Thursday 31 October 2013

Insurans PTPTN

Semalam terbaca post rakan di FB berkenaan dengan insuran yang dikenakan kepada peminjam PTPTN. Bila semak penyata kira-kira PTPTN online, selain dari kos pentadbiran yang dinyatakan, insuran juga diletakkan di dalam penyata tersebut. Dulu detail insuran ni tiada, sekarang ni baru ada (tak pasti bila mula dimasukkan tetapi masa semak penyata pada 18 September lalu detail insuran ini masih tiada).

Semasa saya minta pengesahan baki akhir pada Julai 2013 lalu, penyata saya ada dikenakan kos insuran sebanyak RM80.50 manakala pengesahan baki akhir suami tiada dikenakan insuran tersebut. Bila saya tanya sebab perbezaan ini pihak PTPTN menjawab ianya bergantung kepada universiti dan tahun pengajian peminjam. Masalahnya saya dan suami belajar di universiti yang sama dan tahun pengajian juga sama. Macam mana pula saya dikenakan insuran tetapi suami tidak? Pihak PTPTN tersebut tidak pasti akan masalah kami dan oleh kerana tiada jawapan lanjut beliau meminta saya bertanya kepada pihak HQ berkenaan isu perbezaan insuran ini. (mungkin jika saya tiada rujukan lain(bayar sorang2), saya akan menerima terus bulat-bulat alasan tersebut - bergantung kepada universiti dan tahun pengajian).

Dalam beberapa hari kemudian, saya dihubungi oleh pegawai PTPTN menerangkan isu perbezaan ini. Jawapannya seperti berikut. Kos insuran suami telah ditolak semasa pinjaman diberikan ketika belajar manakala saya masih belum ditolak. Oleh sebab malas nak fikir lanjut dan pening-pening saya menerima sahaja alasan tersebut.

Pada bulan September lepas saya cuba semak kembali penyata kira-kira ptptn. Tujuannya nak lihat sama ada bayaran keseluruhan yang dibuat beserta potongan 20% telah diselaraskan ke belum (pendek kata nak lihat baki keseluruhan pinjaman = 0.00). Tetapi pelarasan belum dibuat ketika itu dan kos pentadbiran masih dikenakan walaupun telah 2 bulan bayaran telah diselesaikan. Selepas itu saya tiba-tiba teringin nak semak kembali penyata kira-kira ptptn saya dan suami dari tahun 2000 bermula dari pinjaman diberikan sehingga pinjaman diselesaikan pada 18 Julai 2013.  Saya cuba nak semak bila kos insuran suami ditolak. Tetapi ketika itu detail insuran tiada dinyatakan di dalam penyata, hanya ada kos pentadbiran sahaja. Bila dibandingkan kedua-dua penyata, tiada perbezaan pun bayaran yang diberikan kepada kami berdua. Saya tidak dapat kesan bila waktu kos insuran tersebut dipotong. Saya cuba menghubungi pihak PTPTN sekali lagi berkenaan insuran ini tetapi tidak dapat sebarang balasan sehingga hari ini.

Sehinggalah saya semak penyata kira-kira PTPTN hari ini dan mendapati detail insuran telah dimasukkan ke dalam penyata tersebut. Memang betul suami telah membayar kos insuran sebanyak RM140 pada tahun 2001 dan RM140 pada tahun 2003 (jumlah RM280 yang telah dibayar). Manakala saya pula hanya membayar RM140 pada tahun 2001. Memang tak ingat langsung ada bayar RM140 insuran ni dulu dan tak sedar pun kena bayar insuran :) Bermula dari Mei 2007, insuran mula dibayar kepada "syarikat" (dalam penyata tulis "sykt" dan saya anggap ianya bermaksud "syarikat") dengan ditolak dari jumlah yang kita telah bayar. Contoh saya ditolak sikit-sikit dari jumlah RM140 dan suami ditolak dari RM280. Daripada RM140 itu, insuran mampu dibayar kepada syarikat hanya sehingga April 2009 sahaja. Kos insuran selepas semakin naik dan jumlah yang perlu saya tambah adalah RM80.50 sehingga 2 Julai 2013. Tetapi penyata suami pula masih berbaki insurannya kerana kos insuran beliau ditolak dari RM280. Malahan jika disemak pada penyata, pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada beliau sebanyak RM61.88 (data sehingga 2 Julai 2013).

Penyata kira-kira PTPTN suami masih belum diselaraskan kerana masih berbaki RM2462.74. Nanti kita tengok selepas dah selaraskan tu sama ada mereka bayar balik atau tidak baki kos insuran RM61.88 tu. Penyata saya telah diselaraskan baki keseluruhan pinjaman pada Oktober 2013 = 0.00. Alhamdulillah. Kiranya bila dikira-kira jumlah pembayaran keseluruhan yang telah dibuat kepada PTPTN ialah sebanyak RM29,444.84 tidak termasuk diskaun 20% (sebanyak RM2693.59). Kos pentadbiran yang dikenakan bermula daripada Disember 2004 sehingga Julai 2013 adalah sebanyak RM4057.93 dan jumlah kos insuran yang dikenakan sebanyak RM220.50 (RM140 + RM80.50). Jumlah pinjaman PTPTN yang diperolehi selama 4 tahun (2000-2003) adalah sebanyak RM28000. Semuanya ini saya kira manual berdasarkan penyata kira-kira yang diberikan. Sebelum tu dah telefon PTPTN untuk bertanyakan jumlah keseluruhan yang telah saya bayar kepada PTPTN dan beliau memberikan jumlah RM29,344.84 kurang RM100 daripada yang saya kira. Beliau minta saya kira kembali berdasarkan paparan terperinci di dalam penyata kira-kira kerana beliau juga kira secara manual satu-satu tekan kalkulator kerana tiada data bayaran keseluruhan dalam sistem. Saya copy & paste penyata kira-kira ke dalam excel dan buat kira-kira menggunakan excel.

Semoga sistem pinjaman PTPTN ini dapat ditambah baik lagi di masa hadapan, dan lebih telus dalam setiap bayaran tambahan yang dikenakan. Apa pun kami  mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PTPTN kerana memberi pinjaman kepada kami untuk belajar.

Semoga bermanfaat.

Nota: Itulah dulu taknak baca betul-betul perjanjian pinjaman yang ditandatangan. Bila kena bayar tambahan, kalut :D Yang tahu dulu setiap semester duit masuk jer, huhuhu. Rasanya insurans ni cover si peminjam jika berlaku hilang upaya kekal/kematian, waris peminjam tidak perlu membayar baki pinjaman kepada PTPTN, sama konsep dengan insuran untuk mana-mana pinjaman (tak sempat nak google lanjut berkenaan hal insuran PTPTN ini, siapa ada info lanjut bolehlah kongsi untuk manfaat bersama).

________________________________________________________________________
Entry tambahan: Bulan Januari lepas semak akaun PTPTN suami, baki dah diselaraskan, betul seperti jangkaan yang mana pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada suami. Bukan RM61.88 seperti yang dikira, tetapi RM68 ++ :)

Friday 11 October 2013

Ahmad dan selipar Upin & Ipin



Video di atas diambil pada beberapa bulan lepas (14 April 2013) di Mydin Ipoh. Kami singgah selepas menghadiri kenduri kahwin rakan sekerja kami di Taman Meru Ipoh. Dalam Mydin ini terdapat kedai makan Upin & Ipin. Pertama kali belikan Ahmad selipar yang perlu selit jari di tengah-tengah. Selalu pakai kasut sarung terus tu jer. Tu yang macam pelik je Ahmad mula-mula nak suaikan diri dengan selipar tu (diseretnya dulu selipar tu mula-mula takut tertanggal), hehehhe.

Dalam kedai makan Upin & Ipin, Mydin Ipoh :))

Thursday 10 October 2013

Nuha dan "little pony"

"Little PONY" merupakan mainan kegemaran Nuha. Telah berbulan-bulan Nuha minta kami membelikan Pony tersebut. Bila dilihat di dalam youtube, asyiklah ditanya "bolehlah Ummi, bolehlah Ayah". Berulang-ulang kali sehingga kami menyebut perkataan boleh baru Nuha berhenti bertanya. Sampaikan kadang Insyirah dan Ahmad pun tolong sama jawabkan "boleh" bagi pihak kami sebab bising asyik sebut "bolehlah Ummi/Ayah" berulang-ulang, hehehe :)

Kami pun baru tahu rupanya setiap ekor tu mempunyai nama masing-masing seperti Fluttershy, Princess Luna, Applejack, Apple Bloom, Rainbow Dash, Sunsets Shimmer, Sweettie Belle, Cadhens dan banyak lagi :) Umminya agak tidak faham apa yang best dengan mainan ni. Bila ditanya sebabnya adalah sebab suka pada rambutnya yang cantik dan outfit yang comel-comel (suka dandan rambut dan hias-hias si Pony ni, hehehe :)



Nuha : I'm so happy to have this Ummi. It's so cute :)

-----------------------------------------------------------------------------------------------
Nuha berjanji untuk lebih rajin solat, mengaji, belajar dan jadi anak yang solehah. Suatu hari bila disuruh solat, Nuha taknak solat sebab dah solat sebelumnya. Letih katanya. Ada banyak persoalan yang ditanya antaranya:

Nuha : Ummi, kenapa kita kena solat 5 kali Ummi?
Ummi: Sebab Allah suruh.
Nuha: Nuha tak nampak pun Allah Ummi.
Ummi: Memanglah kita tak boleh nampak Allah. Tapi Allah sentiasa nampak kita. Nuha buat apa pun semua Allah tahu. Walaupun Ummi tak nampak Nuha tak solat, tapi Allah nampak. Kalau Nuha nak tahu semua benda yang ada pada Nuha ni Allahlah yang bagi. Mata, hidung tangan, mulut semua-semua ni Allah yang bagi. Malah mainan Nuha tu pun Allah yang bagi. Ya lah, kalau Allah tak bagi duit pada Ayah macam mana Ayah nak beli mainan Nuha. Nuha ada duit ke?
Nuha: Ada.
Ummi: Mana duit Nuha?
Nuha: Ada dalam tabung.
Ummi: Cukupke? Ginilah, Nuha kena rajin solat dan doa pada Allah tau. 
Nuha: Allah turunkan hujankan Ummi. Allah hidupkan pokokkan Ummi....(Allah itu Allah ini).
Ummi: Aah, Allah berkuasa untuk buat apa sahaja. Sebab tu kalau Nuha nak apa-apa, Nuha minta pada Allah lah.

(tak tahulah sesuai ke tidak jawapan Ummi untuk anak sekecil 4 tahun untuk memahaminya, hehehe).

- Itu tak sambung lagi cerita pasal mula-mula turun perintah solat 50 waktu. Bersyukur sangat dah tinggal 5 sahaja sekarang. Yang ini cerita bersama Nuha dan Insyirah sekali.

Wednesday 9 October 2013

Yeay berjaya naik basikal

Petang tadi Ayah Insyirah mengajar Insyirah naik basikal tanpa roda stabilizer di luar rumah. Tiba-tiba Insyirah masuk ke dalam rumah sambil menangis mengadu sakit.

Insyirah: Ummiiii..sakitttt.... (menangis sambil pegang tangan dengan siku yang berdarah)
Ummi   : Kenapa?
Insyirah: Jatuh basikal (makin kuat tangisannya sakit luka disiku)
Ummi   : Alaaa sikit jer ni. Kebiasaannya kalau dah jatuh berdarah macam ni, mesti kakak akan pandai kayuh tak lama lagi. Selalu macam tulah kakak. Kakak dah belajar sampai jatuh-jatuh berdarahni, mesti lepas ni kakak boleh kayuh punya.
Ummi   : Kenapa kakak tak pakai "pads" kat siku dan lutut? Kalau jatuh pun takdelah sakit sangat nanti. Gi basuh siku tu dulu sambil si Ayah ambil "pads" dari kotak mainan.
Ayah    : Cuba pakai ni, muat tak sambil menunjukkan "pads" kepada Insyirah.
Ummi  : Hah, nak naik basikal lagi tak kakak (bila Insyirah telah lengkap memasang "pads" di siku dan lututnya.)
(Nuha juga turut sama memakai "pads" di siku dan lututnya. Kebetulan ada 2 set "pads" yang dibeli di "carboot sale" dulu :) Si Ahmad nak pakai juga tapi  tak cukup, dulu tak terfikir pula nak cari untuknya sebab masih kecil. Lalu Ahmad meminta belikannya "pads" upin ipin :D)

Insyirah masih tidak berputus asa untuk teruskan latihan mengayuh basikal. Berkat kesungguhannya yang tidak mengaku kalah, akhirnya berjaya juga :)

Tanggal 9 Oktober 2013, hari Rabu, lebih kurang jam 6.30 petang, hari bersejarah untuk Insyirah, tarikh yang akan dikenang di masa hadapan, hehehehe.  Insyirah pandai kayuh basikal tanpa bantuan stabilizer lagi. Selamat tinggal stabilizer ;)

Insyirah: Sebab Insyirah selalu prektislah Ummi, lama-lama Insyirah pandai kayuh. (sebelum ni Insyirah sering menolak basikal dengan kakinya sahaja untuk membiasakan diri dan belajar mengimbangi badan, tak boleh kayuh lagi).
Ummi  : Apa pun yang Insyirah buat perlu prektis berulang-ulang kali, baru boleh pandai. Sama juga dengan belajar, baca quran. Semua kena rajin prektis. Memang semua perkara selalunya mula dengan tak tahu, tapi perlu belajar dan rajin prektis, baru boleh pandai. So bila dah pandai ni, Insyirah perlu cakap apa ya?
Muka gembira setelah pandai kayuh basikal 2 roda buat pertama kali :)
 
Insyirah: Alhamdulillah.

Wasalam.

p/s: video akan menyusul kemudian insyaAllah :)

Monday 30 September 2013

Hafalan solat Insyirah 1

Sudah sekian lama tidak mencoretkan sesuatu di sini. Entah apa yang disibukkan pun tak tahu. Yang pasti asyik beralasan. Sibuk di tempat kerja, mengemas rumah, memasak dll. Macam-macam. Pada hal kadang-kadang kemas, masak pun skip, huhuhu :)

Tahun depan Insyirah masuk darjah 1. Ummi yang berdebar bila mendengar cerita dari rakan ibu lain. Beberapa bulan lalu, sibuk mengajarnya membaca dalam bahasa melayu dan Alhamdulillah selepas 2-3 minggu dah boleh membaca . Lepastu dah terberhenti dan tak sambung-sambung lagi secara "official" dan konsisten. Tatau bila nak mula belajar membaca dalam English dan membaca jawi pula. Sekarang dah Oktober. Ya Allah berilah kekuatan untuk diri ini mendidiknya. Umminya kena buang penyakit "M" jauh-jauh :D.

Sudah setahun lebih Insyirah bersekolah di Tadika cinta bestari. Ingat masa 3 bulan Insyirah bersekolah, dia telah mula belajar solat. (Baca entry lalu). Ketika itu banyak bacaan yang masih perlu dibetulkan. Sehinggalah tadi, Ummi tergerak hati hendak semak bacaan solatnya, lalu menawarkannya sama ada ingin menjadi Imam solat atau tidak. Dengan rasa terujanya Insyirah ingin menjadi Imam kepada Nuha bagi solat maghrib dan Isya'. MasyaAllah, tidak sangka solatnya hampir sempurna sehingga ke salam. Ada 4 - 5 sebutan yang perlu diperbaiki sebutannya. Surah al-kafirun dan al-kauthar menjadi pilihan ketika solat maghrib manakala surah al-lahab dan surah al-ikhlas menjadi pilihan ketika solat Isya'. Rupanya banyak juga surah yang telah dihafalnya. Malah tahiyyat awal dan tahiyyat akhir juga telah dihafalnya juga. Alhamdulillah, semoga Insyirah menjadi anak solehah dan tidak tinggal solat. Semoga solatnya sempurna dan diterima di sisi Allah swt, amin.

Friday 19 July 2013

Pembayaran Pinjaman PTPTN

Sejak kerajaan umumkan insentif diskaun 20% dan 10% ke atas bayaran balik pinjaman PTPTN ketika bajet 2013 tahun lepas, kami bersemangat untuk menyelesaikan hutang PTPTN kami untuk menikmati insentif tersebut. Boleh klik LINK ini untuk melihat pekeliling insentif yang dinyatakan.

Kami suami isteri meminjam dengan PTPTN semasa melanjutkan pengajian "degree" dari tahun 2000 - 2004 dengan jumlah pinjaman sebanyak RM28,000 setiap orang. Jumlah keseluruhan hutang kami adalah sebanyak RM56,000, tidak termasuk kos pentadbiran 3% yang dikenakan, huhuhu. Bayaran mula dilakukan pada tahun 2007 sehingga 2011 dan alhamdulillah kami berjaya menyelesaikan separuh dari hutang kami. Setelah pulang ke Malaysia sejak November 2011, pembayaran hutang tergendala seketika sehingga bajet 2013 diumukan.

Oleh kerana tiada simpanan yang mencukupi untuk membayar sekaligus hutang PTPTN bagi membolehkan mendapat potongan 20%, kami bercadang untuk mengeluarkan simpanan dari akaun 2 KWSP kami. Agak menyedihkan apabila permohonan pengeluaran KWSP kami ditolak disebabkan oleh tarikh perjanjian pinjaman PTPTN kami pada 9 Disember 2000 (rupanya susah juga hendak keluarkan duit sendiri ya). Hanya perjanjian pinjaman bertarikh 2 Januari 2001 ke atas sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengeluaran KWSP tersebut. Tarikh perjanjian kami awal 3 minggu sahaja dari tarikh 2 Januari 2001 tu. Puas sudah berbincang dengan pihak KWSP memohon agar dipertimbangkan permohonan kami, namun tidak berjaya.
Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN

Disebabkan permohonan pengeluaran KWSP kami tidak berjaya, kami buat pinjaman sebahagian dari jumlah hutang tersebut daripada ahli keluarga terdekat untuk membantu kami. Terima kasih tak terhingga atas jasa baik mereka menolong kami. 

Pengesahan baki akhir perlu diminta daripada PTPTN dan sah dalam tempoh masa sebulan sahaja untuk menyelesaikan pembayaran. Jika pengesahan baki diterima pada Julai, bayaran perlu diselesaikan pada Julai juga. Jika tidak dapat nak selesaikan pada bulan yang sama, perlu minta pengesahan baki akhir yang lain dari PTPTN. Kami hanya berhubung melalui telefon dan email sahaja untuk memperolehi pengesahan baki akhir tersebut. Kemudian buat bank deraf mengikut baki akhir yang dinyatakan di atas nama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Bawa bank deraf tersebut beserta pengesahan baki ahir ke kaunter cawangan PTPTN yang berhampiran. Setelah proses pembayaran dibuat, surat pelepasan hutang diberikan bersama resit pembayaran. Jika tidak mahu ke kaunter cawangan PTPTN pun boleh, bayaran boleh dibuat mengikut kaedah yang dinyatakan pada gambar yang dilampirkan. Cuma pastikan jangan buat di hujung bulan kerana proses mengambil masa 3-7 hari . Ditakuti proses pembayaran tidak sempat diselesaikan sebelum hari terakhir setiap bulan.

Semoga bermanfaat.

Nota: 
Tak sabar rasanya nak bebas dari segala hutang yang ada. Lepas ni pulun bayar hutang pada Abang-abang dan kakakku pula. Semoga Allah mudahkan urusan kami.

Sangat bersyukur Allah memberi kejayaan kepada Ayah Insyirah untuk mendapatkan PhD, so tidak perlulah nak bayar kembali semua perbelanjaan pengajian kami di UK. Cukup-cukuplah hutang PTPTN yang ada. Hutang belajar keliling pinggang kami ni, huhuhu.

Thursday 18 July 2013

Selesai satu hutang

Alhamdulillah, hari ini, 18/7/2013, Ummi dan Ayah Insyirah berjaya menyelesaikan hutang PTPTN. Lapang rasa hati bila satu hutang habis dibayar. Tambahan lagi dapat diskaun 20% daripada baki akhir sebab selesaikan hutang ini sebelum 30 September 2013.

Terima kasih PTPTN atas pinjaman pelajaran kami di USM sepanjang 2000-2004. Semoga kami sekeluarga tidak perlu lagi berhutang dengan pihak anda :D

Surat pelepasan hutang PTPTN

Friday 12 July 2013

Puasa pertama Insyirah

1 Ramadhan kali ini merupakan tarikh bersejarah buat Insyirah kerana buat kali pertamanya Insyirah cuba berpuasa. Sebelum ini Insyirah tidak pernah mencuba untuk berpuasa kerana masih kecil katanya. Ummi dan ayah sendiri tidak memaksa Insyirah untuk berpuasa kali ini. Cuma apabila kami bertanya kepadanya dan dengan sedikit galakan, Insyirah ingin berpuasa buat kali pertama.

Insyirah mulakan rutin puasa pertamanya dengan turut bersahur bersama-sama ummi dan ayah. Pada hari pertama Ramadhan ini, Ummi Insyirah telah mengambil cuti untuk memantau puasa Insyirah di rumah. Sepanjang pagi Insyirah masih kuat fizikalnya. Insyirah mula mengomel pada sebelah petang dengan menyatakan keletihan dan lapar; perut panas katanya :D . Lalu ummi menasihatkan Insyirah untuk pergi mandi bagi mengurangkan keletihan.

Pada pukul 5 petang, Insyirah masih lagi bertahan tetapi mula nampak lesu sampai tidur "terbongkang", macam renang kuak lentang pun ada gayanya (kesian pula bila melihatnya). Tetapi berkat kesabaran dan kejituan semangat Insyirah, akhirnya dapat bertahan sehingga berbuka. Alhamdulillah, nikmat makan terserlah pada orang yang lapar.

1 Ramadhan 1434H bersamaan 10 Julai 2013 merupakan hari bersejarah buat Insyirah.. INSYIRAH BERJAYA!!

Nikmat berbuka puasa.. Alhamdulillah

Saturday 6 July 2013

Seronoknya ISNIN CUTI !!!

Seperti tajuk entri kali ini, rasa sungguh lapang hujung minggu bila Isnin ini merupakan cuti ganti bagi Cuti Umum Hari Warisan Dunia Georgetown. Cuti ini ditetapkan pada 7 Julai setiap tahun, yang jatuh pada hari Ahad kali ini. Sudah lama rasanya tak mendapat cuti umum pada hari Isnin, terakhir sekali Februari lepas bagi cuti Tahun Baru Cina.

Mulanya kami sekeluarga sendiri tidak mengetahui tentang cuti ini, tetapi dimaklumkan oleh rakan sekerja yang Isnin ni "ofis" tutup. Jadi tertanyalah apa sebabnya cuti kali ini dan baru "sedar" dengan kewujudan Hari Warisn Dunia. Sebelum ini hanya dengar secara tidak serius dengan hal ini.

Ini merupakan kali pertama kami merasai CUTI kerja sempena Hari Warisan ini setelah lebih setahun setengah kembali ke Malaysia. Tahun lepas, cutinya jatuh pada hari Sabtu manakala tahun sebelumnya kami masih berada di Nottingham. Georgetown mula diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO sejak 7 Julai 2009 ( menurut sumber internet :D )

Jadi, hujung minggu dan cuti kali ini akan digunakan untuk mengemas "rumah-rumah" sempena menyambut ketibaan Ramadhan 1434H.

Marhaban Ya Ramadhan :)


Salinan akhbar Berita Harian mengenai Hari Bandar Warisan pada 17 Jun 2010.


Saturday 22 June 2013

Photobook offer 72% off

Haishhh memang demam photobook lah. Tak pernah ada koleksi yang jenis ni. Macam best jer. Dalam kepala dah rancang nak pilih gambar-gambar yang cantik-cantik dan letak satu gambar jer besar-besar macam dalam gambar tu. Tapi tak beli pun lagi, hahaha. Walaupun dah 72% off tapi masih RM89. Tapi memang murahlah kan, kalu tiada promosi kena bayar RM335 kalau tetiba teringin nak beli di kemudian hari. Hmmm nak beli ke tak beli? Perlu tentukan sebelum 23 Jun ini sebab promo sehingga 23 Jun jer.

Sesiapa yang berminat ini LINK nya ya.

Nota: Ummi Insyirah tengah kemaruk photobook, huhuhu. Tak habis-habis. Ntah ada masa ke tidak nak design nya, huhuuh.

Tuesday 11 June 2013

Single window die-cut hardcover photobook - RM61 (55.5% Off)


Lagi promosi untuk voucher photobook dari 10 Jun - 19 Jun 2013. Jika berminat sila klik LINK ini dan beli sebelum 19 Jun 2013. Jika sudah beli voucher ini, ianya boleh digunakan sebelum 19 Disember 2013.

Apa beza photobook ini dengan promosi yang sebelum ini? Bezanya pada cover, masih hardcover cuma ada tingkap kecik/lubang pada hardcover itu. Gambar tidak diprint pada cover, berbeza dengan sebelum ni gambar diprint pada cover. Kemudian kali ini ada dua bentuk sama ada nak jenis portrait (menegak) ataupun landscape (melintang), ikut pilihan suka jenis yang mana. Offer photobook yang sebelum ini bentuk portrait sahaja. Oh ya, saya belum pernah ada yang jenis portrait sebelum ini. Koleksi photobook sebelum ini bentuk landscape dan square sahaja. Tak sabar nak design yang jenis portrait lepas ni. Sudah install PIXAJOY software dan tengok design template dari PIXAJOY ni nampak sangat cute.

Dari segi jenis cover pula, koleksi yang ada jenis hardcover, window die-cut hardcover dan juga softcover tetapi bukan dari PIXAJOY. So tak tau nak komen macam mana kualiti yang akan dihasilkan oleh PIXAJOY sebab tak guna lagi vouchernya :) (tak sempat lagi nak design dan deadline lambat lagi Disember!) Tetapi, berdasarkan daripada koleksi yang ada, saya lebih suka jenis hardcover yang gambar diprint terus atas kulit photobook tu. Lagi besar dan jelas gitu, puas hati! :) Tetapi jika nak kelainan dan nampak elegant yang window-die cut hardcover ni sempoi juga :) Yang softcover, kena lebih berhati-hati untuk menjaganya lebih-lebih lagi jika anak-anak (kurang dari 4 tahun) yang membelek, boleh koyak dibuatnya jika tidak dipantau betul-betul.

Pada promosi yang lalu ada rakan yang berminat bertanyakan sama ada yang offer ini betul-betul murah ke? Bagi saya murah dah sebab lebih dari 50% kurang, cumanya saya pernah dapat yang paling murah setakat ini 79% off bagi saiz A4 untuk 40 mukasurat! Beliau nak beli sehingga 10 photobook. Gulp, terkejut! Bukan apa saya risau jika kualiti yang dihasilkan tidak menepati citarasa mereka dari segi kualiti kertas dan kualiti gambar yang diprint nanti saya akan rasa bersalah sebab saya yang cadangkan, huhuhu. Pada pendapat saya baik order satu atau dua terlebih dahulu dan lihat kualiti hasilnya macam mana. Jika berpuas hati baru order lagi di kemudian hari. Bukan apa sebab akan ada 3 kali lagi promosi dari PIXAJOY, cuma saya tidak tahu jenis photobook yang mana yang akan ditawarkan.


Saya berminat offer pada gambar photobook yang minggu terakhir tu sebab nampak macam jenis hardcover landscape. Tapi tak nak mengharap sangat sebab masih belum pasti :)

Semoga bermanfaat.

Wednesday 5 June 2013

Hardcover photobook RM52 sahaja (55% OFF)


Wow ada promosi lagi dari PIXAJOY Photo book. Kali ini cover nya yang jenis kulit tebal pula, saiz 11" x 8" portrait 40 m/s. Yang beli haritu tu pun tak buat lagi. Tapi takpe beli je voucher nya dulu sebab promosi ni dari 3 Jun 2013 hingga 9 Jun 2013 sahaja. Kemudian boleh ambil masa untuk design your photobook sebab voucher boleh digunakan sehingga 9 Disember 2013. Lama lagi! InsyaAllah sempat :)

Jika berminat dengan Cool Image Wrap Hardcover ini, ini LINK nya. Sila order sebelum 9 Jun 2013 ini!

Semoga bermanfaat!

Wasalam.

Thursday 30 May 2013

Kisah seorang pakcik dengan basikalnya

Setahun yang lalu kami terlihat kelibat seorang pakcik yang memakai kain pelekat dan berbaju melayu sedang mengayuh basikal sambil membawa tongkat ditangan. Barangkali mahu ke masjid untuk solat Jumaat rasanya. Bayangkan bagaimana gigihnya beliau mengayuh basikal dengan hanya sebelah kaki?? Sungguh istimewa pakcik itu membuatkan kami ingin menemuinya, tetapi tidak berjaya. 

Sehinggalah pada hari Ahad lalu, kami ternampak pakcik tersebut sekali lagi sedang membawa basikal. Kali ini kayuhannya lebih mencabar kerana perlu memanjat bukit bagi melepasi "flyover" yang baru siap binaannya. Sayunya hati kami melihat pakcik tersebut dengan sebelah kaki menolak basikal dan sebelah tangan lagi memikul tongkatnya. Lebih sayu, kami hanya boleh memerhati kerana pakcik tersebut tidak membelok ke arah tempat kami berhenti. Sekali lagi rasa terkilan kerana gagal bertemu dengan insan istimewa itu. Hanya doa yang mampu dititipkan buat pakcik tersebut. Kami pun meneruskan agenda kami seetrusnya untuk membeli barang dengan harapan suatu hari nanti Allah menemukan kami dengan pakcik tersebut.
Pakcik itu sedang menuruni "flyover" dan kami menanti di dalam kereta dengan harapan pakcik tersebut membelok ke arah simpang tempat kami parking. Malangnya pakcik tersebut terus sahaja.

Sebaik sahaja kami keluar daripada tempat membeli barang, kami rasa sangat gembira apabila terlihat wajah pakcik yang kami cari-cari itu sedang duduk di tepi kaki lima di luar kedai itu, tengah makan ubi keledek :) Masya Allah! Perancangan Allah itu sangat indah. Jika Dia berkehendakkan sesuatu, maka terjadilah ia dengan tidak disangka-sangka. Tidak perlu dicari, tetapi pakcik itu muncul tiba-tiba di hadapan kami. Lantas kami terus menegurnya dan berbual-bual sebentar dengannya sambil melunaskan hajat yang telah tertangguh selama setahun lebih!. Terima kasih ya Allah.


Kaki kiri beliau telah dipotong sebelah sehingga atas lutut akibat kencing manis. Tangan beliau juga pecah-pecah dan tidak membenarkannya untuk bekerja. Beliau tinggal seorang diri di rumah wakaf Kg. Kedah dan menjalani kehidupan atas ihsan orang ramai. Kami tidak pasti kenapa beliau gemar ke masjid Parit Buntar yang agak jauh dari kediamannya (lupa nak tanya). Kami mengambil alamat beliau untuk memudahkan kami menemuinya dilain hari insyaAllah. Semoga pakcik itu tabah menghadapi kehidupannya hari-hari. Semoga ianya menjadi motivasi buat diri kita agar lebih bersemangat untuk solat jamaah di masjid.

Sempat minta alamat tempat tinggal pakcik ini, lalu beliau menghulurkan kad OKU nya agar lebih mudah.

Notakaki: Kami sangat kagum dengan semangat pakcik itu. Kalau kami diberikan basikal yang ada gear sekalipun, tak tahulah sama ada mampu atau tidak untuk kayuh naik turun bukit flyover tu, huhuhu.

Semoga bermanfaat.

Wasalam.

Wednesday 29 May 2013

Jom buat photobook, RM39 sahaja :)

Sekarang ini ada promosi photobook lagi dengan harga RM39 sahaja untuk saiz 8.5" x 12" landscape, 40 mukasurat. Dan free delivery ke semenanjung malaysia. Cumanya kali ini kulitnya softcover bukan hardcover. Tapi tak kisahlah softcover pun sebab murah :).

Promosi sehingga 2 Jun 2013 ini sahaja. Kepada yang berminat silalah order ya sebelum 2 Jun tu :) Oh ya, kalau dah beli, voucher tu boleh diguna sehingga 2 Disember 2013. Lama lagi kan. So, ada banyak masa lagi boleh design your photobook, takyah kalut-kalut.

Ini LINK nya sekiranya korang berminat nak beli.


Semoga bermanfaat.

Wasalam.

Sunday 21 April 2013

Hari Sukan Tadika Cinta Bestari 2013

Semalam, Sabtu 20 April 2013 Insyirah dan adik-adik menghadiri hari sukan tadika cinta bestari di padang Bukit Panchor, Nibong Tebal. Kami semua menyertai sukaneka yang diadakan dari 8 - 11 pagi. Ummi dan Ayah juga turut serta dengan kedua-dua sukaneka yang diadakan untuk keluarga. Malah dapat tempat pertama dan ketiga lagi, hehehe. Ini merupakan kali kedua Insyirah dan Nuha menyertai hari sukan tadika manakala kali pertama untuk adik Ahmad. Walaupun Ahmad baru pertama kali menyertainya, namun Ahmad sangat bersungguh-sungguh melakukannya. Biarlah gambar dan video yang menceritakan segalanya :)

Ahmad Mujahid seronok dengan hadiah yang diterima. Alamak dapat bekas air pink lah!

Nuha Rumaisa malu-malu dengan pingat yang diperolehi :)

Yeay, Insyirah pun dapat pingat juga. Terima kasih cikgu!

Anak-anak didikan cinta bestari dalam perbarisan. 

  Ahmad beraksi dalam sukaneka kedua untuk kanak-kanak 2-3 tahun dari Taska Cinta Bestari.
 

Nuha dan Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 4 tahun, tapi Insyirah turut serta sebab tak cukup orang.


Insyirah beraksi dalam sukaneka untuk kanak-kanak 5-6 tahun.

Ok itu sahaja coretan Insyirah buat masa ini untuk kenangan di masa hadapan :)

Sampai jumpa lagi insyaAllah.

Wasalam.

Saturday 30 March 2013

Photobook - Add on slip case

Sekiranya ingin menempah photobook dan ada pertanyaan sama ada hendak beli slip case sekali atau tidak (sebagai pilihan). Kalau tak silap harga bagi slip case ini RM10. Apa itu slip case?
Haa yang warna hitam tu slip case (material ala-ala macam kulit thesis PhD hardbound  :D) Ini contoh dari syarikat phototalkz nya slip case. 

Slip case ini digunakan untuk simpan photobook kesayangan kita agar sentiasa tersimpan rapi. Tak beli pun tak jadi masalah. Photobook kami selain ini tiada masalah pun walau tiada slip case ini :)

Sekian dulu buat masa ini.

Semoga bermanfaat.

Sunday 24 March 2013

Tutorial photobook

Akhirnya baru berkesempatan hendak kemaskini blog ini setelah Ummi dan Ayah selesai menerima lawatan akreditasi pada 20-21 Mac 2013. Bila Ummi dan Ayah sibuk, Insyirah dan adik-adik turut sama sibuk kerana sehingga lewat malam menemani mereka di pejabat. Untuk rekod, kami adik beradik pernah berada di pejabat Ummi  dan Ayah sehingga jam 1.30 pagi untuk persiapan lawatan tersebut.

Seperti yang telah dijanjikan di sini Insyirah nak kongsikan tutorial untuk membuat photobook dari phototalkz. Kebiasaannya, Ummi hanya akan buat photobook ini bila ada promosi dari mana-mana offer. Sama ada dari groupon atau dari phototalkz sendiri. Sekarang ini ada promosi dari phototalkz, buy 1 get free 1. Boleh semak di sini http://phototalkz.com.my/whot.php . 

Bagaimana nak buat photobook ini? 
1. Beli voucher dari groupon/phototalkz (kalau tiada pun takpe, cuma kena bayar harga penuh photobook)
2. Masuk dalam website phototalkz --> http://www.phototalkz.com.my/
3. Download dan install sofware phototalkz ini mengikut kesesuaian perisian pc masing-masing
4. Kemudian boleh mula projek photobook masing-masing 
5. Upload gambar yang disukai dan susun dalam photobook.
6. Template backgound, layout, theme semua telah sedia ada, hanya perlu pilih mengikut kesukaan masing-masing
7. Setelah puas hati dengan projek design photobook yang dibuat, bolehlah hantar atau upload projek tersebut untuk diprint.
8. Masa nak bayar tu, masukkan nombor voucher untuk redeem voucher yang dibeli.
9. Photobook akan dipos setelah siap diprint

Untuk lebih mudah, boleh rujuk manual tutorial dari phototalkz ini (untuk versi windows) --> http://www.phototalkz.com.my/img/User_Guide-Phototalkz_Software.pdf

Itu sahaja buat kali ini.. Semoga bermanfaat.

Wasalam.

Sunday 10 March 2013

Serba sedikit isi photobook

Di sini Insyirah kongsikan serba sedikit isi kandungan photobook yang ditempah tempohari.

Friday 22 February 2013

Photobook lagi

Photobook kali ini dikhususkan buat merakam gambar ayah dan ummi Insyirah. Kali ini photobook dipesan dari Phototalkz dengan harga promosi dengan harga tak sampai RM100 bagi setiap photobook dengan 40mukasurat bersaiz A4.

Setelah 2 kali memohon penundaan tarikh akhir penggunaan voucer yang dibeli, akhirnya ummi Insyirah berjaya menghantar "kerjanya" minggu lepas melalui website Phototalkz. Alhamdulillah, semalam kami telah menerima photobook yang dipesan. Gambar clear walaupun ada guna low quality picture.

Kami berpuas hati dengan servis dan kualiti yang diberikan Phototalkz. Lain kali boleh order lagi :)