Wednesday 22 February 2012

Marilah kita sama-sama membantu adik Faris

Membaca kisah adik Faris di FB dan di blog rakan-rakan, membawa diri ini melayan kenangan setahun yang lalu ketika melahirkan Ahmad Mujahid semasa menjaganya di NICU, QMC. Pasti kos perubatannya tidak sama jika ianya dijalankan di sini.

Kasihan Adik Faris. Beliau mengalami HLH @ barah darah dan badan kecil itu terpaksa menjalani beberapa sesi kimoterapi. Kami sekeluarga mendoakan agar Allah memberikan yang terbaik buat adik Faris. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui segalanya. Marilah sama-sama kita membantu keluarga adik Faris sama ada dari segi kewangan ataupun secebis doa untuk adik Faris ini.

Bacaan lanjut sila ke sini http://www.mazidulakmal.com/

Kisah kucing

Pagi semalam 21 Feb 2012,  semasa hendak keluar pergi kerja ternampak seekor kucing liar yang sangat lemah keadaannya. Kucing tersebut cuba untuk bangun tetapi tiada kudrat, lalu terbaring di atas lantai. Melihat keadaannya yang sangat dalam kesakitan (macam selesema sukar hendak bernafas), kami memutuskan untuk membawanya ke klinik haiwan di sebelah Parit Buntar Inn.

Setelah Doktor mengambil suhu badannya dan memeriksa keadaan badannya, doktor memutuskan untuk memasukkan air ke badannya untuk memberinya tenaga kerana kucing itu dijangka sudah tidak makan selama 3 hari. Kasihannya! Namun keadaannya masih lemah. Kami tidak boleh meninggalkan kucing itu di klinik tersebut kerana mereka tiada staf yang boleh menjaga selepas jam 5 petang. Kami perlu menghantar kucing tersebut ke Klinik besar di Ipoh jika mahu mendapatkan rawatan rapi. Jauh sangatlah pula, lalu kami mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah. Doktor menyarankan supaya saya memberikannya minum air glukos untuk menambahkan tenaganya.

Sesampai sahaja di rumah, saya membancuh air glukos dan cuba memberikannya minum melalui picagari namun agak sukar kerana kucing itu sudah tidak berdaya membuka mulutnya. Melihat keadaannya yang agak busuk dan dikerumuni semut, kami memandikannya sebersih-bersihnya. Saya juga menumbukkan kunyit hidup dan melumurkan ke atas hidungnya dengan harapan masalah selsemanya selesai (bila anak selsema, calitkan kunyit hidup atas hidungnya). Selesai menguruskannya, kami membiarkannya berehat dan kami pergi bekerja semula dengan harapan dirinya beransur pulih.

Namun Allah lebih menyayanginya. Sesampai sahaja kami di rumah melihat dirinya sudah tidak bernyawa lagi. Nuha sibuk menyuruh kami membawa kucing tersebut ke hospital, namun setelah diterangkan bahawa kucing tersebut dah mati dan nanti Ayah akan tanam kucing itu. Tidak perlu membawanya ke hospital kerana Doktor pun tidak boleh buat apa-apa. Kasihan kucing itu, semasa hidupnya saya tidak sedar pun akan kehadirannya (suami pernahlah memberinya makan) tetapi bila dia jatuh sakit, barulah timbul perasaan simpati itu. Suami kata, itulah kita, kalau kucing comel kita suka melayan, tapi bila kucing comot, kita tidak pandang pun kepadanya. Patutnya yang comot itu kita ambillah dia dan bersihkan dirinya serta beri makan. Begitu juga kepada manusia, janganlah kita memandang rendah pada yang miskin dan daif itu, berilah sebanyak yang mungkin kepada mereka, bantulah mereka mengecap kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini.

Sunday 19 February 2012

Bila Ummi bekerja

Lama sudah blog ini tidak berupdate sejak bertukar status dari surirumah kepada suri yang berkerjaya:) Terus terang saya katakan yang saya kelam kabut menguruskan rumahtangga dengan 3 orang anak dan tugas baru saya di U*M. Saya letih bila diberikan kerja di saat akhir dan perlu disempurnakan dalam jangka masa pendek.

Kadang-kadang saya perlu datang kembali ke pejabat bersama suami dan anak-anak selepas waktu maghrib untuk menyiapkan kerja yang perlu dihantar segera. Sebelum ini, saya "stay back" terus sampai maghrib dan suami yang ambil anak-anak di nursery dan bawa datang ke pejabat. Tetapi setelah dibincangkan balik kaedah ini, saya perlu selesaikan hal anak-anak terlebih dahulu (bagi makan, mandi, solat etc.) dan kemudian datang kembali selepas maghrib bersama-sama suami dan anak-anak.

Insyirah sudah pandai komen melihat kesibukan Umminya. Pernah suatu hari Umminya mengambilnya dari Tadika, Insyirah bertanyakan "Ummi kerja dah habis? Kenapa Ummi balik awal harini? huhuhu. Ada suatu hari dia demam, dia kata "Insyirah demamni sebab Ummi busy. Semalam Ayah amik Insyirah, hujan, Ayah tak pakai payung macam Ummi. Haa kan insyirah dah demam ni" Macam-macam lagi komennya yang menghibakan hati Umminya. Kalau dia nengok balik gambar-gambar lama masa di UK, lagilah banyak komen keluar. "Insyirah suka Ummi duduk rumah, tak suka Ummi kerja. Ummi boleh masak macam-macam. Insyirah suka Ummi masak. Insyirah tak suka makan kat kedai".  Semakin besar Insyirah dan semakin pandai bercakap. Paling terkejut minggu lepas masa dia demam panas (kalau penat sangat siangnya mesti malam demam). Insyirah kalau demam panas, memang mulut bising merengek macam-macam i.e tangan sakit, kaki penat, tekak sakit, tak larat jalan dll. Pastu disuruhnya Umminya dukung sebab kaki tak larat jalan dari dapur ke bilik tidur di tingkat atas. Boleh keluar dari mulut mongel tu masa dukung "nanti kalau Insyirah mati, Ummi dah tak boleh dukung Insyirah" terkejut Umminya dengar dan terus bertanya kat mana dia belajar cakap macam tu. Insyirah jawab, "ya lah sama macam kita balik rumah nenek haritu. Ayah Atuk mati" huhuhu.

Alangkah indahnya jika Ummi boleh menjadi surirumah semula :)

Entry ini sudah lama ditulis tapi tak siap-siap untuk publish. Banyak lagi draft entry yang masih belum dipublish, hehehhe. Banyak benda nak dicoretkan namun masa berlalu terlalu pantas.

and my success (in my task) can only come from Allah

Wallpaper yang digunakan sejak kami berada di UK lagi. 

Sudah lama tidak kuendahkan paparan yang tertera di muka monitor setiap kali membukanya. Namun di pagi hening ini, mata terpaku pada ayat yang tertera dan dibaca berulang-ulang kali sehingga menitiskan air mata. Astaghfirullahalazim. Ampunkan hambaMu yang lalai ini ya Allah. 

Saturday 18 February 2012

Siapa kamu mahu memilih bentuk ujian yang datang?

Tiada siapa yang dapat menentukan ujian yang datang melainkan hanya Dia yang satu, Allah yang Maha Agung. Bila datangnya ujian dalam hidup, kita seringkali berasa kecewa, sedih dan putus asa. Namun sebenarnya Allah menurunkan ujian sesuai dengan kesanggupan hambaNya seperti firman Allah yang bermaksud "Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah: 286). Kita juga perlu sedar bahawa ujian dalam kehidupan ini merupakan tarbiyah dari Allah. Setiap yang berlaku dalam kehidupan ini merupakan satu pelajaran yang tidak akan diperoleh dari mana-mana institusi pengajian. Ia akan menjadikan mereka yang jauh agar lebih mendekatiNya dan mereka yang lalai agar lebih mengingatiNya.  


Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan sebarang masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah. Ingatlah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Namun, bukan mudah untuk mendidik diri agar bersabar contohnya apabila menerima tohmahan yang dilemparkan tidak berasas. Hati melonjak-lonjak ingin bersua muka dengan sipemberi tohmahan tersebut untuk meluahkan apa yang terbuku didada. Sungguh tidak disangka, keringat yang dikerah sehabis mungkin tidak ada nilai padanya. Rasa sedih, kecewa, marah meluap-luap didada. Namun dengarlah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud "Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah" (HR Bukhari & Muslim). Kita kena benar-benar kuat untuk mengawal diri daripada berasa marah kepada sipemberi tohmahan tersebut. Kadangkala rasa sampai berdenyut-denyut kepala dan mengigil-gigil tangan dalam mengawal perasaan amarah tersebut sehingga memerlukan kita menelan panadol untuk menghilangkannya :D.  

Sebenarnya Allah menurunkan musibah dan Allah juga ada mengajarkan kita cara menghadapi musibah. Banyak hadis dan ayat quran yang membicarakan mengenai cara menghadapi musibah. Ada tiga peringkat mengenai sikap manusia ketika ditimpa sesuatu musibah seperti yang dinyatakan di bawah (http://www.ustazamin.com)


1. Pada permulaannya, berlaku penolakan. Di peringkat ini, manusia tidak menerima hakikat bahawa sesuatu telah hilang darinya, sesuatu telah tiada, sesuatu telah menimpa dan sebagainya. Dia akan cuba lari dari hakikat dan masalah. Jika dia cuba lari dari menerima hakikat, jiwanya akan semakin tertekan, hatinya semakin sempit dan fikirannya semakin keliru.


Di dalam Islam, kita perlu jujur menerima hakikat diri kita. Semakin berani kita untuk jujur menerima hakikat diri semakin tenang jiwa kita. Sebab itu di dalam Islam ada konsep muhasabah. Muhasabah bererti menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Jika kita tidak dapat menerima hakikat diri kita, maka kita tidak akan dapat membuat perubahan di dalam diri kita.


2. Peringkat kedua, manusia akan mengeluh, marah-marah, mendongkol, menyalahkan orang lain dan yang paling parah ialah apabila menyalahkan takdir. Di peringkat ini, mereka telah menerima hakikat bahawa mereka sedang melalui masa getir, tetapi mendongkol dengan keadaan diri.Sesungguhnya, mengeluh tidak merubah apa-apa. Sikap marah-marah juga tidak merubah apa-apa. Dia akan membuatkan kita semakin tertekan dan terhimpit. Sudahlah ditimpa musibah, hati pula hilang bahagia. 


Di dalam Islam, kita ada konsep muraqabah, iaitu rasa sentiasa diawasi oleh Allah. Hari ini jika kita senang, Allah mahu melihat apa yang kita lakukan begitu juga apabila kita susah. Allah akan melihat apa yang akan kita lakukan. Semua, susah dan senang ada nilaian pahala jika kita membuat sesuatu dengan betul. Jika kita rasa sentiasa diawasi Allah, kita akan selalu mencari keredhaannya. Waktu senang kita tidak lupa Allah, waktu susah kita bergantung penuh denganNya. Akhirnya, senang dan susah tetap tenang dan tetap bahagia.


3. Peringkat ketiga barulah biasanya manusia menerima segala apa ketentuan hidupnya. Barulah tidak marah-marah, tidak mengeluh dan sebagainya. Walaubagaimana pun, jika salah kefahamannya, manusia akan putus asa, hilang harapan, hilang semangat, hilang rasa untuk terus berusaha. Akhirnya, hidupnya semakin murung, semakin tidak ceria dan semakin kusut.


Di dalam Islam, apabila kita telah menerima kita di dalam keadaan susah, ada konsep tawakkal. Tawakkal ialah kita berusaha dan bakinya kita serahkan pada Allah untuk menyempurnakannya. Jika perniagaan kita gagal, kita usahakan terus, ubah sana dan sini, baki serah pada Allah. Jika rumah tangga kita gagal, kita usahakan untuk perbaiki, baki yang diluar kemampuan kita, kita serah pada Allah.Orang yang ada konsep muhasabah, muraqabah dan tawakkal akan sentiasa positif di dalam hidupnya. Dia akan sentiasa tenang walaupun musibah itu ibarat bukit yang menghempapnya. Sesungguhnya, semua manusia akan diuji dengan ujian, yang membezakan orang beriman atau tidak ialah di hujung ujian.Jika di hujung ujian dia tetap tidak putus asa, tetap berusaha, tetap tenang, tetap berjuang maka dia adalah pemenang di dalam ujian tersebut.

Ya Allah, tabahkanlah hatiku menghadapi segala ujianMu dan berikanlah yang terbaik buatku. Amin.


p/s: Coretan peringatan apabila berasa kecewa dan tidak bermotivasi selepas 3 bulan melaksanakan kerja yang diamanahkan.  


02.45 am