Saturday 29 October 2011

Bukti penghantaran thesis

Percaya atau tidak, inilah rupa bukti penghantaran thesis yang dikeluarkan oleh University of Nottingham selepas pelajar menghantar thesis PhD nya :D Kami sangat memerlukan resit ini untuk membolehkan pihak USM menempah tiket kapal terbang untuk kami sekeluarga kerana selagi thesis tidak dihantar, pelajar tersebut tidak dibenarkan pulang ke tanah air tercinta :D Syarat ini mungkin digunakan hanya kepada pelajar skim "fellowship" bukan pegawai tetap USM.

Bukti thesis sudah dihantar :)

Disebabkan resit ini sangat "simple", suami perlu mendapatkan surat lain daripada penyelianya untuk mengesahkan beliau telah menghantar thesisnya bagi memudahkan proses ketika lapor diri :)

25 Oktober 2011, Selasa merupakan tarikh thesis dihantar namun kami masih belum mendapat tiket balik kerana 26 Oktober, hari Deepavali pula. Pejabat cuti :) Bersabar lagi menunggu hari Khamis untuk pastikan pihak USM dapat menempah tiket kami sekeluarga pada 31 Oktober 2011. Setelah menunggu tiada balasan email dari pihak USM, kami menelefon mereka, namun jawapan agak mengecewakan apabila dinyatakan pegawai yang dikehendaki untuk menandatangani dokumen untuk membolehkan tiket kami ditempah sedang cuti. Allahuakbar! Dalam kami sibuk bersembang-sembang suami isteri, sama ada dapat atau tidak tiket pulang pada 31 Oktober ini, kami peroleh email dari USM yang menyatakan tiket kami telah ditempah. Alhamdulillah, syukur.

Semoga perjalanan pulang kami ke Malaysia dipermudahkan olehNya. Oh ya, jangkaan tarikh viva juga sudah diperolehi semalam walau thesis masih belum sampai ke tangan "examiner". InsyaAllah pada 23 Disember 2011. Semoga Allah memudahkan segala urusan, amin.


Thursday 27 October 2011

Order photobook secara online di UK & Malaysia

Sejak nak pulang ke tanah air ini, tiba-tiba rasa nak bukukan gambar-gambar kenangan sepanjang hidup di UK selama 4 tahun. Baru-baru ini dapat email ada promotion print 99 keping gambar dengan harga 99 pence dari snapfish.co.uk. Sebelum ini memang tak pernah pun print gambar sepanjang duduk Uk ini, simpan dalam portable hardisc je. Bila tahu promotion dari snapfish tu, gigih pilih gambar untuk print, hehehe. Lebih kurang RM5 untuk 99 keping gambar, murah sangat kan. Lepastu ada pula promotion 50% untuk buat photobook. Haritu dalam sibuk-sibuk membungkus barang nak balik Malaysia, sempat lagi curi-curi masa buat 2 photobook. Agak tensi juga nak menyiapkannya dalam jangka masa pendek nak kejar deadline, hehehe :) 

Harga photobook yang ditawarkan oleh snapfish.co.uk

Selain website snapfish tu, sebelum ini tahu photobox.co.uk juga selalu membuat promosi 50% untuk buat photobook. Baru ini ada sale 2 photobook untuk satu harga, tapi tak sempat nak buat sebab tiada masa nak ngadap komputer, pilih gambar dan design photobook camna yang kita nak. Ana pernah dapat free spiral photobook tahun lepas dari photobox. ni. Masa tu baru register dan dapat free photobook untuk setiap orang yang baru register. Kita cuma bayar harga pos sahaja. 

Harga photobook yang ditawarkan oleh photobox.co.uk

Penat jer dok kalut-kalut buat photobook kat sini (itu pun pilih yang ada sale 50% je:D), sebab katanya harga photobook di Malaysia agak mahal. Haritu baca kat blog kak Suzie yang dia buat photobook dengan harga RM88 untuk saiz photobook yang agak besar dari phototalkz.com.my. Harga RM88 tu harga masa promosi. Best-best, kiranya balik Malaysia nanti bolehlah sambung buat photobook dari phototalkz pula (jika ada sale). Iitupun jika ada masa lapang insyaAllah :)


Harga yang ditawarkan oleh phototalkz. 

Nota: Kalau buat photobook di UK, pada pendapat Ana kualiti kertas dari photobox lagi tebal berbanding snapfish :)

Selamat berphotobook:)

Tuesday 25 October 2011

Selesai sudah

22 Oktober 2011, Sabtu, selamat sudah barang-barang kami masuk ke dalam kontena, bersedia untuk belayar pulang ke Malaysia :D Kontena tiba di rumah kami jam 8.30 pagi, awal setengah jam dari waktu yang dijanjikan (9 pagi) dan pintu kontena parking betul-betul di hadapan 142 Berridge Road. NG7 6HT, memudahkan proses pemunggahan.
Proses pemunggahan barang masuk ke dalam kontena bermula jam 9.30 pagi setelah sahabat-sahabat yang hadir selesai menjamah sarapan pagi yang disediakan. Menu sarapan pagi; roti canai, mee goreng, bihun goreng dan popia goreng beserta teh susu. Alhamdulillah, proses pemunggahan selesai tepat pada masanya pada jam 12 tengah hari. Kemudian, sahabat-sahabat dijamu dengan makan tengah hari seadanya. Menu makan tengah hari pula berupa nasi minyak, ayam masak merah, dalca, acar timun nenas, papadom dan air bandung. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menghulurkan bantuan, sudi berganding bahu membantu memuatkankan barang masuk ke dalam kontena, juga kepada kaum ibu yang sudi membantu menyediakan juadah sarapan pagi dan makan tengah hari.
Bergambar bersama rakan-rakan yang hadir setelah selesai dan lori kontena bersedia untuk bergerak ke pelabuhan. (Ada 3-4 orang yang telah pulang sehingga tidak sempat makan kerana masing-masing ada hal) 

Walaupun kesihatan anak-anak kurang baik sejak sebulan lalu sedikit sebanyak mengganggu proses pembungkusan barang, namun akhirnya segalanya berjaya di siapkan di saat-saat akhir sebelum kontena di kunci. Di kala diri sibuk mengemas dan membungkus barang-barang di saat-saat akhir, di ketika itu jugalah gigi Ahmad baru hendak tumbuh sehingga beliau demam panas. Insyirah dan Nuha juga silih berganti demam beserta batuk dan selsema akibat daripada perubahan cuaca dari musim panas ke musim luruh yang semakin sejuk. Terasa agak payah dan seakan tidak berdaya melaluinya, namun sesungguhnya Allah lebih mengetahui kemampuan seseorang itu. Alhamdulillah, kami dikurniakan sahabat-sahabat yang baik yang banyak membantu kami sebelum, semasa dan selepas proses pemunggahan berlangsung. Semoga Allah membalas budi baik rakan-rakan dan memudahkan segala urusan, juga beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Begitulah nikmat ukhuwah diperantauan yang sangat manis untuk dikenang. Walaupun ahli keluarga dan sanak saudara jauh di Malaysia, kita masih ada rakan-rakan seperjuangan yang boleh diharapkan untuk memberi pertolongan. Selainnya kepada Allah sahajalah kita berserah dan berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan. Walaupun cuaca agak sejuk tetapi alhamdulillah Allah memberikan sinar matahari tanpa hujan. Pintu kontena juga berjaya di parking betul-betul di hadapan pintu rumah seperti yang diharapkan. Yang paling tidak disangka-sangka, Ahmad tidak meragam walaupun beliau tidak menyusu sejak bangun daripada tidur seakan-akan faham Umminya sibuk ketika itu. Apabila Ahmad bangun daripada tidur, Ummi terus cuci mukanya dan memberikannya pisang di dalam "feeder" nya. Ahmad sarapan pagi sendirian. Kemudian bila rakan Ummi sampai, Ummi meminta pertolongan untuk beliau memegang Ahmad dan Ahmad tidur dipangkuaannya, kemudian diletakkan Ahmad di atas sofa. Alhamdulillah Ahmad tidur sangat lama sehinggalah orang nak mengangkat sofa tersebut. Keadaan yang jarang-jarang berlaku kerana selalunya bila Ahmad tidur sendirian pastinya tidak sampai sejam pun, melainkan ada Ummi disisinya ;)

Sekarang ini tengah menghitung hari untuk pulang ke Malaysia. Tiket belum dapat lagi dari USM kerana Ayah perlu menghantar thesisnya terlebih dahulu baru mereka boleh tempah tiket untuk kami. Kedua-dua supervisor Ayah telah bersetuju untuk membenarkan Ayah menghantar thesisnya. InsyaAllah mungkin esok atau lusa boleh diprint dan dihantar ke Universiti. Semoga segalanya dipermudahkan, amin.

Saturday 15 October 2011

Anak-anak suka meniru gaya ibubapa

Kejadian di pagi hari semasa sarapan pagi. Bila rumah dah penuh dengan barang, di saat-saat akhir di bumi Nottingham ini, ruang depan sudah jadi ruang makan a.k.a ruang menonton tv a.k.a ruang melayari internet di komputer. All in one :D. Meja makan semua sudah habis dibungkus, bersedia untuk dimasukkan ke dalam kontena. Pinggan makan yang selalu digunakan pun semua sudah siap dibungkus. Tinggal yang tidak mahu di bawa pulang sahaja. 

Ummi letakkan mangkuk berisi cereal di atas meja telefon untuk Nuha. Insyirah dah warning Umminya jangan letak di situ mangkuk tu, nanti tumpah. Namun Ummi tidak menghiraukannya. Lepas Ummi menyuap Ahmad makan, Ummi suap Nuha pula. Tapi belum habis menyuap Nuha, Ummi ke dapur dan membiarkan Nuha menyuap dirinya sendiri. Tiba-tiba....

Insyirah: Ummi, Ummi, look! Nuha tumpah!. See Ummi, Insyirah said 2 times, don't put there, nanti tumpah. Kan dah tumpah. I said don't put there. (dengan muka yang garang, berkerut-kerut dahi. Bersungguh-sungguh menyesali perbuatan Ummi yang meletakkan mangkuk cereal di atas meja telefon!)

Ummi: Macam mana boleh tumpah ini Nuha? Salah Ummi ya kakak, Ummi tak dengar kakak cakap tadi ya? I'm sorry ok, Ummi tak buat lagi :D (Dalam hati, terkena baliklah pulak, selalu Umminya yang bising kalau letak cawan yang minum tak habis atas meja komputer sebab nanti tumpah. )

Umminya terkebil-kebil, geli hati dalam hati sambil mengelap cereal yang tumpah di atas lantai apabila kena bebel dengan anak sendiri. Dalam hati, macam kenal ja gaya Insyirah membebel kat Umminya tu ;)

Benarlah dalam riwayat Bukhari & Muslim, "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci / bersih) maka ibubapalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani, mahupun majusi." Sesungguhnya anak yang baru dilahirkan belum memiliki pengetahuan apa-apa dan pendidikan ibubapa di rumahlah yang akan menentukan agama dan pandangan hidupnya. Malah cara/gaya pengajaran ibubapa juga akan menjadi ikutan si anak. Maka bersabarlah dalam mendidik anak-anak (peringatan untuk diri sendiri) dan janganlah kita berkata-kata kasar kepada mereka jika kita tidak mahu mereka berkata kasar kepada kita. Janganlah juga jadi seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan ;)

Wednesday 12 October 2011

Doa perlindungan untuk anak-anak

Doa ini dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada cucunya, Hassan dan Hussain ketika mereka masih kecil agar mereka mendapat perlindungan dari Allah. Dalam video ini juga Ustaz Abdul Basith mengingatkan ibubapa agar menjauhi amalan pemakaian tangkal pada anak kerana amalan tersebut membawa kepada syirik. Selamat beramal.






Nota:
- Perkataan "U'iizukuma" dibacakan untuk 2 orang, dalam kes hadis Nabi SAW, baginda membaca doa berkenaan kepada Hassan dan Hussain.
- Sekiranya dibacakan kepada seorang budak lelaki, perkataan awal itu dibaca "U'iizuka".
- kalau dibaca kepada seorang perempuan dibaca "U'iizuki"
- Kalau lebih dari 2 orang, dibaca "U'iizukum"

Tuesday 11 October 2011

2 tahun 5 bulan

Alhamdulillah, lagi 4 hari Nuha genap 2 tahun 5 bulan. Tantrumnya sudah mula berkurang sejak sebulan yang lalu. Ketika bulan puasa yang lalu, tantrumnya menjadi-jadi sampailah kami tidak tahu nak buat apa. Pernah suatu hari di awal pagi, Nuha terjaga dari tidur dan tiba-tiba menangis tidak tentu pasal. Semakin dipujuk semakin kuat tangisnya, apa lagi memarahinya. Lagi kuat tangisannya memecah hening subuh :) Sampaikan Ummi berkata kena sampuk apalah Nuha ini. Tapi si Ayah membalas sampuk apa pula di bulan puasa ini, hehehe. Ya tak ya juga :D

Ada rakan yang mengklasifikasikan tantrum Nuha ini sebagai 2nd child syndrom, sindrom yang ada pada anak nombor 2. Kalau katanya ya, yalah dan jika tidak, maka tidaklah. Kena jaga perasaannya betul-betul, tidak boleh silap sikit untuk mengelakkannya melepaskan tantrumnya. Itu pun kadang mengamuk juga tidak tentu pasal. Pernah kami pergi beraya dan Ayahnya keluar ikut pintu tepi rumah, Nuha menangis dan hendak keluar mengikut pintu depan. Untuk meredakan tangisnya, si Ayah dengan sabar masuk kembali ke dalam rumah dan keluar ikut pintu depan. Kalau ikutkan malas nak ikutkan sahaja katanya tetapi disebabkan berada di rumah orang dan tidak mahu Nuha melepaskan tantrumnya di situ, kami turuti juga. Jika di rumah bolehlah kami buat tidak tahu sahaja. Pernah di rumah tiba-tiba datang anginnya hendak Ummi mendukungnya turun tangga seperti Umminya mendukung Ahmad. Ummi meminta tolong Ayah mendukungnya turun namun Nuha menolak. Bila diminta Ummi, maka Ummilah walaupun Ayah sudah memujuk untuk mendukungnya turun. Sanggup Nuha tunggu di atas tidak turun hampir sejam sehinggalah Umminya mendukungnya turun, huhuhu. 

Sejak sebulan yang lalu, Nuha semakin ok sejak beliau pandai meluahkan keinginannya dan respon pada keadaan. Jika dahulu, Nuha agak pendiam dan banyak memerhati. Kini tidak lagi, malahan sudah boleh diharap untuk bermain dengan Ahmad :) Kami sangat gembira dengan peruabahannya kini. Tiada lagi menangis di pagi hari tidak tentu pasal. Malah sekarang ini juga sudah pandai mengawal tetikus komputer untuk bermain game di komputer. Celik mata sahaja minta dibukakan cbeebies show atau pun nickjr.  Sampaikan sekarang ini, Ummi pun susah nak mengadap komputer. Asyik "Nuha's turn" sahaja, huhuhu. Harap-harap bolehlah layari website cbeebies dan nickjr ini dari Malaysia nanti. Banyak yang Nuha belajar dari website ini.  Sekarang ini, Nuha sudah boleh buat ayat hingga 5 ke 6 perkataan satu ayat. "Mummy, I like this one. Ha (baca Nuha) don't like this. Why? It's not tasty. I can't hear it. I can't reach it. Macam-macam lagi. Suka tengok Nuha berlawan cakap dengan Insyirah. Bila budak baru belajar nak susun perkataan buat ayat, nampak comel jer bila bercakap, tambah dengan pelat-pelat sikit :D. Tak sangka  macam-macam ayat keluar dari mulut dia, hehehe.



Nuha bermain puzzle In the night garden :)

Kehadapan Nuha sayang. Mungkin bila Nuha sudah besar dan boleh baca cerita Nuha ini (jika blog ini masih ada), Nuha perlu tahu yang Ummi dan Ayah serta kakak dan adik sangat sayang pada Nuha. Walaupun Nuha suka nangis kuat-kuat, kami tetap sabar melayan karenah Nuha. Kakak Insyirah selalu mengalah dengan Nuha setiap kali bergaduh. Ummi dan Ayah siap pesan pada kakak agar main elok-elok dengan Nuha dan jangan bagi Nuha menangis. Kakak Insyirah sangat sabar melayan Nuha walaupun Nuha kadang suka buat kakak menangis. Setiap kali solat, Ummi doakan agar Allah lembutkan hati Nuha agar menjadi anak yang solehah yang berjaya di dunia dan di akhirat. 

Saturday 8 October 2011

Steve Jobs in memory (1955-2011)

Dialog suami isteri di pagi hari 6 October 2011 :)
Suami : Steve Jobs meninggal. 
Isteri : Siapa Steve Jobs? (huhuhu)
Suami : Founder Apple.
Isteri : Oh tak tahu pun.

Seperti biasa si isteri melayari internet menggunakan sama ada Apple Safari browser atau windows explorer browser. Bila si isteri menekan Apple Safari Browser terus terpampang gambar ini.

Ayat pertama keluar dari mulut si isteri, oh ini ke Steve Jobs? Tiba-tiba si isteri terasa nak tahu lebih lanjut siapa Steve Jobs ini dan bagaimana beliau boleh menjadi CEO syarikat Apple dan Pixar Animation. Sebelum ini tidak pernah hendak ambil tahu pun. Si isteri menjumpai link youtube berkenaan ucapan Steve Jobs di Stanford University pada tahun 2005. Berkali-kali si isteri mendengar ucapannya ini dan ayat yang keluar dari mulut si isteri, alangkah bagusnya jika Steve Jobs ini seorang muslim. Dalam ucapannya ini mengandungi 3 kisah yang berlaku dalam kehidupannya: 1) Connecting the dots, 2) Love and loss, 3) Death




Dalam cerita pertama menceritakan kisah hidupnya sejak dalam kandungan, kemudian berhenti sekolah dan ambil kelas calighraphy. Beliau tidak pernah graduate dari mana-mana Universiti. "You can't connect the dots looking forward, you can only connect them looking backwards".


Dalam cerita kedua mengisahkan suka duka dalam kerjaya beliau, dipecat dari syarikat sendiri (Apple), kemudian buka syarikat baru Next dan Pixar dan kemudian masuk balik dalam Apple bila Apple beli Next. "Sometimes life's gonna hit you with the head with a brick, don't lose faith. The only way to do a great work is to love  what you do. If you haven't found it yet, KEEP LOOKING. DON'T SETTLE".


Cerita ketiganya mengisahkan tentang kematian. Beliau pernah disahkan menghidap kanser pankreas dan doktor memberitahu hanya boleh hidup 3-6 bulan sahaja. Tetapi setelah dibuat biopsy, sel kanser yang diambil dari pankreas beliau menunjukkan yang kansernya boleh disembuhkan melalui pembedahan. "Don't be trapped by dogma which is living with the results of other people's thinking. Don't let the noise of others' opinion drown out your own inner voice. And most important, have the courage to follow your heart and intuition. They somehow already know what you truly want to become. Everything else is secondary. 


“Tetapi kematian adalah satu destinasi yang kita semua terpaksa tujui. Tidak ada orang yang akan terlepas daripada kematian. Dan itulah hakikatnya kerana kematian adalah ciptaan yang terbaik di dalam kehidupan. Ia adalah agen perubahan dalam kehidupan. Ia menghapuskan yang lama bagi membuka laluan kepada yang baru" - Steve Jobs -


Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT, tidak awal atau lewat walau sesaat. Sehebat mana pun seseorang itu, bila tiba masanya akan pergi jua. Sesungguhnya Allahlah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. 


"Carilah duniamu (bekerjalah kamu) seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya dan carilah akhiratmu (beramallah kamu) seolah-olah engkau akan mati esok hari" 
(Hadis Riwayat Ibnu Asahin)


"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati"
(Riwayat Ibnu Majah)


Akhirnya, si isteri tersebut mula mengenali Steve Jobs sedikit dihari kematiannya. Kata si suami, banyak ucapannya di youtubes dan selalunya kalau beliau beri ucapan pasti beliau akan memberikan outline ucapannya terlebih dahulu.