Showing posts with label Khabar. Show all posts
Showing posts with label Khabar. Show all posts

Wednesday, 30 November 2011

Sorotan 30 hari di Malaysia :)

Pejam celik, pejam celik sudah 30 hari kami berada di bumi Malaya ini. Realiti kehidupan yang sebenar buat kami sekeluarga (di UK kehidupan ala-ala fantasi/ fairy tale :D). Alhamdulillah Allah memberi peluang untuk merasai menjadi suri di rumah selama 3 tahun. Seronok melihat anak-anak membesar di depan mata, bermain bersama mereka, menyusukan mereka selama mungkin. Kini, diriku bukan lagi surirumah sepenuh masa. Anak-anak semuanya di hantar ke taska dan tadika. Masa yang ada sekarang sangat mencemburui diri ini untuk menulis di blog kecil ini. Namun sebelum November melabuhkan tirainya, kugagahkan jua untuk menulis walau sebuah entri buat tatapan di masa hadapan, hehehe.

1 November 2011 (Selasa) - Kami tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada jam 10.10 malam (bertolak dari London Heathrow --> KLIA --> Pulau Pinang. Kami disambut oleh semua adik-beradik sebelah Ayah dan anak-anak menakan di lapangan terbang. Alhamdulillah, Allah izinkan kami untuk bersua kembali setelah 4 tahun sebulan tidak berjumpa. Buat masa ini, kami sekeluarga tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah Mak Ayah di Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang.

2 November 2011 (Rabu) - Seawal 8 pagi waktu Malaysia (UK jam 1 pagi) anak-anak telah dikejut bangun dari tidur untuk mengikut Ayah & Umminya melapor diri di USM Kampus Kejuruteraan dan melihat rumah yang bakal disewa. Ummi dan Ayah melapor diri di bahagian pendaftar di PPK Mekanik dan memohon cuti seminggu untuk pulang ke Johor. Pengalaman pertama Insyirah dan Nuha menaiki kereta tanpa "carseat" dan duduk sendirian di belakang memeningkan kepala Ummi dan Ayah. Kedua-duanya menangis sebab takut jatuh. Macam-macam perkataan keluar dari mulut mereka, "this car wobbly-wobbly", "Ayah's drive too fast", I'm scared etc. Nuha menangis-nangis sambil memegang "seat" kerusi dengan kedua-dua belah tangannya. Riak wajah mereka berdua masing-masing memang dalam ketakutan yang amat sangat. Ahmad seorang yang lena di dalam "carseat" nya. Akhirnya Nuha terpaksa di bawa ke bahagian hadapan dan duduk bersama Ummi barulah tangisannya berhenti, huhuhu.

3 November 2011 (Khamis) - Ummi membuat kad perubatan dan kad staf di jabatan pendaftar, memohon komputer baru dan mendapatkan kembali password email USM di Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi. Pagi itu, kami menerima mesej dari adik Ummi menyatakan Atuk dalam keadaan tenat. Kami merancang-rancang sama ada mahu pulang ke Johor atau tidak kerana rancangan awal hendak pulang ke Johor pada hari Selasa, selepas hari raya haji. Apabila Abah Ummi menelefon mengatakan arwah Wak telah meninggal dunia (lebih kurang jam 12.40 tengah malam), Ayah terus bergegas ke rumah Mak Ndak untuk melihat  tiket kapal terbang online. Ayah terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke Johor untuk melihat Arwah buat kali terakhir. 

4 November 2011 (Jumaat) - Kami bertolak dari Lahar Kepar jam 5 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang di Bayan Lepas pada jam 6 pagi. Kapal terbang bertolak pada jam 6.55 pagi dan tiba di Lapangan terbang Senai, Johor pada jam 8 pagi. Kakak sulung dan Abang Ipar Ummi telah menunggu di Lapangan Terbang Senai untuk membawa kami pulang ke Pontian untuk melihat jenazah buat kali terakhir. Alhamdulillah kami tiba pada jam 9.30 pagi dan Allah mengizinkan untuk Ummi mengucup dahi arwah buat kali terakhir sebelum di bawa ke tanah perkuburan. Semoga Allah merahmati Arwah dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang Soleh. Selepas Isyak, setelah kenduri tahlil selesai, barulah kami pulang ke rumah Mak Abah Ummi di Pengeli Timur, Kulai.

5 November 2011 (Sabtu) - Menolong Atuk Nenek memasak untuk juadah hari raya haji. Mak Long/Pak Long bergerak pulang ke Kedah pagi itu dan singgah di tol Bertam untuk mengambilkan passport kami anak beranak daripada Abang Zul (abang ipar kami). Kami terlupa hendak membawa sebarang pengenalan diri anak-anak dan mereka perlukan semasa kami hendak "check-in" masuk kapal terbang. Setelah buat rayuan, nasib baik mereka benarkan kami menaiki kapal terbang dengan syarat semasa penerbangan balik WAJIB tunjukkan pengenalan diri anak-anak.

6 November 2011 (Ahad) - Meraikan Hari raya AidilAdha di rumah Atuk Nenek di Johor setelah 4 kali raya haji diraikan di UK. Kita hanya mampu merancang, namun Allah lah yang sebaik-baik perancang. Sesungguhnya rancangan Allah adalah yang terbaik. Selesai sembahyang raya, kami bertolak pulang ke kampung di Pontian dan menghadiri kenduri tahlil sekali lagi. Anak-anak masih belum dapat menyesuaikan diri mereka di mana Nuha asyik hendak berkepit dengan Ayah dan Insyirah pula asyik hendak berkepit dengan Ummi. Insyirah asyik menarik baju Ummi sahaja dan menyukarkan Ummi untuk menolong orang di dapur. Dalam Ummi dok geram-geram dengan perangai Insyirah, tiba-tiba Acu (adik bongsu Ummi) berkata "Haip", bergurau memarahi Insyirah. Tiba-tiba Insyirah menangis tersedu sedan dan macam-maca perkataan yang keluar dari mulutnya yang tidak di sangka-sangka. "Insyirah nak balik Insyirah's house". "Insyirah tak suka Malaysia". "Insyirah don't like nenek house". "Insyirah nak balik Insyirah's house". "Insyirah tak nak Malaysia". "Insyirah nak toys Insyirah". "Insyirah nak barbie Insyirah" etc. Sampaikan Ummi dan Acu nya pun turut sama meleleh air mata melihat Insyirah menangis, hahaha. Selesai kenduri tahlil, kami pergi beraya ke rumah sanak saudara. Dapatlah merasa burasak, paklo, asam pedas ikan parang dll :D 

7 November 2011 (Isnin) - Pergi jalan-jalan sekejap di Kluang Mall sebelum pulangkan kereta pada Mak Ngah Ani. Selepas tu singgah sebentar rumah Mak Tam/Pak Tam (adik lelaki Ummi) di Parit Raja Batu Pahat dan kemudian ke rumah Mak Ngah/Pak Ngah (Kakak Ummi) di Kulai untuk pulangkan keretanya. Kami pulang ke Pengeli bersama Atuk yang telah sedia menunggu kami di rumah Mak Ngah Ani :D

8 November 2011 (Selasa) - Mak Long/Paklong sempat singgah di tol air keruh dalam perjalanannya pulang ke Air Hitam dari Kedah untuk mengambilkan beras 2 kampit yang kami tumpangkan di kontena rakan kami yang telah tiba di Seremban pagi itu. Kami menukar tiket kapal terbang untuk pulang ke Penang daripada hari Khamis kepada hari Ahad kerana Atuk dan Nenek hendak buat kenduri pada hari Sabtu, 12 November 2011.

9 - 11 November 2011 (Rabu - Jumaat) - Duduk di rumah Atuk Nenek sahaja sambil menolong mereka mengemas rumah. 

12 November 2011 (Sabtu) - Kenduri Aqiqah Ahmad Mujahid, Farihin, Izuan dan Aini (seekor lembu), majlis khatam Al-quran kakak Iqah dan bacaan yassin perempuan (petang) dan yassin dan tahlil lelaki (malam). 

13 Novermber 2011 (Ahad) - Seawal 6.30 pagi kami telah bergerak ke Lapangan Terbang Senai untuk pulang ke Penang. Penerbangan bertolak pulang pada jam 8.00 pagi dan tiba pada jam 9.30 pagi. Mak Ndak/Pak Ndak mengambil kami di lapangan terbang. Dalam perjalanan pulang sempat singgah di Jusco Bukit Mertajam. Anak-anak seronok sangat bermain di situ dan sempat masuk ke Petrosains. Insyirah dan sepupunya sempat masuk pertandingan mewarna yang dianjurkan oleh pihak Petrosains. 

14 November 2011 (Isnin) - Hari ini sepatutnya hari pertama anak-anak ke taska dan tadika. Tetapi disebabkan Umminya kurang sihat, anak-anak hanya duduk di rumah di Lahar Kepar bersama Ummi. Ayah seorang yang pergi ke tempat kerja dan mengambil kunci rumah sewa. Nasib baik hari ini Umminya memang cuti. Ingat selepas hantar anak-anak ke nursery hendak membasuh rumah bersama-sama, namun hajat tidak kesampaian.

15 November 2011 (Selasa) - Hari pertama Insyirah ke Tadika Cinta Bistari dan Nuha & Ahmad ke Taska Cinta Bistari.Masing-masing semangat nak pergi ke sekolah masing-masing. Kami bertolak dari Lahar Kepar dan lagi 5 minit hendak sampai ke Taska dan tadika masing-masing bergaduh suruh hantar mereka dulu. "Ayah hantar kakak first" (Insyirah said). "Ayah hantar Nuha first, not kakak first" (Nuha said). Begitulah dok ulang-ulang sampai menangis-nangis. Walaupun tadika dan taska ini di bawah naungan yang sama, namun bangunannya berbeza-beza. Tadika hanya menerima kanak-kanak dari 4-6 tahun sahaja di mana taska pula hanya menerima kanak-kanak dari umur 1-3 tahun. Insyirah dan Ahmad tiada masalah untuk tinggal di Tadika dan Taska, cuma Nuha sahaja yang menangis bila hendak meninggalkannya dan mengambilnya dari Taska. Cikgunya memberitahu Nuha menangis sekejap-sekejap dan kadang-kadang bila dia teringat Ummi dan Ayahnya suaranya tidak keluar, hanya air mata sahaja meleleh mengingatkan Ummi dan Ayahnya. Bila mengambil mereka pulang, Insyirah dan Ahmad seronok, hanya Nuha yang menangis apabila nampak kelibat Ummi dan terus berlari memeluk Umminya. Nuha sangat menjaga adiknya dan tidak bagi peluang langsung untuk kanak-kanak lain menyentuh Ahmad atau pun memegang mainan Ahmad. Kemana sahaja cikgu membawa Ahmad, pasti Nuha hendak ikut. Memang Nuha menjaga amanat Ummi dan Ayah yang suruh dia menjaga adiknya :) Hari pertama berakhir dan bila ditanya apa yang dipelajari di sekolah, Insyirah menjawab yang dia belajar sembahyang (siap tunjukkan perbuatan solat), nyanyi ABC, belajar A for epal dan nengok TV. Nuha pula bila ditanya, dia menjawab yang dia belajar Alif, ba, taa. Sepanjang perjalanan pulang kami dari Nibong tebal ke Lahar Kepar, Nuha menyanyi alif ba taa sampai yaa. Ingatkan hanya menangis sepanjang hari sahaja, rupanya dia perhati juga apa yang orang lain buat. Itulah Nuha :) 

16 Novermber 2011 (Rabu) - Selamat hari lahir Ayah! Ummi, Insyirah, Nuha & Ahmad sayang Ayah. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik pada Ayah dan memberkati usia Ayah. Kasihan Ayah, di hari lahirnya perlu membasuh rumah sewa kami sendirian sebab Ummi terpaksa menjaga anak-anak yang tidak sihat. Hari ini Ummi terpaksa MC sebab anak-anak masing-masing tidak sihat. Ahmad demam panas dan Nuha & Insyirah terkena campak. Kami ke Klinik panel Dr Jammy untuk mengambil ubat demam dan Dr Jammy menyarankan untuk mengambil anti viral untuk mempercepatkan pengeluaran campak tersebut. Namun di kliniknya tiada anti viral tersebut. Kami mengambil anti viral untuk mencepatkan pengeluaran campak Nuha dan Insyirah di klinik Ho Paedtrician. Boleh tahan juga harga anti viral ini tetapi memandangkan cuti Ummi yang tidak banyak kami pejamkan mata sahaja mengambilnya. Kalau tidak siapalah yang nak jaga mereka kerana Taska dan tadika tidak membenarkan menghantar mereka ke sana. Baru sehari ke taska dan tadika  sudah cuti hingga hari Jumaat. Malamnya, kami menumpang bermalam di rumah rakan kami selang sebuah rumah dari rumah sewa kami.

17 November 2011 (Khamis) - Pagi-pagi lagi kereta comel kami meragam, alarm bunyi tidak berhenti. Ayah menelefon perodua Nibong Tebal dan mengikut arahan yang disarankan namun masih tidak berjaya memberhentikan alarmnya. Akhirnya pekerja perodua terpaksa datang ke rumah kami di Taman Ilmu. Kemudian kami pula ke perodua untuk servis kereta kami. Hari ini Ummi terpaksa EL kerana Ahmad masih demam panas. Hari ini hari pertama kami menginap di rumah sewa kami walaupun rumah tersebut serba kekurangan dan kosong sekosongnya. Kami hanya menggantungkan kain selimut menggantikan kain langsir yang masih belum dipasang di bilik tidur utama :) Kami tidak larat hendak berulang alik dari Lahar Kepar, Kepala batas ke USM Nibong Tebal setiap hari. Kalau berdua mungkin boleh tahan lagi, tetapi dengan 3 orang anak rasa macam nak pengsan apabila setiap pagi bersilat dan siapkan mereka :D

18 November 2011 (Jumaat) - Membawa anak-anak ke tempat kerja kerana mereka masih tidak sihat. Ayah terpaksa menjaga ketiga-tiga mereka kerana Ummi ada mesyuarat bersama guru-guru lain berkenaan opsyen tukar lantik guru. Petangnya kami ke Tadika untuk membayar deposit Tadika Insyirah untuk kemasukan tahun hadapan bagi mendapatkan potongan 20%.

19 November 2011 (Sabtu) - Sambung membasuh rumah yang masih belum selesai.

20 November 2011 (Ahad) - Pergi ke kenduri Aqiqah kawan di Taman Abdullah Fahim dan pulang ke Lahar Kepar

21 November 2011 (Isnin) - Hari kedua anak-anak ke Taska dan Tadika. Kami terpaksa juga menghantar mereka ke Taska dan Tadika kerana Ayah dan Umminya ada mesyuarat dengan Dekan Pusat Pengajian. Pada malam hari, tiba-tiba terdengar Insyirah mengajar Ahmad membaca doa penerang hati. Alhamdulillah, baru 2 hari pergi ke tadika, Insyirah sudah boleh membaca doa penerang hati, Allahummaftaha'laina....Nuha seperti biasa menangis kerana sudah 2 tahun lebih Nuha duduk berkepit dengan Umminya dan tiba-tiba kena duduk di Taska. Ahmad ok sahaja kerana dia tidak takut dengan orang. Cuma kasihan Ahmad terpaksa minum susu formula sepanjang di nursery kerana pam susu, botol semuanya masih di dalam kontena. Alhamdulillah Ahmad boleh minum susu formula dari botol. 

23 -24 November 2011 (Rabu- Khamis) - Bekerja seperti biasa.

25 November 2011 (Jumaat) - Ummi menandatangani borang opsyen tukar lantik guru (DG41) kepada pegawai penyelidik (Q41) setelah bermesyuarat dengan dekan pada jam 9 pagi tentang bidang kerja Ummi. Setakat ini, Ummi tidak perlu megajar, dan tidak perlu melanjutkan PhD. Bidang kerja sekarang menguruskan dokumentasi OBE dan penyelidikan dalam "engineering education". Semoga Allah memberkati pekerjaanku ini dan memudahkan segalanya. Malamnya menghadiri majlis ramah mesra di rumah sahabat yang merupakan pensyarah di PPK Mekanik juga.

26 November 2011 (Sabtu) - Menghadiri majlis kenduri kahwin di Dewan Lahar Kepar dan kenduri tahlil di rumah saudara. 

27 November 2011 (Ahad) - Selamat tahun baru Islam. Salam maal hijrah dari kami sekeluarga. Hari ini kami pergi ziarah ke rumah saudara mara di Lahar Kepar.

28 November 2011 (Isnin) -Dalam perjalanan pulang ke Nibong Tebal, kami singgah sekali lagi di Jusco Bukit Mertajam. Hari ini merupakan hari cuti umum. Hari ini juga Nuha demam panas.

29 November 2011 (Selasa) - Nuha masih belum sihat sepenuhnya dan hari ini Nuha tidak ke Taska tetapi mengikut Ummi ke pajabat. Hari ini Ummi bekerja seperti biasa. 

30 November 2011 (Rabu) - Hari ini genap 30 hari kami di Malaysia dan kami semakin menyesuaikan diri di sini. Anak-anak sering demam dan kulit mereka sangat sensitif menjadi cabaran kami sekeluarga. Pelbagai corak kulit-kulit mereka akibat daripada parut-parut kesan gigitan nyamuk, semut mahu pun campak :D Semoga mereka semakin kuat dan semakin serasi hidup di sini. Semoga Allah memudahkan urusan kami di sini. Alhamdulillah kami tidak lagi perlu berjaket bagai menahan kesejukan di bumi asing dan runsing dengan bil gas/elektrik yang melambung tinggi. Cumanya kini kami perlu menahan panahan terik mentari yang mengeluarkan peluh yang telah lama tidak keluar mencurah-curah selama 4 tahun lebih di sana. Harapannya semoga badan ini cepat menyesuaikan diri di sini. Setakat ini jarang memasak di rumah kerana keterbatasan masa dan barang yang kebanyakannya masih berada di dalam kontena :D Hanya beli lauk siap di cafe dan memasak nasi di rumah atau pun makan di kedai sahaja. Duit terasa macam air pengeluarannya, laju sahaja, hehehe :D

Monday, 12 September 2011

Tragedi Raya 2011

Aidilfitri tahun ini tidak seperti tahun-tahun lalu. Disebalik kegembiraan meraikan hari raya, tiba-tiba kami di sini dikejutkan dengan 2 berita sedih yang agak memilukan pada hari raya yang ke-4, 2 September 2011. Dua kematian pada hari yang sama agak mengejutkan. Ibu mertua kakak meninggal dunia pada pagi Jumaat, jam 6.30 pagi di hospital dan diikuti dengan kematian sepupu (sebelah Ummi Insyirah) yang terlibat dalam kemalangan pada jam 2 petang, sehari sebelum majlis akad nikahnya. Rasa terkejut dan sedih sangat mendengar khabar berita ini, tambahan pula sepupu yang meninggal ini rapat dengan kami sekeluarga. Majlis pernikahannya bertukar menjadi kenduri arwah.  Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Allah yang lebih mengetahui segalanya. 
Sebelum ini hanya membaca kisah orang lain sahaja, tetapi bila anggota keluarga sendiri yang terlibat, terasa lemah tidak berdaya. Rasa macam tidak percaya apa yang berlaku. 

Kami di sini hanya mampu berdoa semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan mengampunkan segala dosa-dosanya. Salam takziah dari kami sekeluarga di sini. 

Monday, 18 July 2011

Ahmad 7 bulan

Alhamdulillah, kini usia Ahmad Mujahid sudah 7 bulan dan 10 hari. Berat terkini ketika timbang pada 4 Julai yang lalu adalah 6.2kg sahaja. Coretan kali ini lebih banyak gambar berkenaan dengan perkembangan Ahmad yang terkini.
Cara tidur Ahmad Mujahid:)
Tidur sendiri setelah minum susu, berak dan disalin lampinnya :) Walaupun mudah untuk tidur (hanya ketika kenyang dan lampinnya bersih!), namun telinganya sangat sensitif dengan sebarang bunyian. Mudah terjaga. Jika sudah mengantuk sangat dan perut tidak betul-betul kenyang, perlu didokong, mendodoi untuk menidurkannya kerana jika terlalu mengantuk sangat, susu pun akan ditolaknya:D

Masa meninggalkan anak-anak diruang tamu sebelum menunaikan solat di atas, masing-masing masih cergas dan kedengaran Insyirah berkata yang beliau ingin membuat puzzle selepas memakan buah oren yang diberikan. Ahmad pula setelah diberi susu dan disalin lampinnya, Ummi meletakkannya di atas buaiannya (off) untuk mengelakkan sikakak terlanggar adik jika diletakkan di atas lantai. Kedengaran riuh rendah suara masing-masing setelah Ummi mengambil wuduk, namun setelah solat, tiada lagi suara kedengaran. Nengok-nengok semuanya sudah ketiduran dan puzzle yang Insyirah buat pun tidak sempat disiapkan, hanya tinggal lagi 3 sahaja untuk siap. Sudah mengantuk sangatlah tu:D

Opps, gambar kita mandi pun kakak Insyirah nak ambil ke?? Ummi tengah sibuk mandikan si Ahmad, si Insyirah sibuk dengan kamera ambil gambar si adik. Sekarang ini sudah boleh mandikan Ahmad dengan meletakkannya di atas tempat duduk mandinya. Senang sikit Ummi nak mandikannya:) Berkenaan masalah kulitnya, Alhamdulillah ianya semakin ok.

Ummi baru berani hendak meletakkan Ahmad di dalam "bumbo chair"nya. Itu pun tidak boleh bertahan lama, sekejap jer duduk tegak kemudian sudah melepek ke tepi kerusi, huhuhu. Risau juga sebab "head control" nya tidak berapa bagus lagi walau sudah 7 bulan. Kenapa yer??


Hehehe, abaikan yer sudu pink tu sebab guna balik si kakaknya sudu :D Sekarang sudah ada sudu biru, alhamdulillah:) Ini pertama kali beri Ahmad makan pada 21 Jun yang lalu. Mulanya ingat nak beri 2 ,3 sudu sahaja sebagai percubaan. Tetapi Ahmad seronok pula makan sampai nak habis semangkuk buburnya itu. Hari pertama Ummi beri bubur kosong. Hari kedua Ummi bagi pisang lenyek. Hari ketiga, Ummi beri bubur campur brokoli campur susu formula (Nutramigen) yang diberikan. Ketiga-tiga hari ini memang Ahmad makan bersungguh-sungguh. Sedap jer nengok dia makan tetapi malam hari ketiga yang Ahmad makan tu tiba-tiba nangis sakit. Rupanya sembelit. Semalaman kami tidak lena kerana sembelitnya, hehehe. Esoknya terus Ummi berhenti berikannya makan. Si Ayah cakap "itulah Ummi excited sangat suap dia makan, mentang-mentang dia nganga, Ummi sumbat jer, mungkin perut Ahmad tak berapa kuat lagi kot". Selepas itu, Ummi rasa menyesal tak sudah sebab menyebabkan Ahmad sembelit, huhuhu. Sampai sekarang, kami masih tidak betul-betul memberikan Ahmad makan sebab Ahmad seperti tidak lalu nak makan seperti sebelumnya. Walaupun Ummi membuatkannya bubur, namun Ahmad makan hanya satu dua sudu sahaja. Kalau nengok mulutnya macam beria jer nak makan dan sekarang ini pun sudah pandai ambil barang dan masukkan ke dalam mulutnya, huhuhu.

Terima kasih pada Ibu Eriem yang berikan kopiah untuk Ahmad, Ahmad suka! :)
Ini gambar masa 8 Julai yang lalu apabila sekali lagi Ummi teringin nak makan kek lobak makcik Zana :) Ahmad baru masuk 7 bulan!

Ini video Ahmad yang terkini. Sudah pandai main sendiri. Kalau boleh semua barang nak dirasanya ;)

Gambar Ahmad "rolling" tiada dalam simpananlah pula. Bulan lepas sibuk sangat dengan kerja "rolling" nya itu, tapi bulan ini nampak berkurang sikit kerja "rolling" tu. Sekarang banyak aktiviti bermain menggunakan tangan pula.

Sekarang ini, kami tidak sabar menunggu temujanji dengan "surgeon" Ahmad pada 10 Ogos ini. Sudah beberapa kali tunda dari bulan Mei lagi, huhuhu. Semoga Ahmad Mujahid sihat, cergas membesar menjadi anak yang soleh untuk berbakti pada agama, amin.

Friday, 1 July 2011

Membaca Quran Online

Selain daripada berzikir, kita juga boleh membaca Al-quran dengan mudah walau sedang sibuk menyusukan anak-anak. Kita boleh membaca Al-quran beserta terjemahannya sekali secara online mengikut bacaan yang kita minati seperti bacaan dari Mishari Rashid dll. Boleh juga menjadi rujukan sekiranya kurang pasti bagaimana sebutan bacaan yang tepat.
Jom dengar di sini.


Oh ye, hari ini 1 Julai 2011, Insyirah sudah mula ke kelas mengaji di rumah sahabat anjuran Helwa Nottingham Malaysian Community. Kelas mengaji ini diadakan setiap Jumaat, dari 7.30 petang hingga 9 malam. Semoga Insyirah dan rakan-rakan sekelas diberikan ilmu yang bermanfaat, amin.

Monday, 27 June 2011

Insyirah 4 tahun !

Lagi sebulan lebih nak genap 4 tahun, sudah terima kad dari ToysRus ni ;)

Alhamdulillah syukur kepadaMu ya Allah kerana memberikan nikmat kehidupan dan kesihatan yang baik buat anakanda Nihlah Insyirah sehingga beliau mencapai usianya 4 tahun hari ini. Anugerah kehidupan yang terindah kami perolehi 4 tahun yang lalu benar-benar memberikan kegembiraan yang tidak terhingga buat kami berdua. Kehadirannya melapangkan hati kami dari segala perasaan sedih, kecewa dan gundah gulana yang sentiasa mengacau ketenteraman akal fikiran Ummi khususnya. "Sesungguhnya selepas kesukaran itu ada kemudahan" (Al-Insyirah:5). Sememangnya Allahlah yang sebaik-baik perancang. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Serahkanlah segala urusan kepada Allah, nescaya hati itu akan tenang menghadapi setiap ujian yang diberikan (namun ketika itu, hati ini masih jahil tentang itu dan kerap mempersoalkan apa yang menimpa diri, huhuhu). Astaghfirullahalazim. Ampunkanlah diri ini ya Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram/tenang (Ar-Ra'd:28) Maka dengan kelahiran puteri sulung kami ini, kami bersepakat memberinya nama Nihlah Insyirah yang membawa maksud Nihlah = pemberian dan Insyirah = kelapangan hati/kegembiraan.


Sejak nak masuk umur 4 tahun ini, sudah faham apa itu sambutan hari lahir yang selalu dilihat di television, internet dan kadang kala menghadiri jemputan sambutan hari lahir rakan-rakannya. Sudah pandai minta hadiah, cake, party dll :) Sebelum pergi ke sekolah, siap pesan nanti Ummi bawa kek kat sekolah tau. Nasib Ummi ada pesan kek dengan rakan yang pandai buat kek dan bawanya ke sekolah di akhir waktu sekolah, lebih kurang jam 11.30 pagi. Sampai-sampai je sekolah, cikgu dia nak pasang lilin di atas kek tu (kami tak bawa pun), dan suruh semua kawan-kawannya nyanyi happy birthday. Kemudian cikgu tolong potong kek itu dan Insyirah bahagi-bahagikan pada setiap rakan (lebih kurang 40 orang). Insyirah sangat seronok, dan bila balik rumah tak sabar dia nak makan baki kek tersebut. Kek lobak tersebut tersangat sedap. Insyirah tanya Ummi, "Ummi buat kek untuk Insyirah?, Ummi mix the cake?" (maksudnya Ummi buat sendiri ke kek tu, huhuhu) Umminya jawab, Tak, Ummi pesan dengan makcik Zana, makcik Zana yang tolong buatkan untuk Insyirah. Cantik dan sedapkan? Ummi mana pandai buat kek, nanti Ummi belajar buat kek ok;)

Antara rakan-rakan baik Insyirah di nursery, Aliya, Saliha, Nichola, Olivia & Oscar, Alina & Tarin

Sekarang ini bila ditanya berapa umur Insyirah, pasti dijawabnya I'm 4 years sampaikan Nuha yang baru 2 tahun itu pun sibuk sebut yang dia pun 4 years juga, hehehe. Insyirah sangat suka menulis, melukis, mewarna, membaca, menggunting-gunting kertas dan tampal-tampal. Insyirah juga seorang kakak yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap adik-adik. Kadang-kadang kami terharu bila mana Insyirah boleh mimik kerja Ummi dalam melayan karenah Ahmad dan Nuha. Pendek kata, Insyirah sudah boleh diharap dalam membantu tugas harian Ummi. MasyaAllah, sudah besar anak kami. Cumanya sering kami perhatikan bila mana kami ada tetamu di rumah, perangainya menjadi lebih manja dan agak luar biasa yang agak menguji kesabaran Umminya.

Selepas buat video Nuha ketika besday nya yang lalu, Insyirah suruh Ummi buat video untuknya pula. Boleh dikatakan setiap hari Insyirah bertanya kepada Umminya sama ada videonya sudah siap ke belum. Hahaha, agak stress juga Umminya bila kerap ditanya soalan yang sama. Tambahan pula, Umminya ini jenis buat kerja bila ada mood sahaja. Dengan itu, terhasillah video ini untuk tatapan anak-anak Ummi dan Ayah. Semoga Insyirah akan sentiasa mengingati Allah, Rasulullah, Ummi, Ayah, Nuha dan Ahmad :)

Selamat Hari Lahir yang ke-4 sayang. Semoga Nihlah Insyirah menjadi anak yang solehah yang berjaya di dunia dan akhirat serta menjadi kebanggaan kami sekeluarga.Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan Allah dan diberkati hidupmu selalu, amin.

Wednesday, 8 June 2011

Ahmad 6 bulan

Berat terkini Ahmad baru 5.85 kg (timbang minggu lepas, 2 Jun 2011). Sekarang ini masih menyusu badan sepenuhnya dan belum mula makan apa-apa. Haritu Dietitian sudah mula suruh untuk mula memberikan Ahmad makan, cuma Umminya sahaja yang agak ragu-ragu nak bagi. Ummi Ahmad pula telah pantang dari segala jenis makanan yang berunsurkan susu kerana menyusu Ahmad seperti cow's milk, butter, margarine, cheese, cream, aiskrim dan yogurt. Sekarang ni Ummi Ahmad hanya minum susu soya dan mengambil supplement calcium & vitamin D. Walaupun Ummi Ahmad pantang dari makanan-makanan tersebut, nampaknya eczema Ahmad makin teruk. Ini mungkin disebabkan telur rebus yang dimakan oleh Umminya (gara-gara nak habiskan Nuhanya telur), huhuhu. Agak tensi juga sebab Umminya telah berusaha untuk mengawal pemakanannya tetapi keadaan eczema Ahmad masih teruk. Sepatutnya telur tiada unsur susu dan boleh di makan. Terus terdetik dalam hati kalau bagi susu Nutramigen tu, adakah eczema Ahmad akan pulih?? Tapi apa nak buat dengan susu yang sedia ada ni, takut jadi bengkak susu pula, huhuhu.

Perkembangan Ahmad sekarang semakin aktif dan sudah boleh pusing-pusing. Asyik-asyik nak meniarap sahaja. Agak susah nak salin lampinnya sebab asyik nak meniarap :) Lehernya juga semakin kuat dan Ummi sudah boleh meletakkannya di dalam bumbo chair :) Seperti biasa, Ahmad sangat pemurah dengan senyuman kepada orang yang dikenalinya. Pantang ditegur, ketawalah dia :)

Sepatutnya sekarang ini kami sekeluarga berada di Italy mengikuti Ayah yang ada conference di sana tetapi disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, hanya Ayah yang berada di sana. Ummi dan anak-anak berada di rumah. Ini merupakan kali pertama Ummi menjaga anak-anak sendirian dan kali pertama Ayah berenggang dengan anak-anak. Sejak Ahad lepas Ayah berada di Italy dan kami semua tidak sabar nak tunggu hari Jumaat ini. Penerbangan Ayah dijangka tiba di lapangan terbang Birm jam 9.30 malam. Harap-harap janganlah ditunda hendaknya. Semoga perjalanan Ayah dipermudahkan.

Sunday, 15 May 2011

Nuha 2 tahun !

Hari ini, 15 Mei 2011 merupakan hari istimewa buat kami sekeluarga:) Anakanda Nuha Rumaisa genap 2 tahun. MasyaAllah, sekejapnya masa berlalu. Masih segar dalam ingatan 2 tahun lepas melahirkannya di hospital QMC tepat jam 12.47 tengah hari Jumaat.

SELAMAT HARI LAHIR NUHA RUMAISA dari Ummi, Ayah, Insyirah dan Ahmad !

Pada hari ke-7 selepas dilahirkan, kami sepakat memberikannya nama NUHA RUMAISA (نهى رميصاء) yang membawa erti kebijaksanaan (Nuha). Ini kerana ketika mengandungkan Nuha, Umminya sedang bertungkus lumus menyiapkan dissertation MSc. Alhamdulillah Umminya berjaya menyiapkan dissertation tersebut dan berjaya menamatkan pengajian MSc dengan jayanya bersama Nuha yang masih di dalam perut :). Nama Rumaisa pula sebagai pelengkap nama Nuha yang diambil bersempena dengan nama wanita Yathrib pertama yang memeluk Islam (Rumaysa bint Milhan atau lebih dikenali dengan nama Ummu Sulaym). Lagi info tentang Rumaysa bint Milhan (sebenarnya Umminya lebih suka dengan ejaan Rumaysa namun tidak dipersetujui oleh Ayahnya yang ingin menulis nama anaknya mengikut ejaan bahasa Melayu :) Semoga Nuha Rumaisa menjadi seorang anak yang hebat dan berani seperti Rumaysa bint Milhan yang menjadi model seorang Muslim, Isteri dan juga seorang Ibu yang berjaya dimata Islam.

Nuha Rumaisa kami juga berani dan agak lasak dalam kehidupan sehariannya. Bab panjat memanjat atau jatuh dah sebati dalam hidupnya. Sukar hendak mendengarnya menangis jika jatuh yang biasa melainkan benar-benar sakit. Kadang-kadang kami perhatikan kepalanya dah benjol, badannya lebam tapi tak tahu bilanya Nuha jatuh. Dirinya juga agak keras sedikit dan kami tidak boleh berkeras dengannya. Jika ingin Nuha melakukan sesuatu, kami perlu berlembut dengannya. Selalunya kena cakap yang manis-manis dahulu jika menginginkannya melakukan sesuatu. Kalau tak, bila Nuha dan cakap "No", maka "No" lah jawapnya. Suruhlah apa pun, tidak akan dibuatnya.

Namun begitu, Nuha juga seorang adik dan kakak yang penyayang bagi Insyirah dan Ahmad. Nuha tidak akan melupakan kakak dan adiknya dalam perkara yang dilakukannya. Kalau nak masuk/keluar kereta, pasti Nuha akan bertanyakan kakak dan adiknya, pastikan yang Ayah telah membawa masuk/keluar mereka. Tidak boleh ditinggal. Haritu di Bicester Village, Ayah meninggalkan kakaknya  di playground bersama rakan Arabnya (Yarra) dan masuk ke kedai Clarks bersebelahan playground tersebut. Namun tak sempat nak buat apa dalam kedaitu sebab Nuha dah menangis-nangis sebut kakak-kakak. Takut benar Nuha kami meninggalkan kakaknya di playground tersebut. Masa kami dihotel, Nuha tidak perasan si kakak keluar bersama Ayah ke kereta menghantar sebahagian beg sebelum check-out. Habis dicarinya ke setiap pelusuk, bilik air, bawah katil sambil memanggil-manggil kakak. Bila kakaknya kembali ke bilik, terus jer diterkam kakaknya dan memeluk Insyirah erat. Comel jer. Macam sudah lama tidak berjumpa, hehehe. Jika dia mengambil buah/apa-apa makanan dari atas meja, pasti Nuha akan mengambil 2 untuk diberikan satu kepada kakaknya. Bila ditanya kenapa ambil 2 Nuha akan jawab "for kakak" walaupun sikakak tidak suruh pun untuk mengambilnya:). Baru-baru ini setelah 2 minggu kakaknya cuti sekolah (Easter break), dan hari pertama kakaknya ke sekolah, Nuha sedikit meragam. Serba tak kena dibuatnya sebab rakan sepermainannya tiada. Bila sikakak pulang, terus ceria Nuha bermain bersama Insyirah. Hilang terus ragamnya. Jika Ahmad menangis, sibuklah Nuha memanggil Umminya, "Ummi, Ahmak (baca:Ahmad) crying!" :D Oh ye, sekali sekala bergaduh tu ada juga, dah nama adik beradik kan. Gaduh-gaduh sayang. Bak kata pepatah, air yang dicincang tidak akan putus;)

Disebabkan dapat adik pada usia muda (setahun 7 bulan), Nuha agak berdikari orangnya. Walau di awal kehadiran Ahmad Mujahid, agak sukar untuk Nuha menerimanya kerana perlu berkongsi kasih Ummi dan Ayah. Nasib baik ketika itu ada Atuk dan Nenek yang rajin melayannya bermain. Terubat rasa hati bila Ummi asyik bersama dengan Ahmad. Tapi kami kagum dengannya kerana tidak pernah sekali Nuha mengangkat tangan untuk memukul adiknya atau perkara-perkara lain yang seangkatan dengannya. Paling kuat pun jika rasa rindu Nuha untuk dipeluk Umminya, disuruhnya letak adiknya di atas katil/buai. Keadaan Ahmad yang istimewa yang sering sakit juga seolah-olah meraih kasih sayang sikakak agar lebih menyayanginya. Walau diusia kecil, mereka seolah-olah faham akan keadaan adik lelakinya itu. Alhamdulillah.

Buat masa sekarang, si kakak adalah segala-galanya bagi Nuha. Nuha sangat suka meniru setiap percakapan atau pun gerak geri si kakak. Namun, agak kurang dari segi pemakaian. Jika si kakak gemar memakai pakaian ala-ala princess (dress, skirt dll), Nuha lebih suka memakai seluar panjang dan t-shirt. Lebih mudah baginya. Selalu menjadi paksaan Ummi dengan memakaikannya baju gaun. Kasihan Nuha! Bab makan pula, Nuha lebih menggemari sayur-sayuran terutamanya lobak merah :) Tidak memilih sangat pasal makanan. Sekarang ini bila ditanya umur Nuha berapa, Nuha akan menjawab "six" dan bila ditanya warna kegemaran, pasti dijawabnya "lellow" (baca yellow). Suka sangat dengan six dan yellow :D Kalau si kakak gemarkan Barbie dan princess, Nuha lebih menggemari Thomas, Bob the builder, Dora, Upsy daisy dan Mickey mouse :)

Video gambar-gambar Nuha sepanjang 2 tahun:)

Di hari lahirnya, kami raikannya di restoran Kurdistan yang akan dikongsi di next entry insyaAllah. Ummi tidak sempat nak masakkan apa-apa kerana sibuk dengan adik Ahmad di QMC yang sakit mata hingga menitiskan air mata bercampur darah. InsyaAllah akan dikongsi juga kemudian.

Selamat Hari Lahir yang ke-2 buat Ù†Ù‡Ù‰ رميصاء. Kami semua sayang Nuha.

Tuesday, 10 May 2011

Ahmad 5 bulan

Pejam celik, pejam celik, Ahmad sudah 5 bulan sekarang. Dikala rakan-rakan seusianya sudah boleh guling-guling dan angkat kepala sendiri, Ahmad masih berusaha ke arah itu. Ahmad kurang kuat untuk mengangkat kepalanya jika ditiarapkan, tetapi boleh mengangkat bahagian punggungnya di atas bantuan kakinya. Sekarang ini, jarang sudah pegang leher Ahmad ketika memegangnya, namun masih perlu berhati-hati. Oleh itu, Ummi masih tidak berani hendak meletakkan Ahmad di atas "Bumbo chair". Bila kedua-dua tangannya bersarung tangan pula, Ahmad pandai menggaru peha, lutut dan betisnya dengan menggunakan kaki. Kaki kiri garu kaki kanan dan kaki kanan garu kaki kiri, hehehe. Itu yang kena pastikan Ahmad sentiasa memakai seluar panjang atau pun stokin atau "tight" untuk mengelakkan kakinya daripada digaru. Kalau tidak habislah kulit betisnya merah dan berair-air menjadikan eczema nya semakin teruk.

Di bawah ini diletakkan carta perkembangan bayi dari umur sebulan hingga 5 bulan dan perkembangan Ahmad kebanyakkannya selari dengan column pertama "Mastered skills" kecuali yang bahagian yang boleh angkat kepala dan guling-guling.
Carta perkembangan bayi dari 1 bulan - 5 bulan (klik imej untuk sumber rujukan)

Ahmad juga bukanlah seorang bayi yang bulat walaupun menyusu badan sepenuhnya. Pertambahan berat badannya hanya sedikit setiap kali ditimbang. Berat terkini hanya 5.56 kg yang ditimbang pada 7 Mei 2011 di bahagian A&E Hospital QMC. Sehari sebelum usianya genap 5 bulan, Ahmad demam panas (39.7 darjah celcius) buat pertama kalinya. Demam panasnya baik setelah diberikan paracetamol namun kembali demam selepas 6-7 jam. Selain itu, matanya juga bengkak sejak 4 hari yang lalu selepas pulang dari temujanji dengan pakar kulit dihospital. Lalu Ahmad dibawa ke hospital bahagian A&E sebab hari Sabtu, klinik (GP) tidak buka. Kami sampai lebih kurang jam 3 petang dan nurse menanyakan apa masalah Ahmad sebelum diserahkan kepada doktor untuk pemeriksaan selanjutnya. Ummi hanya memberitahu berkenaan masalah demamnya yang datang dan pergi serta keadaan matanya yang bengkak sejak 4 hari lalu. Nurse memeriksa suhu badan dan denyutan nadi Ahmad. Suhu badan agak ok, 37.6 darjah celcius tetapi denyutan nadi agak tinggi. 

Kemudian doktor pula datang untuk memeriksa Ahmad. Sebelum itu, doktor ingin tahu rekod perubatan Ahmad sebelum ini. Alhamdulillah, Ummi ingat semua yang berlaku ke atas Ahmad beserta tarikh dan nama ubat yang pernah Ahmad terima. Cuma satu ubat yang Ummi lupa namanya iaitu antibiotik yang diberikan untuk merawat kulit pipinya yang berair (oozing) dan batuk. Doktor tidak risau dengan masalah matanya yang bengkak tetapi risau akan pernafasan Ahmad yang agak laju. Sekali lagi suhu badan Ahmad diperiksa pada jam 4.30 petang dan suhunya naik kembali kepada 38.8 darjah celcius. Lalu Ahmad diberikan calpol dan disuruh naik ke wad E37, bahagian Children Assesment Unit (CAU).

Di CAU, Ahmad diminta untuk ke bahagian X-Ray untuk X-Ray dadanya. Dari pemerhatian X-ray, terdapat dot-dot yang menunjukkan dadanya terkena jangkitan (chest infection). Selain itu juga doktor memaklumkan yang ada "thymus" di bahagian dada Ahmad. Selalunya "thymus" ini penting untuk newborn baby untuk menghasilkan sel T untuk sistem daya tahan diri. Thymus ini menolong badan menghasilkan sel darah putih untuk mengelakkan jangkitan. Semakin membesar seseorang kanak-kanak itu, thymus ini akan hilang. Namun terdapat juga kanser thymus yang menyebabkan batuk yang berpanjangan, sakit dada dan sukar untuk bernafas. Semoga Ahmad dijauhi dari ini hendaknya, amin.

Selain perlu di X-ray, Ahmad juga perlu diambil sampel air kencingnya. Ya Allah jenuh Ummi nak dapatkan sampel air kencingnya. Akhirnya selepas 3 jam, Ummi berjaya mendapatkannya, lega. Kemudian Ahmad perlu diberikan antibiotik (cafelaxin) sebelum dibenarkan pulang ke rumah untuk memastikan Ahmad tidak allergic terhadap antibiotik tersebut. Lama betul menunggu di wad tersebut sampaikan Ummi kehabisan tenaga. Tiba-tiba jam 10 malam, nurse datang untuk menyuruh mengambil sampel air kencing Ahmad sekali lagi. Ummi terus terang menolak untuk membuatnya sebab sudah tidak larat sangat ditambah bukan senang untuk mendapatkannya. Tidak tahu apa yang dibuat dengan sampel yang pertama sebab boleh tanya sudah ambil sampel air kencing ke belom. Pada hal Ummi sudah berikan pada nurse sebelah siang sampel tersebut. Jam 11 malam, Ummi terpaksa membawa Ahmad keluar bilik dan menyuruh nurse memeriksa suhu badannya kerana terasa panas. Sebelum ini, setiap 2 jam nurse datang memeriksa suhu badan Ahmad, tetapi sebelah malam tiada pula nurse yang datang. Itu yang terpaksa Ummi yang meminta untuk diperiksa. Bila diperiksa, suhunya sudah mencapai 39 darjah celcius, huhuhu. Jam 11.30 malam baru Ahmad diberikan paracetamol dan juga antibiotik. Untuk dibenarkan keluar, perlukan pemeriksaan doktor terlebih dahulu untuk memutuskan sama ada perlu tinggal di wad atau boleh balik. Kasihan pada Nuha dan Insyirah yang menunggu sehinggakan terpaksa tidur di stroller.

Setia menunggu Ahmad untuk dibenarkan pulang ke rumah.

Jam semakin lewat namun kelibat doktor tidak kelihatan. Sudah beberapa kali Ummi menanyakan pada nurse yang bertugas. Jawapan tetap sama "doktor tengah pusing wad dan tidak lama lagi doktor datang". Akhirnya hampir 3 jam, barulah doktor datang memeriksa Ahmad dan membenarkan kami pulang. Tepat jam 3 pagi, dalam hujan kami pun pulang ke rumah, alhamdulillah.

Ahmad diusia 5 bulan:)
Gambar diambil pada jam 1.24 pagi waktu UK, 8 Mei 2011 (tengah menunggu doktor yang tidak kunjung tiba, huhuhu)

Demam Ahmad masih datang dan pergi selama 3 hari ini berselang seli dengan muntah dan cirit birit sekali sekala tetapi hari ini nampaknya demamnya sudah reda, cuma matanya sahaja yang belum pulih sepenuhnya dan masih cirit birit mungkin disebabkan oleh antibiotik yang dimakan. Harap-harap demam dan mata Ahmad pulih sepenuhnya, amin.Sesungguhnya setiap penyakit itu ada penawarnya :)

Friday, 8 April 2011

Ahmad 4 bulan

Setakat umur 4 bulan ini pelbagai perkara yang dilalui oleh Ahmad Mujahid. Berat lagi mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kasihan Ahmad asyik merengek-rengek kegatalan. Kalau tengah salin bajunya sempat lagi tangannya menggaru-garu kaki, muka dan dadanya sampai berdarah-darah. Padahal Ummi dah potong kukunya 2 kali seminggu. Oleh itu, setiap masa Ahmad perlu memakai sarung tangan;) 
Gambar Ahmad 4 bulan. Gaya ini habit Ahmad, yang sangat suka membelek-belek tangan kanannya. Oh, abaikan rambutnya yang semakin panjang itu ya;)

Alhamdulillah, Ahmad seorang anak yang kuat. Semoga Ahmad sentiasa sabar menghadapi segala dugaan dan membesar menjadi anak soleh (boleh hafaz al quran juga;)

Tarikh penting tentang Ahmad sepanjang 4 bulan (Ummi perlu ingat ini untuk info bila di tanya oleh doktor tentang rekod perubatan yang Ahmad telah laluinya) :
  1. Duduk di hospital QMC selama 2 minggu rentetan daripada pembedahan exomphalos selepas lahir - 08 Disember 2010 - 21 Disember 2010
  2. Di diagnos inguinal hernia pada 18 Januari 2011 dan dibedah pada 23 Februari 2011 di QMC. Masa ini kulit Ahmad sudah agak kering tapi tidaklah sampai Eczema
  3. Pada 1 Mac 2011 pergi baby clinic di Mary Potter untuk timbang dan mendapatkan nasihat untuk masalah kulitnya yang kering. Mereka berikan Dermol dan Hydromol cream. Mereka nasihatkan untuk pergi berjumpa GP untuk dapatkan antibiotik disebabkan infections pada pipinya (oozing)
  4. 2 Mac 2011 pergi jumpa GP dan diberikan antibiotik, malangnya Ahmad allergic dengan antibiotik tersebut.
  5. 3 Mac 2011 sekali lagi berjumpa GP, dan diberikan antibiotik lain dan hyrocortisone cream. Masa ini GP sahkan yang Ahmad mempunyai Atopic Eczema pula.
  6. 8 Mac 2011 berjumpa GP kembali sebab Ahmad batuk-batuk sampai tak boleh tidur lena melainkan Ummi tinggikan sedikit kepalanya. GP suruh berikan antibiotik kepada Ahmad. Sepatutnya Ahmad perlu dicucuk untuk 2nd imunisastion nya pada hari tu tapi terpaksa ditunda sebab Ahmad batuk
  7. 15 Mac 2011 berjumpa GP untuk periksa Ahmad sama ada boleh dicucuk atau tidak. Alhamdulillah keadaan Ahmad sihat untuk dicucuk.
  8. 29 Mac 2011 berjumpa GP kembali mengadu masalah kulit yang sama. GP masih berikan antibiotik yang sama dan hydrocortisone cream. Tiada perubahan.
  9. 4 April 2011, paedtrician nurse datang melawat Ahmad di rumah. Beliau menyarankan agar kurangkan kekerapan memandikan Ahmad kerana ia boleh mengeringkan kulitnya. Jika sebelum Ummi mandikan Ahmad 2 kali sehari, pagi petang ingatkan boleh membantu melembapkan kulitnya yang kering. Rupa-rupanya teori kami silap. Paedtrician tersebut suruh kami mandikan Ahmad 2 kali seminggu sahaja! Minggu depan, dia suruh kami ke klinik pada hari rabu berjumpa dengan health visitor yang berpengalaman tentang masalah eczema.
Terasa bagai dugaan yang diberikan tidak putus-putus, namun kami cuba berlapang dada menerima segalanya dengan tabah dan redha. Sesungguhnya dugaan/ujian yang diturunkan oleh Allah itu tersirat hikmah disebaliknya. Setiap bencana, penyakit, kesusahan/kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin itu mungkin disebabkan perkara-perkara tersebut:
  1. Menjadi "Kaffarah" (penghapus) dosa orang yang ditimpa bencana itu.
  2. Sebagai balasan Allah atas kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.
  3. Untuk menaikkan darjat orang yang ditimpa bencana itu.
  4. Sebagai ujian keimanan orang yang ditimpa bencana itu.

Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa kami, sama ada kecil atau pun besar dan jadikanlah kami hamba yang patuh di atas segalah perintahMu dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMu. Amin ya rabbal al-amin.

Tuesday, 8 March 2011

Ahmad 3 bulan

Ahmad punya berat sekarang 4.5kg (timbang seminggu lepas, 1 Mac 2011). Sekarang ni Ahmad dah rajin bersembang dan gelak-gelak. Waktu tidurnya juga sudah kembali normal, siang main dan malam tidur. Ahmad sangat suka membelek-belek tangan kanannya, tak tahulah apa yang diperhatikannya, khusyuk benar kalau dia perhatikan tangan kanannya tu. Siap genggam erat lagi buku penumbuk :) Tadi pagi pergi jumpa GP sebab Ahmad batuk-batuk. GP periksa dada Ahmad dan GP kata dada Ahmad "chesty". Ahmad kena makan antibiotik untuk sembuhkan batuknya. Sebenarnya Ummi tak bagi Ahmad makan antibiotik yang GP bagi minggu lepas untuk masalah kulitnya sebab Ummi sedikit fobia. Takut Ahmad allergic lagi, huhuhu.
Inilah anitibiotik yang Ahmad allergic, Flucloxacillin (Antibiotik ni kumpulan peninsilin)

Sekarang ni bermulalah episod Ahmad disahkan "Atopic Eczema". Semenjak Ahmad balik dari hospital memang Ahmad mengalami masalah kulit kering tapi taklah sampai eczema. Dah banyak kali juga jumpa GP dan dia  asyik suruh kerapkan letak krim yang kami guna. Macam-macam krim yang digunakan, aqueas cream, baby oil johnson, baby johnson cream. Tapi semuanya tak berkesan. Lalu, pada 1 Mac lepas, Ahmad pergi baby clinic di Mary Potter, health visitor bagi 2 emollient cream, Dermol dan Hydromol. Oleh kerana pipi Ahmad ada sedikit berair (oozing), health visitor suruh pergi jumpa GP untuk dapatkan antibiotik sebab pipinya dah kena infection. Esoknya, 2 Mac 2011, Ahmad berjumpa dengan GP untuk dapatkan antibiotik. GP bagi Ahmad Flucloxacillin. Perlu makan 2.5ml, 4 kali sehari. Antibiotik ni berkesan bila makan diwaktu perut kosong. Maka tak boleh nak susukan Ahmad bila nak bagi antibiotik ni. Ummi bagi Ahmad antibiotik ni setiap 6 jam. Apabila Ummi nak berikan Ahmad dos yang ke-3 jam 6 pagi, tiba-tiba Ummi perhatikan yang muka Ahmad bengkak besar. Mukanya jadi empat segi dan matanya sangat sepet. Pipinya juga merekah-rekah sehingga mengeluarkan air bisa berwarna kuning, 3 atau 4 kali lebih teruk keadaannya daripada sebelum Ahmad makan antibiotik. Ummi terus berhenti berikan Ahmad antibiotik tersebut dengan harapan mukanya akan surut daripada bengkak dan kembali normal. Pagitu Ahmad asyik menangis-nangis kesakitan (tak pernah dengar dia menangis camni) dan serba tak kena. Akhirnya Ummi telefon GP dan mereka terus suruh kami datang ke klinik selepas Ummi nyatakan nak pergi bahagian kecemasan terus di QMC (Mula-mula clinic kata tak boleh nak jumpa doktor sebab penuh).

Antibiotik lain menggantikan Flucloxacillin. Hydrocortisone cream untuk sapu.
Bila jumpa GP, masa ni lah GP sahkan yang Ahmad kena "Atopic Eczema". Ummi kata rasanya Ahmad allergic dengan antibiotik (Flucloxacillin) yang diberikan, tapi doktor kata mungkin ya dan mungkin tidak. Doktor taknak mengaku yang Ahmad allergic antibiotik tu. Eczema boleh menjadi teruk dengan serta merta katanya. Kami pun pasrah je lah. Yelah mana ada doktor yang nak pesakitnya allergic kan? Kemudian doktor suruh berhenti berikan Flucloxacillin, dan digantikan antibiotik lain, namanya "Erythromycin Ethyl Succinate". Selain tukar antibiotik, doktor berikan hydrocortisone cream (mild steroid) untuk sapu. 
Alhamdulillah, muka Ahmad kembali bersih selepas disapu hydrocortisone cream. Tapi antibiotik yang baru tu Ahmad tak makan pun sebab Ummi takut Ahmad allergic lagi:) Tapi tadi balik dari klinik, GP suruh bagi juga antibiotik tu sebab Ahmad batuk.

Buai ini masih berjasa buat Ahmad diusianya 3 bulan.

Tuesday, 8 February 2011

Ahmad 2 bulan

Hari ini, 8 Februari 2011, Ahmad Mujahid genap 2 bulan. Berat terkini 4.05kg (timbang pada 1 Februari 2011). Tadi pagi ada temujanji di Mary Potter Clinic untuk 8 minggu checkup dan cucuk imunisasi pada kedua-dua pehanya. Masa doktor periksa badannya, Ahmad buka mata kejap, tapi lepas pakaikan baju balik, Ahmad sambung tidur. Kemudian nurse cucuk peha belah kiri Ahmad, dia tetap lena tidur dan bila cucuk peha kanan, barulah dengar suara Ahmad menjerit 2 kali. Namun lepas dipujuk, Ahmad sambung tidur balik, huhuhu. Sebelah siang memang Ahmad tidur manjang, mengantuk sangat sebab malam suka berjaga. Harap-harap Ahmad tak demamlah kesan daripada kena cucuk ni sebab esoknya Ahmad perlu dibedah pula.

Esok, 9 Februari 2011, Ahmad sekali lagi perlu dibedah untuk membaiki masalah "Inguinal Hernia" yang didiagnos pada 19 Januari 2011, 2 minggu lepas. Kami doakan Ahmad Mujahid kuat menghadapi pembedahannya esok dan semoga segalanya berjalan lancar. Kami juga berharap agar Ahmad Mujahid cepat sembuh dan sihat seperti kanak-kanak lain. Ummi pula yang rasa berdebar-debar menanti hari esok.
Ahmad berusia 2 bulan dengan Insyirah yang sangat sayang adiknya. Asyik nak pegang Ahmad jer, tidur pun nak sekatil dengan Ahmad, huhuhu. 

Friday, 21 January 2011

30 Januari 2013

Visa kami sekeluarga telah tamat tempohnya pada 30 Oktober 2010 dan kami telah menghantar dokumen ke Home Office untuk memperbaharui visa tersebut di penghujung Oktober tahun lepas. Biometric pula telah dilakukan di Derby pada 16 November 2010 bersamaan dengan 10 Zulhijjah, di hari raya haji. Makanya gambar kami anak beranak di visa semuanya berlatar belakangkan baju kurung dan baju melayu, hari raya lah katakan. Balik dari sembahyang raya, bergegas ke Derby :D 

Alhamdulillah, visa yang diperbaharui telah diterima 2 ke 3 minggu lepas ek (ingat-ingat lupa daa) dan tempoh perlanjutan visa yang diluluskan oleh Home Office sehingga 30 Januari 2013. Walaupun tempoh yang diberikan agak lama, namun kami sudah tidak sabar untuk kembali ke Malaysia :) Harap-harap dapatlah pulang ke Malaysia hujung tahun ni, insyaAllah.

Saturday, 8 January 2011

Ahmad sebulan

Hari ini genaplah usia Ahmad Mujahid sebulan hidup di muka bumi Allah ini, dan dah 2 minggu keluar dari hospital. Oh ye, seminggu yang lepas pada 1 Januari 2011, kami mencukur botak rambut Ahmad, botak licin ye :D. Tapi sekarang kejap je rambutnya dah tumbuh balik. Waktu tidur Ahmad adalah di siang hari dan waktu malamnya berjaga. Kalau siang, memang lenalah dia tidur. Walaupun si kakak-kakaknya bising terjerit-jerit pun Ahmad masih boleh lena dibuai mimpi. Kadang sampai kena kejut nak bagi minum susu dan tukar lampin. Boleh pula dia lena tidur walau lampinnya kotor.
Ahmad lena tidur di siang hari berbanding malam. Bila malam Ummi pun terpaksa bersengkang mata melayan Ahmad yang berjaga. Kadang Ummi curi-curi juga tidur sekejap-sekejap :D Bila siangnya Ummi pula yang pening kepala sebab tak cukup tidur :D Tapi nasib baiklah Ahmad bukan jenis yang menangis sekuat hati di malam hari. Ahmad suka termenung dan merengek-rengek sikit-sikit. Kadang berapa kali Ummi salin lampin bila malam ingatkan Ahmad tak boleh tidur sebab nak kena tukar lampin. Menyusu pun sangat kerap di malam hari berbanding siang. Kalau siang, kadang Ahmad boleh tidur sampai 5 jam baru bangun nak susu.


Ahmad dibuaian. Buaian ini menjadi penyelamat Ummi tatkala Ahmad sukar nak tidur dan perlu didodoi :D Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah. Semoga Ahmad Mujahid sihat membesar dan menjadi anak yang soleh, penyejuk hati kami sekeluarga.

Thursday, 25 November 2010

Khas buat Acu

Lama dah Ummi tak update keletah puteri berdua Insyirah dan Nuha, asyik-asyik update pasal bakal adik baru jer kan. Banyak benarnya yang nak diupdate kan tapi tak berkesempatan, hehehe. Video Nuha pun lama dah tak ambil dan tak sebanyak masa Insyirah dulu. Maafkan Ummi ya Nuha. Almaklumlah sibuk melayan mereka berdua. Ni pun baru baik dari cirit birit, muntah-muntah, sakit gigi dan sengal-sengal badan. Kesian kat Ayah, dahlah sibuk nak kejar deadline siapkan paper, Ummi pula asyik tak sihat. Semoga Allah mempermudahkan urusan penulisan Ayah dan diberikan idea yang bernas. Ni dok menghadap blog sebab Ayah suruh rehat dan jangan buat kerja berat-berat dulu, bagi sihat betul-betul. Kalau ikutkan hati nak kemas kotak-kotak kat atas tu. Sabarlah dulu.

Berbalik pada Insyirah dan Nuha, kadang rasa diri dah cukup adil melayan mereka berdua, tapi pernah juga terkeluar dari mulut Insyirah pada suatu hari "It's unfair Ummi!" Bila si Ummi asyik menyebelahi Nuha dengan menyuruh si kakak mengalah sebab dah besar. Ye lah kan si adik kecil lagi dan tahunya nak menangis jer bila nak kan sesuatu. Peningla kepala Ummi bila asyik menangis jer. Walaubagaimanapun terima kasih Insyirah sebab mengingatkan Ummi untuk berlaku adil kepada kamu berdua. Tidak sepatutnya alasan masih kecil untuk adik bermaharajalela untuk mendapatkan semua yang dikehendaki. Sejak kecil lagi, Nuha perlu diajar berkongsi  dan hormat hak orang lain. Contohnya, janganlah bila si kakak dah penat siapkan menara (lego)  tinggi-tinggi, datang si adik sedap jer robohkan dengan sekelip mata. Mahu tak meradang si kakak. Insyirah pun kena pandai berkongsi dan saling tolak ansur dengan adik ye sayang. Alhamdulillah sekarang dah boleh bermain bersama walaupun kadang-kadang bergaduh juga bila masing-masing mood tak stabil, hahaha. 

Bila nengok TV pula, Insyirah dah tak layan cerita-cerita masa usianya sebesar Nuha macam In the Night Garden, Teletubbies, Dora the explorer dll. Lebih suka kepada kartun yang macam Ben & Holly little kingdom, barbie, little bear dll. Makanya bila tukar rancangan kegemaran Insyirah, si Nuha kata no, no bila tidak menepati citarasanya dan disuruhnya tukar rancangan lain begitu juga sebaliknya. Baru berdua dah macam-macam ragam.  

Insyirah sekarang dah nak masuk 3 tahun setengah dan Nuha pula setahun 7 bulan. Tak lama lagi bakal mempunyai adik baru insyaAllah. Insyirah sekarang dah semakin tinggi (tapi saiz badan sama jer) dan semakin suka berkawan. Nuha pula dah banyak perkataan yang dikuasai hasil tunjuk ajar si kakak. Ya buat masa sekarang ni, Insyirahlah tok gurunya. Lagi cepat ikut bila si Insyirah yang ajar berbanding Umminya sebab Nuha suka meniru. Gigi Nuha semakin banyak (tak tahu dah berapa) tapi agak bersimpang siur, hehehe. Tak tahu kenapa dia naik berkembar-kembar. Pelik sikitla, nak pergi tanya doktor gigi tak tertanya-tanya pula. Takpelah sayang, yang penting Nuha membesar sihat, cerdik dan cerdas.

Ok Acu, ni video permintaan Acu. Layan! ;) Video Insyirah nantilah ek. Lambatlah bila upload video ni. Video ni ambil masa musim raya aidilfitri yang lepas, Nuha baru setahun 4 bulan dan masa ambil video ni Insyirah pergi sekolah. 


Masa ini, perkataan Ummi tak pandai sebut lagi. Baru jer boleh sebut Ummi masa 20102010 hari tu.

Tuesday, 13 April 2010

Nuha tumbuh gigi & panjat tangga

Masa berkelana ke bumi Eropah baru-baru ni, Nuha asyik meragam jer. Rupa-rupanya masa tu dia nak tumbuh gigi. 3 batang sekaligus, 2 bawah dan 1 atas, sabar jelah. Bila balik-balik rumah pula dah asyik nak berdiri dan panjat tangga. 3 hari lepas, 10 April 2010 buat pertama kalinya Nuha panjat tangga sendiri sampai ke tingkat atas (lebih kurang 13 anak tangga). Berderau je darah takut tergolek ke bawah, huhuhu. Selalunya panjat 1 anak tangga jer. Tapi sekarang dah berjaya naik tangga sendiri ke tingkat atas (Kejar Insyirah lah tu). Sekarang ni pantang leka sikit, sekejap je dah panjat separuh tangga. Kalau tiba-tiba hilang dari pandangan, jawabnya mesti tengah panjat tangga. Cepat-cepatlah pergi tangkap. Nampaknya nak kena pasang gate ni. Nuha sekarang ni pun dah pandai berebut dengan Insyirah. Tak habis-habis berebut mouse komputer, huhuhu.
Gigi Nuha comel (gambar masa camping di Peak District) :)

Sudah pandai naik tangga :) 

Umur Nuha sekarang hampir 11 bulan dan Insyirah 2 tahun 10 bulan.

Wednesday, 10 March 2010

Semoga berbahagia di sana

Innalillahiwainnailaihirojiun. Sesungguhnya mati itu pasti bagi setiap yang hidup. Kepada Allah jua kita kembali. Semoga arwah Ambok (atuk sebelah Ummi), Hj Ismail bin Hj Makkah ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Arwah kembali kepadaNya pada jam 2 pagi Selasa, 9 Mac 2010 (waktu Malaysia). Agak ralat kerana tak dapat nak ziarah, hanya doa yang mampu kami titipkan buatnya.

Kali terakhir kami berjumpa sebelum kami datang ke UK pada September 2007. Masa tu lupa nak bergambar. Gambar kenangan ini diambil semasa Aidiladha 2006 untuk tatapan kami sekeluarga dan cucu-cucunya yang tak sempat bersua muka di masa hadapan. Semoga Allah memberkati hidup Ambok dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Kenangan bersama Arwah Ambok di pagi raya. Semoga Allah tabahkan hati Makwe (nenek Ummi) menghadapi hari-hari yang mendatang.

Semoga Mak dan Abah sabar dengan ujian yang menimpa.
4 generasi, 1st: Arwah Ambok & Makwe, 2nd: Mak & Abah, 3rd: Kami adik beradik, 4th: Cucu-cucu (anak-anak kak long). Masa ni Insyirah masih berada dalam perut Ummi 4 bulan
Semoga kematian ini menjadi iktibar kepada kita yang masih hidup agar lebih menghargai nikmat Allah yang diberikan.Semoga kita sentiasa mempersiapkan diri menghadapi mati yang kita tidak ketahui bila masanya. Tidak kira tua atau muda, yang pasti bila-bila masa sahaja kita boleh dipanggil olehNya. Semoga kita semua mati dalam keadaan beriman, amin.

Wednesday, 3 February 2010

Nuha merangkak

Semalam, sedang Ummi sibuk memasak makan malam di dapur, tiba-tiba kelihatan Nuha sedang merangkak menuju ke dapur. Hihihi, akhirnya merangkak juga dia. Si Insyirah mengatakan adiknya seperti "cat" sambil membuat bunyi "meow-meow". Insyirah pun join sama adiknya merangkak. Dah puas merangkak, Insyirah bangun sambil berkata kepada Nuha, "No, adik No", Syiyah sakit (sambil pegang belakang pinggang dia). Agaknya dia tak bagi adik dia merangkak, nanti sakit belakang macam dia. Dah pandai jalan yang pergi merangkak tu siapa suruh, hihihi.
Dah puas membuat aksi kucing, Insyirah melompat-lompat pula sambil dua tangan bengkok ke depan, dengan bunyi "rabbit-rabbit". Bila Ayahnya pulang dari sekolah;
Insyirah: Ayah look Syiyah, rabbit-rabbit sambil melompat-lompat menunjukkan aksi yang sama kepada si Ayah.
Ayah : Oh, Insyirah jadi frog, ribbit-ribbit.
Insyirah: No Ayah, not frog, It's rabbit (sambil muka masam kecewa kerana Ayah tak memahaminya)
....................................................................
Situasi lain yang lebih kurang sama di lain hari,
Insyirah: Ummi, look! sambil menunjukkan kertas A4 yang dilukisnya (ada 5 garisan panjang beserta bulat dihujung setiap garisan).
Ummi: Oh, Insyirah lukis bunga yer. Pandainya anak Ummi. Cantik!.
Insyirah: No Ummi, no. It's balloon.
Ummi: Oh belon, sorry ye sayang, Ummi ingat bunga tadi. Aahlah macam belonlah, pandai Insyirah. (Ummi nak cover balik, hahaha)
Kami kerap salah faham apa yang ingin disampaikan oleh sikecil itu, namun kami cuba memahaminya sebaik mungkin :)
Nuha @ 8.5 bulan
Insyirah @ 2 tahun 7 bulan

Friday, 25 September 2009

Wednesday, 9 September 2009

Ada apa pada 09.09.09

Sebenarnya, tulisan kali ini hanya untuk book tarikh yang menarik ini. Apapun, di sini Insyirah hendak catatkan beberapa perkara yang berlaku pada kami sekeluarga pada 9 September 2009.

~ Hari ini merupakan hari ke-19 kami sekeluarga berpuasa di sini.

~ Tempoh waktu berpuasa juga semakin berkurang. Hari ini, kami mula berpuasa (waktu Subuh) dari pukul 4:48 hingga ke pukul 7:38 (waktu Maghrib). Pada hari pertama puasa, waktu Subuh ialah 4:13 dan Maghrib pada pukul 8:20.

~ Kami berbuka puasa dengan spagetti.

~ Apa lagi yang kami buat?? hmm.. tak ingatlah pula :)

Sunday, 6 September 2009

Diari: Demam "berjemaah"

Sekitar aktiviti semasa awal Ramadhan dan minggu demam "berjemaah".

21/8, Jumaat - Makan-makan di rumah Auntie Sha sempena awal Ramadhan & majlis perpisahan buat Hisyam Bidor:) Menu yang marvellous daripada hasil air tangan "Chef" Amrul (menu: Nasi Zofran {betul tak ejaan ini? macam nama Zaffan saja}, kus-kus {pertama kali ni makan kus-kus}, lamb-moroccon style, ayam kuzi dan banyak lagi menu yang disediakan oleh tuan rumah dan yang dibawa oleh tetamu). Malam itu juga telah dikhabarkan tentang pemergian Almarhum Wan Abdullah, ayahanda auntie Wan, ke pangkuan Ilahi.

22/8, Sabtu - Ummi kurang sihat, sakit badan macam budak kecil yang baru nak belajar berpuasa. Ayah sihat lagi, jadi ambil-alih tugas Ummi untuk kemas-kemas rumah. Jamuan buka puasa di rumah Auntie Nadira secara pot-luck.

23/8, Ahad - Ummi masih rasa sedikit keletihan macam puasa budak-budak :D Ayah ada rasa sengal-sengal badan dan juga batuk tetapi ingatkan cuma disebabkan letih mengemas rumah. Ayah pergi solat terawih di masjid. Waktu malam, badan Insyirah panas, suhu badan sekitar 38degC dan ada selsema.

24/8, Isnin - Paginya, suhu badan Insyirah kembali normal tetapi selsema berlarutan. Ayah pergi ke universiti seperti biasa, tetapi batuk sekali sekala. Sebelah petangnya, ada jamuan buka puasa di rumah Auntie Cahaya. Ayah pergi terawih di masjid dan kami (Insyirah, Nuha dan Ummi) tinggal di rumah auntie Cahaya. Semasa waktu tidur, badan Insyirah panas lagi. Nuha pula asyik batuk-batuk sepanjang malam. Ummi risau disebabkan batuk Nuha agak teruk berbanding kebiasaan.

25/8, Selasa - Ayah pergi universiti dengan bas. Pada masa sama, Ummi dapat panggilan dari Auntie Sha bertanyakan keadaan kami dan memaklumkan berkenaan demam "berjemaah" ini. Ummi telefon ayah dalam keadaan risau dan minta ayah pulang segera. Ayah yang masih dalam bas terus pulang dengan bas yang sama. Isikan borang di website untuk dapatkan ubat anti-viral untuk Insyirah dan Nuha. Symptom Insyirah: Suhu badan sekitar 38degC, letih (asyik baring saja), batuk-batuk, selsema. Dapat anti-viral untuk Insyirah saja. Nuha tak dapat sebab tak demam, hanya batuk sahaja (tak dikira suspected lagi kot kalau tak demam). Auntie Sha yang tolong ambilkan anti-viral ini. Sebelah petang, pergi jumpa doktor tapi doktor kata tak ada apa yang perlu dirisaukan. Kami sekeluarga mula "kuarantin" diri di rumah.

26/8, Rabu - Ayah Insyirah pula yang demam. Symptom Ayah: Suhu badan sekitar 38degC, letih (sampai tak bermaya untuk jalan), batuk-batuk. Auntie Syahnaz sekali lagi tolong ambilkan anti-viral untuk ayah dan juga auntie Shad. Insyirah juga masih demam, batuk-batuk dan selsema. Seharian Ayah Insyirah keletihan sampailah waktu berbuka.

27/8, Khamis - Alhamdulillah, keadaan Ayah Insyirah sudah pulih 90%, tapi Ummi Insyirah pula yang demam. Macam tukar "baton" masa lumba lari ganti-ganti pula. Symptom Ummi: Suhu badan sekitar 38degC, seharian keletihan, batuk, selsema. Keadaan Ummi lebih teruk berbanding Ayah, mungkin disebabkan Ummi berpuasa dan menyusukan Nuha.

28/8, Jumaat -

29/8, Sabtu -

30/8, Ahad - .... dah sihat, Alhamdulillah

31/8/2009, Isnin - Selamat Hari Merdeka ke-52 :)