Friday 23 December 2011

Alhamdulillah, selesai sudah

Tahniah buat suami tercinta yang telah selamat menjalani vivanya hari ini, 23 Dec 2011. Viva yang bermula jam 9.30 pagi (5.30 petang waktu Malaysia) dan berakhir jam 11.45 pagi (7.45 petang waktu Malaysia). Alhamdulillah, Allah maha Mendengar doa hambaNya. Juga bersyukur kerana Allah memberi kesempatan buatnya untuk bersolat Jumaat di Masjid Portland di Universiti yang menjadi kegemarannya sepanjang hidup kami di bumi Robin Hood. 

Ummi menerima panggilan pada jam 8 malam (waktu Malaysia) ketika sedang membaca Al-Quran tetapi terputus kerana line yang kurang memuaskan. Hati mula berdebar-debar menanti panggilannya. Akhirnya, menerima panggilan kembali pada jam 8.10 malam dan mendengar perkhabaran gembira dari suami tercinta. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah :) Lega kami kerana bebas daripada hutang dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Namun perlu diingatkan agar kejayaan ini dapat dimanfaatkan bersama untuk orang ramai. "Erti hidup pada memberi" seperti tagline saifulislam.com. Berilah sebanyak mungkin kepada mereka yang memerlukan.

Tahniah Ayah! Semoga kejayaan ini mendekatkan lagi diri kita kepadaNya. Jam 2 petang ini, pemeriksa akan memberitahu pembetulan yang perlu dibuat. Semoga tidak banyak yang perlu diperbetulkan. Apa pun alhamdulillah, Allah memudahkan urusan vivanya. Semoga Allah memudahkan urusannya seterusnya sehingga selesai dan pulang ke Malaysia dengan selamat.

Thursday 15 December 2011

Kembali membawa kereta

Setelah beberapa tahun bercuti daripada kerja, selama itulah juga saya bercuti daripada membawa kereta. Lesen yang telah dibarukan juga hilang entah ke mana. Yang tinggal hanyalah lesen asal yang sekali dengan gambar tu. Pagi tadi pertama kali memegang stereng kereta kembali kerana minggu hadapan suami telah tiada untuk tempoh masa lebih kurang 2 minggu.  Hendak taknak perlu belajar membawa kereta sendiri dan menguruskan anak-anak sendirian. Semoga Allah memudahkan setiap urusan dan memberi kejayaan buat suami tercinta.

Tuesday 13 December 2011

Kontena

Alhamdulillah kontena selamat tiba di perkarangan rumah kami di Taman Ilmu, Nibong tebal pada 7 Disember 2011 (Rabu), jam 11.30 pagi. Kontena telah tiba di pelabuhan Pulau Pinang sejak hari Sabtu (3 Disember 2011)  lagi pada jam 7.30 malam dan ditarik ke bahagian pemeriksaan pada hari Isnin petang. Jadual pemeriksaan bersama kastam (joint inspection) pada awalnya pada jam 10.30 pagi Selasa, tetapi telah ditunda ke jam 2.30 petang kerana pegawai kastam yang bertugas pada waktu pagi tu agak terperinci orangnya (selalu periksa 100% barang berdasarkan pengalaman ejen yang menguruskan kontena kami). Kami hanya menerima cadangan ejen yang berpengalaman yang ingin menundanya ke petang hari. Alhamdulillah pemeriksaan berjalan lancar dan tiada sebarang masalah. Pegawai kastam hanya bertanyakan sama ada kami membawa balik "souvenir" dalam kontena ini atau tidak.


Kontena dibenarkan berada di pelabuhan selama 5 hari sahaja untuk mengelakkan sebarang bayaran dikenakan. Kami mengambil keputusan untuk menarik kontena tersebut ke rumah kami pada hari yang ke-5 bersamaan dengan 11 Muharram / 7 Disember kerana ingin mengambil peluang berpuasa sunat pada hari 9 dan 10 Muharram.


Alhamdulillah setelah 2 jam (11.30 pagi - 1.30 petang), proses mengangkat barang keluar dari kontena selesai. Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan bersama-sama mengangkat barang-barang tersebut. Proses mengangkat barang keluar dari kontena lebih cepat berbanding menyusunnya ke dalam kontena walaupun dengan bilangan tenaga kerja yang kecil. Ini kerana ruang rumah yang lebih luas berbanding ruang di dalam kontena yang memerlukan penyusunan yang teliti bagi mempastikan semua barang muat untuk dibawa pulang. Ummi sempat menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk mereka yang membantu mengangkat barang-barang tersebut. Menu yang dimasak hanyalah kuey teow kerang (sarapan pagi) dan nasi ayam (tengahari).


Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan perkhidmatan Arcadia Freight Services Ltd (di UK) dan juga ejen yang dicadangkannya di Malaysia, Bumizara Sdn Bhd. Bumizara sentiasa memberitahu berita terkini berkenaan jangkaan waktu ketibaan kontena kami di pelabuhan Penang. Pada asalnya jangkaan tiba antara 6 - 10 Disember 2011. Kemudian ditukar kepada 6 - 13 Disember 2011 (lagi lewat). Berita terkini, kontena kami tiba di pelabuhan di pelabuhan pada hari Sabtu 3 Disember 2011 (lebih awal dari jangkaan :)

Thursday 1 December 2011

Bangunlah solat Subuh

Ibnu Mas‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:
“Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya atau kedua telinga. ” (HR Imam Al-Bukhari)

Menurut Imam Al-Qurtubi, kencing syaitan di sini adalah hakiki dan bukan hanya simbolik. Iaitu kita akan mampu mengenali mereka yang tidak bangun untuk mengejakan solat Subuh dengan kemuraman dan kekusutan wajahnya di pagi hari serta kehilangan cahaya dan seri.

Syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu Subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda:
“Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata): Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu ikatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas. ” (HR Al-Bukhari)

Inilah ujian yang perit namun mereka yang benar-benar beriman akan mampu melaksanakannya. Nilai yang tertinggi akan diberikan kepada mereka yang istiqamah melakukannya pada awal waktu dan secara berjemaah dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Artikel penuh sila ke sini. Semoga bermanfaat.

Gigi ke-2 Spongebob :)

Sejak balik Malaysia ini, sudah beberapa kali Ahmad demam. Kelmarin si Kakak Nuha baru sembuh dari demam sehingga tidak ke nursery dan semalam petang masa ambil Ahmad dari Nursery, pengasuhnya beritahu yang Ahmad pula demam. Dia perasan badan Ahmad panas masa tengahari selepas Ahmad bangun dari tidur. Katanya selalu aktif jer selepas bangun tidur, tapi semalam lembik sahaja. Macam lari berganti-ganti pula, passing baton. Selepas Nuha, sambung Ahmad pula. Harap-harap janganlah lepasni Insyirah pula demam.

Malam tadi juga baru perasan yang gigi ke-2 Ahmad hendak tumbuh di bahagian bawah. Gigi pertama tumbuh bahagian bawah masa Oktober lepas, masa Ayah dan Ummi tengah sibuk-sibuk bungkus barang nak bawa balik masuk kontena. Masa tu demam juga. Sekarang ini Ahmad semakin cergas panjat tangga rumah. Masa balik rumah Atuk Nenek hari tu baru pandai panjat satu anak tangga. Sekarang sudah semakin laju. Ahmad cukup suka main air. Ada satu pagi tu Ummi tengah ambil air sembahyang, laju je Ahmad merangkak ke bilik air main air. Habis lencun Ahmad dengan baju tidurnya.

Kini Ahmad sudah pandai tepuk tangan dan duduk sendiri selepas penat merangkak. Kalau dulu bila penat merangkak dia akan meniarap atau baring. Lagi 7 hari umurnya genap setahun. Cepatnya masa berlalu. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat Ahmad dan menjadi anak yang cerdik, cerdas penyejuk hati kami sekeluarga.