Saturday 29 December 2007

Kini, kami berusia 6 Bulan dan 26 Tahun

Di penghujung Disember, warga United Kingdom akan merayakan perayaan utama mereka di mana kemeriahannya seumpama sambutan AidilFitri di Malaysia, ditambah pula dengan kesibukan shopping semasa Boxing Day (26 December) . Bagi Insyirah sekeluarga, penghujung Disember kali ini juga amat istimewa kerana pada ketika ini, Insyirah dah pun berumur setengah tahun pada 27 Disember 2007 dan keesokannya pula, kami sekeluarga meraikan hari lahir Ummi yang ke-26 (28 Disember 2007). Insyirah dan Ayah sentiasa doakan kesihatan dan kesejahteraan Ummi dan yang pastinya, kami berdua sangat sayangkan Ummi.



Kini, kami berusia 6 bulan dan 26 tahun :)

Sempena hari lahir Ummi, kami sekeluarga celebrate with a dinner kat Desi Express saja lepas balik dari shopping di City Centre. Birthday present? Hehehe, harap barang-barang yang dibeli semasa shopping boxing day boleh dianggap sebagai present utk Ummi (juga utk birthday present Ayah bulan 11 lepas :D). Insyirah rasa kata-kata yang diungkapkan oleh "Miss D" boleh dijadikan satu contoh untuk kita lebih menghayati hari kelahiran orang tersayang. Ia berbunyi "A birthday should be celebrated with love and affection deep within the heart, with praises to the Almighty for letting us live yet another year together,as servants to Him". Insyirah berdoa agar cinta dan kasih sayang kita sekeluarga semakin kukuh setiap hari, semoga Allah mengurniakan kita semua cinta yang sejati :) Tidak lupa juga buat Auntie D, walaupun kita tidak pernah bersua, kami di sini sentiasa doakan kesejahteraan Auntie D sekeluarga.

Akhir kata dari Insyirah, semoga kita semua dapat hidup dengan aman damai di samping keluarga tersayang. Dan semoga Allah membantu saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan, kekacauan ataupun peperangan di negara masing-masing. Sesungguhnya ISLAM adalah pembawa rahmat ke seluruh ALAM, jadi bersamalah kita buktikannya.
UMMI... GOOD LUCK FOR YOUR EXAM!!!


"Pose" istimewa sempena hari lahir Ummi yang ke-26. "WE LOVE UMMI"

AidilAdha 2007 dan Majlis AidilAdha & Walimatulurus NMC

Alhamdulillah, AidilAdha telah disambut oleh warga Muslim di UK pada hari Rabu, 19 Disember 2007. Manakala di Malaysia, ianya disambut lewat sehari dari kami di sini. Bagi kami sekeluarga, ini merupakan perayaan Islam ke-2 di perantauan. Semasa Aidilfitri yang lepas, persiapan kami agak kelam kabut juga di sebabkan baru tiba di UK dan juga baru berpindah ke rumah sewa kami di sini. Sampaikan, solat sunat Aidilfitri pun ayah Insyirah terlepas untuk menunaikannya (hehehe.. tertidur kot masa tu sebab letih mengemas rumah).
.
Namun, persiapan perayaan kedua kami di sini lebih baik dari Aidilfitri yang lalu sebab Insyirah & keluarga dah mula nak "settle down" dengan kehidupan di Nottingham ni. Pada masa ini juga, Ummi dah habis kelas MSc, jadi sempatlah untuk menyediakan beberapa juadah sederhana di hari raya antaranya ketupat segera :D, rendang, kuah kacang, bihun tomyam dan kuih-kuih. Solat sunat AidilAdha telah dilaksanakan oleh warga NMC pada pagi hari raya di Dewan Forest Field Welfare Centre, Russell Road. Insyirah rasa, sambutan AidilAdha oleh warga NMC tidaklah sehebat sambutan Aidilfitri yang lalu kerana tiada "rumah terbuka khas" yang diadakan bersempena AidilAdha.
.
Juadah sederhana yang disediakan oleh Ummi Insyirah pada AidilAdha 2007.
.
Bersempena AidilAdha 2007 juga, Nottingham Malaysian Community (NMC) buat julung kalinya menganjurkan Majlis Potong Jambul & Perkahwinan Pasangan NMC yang telah berlangsung pada hari Sabtu, 22 Disember 2007 dengan jayanya. Majlis potong jambul dijalankan buat cahaya mata Uncle Taufik, ajk perumahan NMC, yang banyak membantu warga baru mendapatkan host di Nottingham. Manakala, pengantin perempuan yang juga warga NMC telah diraikan bersama pasangannya.
.
Potong jambul cahayamata Uncle Taufik dimulakan terlebih dahulu.
.
Penyediaan jamuan dilakukan mengikut "kariah" yang telah ditetapkan oleh ajk NMC. Ummi telah diletakkan dibawah kumpulan Auntie Laili yang ditugaskan untuk memasak KURMA DAGING. Ummi memasak juga haritu (walaupun sekejap je:D ) sambil bersembang-sembang dengan senior2 NMC bertukar cerita dan gosip, ahakss Insyirah dan ayah juga ikut Ummi ke rumah auntie Laili.
.
Akhir kata, buat kaum keluarga dan rakan taulan di Malaysia, kami di Nottingham ingin mengucapkan Salam AidilAdha 2007, semoga kita semua sentiasa bersedia untuk berkorban demi agama tercinta, juga bangsa dan negara.

Kami sekeluarga di AidilAdha 2007, Nottingham, United Kingdom.

Friday 30 November 2007

Sekitar usia 5 bulan (27 November 2007)

Berjumpa lagi kita di ruang ini :). Alhamdulillah, usia Insyirah kini telah memasuki 5 bulan dan Insyirah juga telah berada di bumi Nottingham bersama keluarga selama 2 bulan. Minggu ni, Insyirah selsema sikit, biasala kalau dah selsema tu, asyik nak menangis saja semasa nak tidur. Tapi, Alhamdulillah, keadaan semakin pulih. Mula-mula Ayah yang demam dan selsema dulu, kemudian berjangkit pula pada Insyirah, nasib baik Ummi sihat wal-aafiat.. Kesian juga kat Ummi sebab tugasan dia banyak yang nak kena hantar sekarang ini.

Baru-baru ini juga, Insyirah dapat kawan baru di Nottingham ni, makcik Hana baru selamat melahirkan seorang puteri kepada pakcik Izzi sekeluarga yang diberi nama Suri Syahnaz (ejaan tak pasti). Hari Ahad lepas Insyirah ada melawat kawan baru Insyirah tu, tapi Ummi terlupa pula untuk bergambar dengan Suri pada hari tersebut. Selepas melawat Suri, kami sekeluarga ke Argos di bandar Nottingham untuk beli barang mainan Insyirah. Ummi belikan Insyirah barang mainan "Fisher-Price Link A Doos Playquilt, Gym, Duckies and Turtle", harganya didalam kemampuan Ayah untuk membayarnya. Permainan ini juga merupakan yang pertama Ummi dan Ayah beli sendiri. Insyirah tak main sangat mainan tu sekarang ini (lebih minat main jari sendiri), mungkin selepas ini Insyirah akan cuba main sendiri.


Mainan baru dan yang pertama kali dibeli Ummi dan Ayah.
Baru-baru ini juga, MakNgah Ani ada mengirim gambar sepupu Insyirah yang baru iaitu puteri kepada Paklong Nasir dan Maklong Idah yang diberi nama Nur Iffah Auni binti Jamal Abdul Nasir. Insyirah sekeluarga doakan Maklong Idah cepat pulih dan kembali sihat seperti sedia kala :). Ummi, Ayah dan Insyirah suka tengok gambar yang MakNgah Ani kirimkan, comel Iffah tu B-).

Nur Iffah Auni Binti Jamal Abdul Nasir
Insyirah rasa setakat ini dulu coretan kali ini. Minggu ini akan berlangsung Notts Games 2007 di University of Nottingham. Ayah akan bermain futsal dengan kawan-kawan NMC yang lain (gang postgraduate/veteran). Insyirah dan Ummi pula akan pergi tengok gerai-gerai yang bakal diusahakan warga NMC di Portland Building pada hari Sabtu ini (1 Disember 2007). Mungkin Ummi akan pergi tengok netball di padang Universiti nanti, sekiranya ada sesiapa yang datang Notts Games 2007, jumpa anda di sana nanti, InsyaAllah. Wassalam

Sunday 18 November 2007

Insyirah dah masuk kelas ;)

Hari rabu lepas, 14 November 2007, ummi ada kelas tutorial jam 11pg hingga 1 petang di Jubilee campus. Pada setiap rabu pagi juga, ayah ada meeting dengan supervisor ayah. Haritu, meeting ayah lambat habis dan ayah sampai lambat di Jubilee campus. So, ummi terpaksa bawa masuk Insyirah dalam kelas sementara nak tunggu ayah sampai. Insyirah dan ummi duduk di bahagian belakang sekali. Nasib baik lecturer ummi tak kisah. Masa tu pun Insyirah baik, tak nangis:) Cuma bila lecturer ummi ajar di depan, Insyirah suka response. Insyirah ingat lecturer tu cakap ngan dia:) Bila Insyirah response, semua kawan2 kelas ummi toleh belakang dan senyum nengok kami. Ummi malu, hehehe. Lecturer ummi cakap "we have the youngest student at the back". Nasib baik 11.20 ayah dah sampai. Pastu Insyirah duduk ngan ayah. Kami jalan2 tepi tasik tengok itik2 dan swan.

Sekarang ni, Insyirah dah tak guna stroller lagi bila ikut ummi dan ayah ke universiti sebab Insyirah dah ada carrier baru :D. Agak berbaloi juga buat ummi dan ayah bila belikan carrier tu walaupun harganya agak mahal sebab Insyirah suka duduk dalam carrier baru tu sampai kadang-kadang Insyirah terus terlelap. Carrier tu juga boleh jadi baju sejuk Insyirah untuk musim sejuk ni sebab Ummi belikan "carrier cover" sekali. Setiap minggu Ummi ada kelas sampai pukul 6 pm pada hari Khamis. Maghrib pula lebih kurang pukul 4.30 pm, jadi sekarang ni kami pulang dalam gelap pada hari Khamis. Musim sejuk kat sini, angin agak laju semasa kami balik tu, kalau angin tiup, rasa sejuk "bangetttt".


Insyirah dan Ayah di Jubilee Campus, nak balik dah ni :)

Sekarang, umur Insyirah dah masuk 4 bulan setengah. Insyirah masih berusaha untuk meniarap dan jurulatihnya, tak lain dan tak bukan, My Ummi :). Latihan masih di peringkat percubaan sahaja sebab "jurulatih" banyak tugasan kuliah. InsyaAllah, cuti Krismas nanti, Ummi akan lipat gandakan latihan terhadap Insyirah. Tidak lupa juga latihan menyusu dari botol ;). (Nanti jangan nangis yer Insyirah.. hehehe).


Insyirah meniarap??!! Masih amatur, peringkat 1.

Petang tadi, Makcik Syahnaz, Makcik Along dan Kakak Adilla datang rumah Insyirah lepas hantar Kakak Adani dan Abang Addin ke kelas KAFA di Masjid Karimia. Kami semua layan cerekarama (youtube) satu round :D. Oklaa dulu buat waktu ini. Insyirah nak "mamam" dulu kat bilik. Jumpa lagi, selamat malam.


Insyirah tidur dah ni :)

Saturday 17 November 2007

Selamat hari lahir ayah:)

Hari ini 16 November 2007 merupakan hari lahir ayah yang ke-26 tahun. Selamat hari lahir ayah! Ummi dan Insyirah sayang ayah sangat2. Kami doakan semoga ayah sentiasa sihat dan tabah menghadapi segala dugaan. Semoga ayah berjaya mencapai segala yang diimpikan, insyaAllah. Terima kasih kerana sabar melayan karenah kami berdua:)

"Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnaklan ketaatan kepada perintahMu. Satukanlah hati kami sekeluarga di bawah lembayung rahmatMu yaAllah." Semoga Allah memberi kebahagiaan kepada kami sekeluarga di dunia & akhirat.

Ini gambar ayah dan Insyirah di depan Restoran Desi Express. Pertama kali makan kat kedai semenjak berada di UK ni:) Menu yang kami makan, lamb chop, lamb curry, brown rice, roti naan, sayur campur dan samosa. Sedap tapi tak boleh amalkan selalu:)


Insyirah dan Ummi dalam restoran Desi Express:)


Alhamdulillah, dah kenyang:) Ni tengah tunggu "driver" datang ambil.

Sunday 11 November 2007

Insyirah dapat kawan baru:)

Hari ni Insyirah dapat kawan baru:) Pagi tadi ummi telefon mak ngah menanyakan khabar maklong yang berada dihospital. Alhamdulillah, maklong baru jer selamat melahirkan bayi perempuan, 3.3kg pada jam 4.40 pagi tadi, 11.11.2007 di hospital Batu Pahat, Johor. Cantik tarikh lahir tu. Mesti maklong ngan pak long seronok tak terkira, hajat mereka untuk dapat anak perempuan akhirnya termakbul juga. Insyirah rasa kak iqah pun mesti seronok dapat adik perempuan, ada genglah dia. Sebelum ni, dua orang adik lelaki asyik nak buli kakak dia jer. Insyirah tak tahu lah macam mana reaksi abang Irfan ngan Abang Faris bila dapat tahu dapat adik perempuan. Harap diorang dapat menerima dan menyayangi si kecil tu. Seronoknya Maklong ngan Paklong dah dapat 2 lelaki & 2 perempuan. Mesti makin meriah suasana.

InsyaAllah bulan 12 ni giliran makngah pula. Insyirah, ummi ngan ayah doakan semoga makngah selamat melahirkan bayi yang sihat dan comel. Tak kisahlah lelaki ke perempuan. Maklong 11.11.2007, makngah plak 12.12.2007 ek. heheheh insyaAllah. Kita hanya merancang, Allah jualah yang menentukan segalanya.

Sekian dulu untuk kali ini. Tahniah untuk maklong dan paklong sekeluarga. Nanti jangan lupa hantar gambar baby ke kami:)

Sekadar Renungan

Hi, salam kepada semua :)

Apa khabar orang kampung, sihat tak? Insyirah dan keluarga sihat, Alhamdulillah. Baru-baru ini, 6 Nov 2007, Insyirah kena cucuk, 3 jarum pula tu. Alhamdulillah, Insyirah menangis sekejap saja :) Insyirah kan kuat, minum susu Ummi, InsyaAllah sihat dan kuat, membesar bagai johan, macam iklan Dumex tu :D. Lagi sebulan lagi, Insyirah kena pergi semula jumpa doktor untuk terima "injection" lagi, tak tahu pula berapa jarum yang bakal diterima.

Kat rumah kami, tiada TV lagi buat masa ni. Insyirah cuma tengok rancangan TV Malaysia dengan gunakan website youtube, dapatlah juga Ummi tengok cerekarama :D. Beberapa hari lepas, kami tengok cerekarama bertajuk "Malang Hari Kerana Hati", jalan cerita taklah dahsyat sangat (santai saja), tetapi ada pengajaran yang boleh di ambil darinya. Kami agak tersentuh dengan satu babak ni, yang skripnya lebih kurang seperti berikut:

"Kita selalu minta kekuatan daripada Allah,
Allah duga kita dengan kesusahan, agar kita jadi kuat.

Kita minta kebijaksanaan daripada Allah,
Allah duga kita dengan masalah, agar dapat kita selesaikan.

Bila kita mengidamkan cinta,
Allah jumpakan kita dengan orang-orang yang bermasalah,
agar dapat kita bantu.

Kita selalu mohon bantuan daripada Allah,
Allah takkan hampakan kita, Allah turunkan peluang.
Dalam hidup ini, Allah sediakan apa yang kita perlukan,
bukan apa yang kita inginkan. "

Kata-kata dalam dialog tu buat kami sekeluarga sedar dan insaf dengan keadaan hidup ini. Memang banyak kesusahan yang kita lalui, itu mungkin Allah ingin jadikan kita semua ni hamba yang kuat, bukan hamba yang hidup senang lenang tetapi punya banyak kelemahan. Kebijaksanaan yang kita inginkan terutamanya bagi mereka yang sedang menuntut ilmu, ianya bukan datang bergolek. Kita kena usaha belajar dan terus berusaha walaupun kita sukar untuk memahami sesuatu pada mulanya. InsyaAllah, dengan kesabaran kita dalam menghadapinya, pasti cahaya ilmu dikesan oleh kita.

Teringat pula zaman Nabi S.A.W, baginda dan sahabat-sahabat ditindas dan diseksa dengan pelbagai cabaran dan seksaan, tetapi mereka semua cekal dan tabah menghadapinya. Setelah mereka menerima Islam, begitu pula balasan yang diterima, kesan penyaksian terhadap keESAan Allah dan kerasulan Nabi S.A.W. Sekiranya hati masih was-was dan penuh kemunafikan, pastinya mudah menyoal keadaan tersebut. Tetapi, Allah menjadikan golongan Muslimin pada ketika itu suatu insan yang penuh dengan integriti. Mesej Islam tersebar luas dan Islam dipertahankan dari musuh di medan peperangan. Kejayaan mereka bukan datang bergolek sahaja atau hanya mengharapkan bantuan Allah, tetapi hasil latihan dan tarbiyah dari Allah dan rasulnya.

Sebenarnya, "post" kali ini bertujuan untuk mengingatkan kami sekeluarga di sini, yang kadang-kadang kurang bersemangat dan tidak bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Jika ikutkan hati yang malas dan leka ni, pasti terasa juga kekesalan melanjutkan pengajian ini. Tetapi sampai bila kita hendak lemah, mundur dan terkebelakang. Islam menyuruh kita maju, berjaya dan mempunyai pelbagai kekuatan supaya boleh membantu sesama kita, buat bekalan di alam akhirat sana nanti. Teringat kata-kata Tun Dr Mahathir, "hanya yang cekal dan tabah, dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya". Semoga kami sekeluarga dapat menggunakan PELUANG yang diberi ini sebaiknya dan sentiasa di dalam landasan yang benar, terus berusaha demi agama, bangsa dan negara. Doakan kami berjaya dan sentiasa beristiqamah dalam amalan :)

p/s: ada kisah saudara Muslim, Melayu, Malaysia di bumi UK (Coventry) yang lebih sukar kehidupan mereka. Isteri dan anak-anak baru kehilangan ayahanda mereka yang pergi ke Rahmatullah pada 29 Oktober 2007 (ayahnya mengidap penyakit kanser). Semoga Allah beri kekuatan dan hidayah kepada mereka sekeluarga dan tempatkan arwah ayahanda mereka di kalangan orang yang soleh.. Amiin http://pausetoreflect.blogspot.com/

Monday 29 October 2007

Sekitar usia 4 bulan

Alhamdulillah, Sabtu, 27 Oktober 2007, usia Insyirah telah genap 4 bulan dan kehidupan kami sekeluarga di tempat yang baru ini semakin baik walaupun banyak lagi kekurangan sebenarnya. Insyirah masih tiada sebarang perkembangan yang memberangsangkan, masih di tahap yang sedia ada. Kesihatan kami di sini, Alhamdulillah, Allah memberikan kesihatan yang baik untuk terus tinggal di bumi Nottingham ini. Cuma haritu selepas beraya, Insyirah selsema dan batuk selama seminggu, tapi sekarang Insyirah dah beransur sihat dan ceria kembali :)

Buat masa sekarang, Insyirah sudah pandai bezakan yang mana puting botol atau yang original dari Ummi :D. Insyirah masih tak nak minum susu dari botol, jadi terpaksalah ikut rutin harian Ummi dan Ayah ke universiti. Boleh dikatakan tiap-hari (Isnin hingga Jumaat), Insyirah akan ke universiti bersama Ummi dan Ayah dengan menaiki bas 50 (mulai Isnin ni, dah tukar ke nombor 190 pula). Insyirah sendiri pun tak pasti berapa lama lagi ianya akan berterusan. Harapnya Insyirah dapat juga menerima susu dari botol ataupun makan santapan tambahan selain susu sebelum tibanya musim sejuk tak lama lagi.

Insyirah tengah tunggu bas 50 bersama Ummi dan Ayah.
Di University of Nottingham, UoN (University Park Campus @ main campus bg UoN ni), Insyirah dan Ayah selalu pergi ke tasik sementara menunggu Ummi habiskan kelasnya. Kadang-kadang Ummi juga ada kelas di Jubilee Campus, jadi Insyirah dan Ayah akan lepak di sebelah bangunan sambil tengok burung-burung di tasik universiti. Di Jubilee Campus pun ada tasiknya sendiri, cuma kecil sedikit berbanding tasik di University Park. Untuk makluman semua yang tak biasa dengan UoN ni, terdapat beberapa kampus yang berasingan (tapi lokasi dia tak jauh sangat antara satu dengan lain) seperti University Park (main campus ni), Jubilee Campus, Sutton Bonington Campus dan Queen's Medical Centre. Setakat ini, Insyirah tak pernah pergi ke Sutton Bonnington Campus lagi sebab Ayah dan Ummi tiada urusan untuk ke sana lagi buat masa sekarang. UoN juga ada kampus di luar negara iaitu di negara tercinta, Malaysia (KL campus) dan di Ningbo - China. InsyaAllah, Insyirah akan melawat ke semua kampus ini sekiranya ada kelapangan dan kekuatan suatu hari nanti.



Insyirah menunggu Ummi di tasik University Park.

Pada 27 Oktober 2007 yang lalu juga, talian telefon dan internet baru dipasang ke kediaman kami di Bradgate Road ni. Sekarang tak perlu lagi Ummi dan Ayah ke cyber cafe untuk update blog ni. Insyirah pun dah boleh chat dengan Mak Ngah Ani selalu :) . Ayah daftar talian ni melalui online sahaja dengan syarikat Virgin Media. Kami tunggu selama seminggu lebih saja, nasib baik dia tak delay, kalau tak susah la Ummi nak buat tugasan dia nanti.

Tempat Insyirah ber"chatting" dengan Mak Ngah Ani.
Akhir kata dari Insyirah, kami sentiasa rindukan sanak saudara di Lahar Kepar & Felda Pengeli Timur serta sahabat handai semua, walau di mana anda berada sekalipun. Buat Makcik Aslina yang baru pulang bertugas di USM (masuk school mekanik) dan Makcik Mimi yang bakal pulang, selamat bertugas yer. Semoga berjumpa lagi nanti bila sambung PhD kelak.
Salam dari Nottingham buat anda semua.

Monday 15 October 2007

Sambutan Aidilfitri 2007

Allaahu Akbar, Allaahu Akbar, Allaahu Akbar, Wa LillaahilHamd

Alhamdulillah, seluruh ummat ISlam telah selamat menjalankan ibadah puasa selama sebulan dan Insyirah pula dah 2 minggu lebih berada di bumi Nottingham. Selalunya di Nottingham ni, warga Malaysia akan ikut keputusan Raya yang dibuat oleh ISlamic Society di UoN atau berdasarkan masjid di London. Jadi, kami di Nottingham telah menyambut Aidilfitri pada hari Jumaat, 12 Oktober 2007 (ada warga Pakistan sambut raya pada hari Sabtu). Ayah telah pun bayar zakat fitrah kami sekeluarga di Masjid Karimia di mana setiap orang dikenakan zakat sebanyak GBP 2.50.

Persediaan malam raya, Ummi ada belikan ayam dan daging kambing beserta dengan bihun di kedai berhapiran rumah. Bagi raya kali ini, persiapan hanya dilakukan untuk kami bertiga sahaja sebab banyak kekurangan alat di rumah kami ini. Periuk besar pun tak ada lagi. Periuk yang ada cuma cukup untuk masak bagi kami bertiga. Hari raya pertama, kami tertidur sebab letih mengemas rumah hinggakan ayah sendiri tak pergi sembahyang raya. Cumanya, Ayah pergi solat jumaat dan petangnya Ummi ada kelas pula (hehehe, Ummi ponteng kelas tu dan kami pergi cari periuk besar dan telefon nenek di Malaysia. Sempat la juga layari internet buat seketika).

Hari raya kedua, Sabtu, warga Malaysia di Nottingham berkumpul di suatu dewan dekat Noel Street dan kami juga turut hadir di situ. Ummi hanya bawa karipap dan kek untuk majlis tu. Meriah sambutan raya di situ dan banyak juga laa Insyirah bergambar dengan warga Malaysia yang lain. Kami hanya sempat bergambar di dewan sebab bateri kamera dah nak habis pula, uhuuhu. Lepas tu kami pergi jalan-jalan dengan Uncle Azmil sekeluarga ke rumah terbuka pelajar Malaysia di Nottingham, antaranya rumah uncle Muzammil, Wan, Nizam, Iko dan uncle Zainal. Masa Maghrib, uncle Azmil sekeluarga singgah solat di rumah kami sambil menjamu apa yang ada di rumah kami :D . Lepas Isyak, jalan lagi, ke rumah uncle Taufik dan last sekali sampai ke rumah uncle Ahmad/auntie Jasmin. Dahsyat betul beraya di sini, kat Malaysia pun tak beraya dari pagi sampai ke malam, hari Ahad pun ada rumah terbuka lagi tapi kami tak pergi sebab letih dan Ummi nak buat tugasan MSc.



Insyirah dan keluarga semasa sambutan Aidilfitri 2007 anjuran NMC.

Sepanjang minggu lepas pula, Insyirah ikut Ummi dan Ayah ke universiti. Tiap-tiap hari Insyirah naik bas 50 samada ke University Park Campus ataupun Jubilee Campus. Hari Isnin, Insyirah lepak dengan Ayah di tepi tasik University Park. Cantik permandangan tasik ni di samping angsa dan burung-burung yang berkeliaran di sekitar tasik. Tenang sikit hati kami bila lihat suasana tenang di tepi tasik. Lepas tu, Ayah selalu bawa Insyirah ke tepi tasik bila tunggu Ummi habis kelas di University Park. Masa kat Jubilee Campus pula, tasik dia kecil sedikit dan ada banyak juga angsa dan burung di sini (tak sebanyak di University Park). Insyirah dan Ayah tunggu Ummi di tepi bangunan sambil menghadap kawasan tasik. Kami selalu balik ke rumah pada pukul 5.10 pm dengan bas yang sama. Selalunya ramai la kawan-kawan Ummi dan Ayah (pelajar Malaysia) pulang bersama Insyirah :D.

Minggu lepas juga merupakan minggu yang penting sebab beg tangan Ummi yang tertinggal dalam bas National Express telah dijumpai. Ummi selalu rasakan yang beg dia masih ada dan dia cuba telefon sekali lagi ke wakil National Express iaitu Veolia Transportation pada pagi Selasa. Hari tu hujan turun renyai-renyai dan lebat sikit kadang-kadang tu (tapi tak selebat hujan di Malaysia) dan Ummi tak pergi kelas. Bila Ummi telefon ke Veolia tu dan tanya pasal beg tu, Ummi cakap la nama dia zuraihana. Respon dari orang di sana, "Are you Ms Z*raih*na B*chok (dia sebut BAKOK)". Ummi terus excited dan akhir sekali pastila yang beg tangan Ummi telah dijumpai. Alhamdulillah syukur sangat. Veolia Transportation tu terletak di Beechdale Road, Nottingham dan kami bertiga tak tahu di mana lokasi dia. Jadi kami ambil keputusan untuk ke universiti untuk cari maklumat di internet. Alhamdulillah, masa nak naik bas 50, uncle Nazri (UTeM) ajak Ayah ke ofis dia di School Electrical dan dia yang carikan tempat Beechdale Road tu dan printkan peta ke situ. Berpandukan peta yang diberi, Ayah telah pergi ambil beg tangan Ummi sambil Insyirah dan Ummi menunggu Ayah di lounge area, School M3. Ayah tiba semula di School M3 hampir pukul 12.15 pm bersama dengan beg tangan. Syukur sangat sebab semua barang dalam beg tu tak hilang termasukla kamera kesayangan Insyirah dan cincin-cincin perkahwinan Ummi. Sempena Aidilfitri 2007 ini, dapatlaa kami sekeluarga bergambar bersama pelajar-pelajar Malaysia yang lain di Nottingham.

Gambar pertama selepas kamera di jumpai.

Cukup dulu berita dari kami di sini. Sekali lagi, ucapan SELAMAT HARI RAYA buat kaum keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Doakan kesejahteraan untuk kami sekeluarga di sini :) wassalam.

Sunday 7 October 2007

Pindah ke rumah sewa & Salam Aidilfitri 2007

Alhamdulillah, sudah 12 hari kami sekeluarga berada di tanah Inggeris bagi meneruskan pengajian Ummi dan Ayah di University of Nottingham. Sepanjang itu jugalah, kami telah berteduh buat sementara waktu di rumah uncle Azmil sekeluarga. Sekarang, waktu lebih kurang 11 malam (Sabtu) di Nottingham dan pukul 6 pagi waktu Malaysia. InsyaAllah, esok Insyirah, Ummi dan Ayah akan berpindah ke rumah sewa kami di Forest Field, Nottingham di mana kehidupan sebenar kami sekeluarga di rumah sendiri akan bermula. Rumah tu disewa pada kadar GBP400 sebulan dari orang Pakistan di sini. Barang-barang kelengkapan dah banyak juga dibeli, cukupla sekadar untuk memulakan hidup baru di sini.

Bila pindah ke rumah baru nanti, susah sikit la Insyirah nak online sebab internet tak ada lagi. Tempoh pemasangan internet biasanya lebih kurang 3 minggu dan perlukan seseorang tu ada akaun bank terlebih dahulu. Ummi dah buka akaun di Nat West bank, InsyaAllah minggu depan dah boleh dapat (buka akaun bank pun lambat nak dapat nombor akaun, kat Malaysia cepat saja, on the spot boleh siap akaun baru). Jadi di kesempatan ini, Insyirah nak mencoretkan sedikit perkembangan kami di sini sebelum berpindah ke rumah baru nanti.

Sekarang ini, umur Insyirah baru masuk 3 bulan 10 hari (kecil lagi ni dan tak mampu pun nak tulis blog lagi.. heheheh..) tak ada sebarang pencapaian yang ketara lagi. Cumanya Insyirah suka minum susu Ummi sampai kadang-kadang tu Ummi terasa sakit semasa menyusukan Insyirah. Sebelum ni, Insyirah minum juga susu yang diperah Ummi ke dalam botol , tapi semenjak Selasa yang lepas (2/10/2007), Insyirah dah taknak minum susu dari botol walaupun susu yang diperah oleh Ummi. Susu formula jangan cakap laa kan, hehehe, mungkin Insyirah tak berminat lagi kot. Susah juga la keadaan ni sebab Ummi terpaksa pergi kelas dan Ayah yang jagakan Insyirah masa tu. Bila Insyirah lapar/dahaga, Ayah dah cuba berikan susu yang diperah Ummi ke dalam botol, tapi Insyirah tak nak juga. Masa kelas pertama Ummi (Khamis, 27/9/2007), Insyirah minum juga susu yang diperah ke dalam botol sampai habis semuanya (sampai tk cukup bekalan pula hari tu). Tapi sekarang, Insyirah pun tak pasti apa yang berlaku pada diri Insyirah, uhuhuhu. Semasa Ummi ke kelas, Insyirah asyik nangis bila dahaga hinggakan sekarang ni suara Insyirah dah serak-serak. Ada sesiapa tahu sebarang tips macam mana nak biasakan bayi minum susu dengan gunakan botol?? Semoga Allah memberi petunjuk dan pertolongan buat Ummi dan Ayah dalam menangani masalah ni.

Pada masa ini juga, ummat Islam di Malaysia telah berpuasa selama 25 hari (dah tak lama nak raya ni). Kami sekeluarga memang selalu ingatkan keluarga di Malaysia, cumanya tak berpeluang untuk menghubungi sanak saudara di sana lagi buat masa sekarang. Kepada saudara-saudara Insyirah dan rakan-rakan Ummi dan Ayah di Malaysia, kami harap ruang di blog ini akan menjadi wadah berita dari kami sekeluarga di sini. Kami bertiga juga berharap kalian semua sentiasa sihat sejahtera dan dapat menggunakan peluang terakhir di bulan Ramadhan tahun ini meningkat amalan kepada yang ESA. Tidak lupa juga, selamat membuat persiapan menyambut kedatangan hari lebaran, berbelanjalah dengan sederhana, mudah-mudahan diberkati Allah.

Akhirul kalam, buat sesiapa yang membaca blog ini, kaum kerabat dan sahabat semua, kami sekeluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan (in advance) SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN. Semoga berbahagia di hari lebaran, selamat kembali kepada "fitrah" kesucian. Mudah-mudahan puasa kita semua dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Salam Aidilfitri dari kami di rantau orang. Biar jauh di mata, tapi anda semua tetap dekat di hati.

Monday 1 October 2007

Salam dari bumi Nottingham

Assalamualaikum semua..

Alhamdulillah, Insyirah, Ummi dan Ayah telah sampai ke bumi UK lebih kurang pada pukul 5.30 pagi (waktu UK), 25 September 2007. Sepanjang perjalanan Insyirah baik-baik sahaja :) tidur lena dalam basin yang disediakan. Ummi dan ayah pun tidur lena juga. Masa kat airport London Heathrow, banyak juga la step yg perlu dilepasi sebelum boleh ambil beg kami. Alhamdulillah, tiada apa yang sangkut.

Mulanya kami rancang untuk ke Nottingham dengan train, tapi lepas tanya kaunter, diorang cakap perlu tukar 2 kali train kalau nak ke Nottingham. Jadi, kami ambil keputusan untuk naik bas ke Notts. Bila ke kaunter tiket bas "National Express", tiket perjalanan yang masih kosong ialah pada pukul 2.30 ptg, Nombor bas 230. Perjalanan pagi telah habis dan masa tu jam baru 8.15 pagi. Terpaksalaa kami tunggu sampai ke petang. Cuaca sejuk kalau nak dibandingkan dengan Malaysia. Insyirah pun dah mula rasa tak selesa dengan cuaca kat sini, kulit dah mula kekeringan. Kami tunggu di stesen bas sampai ke petang. Bas lewat sikit, pukul 3.15 ptg baru bergerak ke Notts.

Sepanjang perjalanan ke Notts, Insyirah menangis saja, hampir 80% perjalanan Insyirah nangis. Kulit Insyirah kering sangat masa ni dan tangan Insyirah pun dok "tenyeh" muka sampai mata pun nak lebam (mcm anak Jepun). Kami sampai di Broad Mash Station, Nottingham hampir pada pukul 7 malam. Insyirah nangis lagi masa ni, ayah pun kalut-kalut angkut barang sebab dah nampak uncle Azmil dan auntie Shahnaz dah menunggu kat stesyen. Banyaak la jugaa beg kami, berat-berat pula tu. Kemudian kami terus ke kereta untuk balik ke rumah uncle Azmil.

Allaaahu Akbar. Ummi tanyakan ayah "hand-bag ambil tak tadi?", ayah jawab "mana nak tau, ummi tak ambil ka?".. beg tangan ummi tertinggal dalam bas (dok bawah kerusi, tak perasan masa nak turun).. dalam beg tu ada kamera, cincin-cincin umi, wallet ummi dll. Kami cuba patah balik ke stesyen tapi bas tadi dah tak ada. Uncle Azmil nasihatkan suruh balik rumah dulu dan bertenang. Esok call National Express untuk buat laporan dan tunggu respon dari diorang. (tak dapat pun, diorang cakap takda pun hand-bag ummi).



Uncle Azmil dan Untie Shahnaz yang banyak membantu kami di sini.

Kami redha dengan apa yang terjadi, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Yang pasti, cabaran yang lebih besar menanti di hadapan sana. Kelas ummi pun dah bermula pada 27/9/2007, ada 2 kelas hari tu. Ayah jagakan Insyirah sendirian kat rumah uncle Azmil (kalut juga ayah aritu sebab pertama kali jaga Insyirah sorang-sorang). Sekarang ni kami dah dapat rumah sewa kat 106 Bradgate Road, Nottingham tapi kami tak pindah lagi, masih tinggal kat rumah uncle Azmil sebab nak selesaikan beberapa urusan lagi. Insyirah doakan kesihatan dan kesejahteraan ummi dan ayah sepanjang mengharungi pengajian di Nottingham. Insyirah pun tahu yang ummi dan ayah sentiasa doakan kesihatan dan kebaikan buat Insyirah :). Mudah-mudahan Allah bantu kita semua dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang.

Secebis duka kami ni, hanya kecil sahaja jika dibandingkan dengan kisah duka para sahabat Nabi dalam merintis jalan untuk menegakkan agama Islam. Cthnya, sahabat-sahabat telah tinggalkan semua harta benda demi menyahut seruan hijrah Nabi S.A.W. Semoga kami sekeluarga sentiasa tabah untuk berjuang di jalan ini. InsyaAllah, MALAYSIA BOLEH dan usaha yang terbaik buat MALAYSIAKU GEMILANG!!!

Salam dari kami di 14 Caulton Street, Hyson Green, Nottingham. Suka duka penjejak ilmu.

Tuesday 11 September 2007

Rombongan Cik Insyirah ke Putrajaya

Hari ini (dah masuk hari lain skrg ni) Selasa, 10 September 2007, buat pertama kalinya Insyirah pergi ke Putrajaya. Perjalanan ini tidak dirancang sama sekali, hanya keputusan "last-minute" untuk pergi mengambil surat tawaran sambung belajar dari Pn Naimah, KPT (masa semakin suntuk untuk ayah ummi sebelum semester di UoN bermula). Insyirah bertolak dari Nibong Tebal lebih kurang pukul 11 am dan sampai di Putrajaya dengan ayah dan ummi pada pukul 3.45 ptg dan mencari lokasi Kementerian Pengajian Tinggi dan alhamdulillah berjaya dijumpai. Tapi kena jalan kaki jauh juga, hampir 300 meter. Sudah la panas juga hari ini, Insyirah nak nangis saja.

Bila sampai di bangunan KPT, receptionist cakap yang bahagian biasiswa terletak di Menara PJH dan dia bagi alamat tempat tu. Menara PJH tu kat Presint 2 la, kami tak biasa la dengan Putrajaya ni, jadi terpinga-pinga dan terfikir-fikir kat mana Presint 2 tu. Kemudian ummi tanya "kat mana Menara PJH tu", yang lawaknya receptionist tu cakap "kat Menara PJH laa" ,, apa punya jawapan daa, lebih baik cakap kat Malaysia jer lagi senang. Kemudian telefon Pn Naimah dan dia cakap Menara PJH tu terletak satu jalan dengan "Palace of Justice". Kan senang kalau cakap gitu, boleh la kami cari dengan jayanya.


Insyirah dan Ummi di depan Menara PJH

Menara PJH tu dari Masjid Putrajaya dah boleh nampak, senang jer nak cari sebenarnya. Ayah letak kereta di sebelah bangunan dan kena caj bila keluar. Sebelum masuk ke Menara PJH tu, ayah bertanyakan pengawal disitu ttg alamat yang diberi samada betul ker tidak. Dan lawak keduanya berlaku "Adik, kat sini ada dua Menara PJH, satu dekat Presint 1 dan satu lagi dekat Presint 2. Sini Presint 1". Alamak, takkan silap lagi, kereta dah masuk parking dan malas nak cari parking lagi sbb kena bayar. Kemudian Pakcik tu suruh kami tanyakan receptionist kat dalam. Then, mmg betul la tmpt yg dituju, disitu mmg Presint2, Presint1 dekat Alamanda. Apaa laa PakGad tu, kerja situ pun tatau alamat tempat kerja sendiri. Macam mana nak jaga keselamatan orang lain kalau mcm ni.


Selepas ambil surat dari Pn Naimah, kami pergi sembahyang di Masjid Putrajaya. Kemudian terus balik semula ke Pulau Pinang. Kami juga singgah di Restoran Jejambat Sg Buloh utk "pekena" Sate Kajang Samuri buat kali terakhir sebelum pergi ke UK. Perjalanan harini agak baik dan Insyirah tiba di rumah pada pukul 11.30 malam. OK, tidur dulu ya, esok ada banyak kerja lagi, wassalam.

Wednesday 5 September 2007

Alhamdulillah, teramat syukur padaMu Ya Allah

Jam 11.30 mlm, 4 September 2007 (tengah tidurkan Insyirah masa ni) suami tolong semakkan email dan dia beritahu berita yang teramat gembira bagiku apabila email Ana dibalas oleh Ms Dorothy yang Ana sering hubungi akhir-akhir ini (sehari check email berbelas kali tapi sering hampa apabila masih tiada jawapan darinya). Hari ini akhirnya Cik Dorothy membalas email Ana dengan jawapan yang positif dimana rayuan yang dipohon telah diterima apabila School of Mechanical, Materials and Manufacturing Engineering, University of Nottingham telah mengenepikan syarat IELTS ku (dua kali amik masih dapat 6.0, huhuhuh). Alhamdulillah, syukur teramat sangat kehadratNya kerana mengabulkan permintaanku untuk menyambung pelajaran.

email yang diterima dari Cik Dorothy Kurpanik :-)
*************************************************************************
Dear Z*raih*na

I have been notified by the school that they are willing to waive your English condition based on the information you have provided and the information that was shown on the website when you initially applied. I will send your letter today. I hope you receive it soon.

Regards,
Dorothy

************************************************************************

Pada mulanya Ana agak berputus asa dengan rayuan yang dibuat dan Ana juga rasa peluang untuk Ana menyambung pelajaran pada tahun ini agak tipis kerana Ana masih belum menerima unconditional offer dari University of Nottingham. Haritu permohonan suami yang masalah bila pihak Kementerian Pengajian Tinggi KIV permohonan dia sebab kuota ke UK bagi USM dah penuh untuk tahun ni. Lepas rayuan dia diterima, Ananya permohonan pula yang masalah sebab masih tidak memperolehi unconditional offer. Hmmm, macam-macam masalah yang menimpa. Orang sekeliling pula asyik bertanya bila nak "fly"...sampai tak tahu nak cakap apa. Dalam hati ni dah asyik fikir untuk mengambil cuti tanpa gaji setahun jer untuk ikut suami sambung PhD nya di University of Nottingham (duduk rumah jaga Insyirah, fulltime housewife :-D).

Sesungguhnya kita hanya merancang, tapi perancangan Allah lah yang terbaik untuk kita semua. Di sini Ana cuma mengharap agar Ana dapat menggunakan peluang yang diberikan sebaiknya dan berjaya dengan cemerlang serta dapat menjalani liku-liku yang bakal mendatang dengan tabah dan sabar.

Ana harap kengkawan semua dapat berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada Ana untuk menerima ilmu disana. Semoga pemergian Ana ke UK dapat menjadikan diri ini sebagai seorang "pendidik yang berkualiti" suatu hari nanti. InsyaAllah...

Thursday 30 August 2007

Passport & Cucuk

Siang tadi, 29/8/2007, Ummi bawa Insyirah pergi cucuk (DTP, Polio, Hepatitis B ke-2.. 3 in 1 :D) di Klinik Kesihatan Jalan Bukit Panchor. Insyirah tidur masa tu, nurse kejutkan Insyirah untuk timbang berat, dah 4.5 kg berat saya skrg :D. Tapi Insyirah nangis lepas tu "aiii.. aiii ... aiii" hehehe,, bunyi intro nak menangis mcm selalu. Lepas tu kena cucuk, apa lagi, cek "ngeyau" kuat-kuat laa.. huhuhuhu. Nurse suruh Insyirah makan ubat untuk elak demam, dia pesan jangan tuam dengan air panas, hanya makan ubat sahaja. Lepas klinik Insyirah pergi School Mekanik dulu, hari ni "Atok" Khaizi (pendaftar Mekanik) dukung Insyirah, lama laa jugak dan Insyirah jumpa "kakek" Indra :D. Bila balik rumah Insyirah makan ubat. Ummi yang suapkan, hehehe, ayah mana reti suap, kuang kuang kuang.

Ni gambar Insyirah tengah makan ubat buat kali kedua, dah pukul 12.50 pagi masa ni. tapi Insyirah termuntah balik lepas makan ubat kali ni. Doakanlaa Insyirah sihat yer, mudah-mudahan tak demam. Kalau demam nanti mesti Ummi dan Ayah susah hati.


Ni pula gambar Insyirah sebelum pergi cucuk, Ummi yang ambilkan sambil nyanyikan ".. Insyirahh... Anak Ummi.... Insyirah ...". Masa ni ayah tak ada kat rumah. Ayah pergi "School" untuk fax surat "unconditional offer" ke Pn Naimah (KPT) dan Pn Heznina (USM). Ayah juga pergi jumpa Dr Zaidi tanyakan tentang keadaan Ummi, boleh ker tak nak apply cuti tanpa gaji setahun sebab Ummi tak dapat "unconditional offer letter" lagi. Dr Zaidi suruh rayu kat Nottingham University dulu, harap-harap diorang terima laa rayuan Ummi.


Hari Selasa lepas, 28/8/2007, Ayah, Ummi dan Insyirah pergi buat passport antarabangsa kat Pejabat Imigresen Seberang Jaya. Kat atas tu, Insyirah tengah bergaya untuk ambil gambar passport B-). Mahal juga buat passport, Ummi dan Ayah dicaj RM300 setiap orang dan Insyirah dicaj RM150, semuanya RM750, nasib baik Long Mi bagi duit untuk buat passport ni. Dalam kehidupan ni, banyak jasa orang lain terhadap kita. Jadi Insyirah ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menolong kami sekeluarga samada secara langsung ataupun tidak langsung. Semoga Allah membalas jasa baik kalian, Insyirah doakan kebaikan untuk kita semua.
Ok semua, Insyirah nak tidur dulu la, dah ngantuk ni, Selamat Malam.

Thursday 9 August 2007

Di hari ke-44 selepas bersalin


Alhamdulillah, hari ini Ana dah berada pada hari ke-44 selepas bersalin, hehehe, dah lepas tempoh berpantang. Sekarang Ana dah kembali berada di rumah sewa kat Taman Bukit Panchor, Nibong Tebal. Baru jer sampai semalam dengan ditemani mak. Harap kesihatan diri ni semakin baik dan juga Insyirah sihat dan tak nangis sangat :D , sebab ummi nak studi skit ni, kena amik test utk sambung belajar MSc.

Insyirah yang tidur di sepanjang perjalanan balik ke Nibong Tebal


Sabtu ni, 11 Ogos 2007, sekali lagi Ana kena ambil semula test IELTS sebab keputusan aritu, 6.0, tidak melepasi syarat University of Nottingham (dalam website tak cakap dengan jelas, dapat surat tawaran sementara baru diorang cakap nak 6.5), hanya lepas syarat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ana harap sangat dapat capai result 6.5, kalau tak, tak tahula macam mana nanti, mungkin kena buat rayuan kot :D (boleh ker tidak yer???). Harap rakan-rakan semua dapat mendoakan kejayaan Ana dalam test Sabtu ini yang akan dijalankan di Hotel Cititel, Penang under British Council. Insyirah pun jangan lupa untuk doakan Ummi k ;)





"Ya Allah, bantulah diri ini dalam menghadapi sebarang ujian dan halangan dalam kehidupan ini, khasnya ujian dan cabaran dalam menuntut ilmu. Bantulah aku dan rakan-rakan yang lain dalam usaha kami menimba sebanyak ilmu yang mungkin untuk mendidik umatMu di kemudian hari nanti. Bukakanlah hati kami semua dan tetapkanlah diri kami untuk sentiasa berusaha keras menimba ilmu keranaMu Ya Allah. Amiinn Ya Rabbal A'lamiin."

Monday 23 July 2007

~ My Precious ~

Alhamdulillah, Insyirah telah selamat dilahirkan melalui "caesarian operation" pada 27 Jun 2007, 12 Jamadil Akhir 1428H, Rabu jam 1.39 pagi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semoga Insyirah menjadi anak yang solehah, amiinnn.

Sekadar renungan, mudah-mudahan beroleh manfaat dari ayat di bawah ini dari Surah Al-Ahqaaf, ayat 15.

maksud ayat:

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".



Close-up Insyirah di hari pertama kelahiran.


Insyirah di samping Ummi :)

"... Ya Tuhan kami, anugerahkanlan kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa", Al-Furqaan, ayat 25

Sunday 3 June 2007

Bukan Kerana Nama

Bukan Kerana Nama
-
Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu
-
(chorus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan
-
Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini
Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu

Friday 30 March 2007

Pemula bicara

Assalamualaikum buat semua yg dihormati :)
Assalamualaikum... pembuka bicara...
salam perkenalan kepada semua
saya cuma hamba biasa
Melaksana amanah perintah di dunia
Akhirat sana matlamat utama
Di sini ku tulis di alam maya
mencoret idea berkongsi cerita
Jika kurang atau salah, tegurlah sebaiknya
Semoga kita sentiasa dalam rahmatnya
amiinnnn :)