya matanya yang ke-2. Tengah sibuk-sibuk di lapangan terbang Senai, tiba-tiba isterinya berasa sakit nak bersalin dan terus ke hospital dengan segera. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, amin.

Wasalam.

Friday, 8 October 2010

Ultrasound sessi ke-5

Hari ini, 8 Oktober 2010 Ummi menghadiri temujanji di QMC pada jam 10.30 pagi. Selain pemeriksaan biasa, kali ini Doktor lebih fokus pada keadaan jantung bayi (Doppler Ultrasound). Di dalam hati, Ummi menjangkakan perkara negatif berlaku pada jantung bayi kerana Doktor mengambil masa agak lama memeriksa keadaan jantung bayi. Namun hati cuba menidakkannya dan setelah selesai akhirnya Doktor mengatakan bahawa jantung bayi normal. Alhamdulillah. Saiz exomphalus setakat ini ialah 3.6 cm dan kali ini Doktor menyatakan hanya mengandungi hati sahaja.  Setakat ini, tiada masalah lain yang dapat dikenalpasti pada bayi. Semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya. Selain ultrasound, Ummi perlu diambil darah untuk melihat paras hemoglobin dan keputusannya 10.6. Agak rendah dan perlu mengambil "iron tablet". Padanlah Ummi mudah penat dan nak pitam.

Oh ye, kali ini juga Doktor fokus pada wajah bayi dan "print" kan untuk kami. 
Inilah wajah hero kami insyaAllah di usia 28 minggu + 5 hari. Doktor tu kata wajahnya mirip muka ayahnya. Ye ke?? Apa pun Ummi tak kisah, yang penting anak kami ini sihat dan normal seperti kanak-kanak lain dan membesar menjadi anak yang soleh penyejuk hati kami sekeluarga.

Temujanji seterusnya pada 5 November 2010, jam 10 pagi. Wasalam.

Thursday, 9 September 2010

Ultrasound sessi ke-4

Pada 9 September 2010, jam 1.30 petang merupakan temujanji Ummi yang pertama di QMC bersama Doktor pakar bersama dengan pakar bedah kanak-kanak. Usia bayi ketika ini 24 minggu + 4 hari. Pakar bedah kanak-kanak turut sama dalam temujanji ini untuk melihat keadaan sebenar exomphalus yang dialami  bayi bagi merancang kaedah pembedahan apa yang sesuai untuk bayi kelak. Walaubagaimanapun, pemeriksaan kali ini mendapati keadaan uri berada sedikit rendah dan boleh mengakibatkan pendarahan pada diri Ummi. Keadaan bayi pula menunjukkan normal kecuali exomphalus. 

Selepas menjalani ultrasound kami berbincang dengan pakar bedah kanak-kanak untuk mengetahui apa perancangan beliau selanjutnya. Beliau juga menerangkan kaedah pembedahan yang bakal dilakukan ke atas bayi dan perkara-perkara yang perlu kami jangkakan berlaku di masa hadapan. Hasil perbincangan yang dibincangkan terkandung dalam isi surat di bawah. Semoga bayi dapat dibedah dengan hanya sekali pembedahan sahaja, bukan berulang-ulang kali. Pakar bedah tersebut juga lebih suka untuk melakukan "single  operation" untuk mengurangkan risiko jangkitan terhadap bayi. Walaubagaimanapun segalanya bergantung pada saiz exomphalus dan keadaan bayi selepas lahir. Semoga Allah memberikan yang terbaik buat bayi yang bakal dilahirkan kelak.

Hasil laporan bersama pakar bedah kanak-kanak.

Saturday, 14 August 2010

Dialog menarik :)

Baru-baru ini, kenalan kami di Nottingham memberi link untuk download drama Ketika_Cinta_Bertasbih_Spesial_Ramadhan. Drama ini merupakan kesinambungan KCB1 dan KCB2. Alhamdulillah, banyak dialog yang menarik dan menenangkan hati.

Di sini, kami ingin kongsi satu slot dialog antara Ustazah Ana dan Ustazah Zulfa berkenaan persoalan anak. Ana menghadapi masalah endometriosis yang menyukarkan dirinya untuk hamil, manakala Zulfa baru saja kehilangan cahaya mata setelah 4 tahun menunggu. Semoga bermanfaat :)


Zulfa
: Bagaimana perkembangan rahim mu An
Ana: Ana telah berjanji pada Mas Azam untuk tidak terus larut dalam kesedihan persoalan anak ini. Tadi Dr Efi mengatakan rahim Ana memburuk. Nasihati Ana,, Bu
Zulfa: Sebenarnya perasaan kita itu sama, An. Kepedihan yang tak terkira sebagai seorang isteri apabila dia tidak mampu menghadirkan seorang anak kepada suaminya.
Ana: Demi Allah, itu yang Ana rasakan Bu
Zulfa: Masalahnya, anak itu anugerah dari Allah yang tidak diberikan kepada kita hanya kerana kita memiliki rahim, An. Di sana ada kuasa Allah, takdir Allah dan pastinya ada rencana dari Allah.
Ana: Mas Azam sudah memahami itu semua, Bu. Tapi pada kenyataannya, Ana ini masih saja gundah dan gelisah.
Zulfa: 4 tahun saya merasakan hal tersebut, An. Kegelisahan dan kegundahan. Ketika saya dikatakan hamil, saya rasa kegelisahan dan kegundahan itu akan sirna. Tapi kenyataannya, anak itu pergi menjelang detik-detik lahirnya.
Ana: Adakah kegundahan dan kegelisahan itu kini kembali hadir Bu.
Zulfa: Ya, dalam warna yang berbeda.
Ana: Maksud Bu?
Zulfa: Jika anak itu sebuah kehidupan, agaknya kita terlalu memaksakan kehendak kita untuk menghadirkan sebuah kehidupan. Padahal, urusan terbesar kita itu sebenarnya adalah kematian.
Ana: Astaghfirullah
Zulfa: Ya, kegelisahan saya saat ini adalah bagaimana mempersiapkan kematian tersebut. Oleh sebab itu An, saya sangat berharap mudah-mudahan dengan pengabdian saya di pesantren ini terhapus sedikit kegelisahan ini.
Ana: Terima kasih Bu atas nasihat.
Zulfa: Saya menasihati diri saya sendiri, An. Berharap-harap datangnya sebuah kehidupan, sang anak. Padahal saya belum bisa membuat banyak untuk kehidupan saya sendiri.
Ana: Apa lagi Ana yang belum satu tahun menjalani pernikahan, Bu.
Zulfa: Kiyai Umar (yang baru meninggal dunia) tidak punyai anak, tapi saya yakin beliau sangat berbahagia dengan kehidupannya. Kerana apa An? Kerana anak beliau banyak tersebar di tengah-tengah umat ini.

Friday, 6 August 2010

Ultrasound sessi ke-3

Kali ini (6 Ogos 2010, 9:30 pagi) merupakan kali terakhir Ummi menghadiri temujanji di City Hospital sebelum ditukar ke Queens Medical Center (QMC). Alhamdulillah setakat usia 19 minggu + 5 hari, tiada masalah lain yang timbul  pada bayi kecuali masalah exomphalus yang sedia ada. Kebiasaannya bayi yang mempunyai masalah exomphalos akan mempunyai masalah jantung. Oleh sebab itu Doktor perlu kerap memantau perkembangan bayi untuk memastikan jika ada sebarang masalah lain yang timbul. 

Usia bayi 19 minggu + 5 hari

Kali ini Doktor mengatakan exomphalus yang dialami oleh bayi kemungkinan "large defect" kerana ianya mengandungi hati sekali. Jika sebelum Doktor mengatakan saiznya adalah dalam kategori pertengahan (moderate), tapi kali ini boleh dikategorikan sebagai besar. Namun, Doktor masih perlu memantau perkembangan bayi seterusnya. Hanya kepada Allah kami berserah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, insyaAllah. 

Temujanji Ummi seterusnya bersama Doktor pakar di QMC bersama dengan pakar bedah kanak-kanak pada 9 September 2010..

Friday, 16 July 2010

Ultrasound sessi ke-2

Alhamdulillah setelah keputusan ujian kromosom yang lepas normal, maka selepas 3 minggu Ummi perlu hadir pada temujanji yang seterusnya pada 16 Julai 2010, jam 12.30 tengah hari. Bermulalah episod pemeriksaan bayi pada setiap bulan untuk memantau perkembangan bayi.

Usia bayi ketika ini 16 minggu + 5 hari. 

Setelah diperiksa, tiada masalah lain yang timbul kecuali masalah exomphalos yang ada. Cumanya jika sebelum ini Doktor mengatakan usus (bowel) sahaja yang berada diluar, tapi kali ini Doktor mengenalpasti hati (liver) juga turut berada diluar. Maknanya exomphalus yang dialami oleh bayi mengandungi usus dan hati. Allahuakbar! Makanya pembedahan yang perlu dilalui oleh bayi selepas lahir nanti bertambah kompleks lagi. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan.

Ketika ini juga Doktor mengatakan yang Ummi akan dipantau seterusnya oleh Doktor lain yang berada di  Queens Medical Center (QMC) kerana Ummi perlu melahirkan bayi di QMC, bukan di City Hospital seperti yang dirancang pada awalnya. Alhamdulillah kerana pihak QMC boleh melakukan pembedahan ke atas bayi selepas lahir nanti dan bayi tidak perlu ke Great Ormond Hospital, London seperti yang tertera di dalam surat yang diberikan sebelum ini. 

Friday, 2 July 2010

Insyirah ke sekolah

30hb Jun 2010 merupakan hari pertama Insyirah menjejakkan kakinya ke sekolah, Nursery Forest Field, Nottingham. Kebiasaannya di UK ini, kanak-kanak yang berusia 3 tahun sudah mula bersekolah. Namun ada sesetengah sekolah yang menerima kanak-kanak yang berusia seawal 2 tahun dengan jumlah yang terhad. Sessi persekolahan Insyirah di sebelah pagi, 9am-12 pm.




Sebelum berjalan ke sekolah, Ummi ambil gambar dahulu di hadapan rumah. Kalau ikutkan, hari pertama Insyirah hanya perlu hadir selama sejam bagi nak membiasakan kanak-kanak dengan keadaan Nursery dan bersemangat untuk datang kembali keesokan harinya. Namun Insyirah seronok berada di sekolah hinggakan taknak pulang:D Nengok muka Nuha di atas yang bosan menunggu si kakak yang tidak menghiraukannya, hehehe. Ada seorang kawan Insyirah ni asyik memegang tangan Insyirah ke hulu ke hilir bersama, sampaikan naik rimas dibuatnya. Ummi nak ambil gambar Insyirah sendirian pun tak boleh kerana kawannya asyik memegang tangannya ke mana sahaja, hehehe. Kebiasaannya, para penjaga perlu menunggu di sekolah sehinggalah kanak-kanak sesuai berada di sekolah atau dengan erti kata lain tidak menangis bila ditinggalkan.

Alhamdulillah, Insyirah mudah menyesuaikan diri dengan keadaan di Nursery dan tidak menangis bila ditinggalkan. Hari ke 3 ke sekolah, Ummi tidak perlu menunggunya di sekolah lagi. Semoga Insyirah lebih bersemangat lagi belajar dan bermain dengan kawan-kawan. Oh ya, sebulan sebelum Insyirah ke sekolah, Ummi sering mengingatkan bahawa Insyirah akan mula bersekolah. Insyirah perlu mendengar kata cikgu/teacher. Insyirah perlu sharing bila bermain dengan kawan-kawan/friends, jangan bergaduh. Alhamdulillah, bila Insyirah ke sekolah, Insyirah berkata balik kepada Ummi, sharing friends Ummi :)

Monday, 28 June 2010

Ultrasound sessi pertama

Alhamdulillah, Insyirah dan keluarga telah mendapat berita baik pada bulan April yang lepas tentang kehadiran bakal ahli keluarga baru. Hari berkenaan juga merupakan ulangtahun perkahwinan Ayah dan Ummi yang kelima :)

Di UK, ibu-ibu yang mengandung kebiasaannya hanya perlu untuk scan keadaan bayi sebanyak 2 kali, iaitu pada minggu ke-12 atau 13 (dipanggil "dating scan") dan keduanya pada minggu ke-20 (detailed scan). Setelah membuat temujanji dengan midwife, temujanji pertama telah ditetapkan pada Khamis 24 Jun 2010 di City Hospital, Nottingham.

Insyirah, Nuha dan Ayah turut sama menemani Ummi ke hospital. Kami sekeluarga menaiki bas Medilink untuk ke hospital disebabkan kami masih tak biasa dengan keadaan di City Hospital. Dah lama rasanya Insyirah sekeluarga tak menggunakan kenderaan awam bersama-sama, mungkin kena amalkan selalu ni :D

Temujanji pada hari tersebut sekitar 2.30pm. Mulanya Ummi di scan oleh bidan atau lebih mesra di UK ini dengan panggilan "midwife". Scan kali ini agak kurang lancar berbanding dengan scan semasa mengandungkan Nuha dulu. Ada sesuatu di luar kebiasaan pada kandungan Ummi kali ini. Midwife menghadapi kesukaran untuk mengesahkan keadaan bonjolan pada perut bayi yang beliau perhatikan pada imej imbasan. Di fikiran beliau, tanda tersebut mungkin "exomphalos" atau "gastrochisis". Kami terpinga-pinga mendengar istilah yang kali pertama didengari itu. Lalu satu temujanji baru telah dibuat dengan doktor pakar keesokan harinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Usia bayi ketika ini 13 minggu + 4 hari. Gambar scan di atas menunjukkan ada bonjolan di atas perut bayi yang kemungkinan "exomphalos" atau "gastrochisis".

Pulang ke rumah dengan fikiran yang risau dan melayang-melayang, Ummi terus melayari beberapa laman web untuk memahami serba sedikit mengenai 2 keadaan yang dimaksudkan midwife tadi. Barulah kami sekeluarga dapat gambaran sedikit mengenai apa yang dimaksudkan midwife. Mungkin boleh dikatakan, ketika itu seolah-olah antara detik yang tersedih sepanjang kehidupan berkeluarga Ayah dan Ummi. Terdetik di hati, nasib baiklah kita dikurniakan nikmat Islam di mana kita percaya segalanya akan berbalik kepada kehendak Allah. Walaupun susah dan berat untuk menerima pada mulanya, Alhamdulillah, sikit demi sedikit keresahan hati cuba dikurangkan.

Jumaat, 25 Jun 2010, kami sekali lagi ke City Hospital untuk temujanji dengan pakar pada pukul 10.30am. Kali ini, tidak perlu menunggu di ruang pesakit. Terus saja diberi layanan "istimewa" di "fetal care unit". Hati dipaksakan tabah, tetapi resah tetap menghimpit jiwa. Doktor pakar, yang rasanya berumur sekitar 50-an, membuat pemeriksaan Ummi pada hari itu. Beliau mengesahkan yang kandungan Ummi menghadapi exomphalos di mana saluran usus (bowels) bayi dipercayai berada di luar perut. Beliau anggarkan saiz exomphalos itu dalam keadaan pertengahan (moderate).

Doktor menyarankan Ummi menjalan ujian bilangan kromosom (@ nama saintifiknya: Chorion-villus sampling) untuk mengenal pasti sekiranya terdapat masalah genetik seperti syndrome down. Tetapi tiba-tiba kami terfikir tentang bayaran tambahan. Alhamdulillah, kami terlupa tentang rawatan kesihatan yang percuma di UK. Midwife juga mengingatkan kami tentang kebarangkalian kecil untuk berlaku kes keguguran. Ummi bersetuju untuk menjalankan ujian demi kebaikan bayi. Terus saja Ummi masuk semula ke dalam bilik scan dan sampel air diambil dari plasenta Ummi dengan jarum. Keputusannya akan dimaklumkan kepada kami melalui telefon pada hari Isnin nanti. Doktor juga menasihatkan Ummi untuk berehat selama 3 hari daripada membuat kerja-kerja berat.

Mulanya kami merancang untuk membuat majlis makan-makan di rumah kami pada hujung minggu berkenaan, tetapi terpaksa dibatalkan untuk merehatkan diri dan emosi :D Ada rakan-rakan yang berkunjung bertanya khabar, terima kasih diucapkan. Tak lupa juga buat yang mendoakan melalui facebook.

Berkenaan keputusan ujian kromosom tersebut, doktor memaklumkan sekiranya bilangan kromosom terlebih atau terkurang dari 46, doktor menjangkakan yang bayi mungkin akan sukar untuk terus hidup sehingga tempoh kelahiran. Alhamdulillah, jumlah kromosom dalam bilangan yang normal dan jantina bayi dikenalpasti sebagai lelaki (XY).

Jadi, kami akan berjumpa lagi dengan doktor pakar untuk pemeriksaan selanjutnya selepas 3 minggu dimana kandungan berusia 16 minggu.

Sunday, 27 June 2010

Insyirah 3 tahun

Selamat Hari Ulangtahun yang ke-3 Insyirah. Masih segar dalam ingatan 3 tahun yang lalu, Ummi selamat melahirkan Insyirah secara pembedahan. EDD sepatutnya 19 Jun 2007. Walaubagaimanapun, Insyirah masih belum bersedia keluar waktu tu. Syok sangat duduk dalam perut Ummi:) Setelah beberapa hari menunggu,hari Isnin, 25 Jun 2007, Ummi pergi buat pemeriksaan di klinik desa dan disuruh untuk terus ke HSAJB. Ummi diperiksa (bukaan baru 1cm) dan dimasukkan ke wad. Keesokan paginya baru diinduce dan Ummi mula merasa contraction dan mengalami sedikit pendarahan. Lebih kurang jam 2 petang, sekali lagi Ummi diperiksa dan bukaan baru 4cm. Doktor mengatakan ada sedikit masalah dan Ummi ditolak masuk ke labour room walaupun bukaan hanya 4cm. Lebih kurang jam 4 lebih, sekali lagi Ummi diperiksa dan bukaan masih sama, 4cm, huhuhu. Akhirnya doktor mengambil kputusan untuk memecahkan air ketuban. Setelah itu contraction semakin kuat tetapi bukaan masih 4 cm. Setelah lebih kurang 10jam menahan sakit di labour room,akhirnya Ummi ditolak ke bilik pembedahan dan Insyirah pun dilahirkan pada hari Rabu, 01:49 pagi, alhamdulilllah :)

Selamat Hari Lahir sayang. Semoga menjadi anak yang solehah penyejuk hati Ayah dan Ummi. Semoga Insyirah membesar dalam iman dan menjadi kakak yang baik dan menjadi inspirasi buat adik-adik. Serta sentiasa menjadi kakak yang sentiasa menggembirakan dan memudahkan orang disekelilingnya sesuai dengan namanya Nihlah Insyirah, pemberian kegembiraan. Gambar kat bawah ni diambil pada hari lahir Insyirah di rumah, masa tengah makan laksa utara yang di masak oleh Ummi:)



Scrapbook at WiddlyTinks.com
Digital Scrapbooking Photo Tinks by WiddlyTinks.com