Friday 19 July 2013

Pembayaran Pinjaman PTPTN

Sejak kerajaan umumkan insentif diskaun 20% dan 10% ke atas bayaran balik pinjaman PTPTN ketika bajet 2013 tahun lepas, kami bersemangat untuk menyelesaikan hutang PTPTN kami untuk menikmati insentif tersebut. Boleh klik LINK ini untuk melihat pekeliling insentif yang dinyatakan.

Kami suami isteri meminjam dengan PTPTN semasa melanjutkan pengajian "degree" dari tahun 2000 - 2004 dengan jumlah pinjaman sebanyak RM28,000 setiap orang. Jumlah keseluruhan hutang kami adalah sebanyak RM56,000, tidak termasuk kos pentadbiran 3% yang dikenakan, huhuhu. Bayaran mula dilakukan pada tahun 2007 sehingga 2011 dan alhamdulillah kami berjaya menyelesaikan separuh dari hutang kami. Setelah pulang ke Malaysia sejak November 2011, pembayaran hutang tergendala seketika sehingga bajet 2013 diumukan.

Oleh kerana tiada simpanan yang mencukupi untuk membayar sekaligus hutang PTPTN bagi membolehkan mendapat potongan 20%, kami bercadang untuk mengeluarkan simpanan dari akaun 2 KWSP kami. Agak menyedihkan apabila permohonan pengeluaran KWSP kami ditolak disebabkan oleh tarikh perjanjian pinjaman PTPTN kami pada 9 Disember 2000 (rupanya susah juga hendak keluarkan duit sendiri ya). Hanya perjanjian pinjaman bertarikh 2 Januari 2001 ke atas sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengeluaran KWSP tersebut. Tarikh perjanjian kami awal 3 minggu sahaja dari tarikh 2 Januari 2001 tu. Puas sudah berbincang dengan pihak KWSP memohon agar dipertimbangkan permohonan kami, namun tidak berjaya.
Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN

Disebabkan permohonan pengeluaran KWSP kami tidak berjaya, kami buat pinjaman sebahagian dari jumlah hutang tersebut daripada ahli keluarga terdekat untuk membantu kami. Terima kasih tak terhingga atas jasa baik mereka menolong kami. 

Pengesahan baki akhir perlu diminta daripada PTPTN dan sah dalam tempoh masa sebulan sahaja untuk menyelesaikan pembayaran. Jika pengesahan baki diterima pada Julai, bayaran perlu diselesaikan pada Julai juga. Jika tidak dapat nak selesaikan pada bulan yang sama, perlu minta pengesahan baki akhir yang lain dari PTPTN. Kami hanya berhubung melalui telefon dan email sahaja untuk memperolehi pengesahan baki akhir tersebut. Kemudian buat bank deraf mengikut baki akhir yang dinyatakan di atas nama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Bawa bank deraf tersebut beserta pengesahan baki ahir ke kaunter cawangan PTPTN yang berhampiran. Setelah proses pembayaran dibuat, surat pelepasan hutang diberikan bersama resit pembayaran. Jika tidak mahu ke kaunter cawangan PTPTN pun boleh, bayaran boleh dibuat mengikut kaedah yang dinyatakan pada gambar yang dilampirkan. Cuma pastikan jangan buat di hujung bulan kerana proses mengambil masa 3-7 hari . Ditakuti proses pembayaran tidak sempat diselesaikan sebelum hari terakhir setiap bulan.

Semoga bermanfaat.

Nota: 
Tak sabar rasanya nak bebas dari segala hutang yang ada. Lepas ni pulun bayar hutang pada Abang-abang dan kakakku pula. Semoga Allah mudahkan urusan kami.

Sangat bersyukur Allah memberi kejayaan kepada Ayah Insyirah untuk mendapatkan PhD, so tidak perlulah nak bayar kembali semua perbelanjaan pengajian kami di UK. Cukup-cukuplah hutang PTPTN yang ada. Hutang belajar keliling pinggang kami ni, huhuhu.

Thursday 18 July 2013

Selesai satu hutang

Alhamdulillah, hari ini, 18/7/2013, Ummi dan Ayah Insyirah berjaya menyelesaikan hutang PTPTN. Lapang rasa hati bila satu hutang habis dibayar. Tambahan lagi dapat diskaun 20% daripada baki akhir sebab selesaikan hutang ini sebelum 30 September 2013.

Terima kasih PTPTN atas pinjaman pelajaran kami di USM sepanjang 2000-2004. Semoga kami sekeluarga tidak perlu lagi berhutang dengan pihak anda :D

Surat pelepasan hutang PTPTN

Friday 12 July 2013

Puasa pertama Insyirah

1 Ramadhan kali ini merupakan tarikh bersejarah buat Insyirah kerana buat kali pertamanya Insyirah cuba berpuasa. Sebelum ini Insyirah tidak pernah mencuba untuk berpuasa kerana masih kecil katanya. Ummi dan ayah sendiri tidak memaksa Insyirah untuk berpuasa kali ini. Cuma apabila kami bertanya kepadanya dan dengan sedikit galakan, Insyirah ingin berpuasa buat kali pertama.

Insyirah mulakan rutin puasa pertamanya dengan turut bersahur bersama-sama ummi dan ayah. Pada hari pertama Ramadhan ini, Ummi Insyirah telah mengambil cuti untuk memantau puasa Insyirah di rumah. Sepanjang pagi Insyirah masih kuat fizikalnya. Insyirah mula mengomel pada sebelah petang dengan menyatakan keletihan dan lapar; perut panas katanya :D . Lalu ummi menasihatkan Insyirah untuk pergi mandi bagi mengurangkan keletihan.

Pada pukul 5 petang, Insyirah masih lagi bertahan tetapi mula nampak lesu sampai tidur "terbongkang", macam renang kuak lentang pun ada gayanya (kesian pula bila melihatnya). Tetapi berkat kesabaran dan kejituan semangat Insyirah, akhirnya dapat bertahan sehingga berbuka. Alhamdulillah, nikmat makan terserlah pada orang yang lapar.

1 Ramadhan 1434H bersamaan 10 Julai 2013 merupakan hari bersejarah buat Insyirah.. INSYIRAH BERJAYA!!

Nikmat berbuka puasa.. Alhamdulillah

Saturday 6 July 2013

Seronoknya ISNIN CUTI !!!

Seperti tajuk entri kali ini, rasa sungguh lapang hujung minggu bila Isnin ini merupakan cuti ganti bagi Cuti Umum Hari Warisan Dunia Georgetown. Cuti ini ditetapkan pada 7 Julai setiap tahun, yang jatuh pada hari Ahad kali ini. Sudah lama rasanya tak mendapat cuti umum pada hari Isnin, terakhir sekali Februari lepas bagi cuti Tahun Baru Cina.

Mulanya kami sekeluarga sendiri tidak mengetahui tentang cuti ini, tetapi dimaklumkan oleh rakan sekerja yang Isnin ni "ofis" tutup. Jadi tertanyalah apa sebabnya cuti kali ini dan baru "sedar" dengan kewujudan Hari Warisn Dunia. Sebelum ini hanya dengar secara tidak serius dengan hal ini.

Ini merupakan kali pertama kami merasai CUTI kerja sempena Hari Warisan ini setelah lebih setahun setengah kembali ke Malaysia. Tahun lepas, cutinya jatuh pada hari Sabtu manakala tahun sebelumnya kami masih berada di Nottingham. Georgetown mula diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO sejak 7 Julai 2009 ( menurut sumber internet :D )

Jadi, hujung minggu dan cuti kali ini akan digunakan untuk mengemas "rumah-rumah" sempena menyambut ketibaan Ramadhan 1434H.

Marhaban Ya Ramadhan :)


Salinan akhbar Berita Harian mengenai Hari Bandar Warisan pada 17 Jun 2010.