Monday 31 August 2009

Salam Kemerdekaan ke-52

Salam kemerdekaan ke-52 buat Malaysia, tanah air tercinta. Kami menumpang rahmat atas usaha pejuang-pejuang yang terdahulu. Semoga anda semua di rahmati yang Esa atas pengorbanan anda. Kini, giliran kami berbakti untuk kebaikan generasi akan datang.




Di sini ingin kami kongsikan suatu kisah buat tatapan bagi pembakar semangat kita semua. Tulisan ini diambil dari blog Nobisha, blog pilihan Ayah Insyirah. Semoga bermanfaat.

SEBUAH MASA DEPAN DI BUMI MALAYSIA

Emak saya bekerja di sawah, mengambil upah menanam padi. Ayah saya bekerja sebagai penebang tebu di Felda Chuping, Perlis. Hidup kami cukup susah. Dalam kesusahan itulah mereka membesarkan saya dan adik. Pernah sewaktu saya di Darjah Enam, ayah dan emak tidak mampu menyediakan makan malam. Saya dan adik hanya mampu minum air panas sebelum tidur. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah.

Sewaktu di Tingkatan Satu, ayah terpaksa menjual rumah kampung. Saya masih ingat lagi bagaimana penduduk kampung mengusung rumah itu ke lokasi baru. Dek kemiskinan, kami terpaksa menumpang rumah nenek di Padang Lumat, Guar Chempedak. Saya memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Guar Chempedak.

Untuk selama dua tahun di situ, saya berbasikal tidak kurang lima kilometer (mungkin lebih) ke sekolah. Emak masih bekerja mengambil upah di sawah dan saya setiap pagi sebelum ke sekolah saya akan memasak nasi dan lauk untuk emak dan ayah. Setelah selesai, barulah saya bersiap untuk ke sekolah.

Berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya mula menjejaki kaki ke Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar. Walaupun hidup susah, saya tidak berpeluang tinggal di asrama. Mahu tak mahu, terpaksalah menyewa bilik di sebuah rumah di depan sekolah. Menguruskan hidup sendiri pada usia 16 tahun.

Tatkala itu, bukan sedikit airmata emak mengalir. Kos membeli peralatan dan buku sekolah cukup tinggi. Itu belum lagi dicampur dengan sewa rumah dan makanan harian. Entahlah, emak tidak pernah mengeluh nasibnya, tetapi saya tidak terperanjat sekiranya ada hari-hari tertentu emak terpaksa mengikat perut untuk menghantar saya ke sekolah.

Dari Sekolah Menengah Teknik, saya meneruskan pengajian ke Amerika Syarikat. Masih ingat lagi bagaimana ayah, emak dan saya menaiki bas dari Kodiang untuk ke Kuala Lumpur. Itulah kali kedua saya datang ke ibukota (kali pertama sewaktu mengambil ujian kelayakan). Di Perhentian Bas Puduraya, sepupu saya datang menjemput untuk dibawa bermalam di rumah bujangnya.

Mereka bertigalah yang menghantar saya ke Lapangan Terbang Subang. Saya bertolak ke luar negeri dengan hanya sebuah beg kecil dan beberapa ratus Dollars. Itu saja bekalan saya. Saya berterima kasih kepada emak dan ayah. Saya juga berterima kasih kepada sepupu saya yang sewaktu menghantar saya ke lapangan terbang dulu hanyalah seorang pensyarah biasa di Universiti Pertanian Malaysia. Beliau yang juga berasal dari keluarga yang cukup miskin, hari ini menjadi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Perguruan Sultan Idris.

Semua itu kini menjadi kenangan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah s.w.t. memberikan sedikit kesenangan duniawi kepada saya sekeluarga. Semoga Allah s.w.t. memberikan juga kelapangan di Alam Barzakh dan di Hari Akhirat nanti.

Saya imbaskan kembali semua ini kerana saya tidak punya negara lain selain Malaysia. Inilah bumi tempat tanah tumpah darah saya. Biarpun hidup susah-payah, di bumi inilah saya membina sebuah kehidupan dan masa depan.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!

Thursday 27 August 2009

Cinta Sempurna

Buat rakan-rakan di perantauan, jom layan drama bersiri "Cinta Sempurna" di youtube.. permulaan cerita agak slow sebab banyak flashback dan pengenalan kepada karektor dalam drama tu, tapi skrg dah ok sikit..banyak yang boleh dipelajari dari drama tu.. best!!! boleh baca tulisan dari pencetus cerita bagi drama ini di blog Saifulislam.

Cheers ;)

Monday 24 August 2009

Al-fatihah untuk Wan Abdullah (ayahanda Wan Rukaida)

Baru-baru ini kami dikejutkan dengan berita kepulangan sahabat baik kami di sini ke Malaysia, Wan Rukaida Wan Abdullah a.k.a Ibu Eriem (kawan Insyirah). Mereka berangkat ke Malaysia pada hari Rabu, 12 Ogos 2009 (kalau tak silapla) untuk menziarah ayahandanya yang sedang sakit tenat. Kami di sini mendoakan kesejahteraan ayahandanya.

Walaubagaimanapun, Allah lebih menyayangi ayahandanya. Ayahanda Wan Abdullah pergi menemui Ilahi pada 21 Ogos 2009, tepat jam 9.25 malam waktu UK (bersamaan 22 Ogos 2009, 4.25 pagi waktu Malaysia, ketika semua umat Islam di Malaysia sedang bersiap sedia bersahur untuk menyambut hari pertama Ramadhan). Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNya juga kita kembali. Tidak lewat atau awal walau seminit pun. Janji itu pasti, masanya akan tiba jua bagi kita yang masih hidup dimuka bumi ini.

Kami di sini berharap agar Wan sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini. Semoga Arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah untuknya.

Salam takziah dari kami sekeluarga.

Thursday 13 August 2009

Pergi tak kembali

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Kami sekeluarga mendoakan kesejahteraan buat Ustaz Asri di alam barzakh sana, semoga beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.... amiinnn.

Sejak dari kecil lagi, alunan suara Ustaz Asri sudah menemani kehidupan kami. Segala nasihat, semangat, doa dan ilmu yang diperolehi dari hasil kerja Ustaz Asri amatlah bermakna pada kehidupan kami sekeluarga. Semoga ianya menjadi ilmu yang bermanfaat buat kami seterusnya menjadi bekal pahala buat Ustaz Asri di sana.

Kami begitu tersentuh apabila sekali lagi menghayati lirik lagu "Pergi tak kembali" ini:

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya
.....
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Seolah-olah Ustaz Asri membuat pesanan dan nasihat terakhir kepada kami. Sesungguhnya, kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.