Tuesday 28 June 2011

Membentuk Insan Rabbani berdasarkan Modul Luqman Al-Hakim

Sebagai gantian tidak ke usrah Sabtu lepas petang Sabtu tu kami sekeluarga menonton video ceramah daripada Ustaz Hasrizal Abd Jamil di youtube. Ceramah yang sangat menarik berkenaan dengan institusi kekeluargaan dengan tajuk membentuk insan rabbani berdasarkan modul Luqman Al-Hakim. Boleh layan youtube ceramah tersebut dengan klik ke link ini.

Banyak ilmu kekeluargaan yang diperolehi yang boleh digunakan dalam mendidik anak-anak. Selepas ini kalau hendak melarang anak membuat sesuatu, kalau boleh elakkan daripada menyebut perkara negatif seperti JANGAN LARI-LARI, JANGAN PANJAT-PANJAT dan bermacam-macam JANGAN lagi kerana selalunya anak akan memahami perkataan yang paling akhir seperti LARI-LARI, PANJAT-PANJAT dll. Itu yang semakin kita larang, semakin menjadi perangai anak-anak membuat apa yang kita larang sebab dia ingatkan kita suruh mereka lari-lari, panjat-panjat. Penyelesaian daripada masalah di atas, sebutkanlah yang positif seperti "jalan perlahan-lahan", "duduk diam-diam" disebalik sebut "jangan panjat-panjat" atau "jangan lari-lari". Fokuslah kepada penyelesaian sesuatu masalah tersebut, BUKAN sebut masalahnya.

Selain itu, Ustaz Hasrizal juga menekankan agar jangan hilang kawalan diri dan perlulah banyakkan bersabar dalam menangani keletah anak-anak. Beliau memberikan contoh diri beliau sendiri dalam menahan sabar dengan karenah anak-anak beliau juga memberi contoh Sandra Covey, isteri kepada Stephen Covey (penulis buku 7 habits) yang bijak melayan karenah anaknya. Ustaz Hasrizal juga menyebut bahawa "bukanlah yang GAGAH itu yang kuat bergusti, tetapi GAGAH itu ialah yang KUAT MENAHAN DIRI KETIKA MARAH".

Ini contoh slide penceramah berkenaan kerangka modul Luqman. Keseluruhan ayat dalam surah Luqman telah diringkaskan oleh penceramah seperti dalam rajah ini. Nasihat-nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya ada 4 iaitu:-
  1. Nasihat yang berkaitan dengan fizikal
  2. Nasihat yang berkaitan dengan intelektual
  3. Nasihat yang berkaitan dengan emotional
  4. Nasihat yang berkaitan dengan spiritual
Setiap nasihat tersebut mempunyai cara dan kaedahnya bagaimana ingin merealisasikannya.

Anak bermula dengan tidak tahu apa pun. Kita sebagai ibubapa inilah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadi anak yang baik atau sebaliknya. "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati nurani, agar kamu bersyukur (Al-Nahl:78)

Banyak lagi yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal dalam ceramahnya. Jom dengar:)

Monday 27 June 2011

Insyirah 4 tahun !

Lagi sebulan lebih nak genap 4 tahun, sudah terima kad dari ToysRus ni ;)

Alhamdulillah syukur kepadaMu ya Allah kerana memberikan nikmat kehidupan dan kesihatan yang baik buat anakanda Nihlah Insyirah sehingga beliau mencapai usianya 4 tahun hari ini. Anugerah kehidupan yang terindah kami perolehi 4 tahun yang lalu benar-benar memberikan kegembiraan yang tidak terhingga buat kami berdua. Kehadirannya melapangkan hati kami dari segala perasaan sedih, kecewa dan gundah gulana yang sentiasa mengacau ketenteraman akal fikiran Ummi khususnya. "Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan" (Al-Insyirah:5). Sememangnya Allahlah yang sebaik-baik perancang. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Serahkanlah segala urusan kepada Allah, nescaya hati itu akan tenang menghadapi setiap ujian yang diberikan (namun ketika itu, hati ini masih jahil tentang itu dan kerap mempersoalkan apa yang menimpa diri, huhuhu). Astaghfirullahalazim. Ampunkanlah diri ini ya Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram/tenang (Ar-Ra'd:28) Maka dengan kelahiran puteri sulung kami ini, kami bersepakat memberinya nama Nihlah Insyirah yang membawa maksud Nihlah = pemberian dan Insyirah = kelapangan hati/kegembiraan.


Sejak nak masuk umur 4 tahun ini, sudah faham apa itu sambutan hari lahir yang selalu dilihat di television, internet dan kadang kala menghadiri jemputan sambutan hari lahir rakan-rakannya. Sudah pandai minta hadiah, cake, party dll :) Sebelum pergi ke sekolah, siap pesan nanti Ummi bawa kek kat sekolah tau. Nasib Ummi ada pesan kek dengan rakan yang pandai buat kek dan bawanya ke sekolah di akhir waktu sekolah, lebih kurang jam 11.30 pagi. Sampai-sampai je sekolah, cikgu dia nak pasang lilin di atas kek tu (kami tak bawa pun), dan suruh semua kawan-kawannya nyanyi happy birthday. Kemudian cikgu tolong potong kek itu dan Insyirah bahagi-bahagikan pada setiap rakan (lebih kurang 40 orang). Insyirah sangat seronok, dan bila balik rumah tak sabar dia nak makan baki kek tersebut. Kek lobak tersebut tersangat sedap. Insyirah tanya Ummi, "Ummi buat kek untuk Insyirah?, Ummi mix the cake?" (maksudnya Ummi buat sendiri ke kek tu, huhuhu) Umminya jawab, Tak, Ummi pesan dengan makcik Zana, makcik Zana yang tolong buatkan untuk Insyirah. Cantik dan sedapkan? Ummi mana pandai buat kek, nanti Ummi belajar buat kek ok;)

Antara rakan-rakan baik Insyirah di nursery, Aliya, Saliha, Nichola, Olivia & Oscar, Alina & Tarin

Sekarang ini bila ditanya berapa umur Insyirah, pasti dijawabnya I'm 4 years sampaikan Nuha yang baru 2 tahun itu pun sibuk sebut yang dia pun 4 years juga, hehehe. Insyirah sangat suka menulis, melukis, mewarna, membaca, menggunting-gunting kertas dan tampal-tampal. Insyirah juga seorang kakak yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap adik-adik. Kadang-kadang kami terharu bila mana Insyirah boleh mimik kerja Ummi dalam melayan karenah Ahmad dan Nuha. Pendek kata, Insyirah sudah boleh diharap dalam membantu tugas harian Ummi. MasyaAllah, sudah besar anak kami. Cumanya sering kami perhatikan bila mana kami ada tetamu di rumah, perangainya menjadi lebih manja dan agak luar biasa yang agak menguji kesabaran Umminya.

Selepas buat video Nuha ketika besday nya yang lalu, Insyirah suruh Ummi buat video untuknya pula. Boleh dikatakan setiap hari Insyirah bertanya kepada Umminya sama ada videonya sudah siap ke belum. Hahaha, agak stress juga Umminya bila kerap ditanya soalan yang sama. Tambahan pula, Umminya ini jenis buat kerja bila ada mood sahaja. Dengan itu, terhasillah video ini untuk tatapan anak-anak Ummi dan Ayah. Semoga Insyirah akan sentiasa mengingati Allah, Rasulullah, Ummi, Ayah, Nuha dan Ahmad :)

Selamat Hari Lahir yang ke-4 sayang. Semoga Nihlah Insyirah menjadi anak yang solehah yang berjaya di dunia dan akhirat serta menjadi kebanggaan kami sekeluarga.Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan Allah dan diberkati hidupmu selalu, amin.

Wednesday 8 June 2011

Ahmad 6 bulan

Berat terkini Ahmad baru 5.85 kg (timbang minggu lepas, 2 Jun 2011). Sekarang ini masih menyusu badan sepenuhnya dan belum mula makan apa-apa. Haritu Dietitian sudah mula suruh untuk mula memberikan Ahmad makan, cuma Umminya sahaja yang agak ragu-ragu nak bagi. Ummi Ahmad pula telah pantang dari segala jenis makanan yang berunsurkan susu kerana menyusu Ahmad seperti cow's milk, butter, margarine, cheese, cream, aiskrim dan yogurt. Sekarang ni Ummi Ahmad hanya minum susu soya dan mengambil supplement calcium & vitamin D. Walaupun Ummi Ahmad pantang dari makanan-makanan tersebut, nampaknya eczema Ahmad makin teruk. Ini mungkin disebabkan telur rebus yang dimakan oleh Umminya (gara-gara nak habiskan Nuhanya telur), huhuhu. Agak tensi juga sebab Umminya telah berusaha untuk mengawal pemakanannya tetapi keadaan eczema Ahmad masih teruk. Sepatutnya telur tiada unsur susu dan boleh di makan. Terus terdetik dalam hati kalau bagi susu Nutramigen tu, adakah eczema Ahmad akan pulih?? Tapi apa nak buat dengan susu yang sedia ada ni, takut jadi bengkak susu pula, huhuhu.

Perkembangan Ahmad sekarang semakin aktif dan sudah boleh pusing-pusing. Asyik-asyik nak meniarap sahaja. Agak susah nak salin lampinnya sebab asyik nak meniarap :) Lehernya juga semakin kuat dan Ummi sudah boleh meletakkannya di dalam bumbo chair :) Seperti biasa, Ahmad sangat pemurah dengan senyuman kepada orang yang dikenalinya. Pantang ditegur, ketawalah dia :)

Sepatutnya sekarang ini kami sekeluarga berada di Italy mengikuti Ayah yang ada conference di sana tetapi disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, hanya Ayah yang berada di sana. Ummi dan anak-anak berada di rumah. Ini merupakan kali pertama Ummi menjaga anak-anak sendirian dan kali pertama Ayah berenggang dengan anak-anak. Sejak Ahad lepas Ayah berada di Italy dan kami semua tidak sabar nak tunggu hari Jumaat ini. Penerbangan Ayah dijangka tiba di lapangan terbang Birm jam 9.30 malam. Harap-harap janganlah ditunda hendaknya. Semoga perjalanan Ayah dipermudahkan.

Thursday 2 June 2011

Allergic to COW'S MILK

3 hari lepas, balik dari Scotland terima banyak surat. Kebanyakannya untuk Ahmad dan salah satunya adalah surat keputusan ujian darah yang diambil masa jumpa pakar kulit hari tu. Dengan itu, adalah disahkan Ahmad allergic terhadap susu lembu. Patutlah masa kami di Scotland terima panggilan telefon untuk buat temujanji dengan Dietitian (di mukasurat belakang surat tu terus cc kepada Dietitian agar buat temujanji dengan ibubapa Ahmad). Masa tu dalam hati sebab apa pula nak kena jumpa Dietitian ni, terus ingat salah dengar agaknya, mungkin temujanji dengan Paedtrician bukan Dietitian. Temujanji bersama Dietitian tu pagi tadi, 2 Jun 2011 jam 10 pagi di Hospital QMC.
Surat yang menyatakan keputusan ujian darah Ahmad

Selepas berjumpa dengan Dietitian pagi tadi, saya termangu kejap sebab banyak sangat yang kena pantang makan. Agak mencabar juga bagi diri ini yang jenis pemakan, hehehe. Saya diberi pilihan sama ada hendak memberi Ahmad susu formula "Nutramigen" yang diberi oleh pihak Hospital atau nak teruskan penyusuan dengan syarat perlu amalkan diet "dairy free". Segala jenis susu tidak boleh dimakan termasuk susu kambing. Kalau tidak minum susu macam mana nak banyakkan susu ya :S. Sebelum ini memang minum susu segar setiap hari. Kalau tak pun minum horlicks atau milo. Bila berbincang dengan en. suami keputusannya terletak atas diri saya sendiri, cuma diingatkan yang susu ibu tiada tandingan khasiatnya walaupun susu formula diberikan secara percuma. En suami suruh senaraikan kebaikan dan keburukan kedua-duanya. Haishh pening-pening. Rasanya demi anak tercinta, saya cuba meneruskan penyusuan dahulu, jika susu berkurangan dan tidak cukup untuk Ahmad barulah dibantu dengan susu formula. Kena belajar mengawal nafsu makan:D