Friday 26 November 2010

Selamat kembali

Alhamdulillah, hari ini Jumaat 26 November 2010, Abah dan Mak selamat sampai ke Lapangan terbang Senai, Johor lebih kurang jam 11 pagi tadi. Tadi sempat menelefon Abah dan Mak yang telah sampai ke rumah. Lega rasa mendengar suara mereka berdua dicorong telefon. Alhamdulillah, keduanya sihat, cuma batuk dan selsema sikit. Seronok mendengar cerita-cerita Mak dan Abah ketika menunaikan haji dan semoga ibadat hajinya diterima oleh Allah. Terima kasih juga di atas doa yang dipanjatkan ke atas kesejahteraan kami sekeluarga ketika di sana. Semoga Abah dan Mak cepat sihat daripada batuk-batuk dan selesema. InsyaAllah bolehlah kita berjumpa 2 minggu lagi. 
Rindu semua.

Thursday 25 November 2010

Khas buat Acu

Lama dah Ummi tak update keletah puteri berdua Insyirah dan Nuha, asyik-asyik update pasal bakal adik baru jer kan. Banyak benarnya yang nak diupdate kan tapi tak berkesempatan, hehehe. Video Nuha pun lama dah tak ambil dan tak sebanyak masa Insyirah dulu. Maafkan Ummi ya Nuha. Almaklumlah sibuk melayan mereka berdua. Ni pun baru baik dari cirit birit, muntah-muntah, sakit gigi dan sengal-sengal badan. Kesian kat Ayah, dahlah sibuk nak kejar deadline siapkan paper, Ummi pula asyik tak sihat. Semoga Allah mempermudahkan urusan penulisan Ayah dan diberikan idea yang bernas. Ni dok menghadap blog sebab Ayah suruh rehat dan jangan buat kerja berat-berat dulu, bagi sihat betul-betul. Kalau ikutkan hati nak kemas kotak-kotak kat atas tu. Sabarlah dulu.

Berbalik pada Insyirah dan Nuha, kadang rasa diri dah cukup adil melayan mereka berdua, tapi pernah juga terkeluar dari mulut Insyirah pada suatu hari "It's unfair Ummi!" Bila si Ummi asyik menyebelahi Nuha dengan menyuruh si kakak mengalah sebab dah besar. Ye lah kan si adik kecil lagi dan tahunya nak menangis jer bila nak kan sesuatu. Peningla kepala Ummi bila asyik menangis jer. Walaubagaimanapun terima kasih Insyirah sebab mengingatkan Ummi untuk berlaku adil kepada kamu berdua. Tidak sepatutnya alasan masih kecil untuk adik bermaharajalela untuk mendapatkan semua yang dikehendaki. Sejak kecil lagi, Nuha perlu diajar berkongsi  dan hormat hak orang lain. Contohnya, janganlah bila si kakak dah penat siapkan menara (lego)  tinggi-tinggi, datang si adik sedap jer robohkan dengan sekelip mata. Mahu tak meradang si kakak. Insyirah pun kena pandai berkongsi dan saling tolak ansur dengan adik ye sayang. Alhamdulillah sekarang dah boleh bermain bersama walaupun kadang-kadang bergaduh juga bila masing-masing mood tak stabil, hahaha. 

Bila nengok TV pula, Insyirah dah tak layan cerita-cerita masa usianya sebesar Nuha macam In the Night Garden, Teletubbies, Dora the explorer dll. Lebih suka kepada kartun yang macam Ben & Holly little kingdom, barbie, little bear dll. Makanya bila tukar rancangan kegemaran Insyirah, si Nuha kata no, no bila tidak menepati citarasanya dan disuruhnya tukar rancangan lain begitu juga sebaliknya. Baru berdua dah macam-macam ragam.  

Insyirah sekarang dah nak masuk 3 tahun setengah dan Nuha pula setahun 7 bulan. Tak lama lagi bakal mempunyai adik baru insyaAllah. Insyirah sekarang dah semakin tinggi (tapi saiz badan sama jer) dan semakin suka berkawan. Nuha pula dah banyak perkataan yang dikuasai hasil tunjuk ajar si kakak. Ya buat masa sekarang ni, Insyirahlah tok gurunya. Lagi cepat ikut bila si Insyirah yang ajar berbanding Umminya sebab Nuha suka meniru. Gigi Nuha semakin banyak (tak tahu dah berapa) tapi agak bersimpang siur, hehehe. Tak tahu kenapa dia naik berkembar-kembar. Pelik sikitla, nak pergi tanya doktor gigi tak tertanya-tanya pula. Takpelah sayang, yang penting Nuha membesar sihat, cerdik dan cerdas.

Ok Acu, ni video permintaan Acu. Layan! ;) Video Insyirah nantilah ek. Lambatlah bila upload video ni. Video ni ambil masa musim raya aidilfitri yang lepas, Nuha baru setahun 4 bulan dan masa ambil video ni Insyirah pergi sekolah. 


Masa ini, perkataan Ummi tak pandai sebut lagi. Baru jer boleh sebut Ummi masa 20102010 hari tu.

Wednesday 24 November 2010

Ultrasound sessi ke 7

Jam 9.30 pagi tadi, 24 Nov 2010 sekali lagi Ummi di scan dan hasilnya tak banyak beza seperti 2 minggu lepas. Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja. Saiz exomphalos bayi 4-5cm dan tiada sebarang masalah lain yang timbul setakat usia 35 minggu 3 hari ini.

Kami berbincang berkenaan dengan cara bersalin dan doktor memberi pilihan sama ada Ummi nak bersalin secara normal atau melalui pembedahan. Jika kami sekeluarga bercadang untuk mempunyai ahli keluarga yang ramai, doktor mencadangkan agar bersalin secara normal kerana keadaan exomphalos bayi agak "shallow" (tak terbonjol besar ke luar). Doktor pun susah nak klasifikasikan saiz exomphalos bayi, nak kata besar, tak berapa besar tapi tak juga kecil, hehehe. Sebabnya bayi mempunyai "wide abdomen defect" yang menyebabkan keadaan exomphalos tu tak berapa terbonjol ke luar tapi melebar ketepi. Lagi satu kalau boleh doktor tak mahu induce Ummi kerana menurutnya ada risiko (1 dalam 250) untuk bekas luka pembedahan Ummi yang lepas terbuka kembali walaupun ianya sudah hampir 3 tahun setengah. Kalau boleh doktor nak Ummi sakit bersalin secara natural. Tapi sekiranya bayi dah genap 40 minggu dan masih tak mahu keluar, pembedahan terpaksa juga dilakukan. 

Doktor dah tempah tarikh pembedahan pada 29 Disember 2010 sekiranya bayi tak keluar lagi. Alhamdulillah, Ummi ada peluang untuk bersalin secara normal. Namun semuanya bergantung pada kehendak Allah. Kami redha sama ada ianya secara normal atau pun pembedahan. Tentunya perancangan Allah itu yang terbaik buat hambaNya. Doktor pakar pun mengakui yang beliau tiada "crystal ball" untuk melihat secara jelas apa yang berlaku dalam perut Ummi bagi menentukan apa yang terbaik buat Ummi dan bayi dengan keadaan exomphalos bayi setakat ini. Ya, sudah tentunya hanya Allah yang mengetahui segala yang tersirat dan tersurat. Boleh jer kalau doktor nak putuskan terus melalui pembedahan tetapi menurutnya ianya tidak adil bagi diri Ummi sekiranya Ummi boleh melahirkan secara normal, tambahan pula kami bercadang untuk menambah jumlah anak jika diizinkan Allah. . 

Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak untuk menciptakan sesuatu, maka cukuplah Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia. [Al-baqarah: 117]
Sesungguhnya Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui.

Apapun, perbincangan lanjut bersama pakar bedah kanak-kanak berkenaan dengan cara bersalin ini akan diteruskan berdasarkan dengan gambar scan terkini hari ini. Sekiranya pakar bedah tersebut tetap menginginkan Ummi bersalin melalui pembedahan, maka Ummi terpaksa akur dan perlu dibedah ketika usia bayi 39 minggu. Temujanji seterusnya pada 10 Disember 2010, 9.30 pagi 2 hari sebelum Mak Abah sampai insyaAllah. 

Tuesday 16 November 2010

Selamat Hari Lahir

Kali ini hari ulangtahun kelahiran Ayah Insyirah dan Nuha yang ke-29 jatuh pada hari raya haji di UK. 10 Zulhijjah 1431H jatuh pada tanggal kelahirannya, 16 November 2010 (Di Malaysia Aidiladha jatuh pada 17 November 2010). Selamat Hari Lahir Ayah, semoga Allah menganugerahkan kesihatan yang baik dan mempermudahkan urusan pengajian PhD Ayah, juga berbahagia dunia & akhirat di samping orang-orang yang tersayang. Kami sayang Ayah.


Photo Albums at WiddlyTinks.com
Scrapbooking Photo Tinks by WiddlyTinks.com

Kali ini kami tak sambutnya di luar memandangkan hari ini hari raya haji. Ummi buat laksa utara dan juga sate.  Selepas solat sunat aidiladha di dewan Islamia school bersama dengan warga NMC yang lain, kami bergegas ke Derby untuk membuat biometric bagi tujuan perlanjutan tempoh visa. Balik dari Derby, kami tak pergi beraya ke mana, hanya menanti di rumah menunggu ketibaan rakan-rakan beraya.

Menu di hari raya haji = hari lahir Ayah :D 

Antara tetamu yang datang beraya. Terima kasih kerana sudi hadir. Ummi dahlah masak agak banyak tapi tak ramai yang datang. Yelah kalau hujung minggu tu selalunya beraya sampai ke jam 12tgh malam, tapi kali ni memandangkan esoknya hari sekolah dan hari bekerja, masing-masing tak beraya sakan. Kali ini pun kami tak sempat nak beraya ke mana sebab kekangan masa. Minta maaf kepada rakan-rakan yang menjemput.

Apa pun Selamat Hari Raya AidilAdha buat semua sanak saudara dan sahabat handai. Maaf Zahir dan Batin :)

Wednesday 10 November 2010

Ultrasound sessi ke 6

Pemeriksaan ultrasound seterusnya diteruskan hari ini, 10 November 2010 selepas ditunda dari tarikh yang dijanjikan sebelum (5 Novemeber 2010). Alhamdulillah perkembangan bayi baik setakat usia 33 minggu + 3 hari ini. Hasil pemeriksaan sama seperti sebelum di mana tiada sebarang masalah yang timbul selain exomphalos. Anggaran saiz exomphalos sebesar 4 cm dan hanya mengandungi sebahagian kecil hati. Jantung bayi pun dalam keadaan baik setakat ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Sesungguhnya segala ketentuan Allah itu adalah yang terbaik buat kami sekeluarga. Semoga ujian kecil ini dapat memperbaiki diri kami sekeluarga agar lebih  menjadi muslim yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang diberi.  Tak lupa juga, mohon sanak saudara dan kawan-kawan (sekiranya terbaca mesej ini) turut mendoakan kesejahteraan bayi dalam kandungan Ummi dan juga kita semua.  Mudah-mudahan doa kita semua diterima, terutamanya pada hari wukuf Arafah nanti.

Oh ya, selepas habis pemeriksaan ultrasound tadi, kami di bawa melawat ke "Neonatal Intensive Care Unit" tempat di mana bayi kami akan diletakkan sejurus selepas lahir nanti. Ianya bertujuan memberikan gambaran apa yang akan berlaku selepas kelahiran dan mengurangkan kejutan kepada kedua ibubapa. Semasa bayi berada dalam inkubator, bayi hanya memakai "nappy" sahaja. Midwife memberitahu yang kami perlu sediakan "nappies" bayi kerana stok yang mereka ada tidak mencukupi. Namun segala peralatan bayi yang lain seperti baju dll sudah tersedia rapi di situ. Malah pam susu, botol dan peti sejuk juga disediakan. Jika ada rezeki, kami akan diberikan pam susu percuma sekiranya stok ada.

Di hadapan Neonatal Intensive Care Unit, Queens Medical Centre

Pemeriksaan ultrasound seterusnya lagi 2 minggu, pada 24 November 2010. Kali ini doktor akan bagi tahu bagaimana cara kelahiran bayi. Kalau ikutkan "consultant/doktor pakar", dia lebih selesa secara normal kerana saiz exomphalos agak kecil dan agak risau jika secara pembedahan kerana Ummi dah ada luka pembedahan masa lahirkan Insyirah dulu. Namun pakar bedah kanak-kanak lebih selesa jika bayi dilahirkan secara pembedahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap hati bayi. Apa pun mereka berdua akan berbincang bagaimana cara  kelahiran yang terbaik bagi kedua-dua pihak, ibu dan bayi, jeng..jeng..jeng....tunggu keputusan lagi 2 minggu insyaAllah:)