Saturday 19 December 2009

Nuha 7 bulan

Agak lama tak update perkembangan Nuha di blog ni. Nuha sekarang dah 7 bulan lebih. Nuha dah mula makan semenjak masuk 6 bulan (selain breastfeeding)dan suka sebut "babababababa...mamamamama". Baru nak mula angkat badan dan punggungnya (selain meniarap pusing-pusing). Adakah Nuha nak merangkak?? Wallahua'lam. Insyirah dulu tak merangkak, tapi terus berjalan. Dan gigi pertama Insyirah juga ketika Insyirah berumur 6 bulan. Nuha ni tak pasti macam mana, yang pasti setiap kanak-kanak mempunyai perkembangannya tersendiri. Semoga kedua-duanya membesar dengan sihat, pintar dan solehah, amin.

Nuha yang baru mula belajar nak angkat badan dan punggungnya, hehehe.

Friday 18 December 2009

Saturday 12 December 2009

Jodoh pertemuan, ajal maut di tanganNYA

Sempena cuti persekolahan ini, ramai di kalangan rakan-rakan Ummi dan Ayah yang melangsungkan perkahwinan.  Antara rakan-rakan ayah yang melangsungkan perkahwinan ialah Ismail "Kyzer" Rafiq, Cikgu Men, Inspektor Faiz "Mata" & Amet.  Tak lupa juga rakan-rakan Ummi iaitu Su, Burn dll.  Di kesempatan ini, dari jauh kami sekeluarga ingin mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU buat anda semua.  Semoga alam berkeluarga yang bakal ditempuhi membawa kebahagiaan dan rahmat buat kehidupan anda.

Di kesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan TAKZIAH buat keluarga almarhum Mohd Ariff Abdul Kadir, bekas pelajar kejuruteraan University of Nottingham, yang terlibat dalam kemalangan di Perlis semasa perjalanan pulang dari majlis akad nikah beliau di Anak Bukit, Kedah.  Berita kemalangan tersebut menjadi berita utama di seluruh Malaysia semalam dan hari ini.  Semoga Allah merahmati Arif, ibu bapanya dan rakan beliau yang terlibat sama dalam kemalangan dan menempatkan mereka di kalangan orang soleh seperti Hanzalah yang syahid selepas diijabkabulkan.

p/s: lagi gambar tragedi di web persendirian ini.  Semoga memberi peringatan buat kita semua.

Thursday 10 December 2009

Posto buat Mak Long Idah dan Mak Ngah Ani :)

Di sini Insyirah sekeluarga nak mengucapkan tahniah buat Mak Long Idah dan Mak Ngah Ani (kedua-dua kakak Ummi Insyirah) yang telah disahkan mengandung. Nenek kata tarikh bersalin kedua-duanya pada April 2010. InsyaAllah nenek dapat lagi 2 orang cucu tahun depan :). Alhamdulillah. Di atas permintaan Mak Ngah dan Mak Long, di sini Ummi sertakan resepi spaghetti dan apam balik (sebenarnya, Ummi pun dapatkan dari internet dan ubahsuai ikut tekak sendiri sahaja :).

Resepi spaghetti
Satu bungkus spaghetti
500g daging cincang
2 ulas bawang besar(didadu)
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 sudu besar cili yang dikisar / 1 sudu besar cili serbuk (ikut tahap kepedasan)
1 tin chopped tomato / 4 biji tomato (didadu)
1 tin cendawan butang
1 batang carrot (didadu) - optional
1 tin sos spaghetti (masa kat Malaysia guna brand Prego yang dalam tin hijau, pastikan ada TANDA HALAL dan bahan yang digunakan tidak meragukan status kehalalannya. JANGAN beli sos PREGGO yang dalam botol kaca tu, itu memang tiada tanda halal, wallahualam)
Sedikit oregano dan daun parsley
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara
1.Rebus spaghetti hingga lembut dan toskan. Untuk mengelakkan spaghetti melekat-lekat, curahkan air sejuk kepada spaghetti yang baru diangkat untuk menghilangkan kanjinya. Atau cara lain campurkan satu sudu minyak masak ke dalam air yang mendidih semasa merebus spaghetti.
 
2.Untuk kuah, masukkan minyak masak secukupnya dan tumis bawang putih dan bawang merah sampai naik bau. Kemudian, masukkan cili giling, biarkan sampai naik minyak. Masukkan daging cincang dan tambahkan air sehingga daging masak. Masukkan tomato, cendawan dan carrot yang didadu. Kemudian masukkan 1 tin sos spaghetti. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Letakkan sedikit oregano dan daun parsley dan gaul hingga sebati. Jika inginkan sedikit pedas, letakkan sedikit lada hitam didalam kuahnya atau pun hiriskan cili padi hijau dan masukkan ke dalam kuahnya.
 
Resepi apam balik
2 cawan tepung gandum
½ cawan gula
1 sudu teh soda bicarbonate
1 sudu teh baking powder
Sedikit pewarna kuning
1 biji telur
1½ cawan air
Sedikit mentega/planta untuk mengoles
Bahan tabur : Kacang tanah yang sudah dikisar, cream corn. Sedikit susu pekat (optional)

Cara-cara
1.Mesin gula bersama telur hingga kembang (Ana guna blender jer)
2.Masukkan soda bicarbonate, baking powder, air dan pewarna kuning. Mesin lagi hingga sebati. 3.Masukkan tepung dan mesin lagi sehingga sebati. (ADUNAN SIAP)
4.Oleskan planta di permukaan kuali (Ana guna non-stick frying pan) & tuangkan 1 senduk adunan tadi, kemudian nipiskan.
5.Biarkan seketika & sementara menunggu masak, taburkan bahan tabur di atas. 
6.Apabila cukup masak, angkat dan sapukan sedikit planta ke atasnya. 
Hasil air tangan Ummi Insyirah. Bolehlah sekadar nak melepaskan rindu apam balik di Malaysia.

Selamat mencuba yer!

Oh yer, untuk menjawab persoalan Mak Long tentang bila kami nak balik ke Malaysia, mungkin bulan Mac 2011 kot insyaAllah. Bergantung pada bila ayah dapat siapkan PhDnya.

Monday 30 November 2009

Aidiladha 2009

10 Zulhijjah 1430H jatuh pada Jumaat, 27 November 2009. Ini merupakan kali ke-6 kami beraya diperantauan (termasuk raya Aidilfitri yer, hihihi). Juadah raya yang Ummi sediakan kali ni, mee rebus, nasi impit, kuah kacang, sate daging goreng dan rendang ayam (Agak mencabar juga nak masak bila anak-anak demam batuk selsema, huhuhu). Setelah Ayah pulang dari solat raya, kami makan bersama-sama sebelum keluar beraya ke rumah Unty Cahaya dan Unty Sha. Kali ni tak banyak rumah yang kami ziarah kerana ramai yang perlu ke Universiti melaksanakan tanggungjawab yang utama kami di sini.  Sebelah petang hanya menunggu di rumah menerima kunjungan rakan-rakan dan disebelah malam setelah tetamu pulang, kami bergegas ke rumah Unty Ros yang baru kehilangan Ayahanda tercinta di malam raya. Al-fatihah buat arwah Ayah Unty Ros.
Di pagi raya, sebelum keluar beraya, harus makan dahulu. Insyirah pun mahu disuap juga seperti Nuha :) (sebenarnya boleh jer suap sendiri sebelum ni)

Beraya di rumah Unty Sha (gambar dari kamera Unty Sha). Ummi bawa kamera tapi terlupa nak ambil gambar walau sekeping, huhuhu. Gambar yang Ayah berbaju coklat tu, semasa NMC nya sambutan pada keesokannya, Sabtu. Hari kedua raya tu memang Ummi tak masak seharian. Sambutan raya NMC diadakan secara potluck pada sebelah pagi. Ummi bawa nasi impit, kuah kacang dan rendang ayam (memang masak lebih malam raya tu untuk bawa ke dewan).

Kemudian pulang ke rumah solat dan keluar semula beraya ke rumah Unty Mas, Unty Zana, Unty Farah dan Unty Fae. Ahad keesokannya, kami menjemput sebahagian rakan-rakan yang belum bertandang ke rumah. Menu hari Ahad hanyalah laksa utara, agar-agar bodo dan bread stick cicah coklat (pertama kali guna choclate fountain) :)

Begitulah cerita Aidiladha kami kali ini.

Salam Aidiladha dari Insyirah sekeluarga.

Tuesday 24 November 2009

Membaca ketika cuti sekolah

PTS sedang menganjurkan kempen membaca semasa cuti sekolah. Jadi kepada kawan-kawan di Malaysia, bolehlah membeli buku-buku yang berkualiti daripada PTS Publication buat anak-anak dan juga diri sendiri untuk mengisi masa lapang sambil menambah ilmu. Tak lupa juga, anda berpeluang memenangi hadiah-hadiah yang menarik.

Anda boleh rujuk banner kempen membaca PTS yang ditampal pada blog ini untuk mendapat maklumat lanjut. Selain itu, anda juga boleh mendapat sebuah buku percuma sekiranya turut menampal banner tersebut di blog masing-masing dan mengisi borang yang disediakan di web PTS. Sekadar berkongsi.

Monday 16 November 2009

Kini, Nuha 6 bulan & Ayah 28 tahun

Ketika Ummi menyambut hari lahirnya yang ke-26 tahun pada tahun 2007, Insyirah juga menyambut hari lahirnya yang ke setengah tahun sehari sebelumnya (Ummi lahir pada 28 Disember 1981 dan Insyirah 27 Jun 2007). Kini, perkara yang sama berlaku pada Ayah dan Nuha pula. Umur Nuha  genap setengah tahun pada 15 November 2009 dan keesokannya, kami sekeluarga meraikan hari lahir Ayah yang ke-28 tahun pula (16 November 2009). Insyirah, Nuha dan Ummi sentiasa doakan kesihatan dan kesejahteraan Ayah dan kami sangat sayangkan Ayah.  Selamat Hari Lahir Ayah :)
Kini, kami berusia 6 bulan dan 28 tahun
Sempena hari lahir Ayah, kami meraikannya di rumah sahaja setelah Ayah pulang dari Universiti dengan berbuka puasa bersama-sama dengan juadah ringkas yang disediakan Ummi. Menu yang disediakan Ummi hanyalah nasi ayam kasih, rojak buah sayang dan jus oren cinta sahaja :). Ummi teringin nak buat kek sejati tapi memandangkan Ayah tak boleh makan kek, maka Ummi tak buatlah, hahaha. Lagipun Ayah selalu berpesan bagaimana cara untuk kita lebih menghayati hari kelahiran orang tersayang. Hari lahir sepatutnya disambut dengan rasa cinta dan kasih sayang yang mendalam sesama ahli keluarga dengan penuh rasa kesyukuran terhadap Allah S.W.T yang memberikan kita kehidupan setahun lagi untuk bersama orang-orang yang disayangi. Semoga cinta dan kasih sayang kita sekeluarga semakin kukuh setiap hari.

Nuha yang dah mula makan ketika berusia 6 bulan.

Friday 30 October 2009

Musim Luruh 2009

Untuk tatapan keluarga di Malaysia, ini gambar terkini kami di sini yang diambil pada hujung minggu yang lepas. Sebelum daun-daun pokok yang menguning berguguran menyembah bumi (menjadikan pokok-pokok hanya tingal dahan dan ranting sahaja bagi menyambut musim sejuk yang bakal tiba), haruslah kami mengabadikan gambar kami sekeluarga di sini, seperti tahun-tahun yang sudah :)


Gambar yang diambil di tempat yang sama tetapi pada tahun yang berlainan :) Autumn 2007 (baru sebulan sampai ke UK) ketika Insyirah baru berusia 4 bulan, masa ni dalam perjalanan ke kilang Boots sempena lawatan industri bagi kelas MSc Ummi. Cepatnya masa berlalu ;) Insyirah kini sudah 28 bulan, dah pandai berlari dan bercakap...

berlatarbelakangkan "Trent building", mercu tanda Universiti Nottingham

Musim Luruh pertama Nuha ketika berusia 5 bulan

Musim Luruh ke-3 Insyirah di usia 28 bulan :)

p/s: Rasanya blog ini ada masalah sikit, agak susah nak tinggalkan komen dan ada sesetengah blog yang dah update entry, tetapi tak diupdate statusnya di blog ini...hmmm nak buat macam mana yer???

Friday 16 October 2009

Pesanan Untuk Ayah...

Kata-kata D**** ni Insyirah abadikan dalam blog ini sebagai pemangkin untuk ayah lebih gigih berusaha dan juga sebagai motivasi diri di kala surutnya semangat untuk belajar :)
Kami sayang Ayah dan akan sentiasa disamping ayah susah dan senang. Chayok-chayok ayah :) ...Haa cepat ayah pergi buat kerja, kami dah tak sabar nak balik Malaysia, hehehe.
Insyirah :)

Thursday 15 October 2009

Kisah Raya 2009

Pejam celik, pejam celik dah 26 hari kita beraya. Harini juga (15hb Oktober 2009), genap 5 bulan usia Nuha. Cepatnya masa berlalu. Dan sudah agak lama juga blog ni tak ber"update" disebabkan penyakit "M", hehehe.

Ini merupakan kali ke-3 raya aidilifitri kami di UK dan 1 Syawal 1430H jatuh pada hari Ahad, 20 September 2009. Juadah hari raya kami kali ini laksa utara, nasi impit dan kuah kacang yang disediakan oleh Ummi.


Gambar Insyirah sekeluarga sepanjang raya
Kami beramai-ramai bersolat hari raya di Dewan Sekolah Islamia yang dianjurkan oleh pihak NMC (Nottingham Malaysia Committee). Usai solat raya, kami tidak pulang ke rumah, tapi terus pergi beraya ke rumah rakan-rakan. Balik rumah sebentar sebab ada kawan nak singgah beraya pada petangnya. Kemudian keluar beraya semula selepas solat maghrib. Dalam sehari tu dapat juga 9 buah rumah. Amboi sakan betul! Esoknya pergi beraya lagi dalam 4 buah rumah dan hari berikut dan seterusnya Ayah sudah mula bersekolah. Hanya pada waktu malam kami pergi beraya dan menerima kunjungan raya. Setiap hujung minggu pula (setiap Sabtu & Ahad) pastinya ada rumah terbuka atau dewan terbuka raya. Meriah sangat. Memang terasalah raya tu sebulan. Dah penghujung raya ni pun masih ada lagi rumah terbuka, Sabtu ni (28 Syawal) pagi dan petang. Alhamdulillah rezeki.

Hujung minggu yang sibuk dengan jemputan rumah & dewan terbuka
Oh ye, raya kali ni kami "join" rumah terbuka yang dianjurkan oleh 12 buah keluarga yang diadakan di dewan. Menu yang disediakan ialah Nasi putih berlaukkan ayam masak lemak rebung, kari kambing, kurma kambing, telur masak kicap, sayur campur, kerabu mangga, kerabu perut + taugeh dan ulam-ulaman beserta sambal belacan. Sate kambing dan roti cicah sup tulang juga disediakan. Pelbagai kuih muih seperti karipap, keria, pulut serunding, kaswi, wadeh dan agar-agar yang bewarna warni juga ada. Pendek kata memang meriah rumah terbuka ni dengan masakan yang "marvellous" (masuk lif tekan sendiri :D).
Gambar sebelum dan semasa majlis "open hall" berlangsung.
Raya bakal melabuhkan tirainya. Adakah tahun hadapan kami dapat beraya di Malaysia?? Wallahua'lam. Semoga Ayah dipermudahkan perjalanannya dalam pengajiannya. Ya, bak kata Ayah, kadang-kadang terasa jalan yang dituju agak bersimpang-siur, ada u-turn sana sini, tak nampak jalan dan sebagainya, tapi harapannya mudah-mudahan boleh juga sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan beroleh PhD dan ilmu yang bermanfaat untuk semua.
Kami mengharapkan doa dari semua agar dipermudahkan perjalanan kami di sini. Terima kasih.
Salam aidilfitri dari Insyirah sekeluarga buat semua.
-26 Syawal 1430 H-

Friday 25 September 2009

Thursday 17 September 2009

Salam tulus ikhlas dari kami . . .

Di sini, kami sekeluarga dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua yang mengenali kami. Semoga semua amalan kita sepanjang Ramadhan ini diterima Allah s.w.t dan mudah-mudahan mendapat "pingat taqwa" yang Allah janjikan buat hambaNYA yang berpuasa. Kami juga ingin memohon kemaafan, zahir dan batin, dari anda semua sekiranya ada tutur kata dan tingkah laku yang mengguris hati/menyusahkan kehidupan anda. Semoga hubungan silaturrahim sesama kita kian erat terjalin.


Buat sanak saudara di kampung, selamat membuat persediaan sempena hari raya ini. Seperti ayat yang biasa kita dengar "bila makan juadah raya nanti, ingatlah kami di sini " Anda semua sentiasa kami ingati dan rindui :)

Buat rakan-rakan yang merantau di kota jauh dari kampung halaman, hati-hati semasa memandu dan ingatlah orang yang tersayang. Pastikan juga destinasi anda betul (khasnya buat yang sudah berumahtangga.. teringat iklan di radio Era :D ), semoga anda semua bergembira bersama keluarga di kampung halaman.

Buat rakan-rakan di perantauan, jangan bersedih hati yaa.. Kita boleh saling kunjung mengunjung seperti tahun-tahun yang lepas. Bagi kami sekeluarga, raya di Nottingham ini ada kelainannya yang tersendiri dan kami berpeluang merasai apa ertinya raya sebulan, hihihihi. Jemputlah datang ke rumah kami jika anda berkelapangan. Yang penting kita semua bergembira di hari lebaran ini, kerana "hari raya bukan hari sedih".

Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga di Nottingham, United Kingdom.

Insyirah, Nuha, Ummi & Ayah.
27 Ramadhan 1430H

Wednesday 9 September 2009

Ada apa pada 09.09.09

Sebenarnya, tulisan kali ini hanya untuk book tarikh yang menarik ini. Apapun, di sini Insyirah hendak catatkan beberapa perkara yang berlaku pada kami sekeluarga pada 9 September 2009.

~ Hari ini merupakan hari ke-19 kami sekeluarga berpuasa di sini.

~ Tempoh waktu berpuasa juga semakin berkurang. Hari ini, kami mula berpuasa (waktu Subuh) dari pukul 4:48 hingga ke pukul 7:38 (waktu Maghrib). Pada hari pertama puasa, waktu Subuh ialah 4:13 dan Maghrib pada pukul 8:20.

~ Kami berbuka puasa dengan spagetti.

~ Apa lagi yang kami buat?? hmm.. tak ingatlah pula :)

Sunday 6 September 2009

Diari: Demam "berjemaah"

Sekitar aktiviti semasa awal Ramadhan dan minggu demam "berjemaah".

21/8, Jumaat - Makan-makan di rumah Auntie Sha sempena awal Ramadhan & majlis perpisahan buat Hisyam Bidor:) Menu yang marvellous daripada hasil air tangan "Chef" Amrul (menu: Nasi Zofran {betul tak ejaan ini? macam nama Zaffan saja}, kus-kus {pertama kali ni makan kus-kus}, lamb-moroccon style, ayam kuzi dan banyak lagi menu yang disediakan oleh tuan rumah dan yang dibawa oleh tetamu). Malam itu juga telah dikhabarkan tentang pemergian Almarhum Wan Abdullah, ayahanda auntie Wan, ke pangkuan Ilahi.

22/8, Sabtu - Ummi kurang sihat, sakit badan macam budak kecil yang baru nak belajar berpuasa. Ayah sihat lagi, jadi ambil-alih tugas Ummi untuk kemas-kemas rumah. Jamuan buka puasa di rumah Auntie Nadira secara pot-luck.

23/8, Ahad - Ummi masih rasa sedikit keletihan macam puasa budak-budak :D Ayah ada rasa sengal-sengal badan dan juga batuk tetapi ingatkan cuma disebabkan letih mengemas rumah. Ayah pergi solat terawih di masjid. Waktu malam, badan Insyirah panas, suhu badan sekitar 38degC dan ada selsema.

24/8, Isnin - Paginya, suhu badan Insyirah kembali normal tetapi selsema berlarutan. Ayah pergi ke universiti seperti biasa, tetapi batuk sekali sekala. Sebelah petangnya, ada jamuan buka puasa di rumah Auntie Cahaya. Ayah pergi terawih di masjid dan kami (Insyirah, Nuha dan Ummi) tinggal di rumah auntie Cahaya. Semasa waktu tidur, badan Insyirah panas lagi. Nuha pula asyik batuk-batuk sepanjang malam. Ummi risau disebabkan batuk Nuha agak teruk berbanding kebiasaan.

25/8, Selasa - Ayah pergi universiti dengan bas. Pada masa sama, Ummi dapat panggilan dari Auntie Sha bertanyakan keadaan kami dan memaklumkan berkenaan demam "berjemaah" ini. Ummi telefon ayah dalam keadaan risau dan minta ayah pulang segera. Ayah yang masih dalam bas terus pulang dengan bas yang sama. Isikan borang di website untuk dapatkan ubat anti-viral untuk Insyirah dan Nuha. Symptom Insyirah: Suhu badan sekitar 38degC, letih (asyik baring saja), batuk-batuk, selsema. Dapat anti-viral untuk Insyirah saja. Nuha tak dapat sebab tak demam, hanya batuk sahaja (tak dikira suspected lagi kot kalau tak demam). Auntie Sha yang tolong ambilkan anti-viral ini. Sebelah petang, pergi jumpa doktor tapi doktor kata tak ada apa yang perlu dirisaukan. Kami sekeluarga mula "kuarantin" diri di rumah.

26/8, Rabu - Ayah Insyirah pula yang demam. Symptom Ayah: Suhu badan sekitar 38degC, letih (sampai tak bermaya untuk jalan), batuk-batuk. Auntie Syahnaz sekali lagi tolong ambilkan anti-viral untuk ayah dan juga auntie Shad. Insyirah juga masih demam, batuk-batuk dan selsema. Seharian Ayah Insyirah keletihan sampailah waktu berbuka.

27/8, Khamis - Alhamdulillah, keadaan Ayah Insyirah sudah pulih 90%, tapi Ummi Insyirah pula yang demam. Macam tukar "baton" masa lumba lari ganti-ganti pula. Symptom Ummi: Suhu badan sekitar 38degC, seharian keletihan, batuk, selsema. Keadaan Ummi lebih teruk berbanding Ayah, mungkin disebabkan Ummi berpuasa dan menyusukan Nuha.

28/8, Jumaat -

29/8, Sabtu -

30/8, Ahad - .... dah sihat, Alhamdulillah

31/8/2009, Isnin - Selamat Hari Merdeka ke-52 :)

Monday 31 August 2009

Salam Kemerdekaan ke-52

Salam kemerdekaan ke-52 buat Malaysia, tanah air tercinta. Kami menumpang rahmat atas usaha pejuang-pejuang yang terdahulu. Semoga anda semua di rahmati yang Esa atas pengorbanan anda. Kini, giliran kami berbakti untuk kebaikan generasi akan datang.




Di sini ingin kami kongsikan suatu kisah buat tatapan bagi pembakar semangat kita semua. Tulisan ini diambil dari blog Nobisha, blog pilihan Ayah Insyirah. Semoga bermanfaat.

SEBUAH MASA DEPAN DI BUMI MALAYSIA

Emak saya bekerja di sawah, mengambil upah menanam padi. Ayah saya bekerja sebagai penebang tebu di Felda Chuping, Perlis. Hidup kami cukup susah. Dalam kesusahan itulah mereka membesarkan saya dan adik. Pernah sewaktu saya di Darjah Enam, ayah dan emak tidak mampu menyediakan makan malam. Saya dan adik hanya mampu minum air panas sebelum tidur. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah.

Sewaktu di Tingkatan Satu, ayah terpaksa menjual rumah kampung. Saya masih ingat lagi bagaimana penduduk kampung mengusung rumah itu ke lokasi baru. Dek kemiskinan, kami terpaksa menumpang rumah nenek di Padang Lumat, Guar Chempedak. Saya memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Guar Chempedak.

Untuk selama dua tahun di situ, saya berbasikal tidak kurang lima kilometer (mungkin lebih) ke sekolah. Emak masih bekerja mengambil upah di sawah dan saya setiap pagi sebelum ke sekolah saya akan memasak nasi dan lauk untuk emak dan ayah. Setelah selesai, barulah saya bersiap untuk ke sekolah.

Berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya mula menjejaki kaki ke Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar. Walaupun hidup susah, saya tidak berpeluang tinggal di asrama. Mahu tak mahu, terpaksalah menyewa bilik di sebuah rumah di depan sekolah. Menguruskan hidup sendiri pada usia 16 tahun.

Tatkala itu, bukan sedikit airmata emak mengalir. Kos membeli peralatan dan buku sekolah cukup tinggi. Itu belum lagi dicampur dengan sewa rumah dan makanan harian. Entahlah, emak tidak pernah mengeluh nasibnya, tetapi saya tidak terperanjat sekiranya ada hari-hari tertentu emak terpaksa mengikat perut untuk menghantar saya ke sekolah.

Dari Sekolah Menengah Teknik, saya meneruskan pengajian ke Amerika Syarikat. Masih ingat lagi bagaimana ayah, emak dan saya menaiki bas dari Kodiang untuk ke Kuala Lumpur. Itulah kali kedua saya datang ke ibukota (kali pertama sewaktu mengambil ujian kelayakan). Di Perhentian Bas Puduraya, sepupu saya datang menjemput untuk dibawa bermalam di rumah bujangnya.

Mereka bertigalah yang menghantar saya ke Lapangan Terbang Subang. Saya bertolak ke luar negeri dengan hanya sebuah beg kecil dan beberapa ratus Dollars. Itu saja bekalan saya. Saya berterima kasih kepada emak dan ayah. Saya juga berterima kasih kepada sepupu saya yang sewaktu menghantar saya ke lapangan terbang dulu hanyalah seorang pensyarah biasa di Universiti Pertanian Malaysia. Beliau yang juga berasal dari keluarga yang cukup miskin, hari ini menjadi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Perguruan Sultan Idris.

Semua itu kini menjadi kenangan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah s.w.t. memberikan sedikit kesenangan duniawi kepada saya sekeluarga. Semoga Allah s.w.t. memberikan juga kelapangan di Alam Barzakh dan di Hari Akhirat nanti.

Saya imbaskan kembali semua ini kerana saya tidak punya negara lain selain Malaysia. Inilah bumi tempat tanah tumpah darah saya. Biarpun hidup susah-payah, di bumi inilah saya membina sebuah kehidupan dan masa depan.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!

Thursday 27 August 2009

Cinta Sempurna

Buat rakan-rakan di perantauan, jom layan drama bersiri "Cinta Sempurna" di youtube.. permulaan cerita agak slow sebab banyak flashback dan pengenalan kepada karektor dalam drama tu, tapi skrg dah ok sikit..banyak yang boleh dipelajari dari drama tu.. best!!! boleh baca tulisan dari pencetus cerita bagi drama ini di blog Saifulislam.

Cheers ;)

Monday 24 August 2009

Al-fatihah untuk Wan Abdullah (ayahanda Wan Rukaida)

Baru-baru ini kami dikejutkan dengan berita kepulangan sahabat baik kami di sini ke Malaysia, Wan Rukaida Wan Abdullah a.k.a Ibu Eriem (kawan Insyirah). Mereka berangkat ke Malaysia pada hari Rabu, 12 Ogos 2009 (kalau tak silapla) untuk menziarah ayahandanya yang sedang sakit tenat. Kami di sini mendoakan kesejahteraan ayahandanya.

Walaubagaimanapun, Allah lebih menyayangi ayahandanya. Ayahanda Wan Abdullah pergi menemui Ilahi pada 21 Ogos 2009, tepat jam 9.25 malam waktu UK (bersamaan 22 Ogos 2009, 4.25 pagi waktu Malaysia, ketika semua umat Islam di Malaysia sedang bersiap sedia bersahur untuk menyambut hari pertama Ramadhan). Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepadaNya juga kita kembali. Tidak lewat atau awal walau seminit pun. Janji itu pasti, masanya akan tiba jua bagi kita yang masih hidup dimuka bumi ini.

Kami di sini berharap agar Wan sekeluarga tabah menghadapi dugaan ini. Semoga Arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah untuknya.

Salam takziah dari kami sekeluarga.

Thursday 13 August 2009

Pergi tak kembali

Salam takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Kami sekeluarga mendoakan kesejahteraan buat Ustaz Asri di alam barzakh sana, semoga beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.... amiinnn.

Sejak dari kecil lagi, alunan suara Ustaz Asri sudah menemani kehidupan kami. Segala nasihat, semangat, doa dan ilmu yang diperolehi dari hasil kerja Ustaz Asri amatlah bermakna pada kehidupan kami sekeluarga. Semoga ianya menjadi ilmu yang bermanfaat buat kami seterusnya menjadi bekal pahala buat Ustaz Asri di sana.

Kami begitu tersentuh apabila sekali lagi menghayati lirik lagu "Pergi tak kembali" ini:

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya
.....
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Seolah-olah Ustaz Asri membuat pesanan dan nasihat terakhir kepada kami. Sesungguhnya, kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.

Thursday 23 July 2009

Insyirah 2 tahun & Nuha 2 bulan :)

Adik Nuha sekarang dah 2 bulan lebih dan pada Sabtu yang lepas 18 Julai 2009, Ayah dan Ummi bawa adik Nuha ke Birmingham untuk disunatkan oleh Dr. Norli*. Kami pergi bersama adik Sofia dan adik Nana yang turut sama disunatkan.
Untuk tatapan kaum keluarga di Malaysia, di bawah ni disertakan video adik Nuha yang baru mula nak bersembang. Sekarang ni dah boleh ketawa besar bila di"agah" dan semakin rajin nak bersembang (nanti bila-bila Ummi rajin, Ummi ambil gambar video adik bersembang dan ketawa ye). Haa lagi satu, sejak kebelakangan ni, adik sangat suka hisap ibu jarinya terutama bila kelaparan. Ummi cuba nak bagi puting tapi adik Nuha kurang menyukainya.

Insyirah pula sekarang makin aktif dan mula nak berkawan. Tapi bila pergi rumah rakan-rakan Ummi dan Ayah, Insyirah masih memerlukan waktu untuk "panas" sebelum boleh bermain dengan rakan-rakan yang lain. Masih malu-malu dan takut-takut sikit pada awalnya. Hobi barunya melompat-lompat atas katil dan melayan youtube. Lagu alif ba taa, ABC dan macam-macam lagi. Asyik berebut komputer dengan Ummi. Selain tu Insyirah dah pandai nak melaram. Selepas mandi suka suruh Ummi ikat rambutnya. Perkataan yang diketahui juga semakin hari semakin bertambah dan dah mula boleh buat ayat yang mengandungi 3 perkataan. Tapi bahasanya sendiri (tak tahu bahasa apa, hehehe) masih ada yang sukar untuk difahami :). Bila nak tidur pula mula merengek-rengek nak dipeluk (mengalahkan adik Nuha).

Hobi baru Insyirah
Oleh kerana adik Nuha asyik menghisap ibu jarinya, Ummi cuba nak ajar adik pakai puting. Malangnya adik tak suka tapi Insyirah cuba mengajarnya tanpa berputus asa (ke memaksa, hehehe). Layan jer lah video di bawah ni. Aksi kakak Insyirah dan adik Nuha :)
Sekian.

Wednesday 22 July 2009

Cerita daun Basil

Sekadar berkongsi . . .

Beberapa hari yang lepas, rakan Ummi di Nottingham iaitu Kak Nora, telah menjumpai sesuatu yang menarik bagi kita semua. Semasa beliau ingin membasuh daun Basil yang baru dipetik dari pokok yang ditanamnya, beliau terperasan terdapat tulisan ALLAH di salah satu daun Basil berkenaan.

Di sini, Insyirah cuma nak berkongsi gambar daun tersebut. Sebelum ini dah terbiasa dengar dan lihat gambar yang tertera tulisan Allah yang dipamerkan oleh orang lain, tapi kali ini ianya dijumpai oleh orang sekeliling pula. Itu yang teruja sikit nak letak kat blog ini. Menurut cerita pemilik gambar, beliau percaya bahawa tulisan Allah tersebut dihasilkan oleh ulat ... wallahu'alam.

Semoga kita semua beroleh manfaat dari gambar di bawah ini.

Gambar diubahsuai setelah mendapat kebenaran pemilik gambar :D

(Gambar asal daripada Facebook Nora M. Noor)

Tuesday 21 July 2009

Award dari Kak Laily

Terima kasih kak Laily kongsi award ni. Nak kongsi dengan saper lagi ye?? Hmmm..saper-saper jelah yang datang menjengok blog ni. Silalah "copy" gambar di atas dan "paste" di blog kamu semua :)

Thursday 16 July 2009

Jiran Insyirah

Sepanjang Atuk berada di sini, Atuk sangat rajin melayan Insyirah bermain-main dengan jiran sebelah rumah, anak-anak Aunty N*zi*h, kakak Nil*m dan Abang H*shim (* = a), warga Pakistan. Budak-budak tu pun mesra dan agak rapat dengan Atuk Insyirah. Digelarnya Atuk "Nehi-Nehi" (dalam bahasa Pakistan bermaksud tak kot) sebab Atuk tahu tu jer bahasa diorang dan selalu sebut dengan mereka, hihihi. Boleh dikatakan setiap petang lah Insyirah bermain dengan mereka sama ada di depan atau belakang rumah. Tapi semenjak Atuk dah balik ke Malaysia, Ummi dan Ayah kurang sikit melayan Insyirah bermain dengan diorang ni, huhuhu. Ummi sibuk dengan adik Nuha dan ayah sibuk dengan kerja-kerja PhD nya. Walau macam mana pun, Ummi dan Ayah cuba juga melayan karenah Insyirah ni. Setiap petang pastinya Insyirah akan berjumpa dengan kawan-kawannya tu cuma tak lama macam masa ada Atuk dulu. Sekejap-sekejap bolehla :) Pernah suatu hari ni Ayah dan Ummi terlepas pandang, diangkatnya Insyirah masuk rumah diorang. Apa pun layan jerlah gambar dan video Insyirah di bawah ni yer :)


Kenangan Insyirah bersama Atuk dan keluarga Aunty N*zi*h. Setiap petang Atuk buat mesyuarat pintu, hehehe.


Insyirah nak naik basikal H*shim, siap tarik baju suruh turun bagi dia naik. Lepas tu, taknak masuk rumah sebab nak main lagi, huhuhu.

Saturday 4 July 2009

Babai Atuk & Nenek

Akhirnya masanya tiba jua, huhuhu. Hari ni genap 50 hari usia Nuha (bersamaan 55 hari Atuk & Nenek berada di UK), Atuk & Nenek bersiap sedia untuk berangkat pulang ke Malaysia. Tiket penerbangan jam 10 malam waktu UK dan dijangka sampai di Malaysia pada 5 Julai, 5.25 petang. Dalam perjalanan ke Lapangan terbang Heathrow, Insyirah sekeluarga singgah di Q Garden, Oxford untuk membawa Atuk & Nenek merasai "PYO(Pick Your Own) Strawberries & Cherries". Sebenarnya Ummi & Ayah saja nak bawa mereka jumpa pokok epal sebab Atuk & Nenek pernah bertanya bagaimana rupanya pokok epal tu (walaupun epal masih belum boleh dipetik sebab tak masak lagi). Apa-apa pun layan jerlah gambar-gambar mereka yer :)
Strawberi & Ceri segar dari ladang (sangat manis bila dimakan terus selepas dipetik :). Atuk & Nenek sempat bergambar dengan pokok epal yang masih muda buahnya :)

Setelah selesai memetik ceri dan strawberi, kami meneruskan perjalanan ke lapangan terbang dan sampai lebih kurang jam 5.30 petang. Alhamdulillah urusan "check in" berjalan dengan lancar (berat beg cukup-cukup 50kg) dan selesai lebih kurang jam 6.30 petang (beratur panjang). Kemudian kami ke surau untuk solat dan setelah selesai, kami menghantar mereka ke balai berlepas, huhuhu sedihnya.

Setelah mereka masuk ke balai berlepas, kami pun pulang ke rumah dan sampai lebih kurang jam 11.30 malam.
Lagi cerita Atuk & Nenek di UK (saja nak abadikan dalam blog ini), seminggu sebelum mereka berangkat pulang, kami semua pergi ke London selama 3 hari 2 malam. Kami bertolak ke London seawal jam 5 pagi dan sampai ke tempat penginapan kami tepat jam 7 pagi. Setelah letak barang & park kereta, kami menuju ke Dollis Hill Station untuk menaiki London underground tube. Destinasi pertama, London Eye, Big ben & House of Parliament. Dengan menaiki City Cruise, banyak bangunan menarik yang pelbagai bentuk dapat dilihat di tepi-tepi sungai. Tak lupa juga dengan kapal perang HMS Belfast juga boleh dilihat daripada cruise ni (nenek suka betul dengan kapal perang ni, berapa kali lalu mesti nak ambil gambar dengan kapal ni, hihihi). Cruise itu juga membawa kami melintasi beberapa buah jambatan (lebih 8 jambatan kot, tak ingat lah). Yang pasti lalu bawah London Bridge dan Tower Bridge.

Cruise ini juga membawa kami ke Greenwich, tempat di mana garis longitude 0 darjah itu terletak.

Kemudian kami kembali semula menaiki Cruise untuk patah balik ke London Eye dan naik "sightseeing bus tour" pula. Ohh cuaca sangat panas ketika ini dan tak banyak gambar yang diambil, huhuhu. Setelah selesai bas ni pusing sekitar London, kami menuju ke "Malaysian hall" untuk mengisi perut dan solat. Kemudian kami pulang ke tempat penginapan kami dengan menaiki tube.


Sightseeing bus yang membawa kami pusing-pusing sekitar London
Keesokannya, kami pergi membuat passport Nuha terlebih dahulu dan urusan selesai dalam 2.30 petang (http://azihana.blogspot.com/2009/06/nuha-buat-passport.html). Kemudian kami berjalan kaki ke Buckingham Palace dan mengambil teksi (tak larat nak jalan kaki dah) untuk ke destinasi seterusnya Madame Tussauds.

Berjalan kaki ke Buckingham palace dari High Commision of Malaysia.

Madame Tussauds. Banyak patung celebriti di sini yang diperbuat daripada wax yang sangat menyerupai wajah sebenar mereka. Ob*ma di entry yang lepas hanyalah palsu semata-mata. Sorry yer kaum keluargaku di Malaysia, hihihi :)

Malam tu kami bermalam di rumah kawan ayah dan ummi. Esoknya sebelum pulang ke rumah, kami singgah di Taman ros terlebih dahulu.

Sekian.

Saturday 27 June 2009

Insyirah 2 tahun

Sabtu, 27 Jun 2009 genaplah usia Insyirah 2 tahun. Tiada sambutan istimewa yang dibuat kerana Insyirah sekeluarga masih berada di London. Lebih kurang jam 6 petang tadi barulah Insyirah sekeluarga sampai di rumah. Masing-masing keletihan yang teramat (mungkin disebabkan cuaca yang sangat panas sepanjang berada di London, http://uk.news.yahoo.com/21/20090628/tuk-weathermen-issue-temperature-alert-6323e80.html).
Sepetang di Taman Ros, London (sekarang ni sangat susah nak ambil gambar Insyirah, malu-malu nak nengok kamera...terpaksa ambil gambar candid jer)
Ummi dan Ayah doakan semoga Insyirah membesar dengan sihat, bahagia hidup di dunia dan cemerlang di akhirat. Semoga Insyirah menjadi kakak yang baik, contoh kepada adik-adik dan penyejuk hati Ummi dan Ayah. Selamat Hari Lahir Nihlah Insyirah.

Friday 26 June 2009

Nuha buat passport

Alhamdulillah, pendaftaran kelahiran dan proses membuat passport adik Nuha berjalan dengan lancar. Gambar yang Ummi ambil sendiri juga diterima pakai oleh pihak mereka.
Sepagian di High Commision of Malaysia, London ;)

Bagi sesiapa yang ingin mendaftar kelahiran dan membuat passport anak di High Commision of Malaysia, di sini dikongsikan apa dokumen-dokumen yang perlu dibawa.

Untuk tujuan pendaftaran anak (sila bawa original dan 2 salinan):
  • Passport ibu dan bapa (muka surat 1, 2 and 3)
  • Kad pengenalan ibu dan bapa
  • Sijil Nikah
  • Sijil kelahiran ibu dan bapa
  • Sijil kelahiran anak
  • 2 gambar anak berukuran passport (latar belakang biru)
Maklumat lanjut sila layari http://www.jimlondon.net/page28-7.htm

Untuk membuat passport pula, dokumen yang perlu dibawa sama seperti bagi tujuan pendaftaran kelahiran, yang berbeza hanya memerlukan 1 salinan sahaja. Maklumat lanjut sila layari http://www.jimlondon.net/page20.htm

Sekian.

Wednesday 24 June 2009

Nuha Rumaisa @ 40 hari

Hari ini, Rabu 24 Jun 2009 bersamaan dengan 1 Rejab genaplah usia Nuha 40 hari. Esok 25 Jun 2009, Insyirah sekeluarga nak pergi London bawa Atuk dan Nenek jalan-jalan sekitar London. Alang-alang dah sampai ke London, Ummi dan Ayah juga mengambil keputusan untuk buatkan passport adik Nuha sekali. Bagi menjimatkan kos gambar adik Nuha, Ummi mengambil sendiri gambar adik dan "print" sendiri di rumah. Susah juga nak dapatkan posisi yang paling sesuai. Setelah banyak kali di ambil, akhirnya dapatlah gambar yang paling sesuai di mana kedudukan mukanya tegak menghadap ke hadapan (walaupun riak muka nak menangis, huhuhu).
Susahnya nak dapatkan posisi yang paling sesuai..berapa banyak kali "snap" daa... hehehe

Akhirnya berjaya juga mendapatkan posisi yang paling cun :)
p/s: Harap-harap gambar ni diterima lah hendaknya.

Sunday 21 June 2009

Jalan-jalan lagiii :)

Untuk tatapan kaum keluarga di Malaysia, ini serba sedikit aktiviti Atuk & Nenek di sini. Tak larat nak tulis panjang-panjang, gambar menceritakan segalanya k :)...(nanti kalau rajin, Ummi Insyirah update fotopages untuk lebih banyak gambar..hehehe)

21/06 pagi - Di sekitar bandar Nottingham a.k.a bandar "Robin Hood" :)
21/6 petang - Atuk & Ayah pergi dengar ceramah "Road to Palestine" oleh Ustaz Mazlee. Kemudian, kami buat makan-makan sikit sempena "Hari Bapa", sotong goreng, tomyam seafood, ikan sambal & air sirap laici.




18/06 - Safari Birmingham
15/6 - Diziarahi orang kampung Pengeli, Fauzi anak Pakcik Husin



11/6 - Bergambar di tasik universiti

Tuesday 16 June 2009

Adik Nuha @ 1 bulan

Hari ni 16 Jun 2009, Adik Nuha berusia sebulan (lebih tepat lagi 33 hari). Hari ini juga pertama kalinya adik Nuha dibawa ke Baby Clinic di Mary Potter. Alhamdulillah, berat terkini adik ialah 4.08 kg, naik sebanyak 1.28 kg berbanding berat 2.8 kg ketika dilahirkan. Rambut adik juga tumbuh dengan jayanya selepas dibotakkan pada hari ke-7. Menurut Ummi dan ayah, pertumbuhan rambut adik Nuha cepat berbanding dengan Insyirah tetapi sedikit kasar, tak sama dengan rambut Insyirah yang halus.

Selain adik Nuha, Insyirah juga ditimbang dan berat terkininya ialah 9.02kg. Panjang lebar ayah disyarahankan oleh Nurse mengenai diet seimbang Insyirah kerana kenaikan berat yg sedikit. Selepas Ummi bersalin, makan Insyirah tak menentu. Insyirah lebih banyak minum susu berbanding makanan berat seperti nasi etc. InsyaAllah lepas ni Insyirah akan makan makanan yang seimbang. Takut karang adik Nuha lebih berat dari Insyirah pula :)

Monday 8 June 2009

Nuha BCG

Hari ni, 8 Jun 2009 kami sekeluarga pergi ke QMC hospital kerana adik Nuha akan diberikan suntikan BCG. Adik Nuha menangis sekejap sahaja ketika jarum masuk ke pangkal lengannya. Tak sampai seminit kemudian tidur semula :)
Nuha Rumaisa sebelum disuntik, hehehe :)

Sunday 7 June 2009

Atuk & Nenek jalan-jalan kat UK

Setelah 4 minggu Atuk dan Nenek sampai di UK, barulah kami semua dapat jalan-jalan bersama-sama. Mulanya, Ummi rancang untuk melawat Safari di Birmingham, tetapi, keadaan hujan di sekitar UK pada minggu lepas menjejaskan rancangan kami sekeluarga. Nasib baik tiket yang dibeli boleh digunakan pada bila-bila masa sepanjang tahun ini.

Kemudian, kami mengambil keputusan untuk pergi ke Manchester untuk melawat stadium MUFC, yang kami sendiri pun belum pernah sampai ke situ :)


Atuk & Nenek di Stadium Old Trafford, Manchester

Monday 1 June 2009

Nenek Insyirah

Hari ni, 1 Jun 2009 merupakan hari lahir nenek Insyirah yang ke-60 bersamaan dengan 18 hari usia adik dan tempoh Ummi Insyirah berpantang. Disebabkan Ummi masih dalam pantang, Ummi hanya mampu memasak masakan yang ringkas-ringkas jer untuk nenek dengan bantuan atuk dan Insyirah, hehehe. Tak larat nak taip panjang-panjang, layan jerlah gambar yang ada ye;)
Insyirah yang tak sabar nak makan kek, orang bagi pisau suruh potong kek tapi dia terus makan kek dengan guna pisau tu :)
Nenek Insyirah diusia 60 tahun & Adik Insyirah 18 hari
Menu yang sempat di masak oleh Ummi + kek beli siap (hanya tulisan di atas kek jer buatan Ummi, hehehe)
p/s: Hadiah untuk nenek nanti ye, Ummi & Insyirah tak sempat lagi nak membeli-belah;)...Selamat Hari Lahir Nenek. Semoga Nenek sentiasa sihat dan gembira selalu.
Oh ye, berat adik Insyirah juga dah bertambah 600 gram berbanding berat ketika lahir. Hari ni "Health Visitor" timbang berat adik dah 3.4 kg. Alhamdulillah, semoga adik Insyirah terus membesar dengan sihat.

Wednesday 27 May 2009

Insyirah di rumah sewa baru

Entry ni khas untuk Auntie Izan dan keluarga di Malaysia yang nak nengok Insyirah main-main di rumah sewa baru. Untuk pengetahuan Auntie Izan, rumah sewa baru kami ini, penghuni sebelumnya pun keluarga dari Malaysia juga, keluarga Auntie Siti. Video ini diambil sebelum Atuk & Nenek sampai ke UK. Sekarang ni Insyirah ada geng main, Atuk & Nenek rajin melayan Insyirah. Kadang-kadang Atuk pun asyik bermain dengan mainan Insyirah terutamanya piano, macam-macam lagu Atuk buat (hehehe sian Atuk, boring sangatlah tu :). Sabarlah Atuk, nanti bila Ummi dah sihat kita boleh pergi jalan-jalan :D

Bilik mainan Insyirah di rumah sewa baru

Sunday 24 May 2009

Atuk Insyirah

Untuk pengetahuan keluarga di Malaysia, kesihatan Atuk semakin pulih. Cuma sekarang ni, Nenek pula yang selesema dan batuk-batuk. Petang tadi, Ayah bawa Atuk melawat bandar Nottingham. Sehari sebelum tu Atuk dan Ayah pergi ke Carboot Junction 29. Nenek hanya duduk di rumah menjahit dan mengait. Nenek malas nak ikut, katanya nak tunggu Ummi sihat baru nak berjalan sekali. Ini ada beberapa keping gambar atuk di sekitar bandar Nottingham.
Atuk Insyirah, En. Bachok :)

Thursday 21 May 2009

Hari ke-7 adik Insyirah

Hari ini, sudah 7 hari adik Insyirah dilahirkan. Seperti yang diajarkan oleh Nabi junjungan kita S.A.W, maka rambut adik Insyirah pun dicukur oleh Ayah dan Ummi. Selain itu, setelah dipersetujui oleh Ummi, Ayah Insyirah pun menetapkan untuk menamakan adik Insyirah dengan nama NUHA RUMAISA (نهى رميصاء)

Apa maksud nama ini?
Setelah merujuk beberapa sumber di internet, secara ringkas, maksud nama-nama tersebut ialah:

Nuha: ...... (wisdom/intelligence)
Rumaisa: .............. (bersempena nama wanita Yahtrib pertama yang memeluk Islam iaitu Rumaisa bint Milhan atau lebih dikenali dengan nama Ummu Sulaym)

Semoga Nuha Rumaisa menjadi anak yang solehah, kebanggaan kami sekeluarga.
نهى رميصاء

Friday 15 May 2009

Adik Insyirah

Alhamdulillah, tengah hari tadi, 12.47pm Ummi Insyirah dah selamat melahirkan adik Insyirah di QMC, Nottingham, perempuan juga, dan seberat 2.8kg.



Adik dan Ummi Insyirah sejurus selepas kelahiran

Adik Insyirah dah balik rumah

Kini, kami berempat

Sunday 10 May 2009

Atuk & Nenek sampai di UK

Tanggal 10 Mei 2009, Atuk dan Nenek Insyirah sampai di UK. Insyirah dan keluarga pergi ambil Atuk dan Nenek di Heathrow Airport, London. Pesawat MH04 tiba di Heathrow lebih kurang 4.20 petang waktu UK, tetapi Atuk dan Nenek keluar dari bilik ketibaan lebih kurang pukul 5.30 petang sebab cari beg tak jumpa-jumpa :D. Selepas itu, kami semua pulang ke Nottingham sama-sama.

Friday 8 May 2009

Lawatan oleh Paediatric Nurse

Hari ni, Jumaat 8 Mei 2009 rumah Insyirah dilawat oleh Paediatric Nurse dari Mary Po**er Centre. Lawatan ini telah dimaklumkan terlebih dahulu melalui surat dari mereka. Tujuannya adalah untuk memberi taklimat kepada ibubapa tentang peralatan yang digunakan bagi memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak. Mereka ni sebenarnya sedang menjalankan "pilot scheme" yang mana fokus utamanya adalah untuk mengurangkan jumlah kecederaan yang boleh dielakkan dikalangan bayi-bayi dan kanak-kanak di Nottingham.

Kami tak pasti bagaimana mereka memilih rumah untuk dilawat bagi memberikan informasi ini. Yelah, bandar Nottingham ni bukannya kecil untuk mereka pergi dari satu rumah ke satu rumah kan?... Dan macam mana pula rumah Insyirah ni terpilih? Hehehe. Rasa-rasa Insyirahlah ini mungkin berikutan dari insiden Insyirah jatuh tangga awal bulan lepas :) Sebabnya masa Nurse ni nengok Insyirah, dia kata "Ooh, ini ke Nihlah yang jatuh tangga haritu? Macam mana dia sekarang?" (selepas diterjemah).... Dalam hati Ummi, bagus betul sistem pengrekodan diorang ni. Sebabnya selepas Insyirah jatuh tu, Ummi bawa Insyirah ke bahagian kecemasan di Quee*s Medical Ce*tre (QMC), bukannya ke M*ry Potter Clinic. Tambahan lagi, kami dapati Nurse ini telah menganalisa terlebih dahulu data penghuni rumah yang ingin mereka lawati sebelum mereka hadir. Buktinya, tanpa diberitahu oleh Ummi, Nurse ini sedia maklum akan keadaan Ummi Insyirah yang hanya menunggu hari untuk bersalin (EDD: Jumaat depan 15 Mei 2009:)
"Avoidaible Injury Packs" yang berisi "baby changing mat", "baby bath thermometer", "carbon monoxide detector", "baby safety pack" dan senarai telefon agensi-agensi penting.

Apa pun, terima kasih di atas keprihatinan dan info yang diberikan dan kami amat menghargainya. Begitu juga dengan "Avoidable Injury Packs" yang diberikan secara percuma. Terima kasih banyak-banyak :)

Wednesday 6 May 2009

Kenangan Musim Bunga 2009

Ini atas permintaan Acu dan keluarga di Malaysia yang nak lihat gambar Ummi & Ayah. Katanya asyik-asyik gambar Insyirah jer, gambar mak ayahnya mana, hehehe. Maka ini kami letaklah beberapa keping :) Gambar ni diambil ketika musim bunga dan kandungan Ummi Insyirah berusia 36 minggu.

Kami di taman University of Nottingham

Kandungan Ummi Insyirah 36 minggu

Insyirah 22 bulan
Kepada mak long, ini gambar tambahan "close up" perut Ummi beserta model cilik yang dah tertidur. Ok tak?Huhuhu :)