Friday 30 September 2011

Musim luruh yang PANAS

Sekarang ini sudah masuk musim luruh sepatutnya, tetapi minggu ini cuaca tersangatlah panas sampaikan kami perlukan kipas angin (macam summer pula) :D Kira training sebelum balik Malaysialah ni, hehehe. Cuaca agak tidak menentu musim luruh kali ini, minggu lepas dah sejuk tetapi minggu ini tiba-tiba panas terik pula. Alhamdulillah, kering semua baju-baju diampaian :)   

 Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Seperti yang dinyatakan berulang-ulang kali di dalam surah Ar-Rahman "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" 
Nota : Kalau tidak silap Ana, sepanjang 5 kali melalui musim luruh di bumi asing ini, inilah kali pertama merasai cuaca yang sangat panas seperti di musim panas. Kebiasaannya, ketika musim luruh, cuaca suram, kelam dan suhunya agak dingin ditambah dengan angin yang bertiup menusuk ke tulang sumsum (hehehe) menggugurkan daun-daun daripada tangkai pokoknya :)

Thursday 29 September 2011

Jamuan aidilfitri 2011

Hari ini sudah 2 Zulkaedah, tetapi cerita raya masih tak habis-habis, hehehe. Pada Syawal yang lalu, alhamdulillah, Allah memberi kesempatan kepada kami sekali lagi untuk mengajak rakan-rakan beraya ke rumah kami pada Sabtu minggu ke 3 Aidilfitri bersamaan dengan 17 September 2011.  Kali ini kami panggil seramai yang boleh kerana ini mungkin kali terakhir kami dapat menjemput rakan-rakan ke rumah sebelum kami membungkus semua pinggan mangkuk dan meja. Mohon maaf kepada yang terlupa untuk dijemput dan yang tidak perasan jemputan di "mukabuku". Terima kasih kepada semua yang sudi menghadirkan diri dan mohon maaf di atas segala kekurangan. 

Juadah utama yang disediakan pada hari tersebut ialah pasembor/mee rojak atas permintaan rakan-rakan yang tidak puas merasainya ketika projek ramadhan kami yang lalu. Menu sampingan nasi ayam dan sedikit sate. Ramai tetamu yang hadir menanyakan bagaimana Ana sempat memasak kesemua menu, huhuhu. Ana pun macam tidak percaya boleh sempat memasak kesemuanya disebabkan Ana ini jenis yang agak lambat bab-bab memasak ini. Namun di atas sokongan suami, berjaya juga Ana menyiapkan kesemuanya. Jemputan bermula dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang untuk sesi pertama dan jam 3 petang hingga 7 petang untuk sesi kedua. Kami terpaksa membuat dua sesi kerana keadaan rumah yang kecil.

Oleh kerana jemputan bermula jam 12 tengah hari, tentunya tidak sempat jika pagi itu baru hendak memasak kesemuanya. Jam 9 malam Ana sudah masuk tidur untuk menidurkan anak-anak. Jam 1 pagi sudah bangun dan setelah selesai solat bermulalah misi memasak kuah sate. Sambil menunggu kuah sate siap, rebus keledek dan kisar untuk menyediakan kuah pasembor. Masa ini juga baru sempat nak cucuk sate kerana keadaan Ahmad yang kurang sihat 2-3 hari sebelumnya, huhuhu. Jam 3 pagi, Ahmad bangun pula hendak menyusu dan menyusukannya sambil Ana pun tidur sekali hingga jam 5 pagi. Kemudian bangun untuk solat Subuh dan memasak kuah pasembor pula. Lebih kurang jam 8 pagi baru siap kuah pasembor dan terus merebus ayam untuk nasi ayam. Fuhh, masa ini agak stress sebab Ahmad sudah menangis nak menyusu dan banyak lagi yang tidak siap. Rasa macam tak cukup tangan dan dengan keadaan dapur yang tidak muat untuk masak banyak-banyak periuk. Mana nak rebus spagethhi, goreng cucur untuk pasembor, goreng ayam, dan macam-macam lagi, huhuhu. Namun alhamdulillah, segalanya berjaya disiapkan, cuma tetamu tiba 10 minit awal terpaksa tolong kupaskan telur dan potong-potong. Terima kasih kepada adik-adik Medik :)
Gambar tengah & bawah: Antara menu yang disajikan dan kuah pasembor yang sedang mendidih atas dapur elektrik
Gambar atas: Gambar selepas majlis selesai. Insyirah tertidur keletihan :)




Antara tetamu yang sudi menghadirkan diri. Terima kasih semua. Terima kasih juga kepada suami dan rakan-rakan yang tolong pegangkan Ahmad kerana Umminya sibuk didapur :)

InsyaAllah selepas ini kita berkumpul di Malaysia pula. Tak tahulah masih ada kesempatan hendak masak sendiri nanti atau main order sahaja :D Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan tinggal di bumi permaisuri ini dan secara tidak langsung mengubah diri dari yang tidak pandai masak kepada bolehlah memasak sikit-sikit walau masih diperingkat amatur :) Semoga ukhuwah yang terjalin kekal selamanya dan di dalam keberkatanNya, amin.

Wednesday 28 September 2011

Ahmad mula merangkak & melambai tangan

Akhirnya, setelah hampir sebulan mengangkat bont*tnya, hari ini 27 September 2011, lebih kurang jam 5.40 petang (waktu UK) Ahmad sudah mula merangkak ke hadapan walaupun masih diperingkat amatur :) Kebiasaannya meniarap dan bergerak secara mengundur sahaja. Apa yang memaksa Ahmad merangkak ke hadapan? Semuanya disebabkan hendak pergi ke arah Ummi yang berada di bilik air yang sedang memandikan Insyirah dan Nuha, hehehe. 

Selain itu hari ini juga Ahmad sudah pandai meniru aksi melambai tangan. Jika di suruh babai, Ahmad akan melambai tangannya meniru aksi Ummi atau Ayah atau si kakak-kakak yang mengajarnya :)

Alhamdulillah, semoga Ahmad terus membesar sihat dan cergas seperti kanak-kanak lain dan menjadi anak soleh penyejuk hati kami sekeluarga, amin.

Setiap anak adalah unik dan mereka mempunyai carta tumbesarannya yang tersendiri. Jika Insyirah dahulu tidak merangkak, terus sahaja duduk, berdiri dan berjalan. Manakala Nuha pula mula merangkak di usia 8 bulan lebih tetapi sudah mula mengangkat bont*tnya sejak berusia 7 bulan. Ahmad pula mula merangkak di usia 9 bulan dan 19 hari :)

Tuesday 27 September 2011

Perkembangan bayi 9 bulan

Ahmad sudah 9.5 bulan, Umminya baru berkesempatan hendak update perkembangannya pada 9 bulan, hihihi :) 

Perkembangan Ahmad yang terkini setakat ini:
1) Sudah mula angkat punggungnya untuk merangkak sejak 1 Syawal yang lalu.
2) Sudah pandai menjelajah sekitar ruang dan pelosok dengan meniarap dan bergerak secara mengundur :)
3) Sudah mula hendak bercakap tattattattatta
4) Sudah boleh duduk tanpa support
5) Sudah lebih pandai bermain. Suka masukkan blok ke dalam box dan kemudian membuangnya balik ke luar, huhuhu.
6) Suka menjatuhkan barang ke lantai dan meminta kita mengambilnya semula dan bila diambil dan diberikan kepadanya pasti akan dijatuhkan balik ke lantai. Proses ini berulang-ulang sampai Umminya letih melayan, huhuhu.
7) Sekarang ini asyik nak berkepit sahaja dengan Umminya dan sudah mula takut dengan sesetengah orang.
8) Sudah mula menolak untuk minum guna botol susu, huhuhu.
9) Sudah boleh menolak walkernya dengan bantuan :)
10) Sudah pandai menyakat kakak-kakaknya sehingga mereka menangis :D

Gambar sekitar Aidilfitri ketika berusia 9 bulan

Masa bulan puasa yang lepas, Ahmad senang sahaja minum susu atau air masak daripada botol susunya. Siap pandai pegang sendiri botolnya walau tidak diajar. Tetapi sekarang ini Ahmad tidak mahu minum daripada botol susunya, huhuhu. Jika diberikan botol, digigit-gigitnya sahaja puting botol tersebut dan bermain dengannya. Umminya sudah mula risau jika Ahmad tidak mahu minum menggunakan botol kerana tidak lama lagi Umminya akan mula bekerja.

Ahmad minum susu dan air masak menggunakan botol susu semasa bulan puasa yang lepas

Kids Learning Laptop

Semasa membelek gambar-gambar lama dalam pc komputer, terlihat video Insyirah sedang bermain dengan laptop princessnya. Antara laptop yang mereka ada, Ummi paling suka dengan laptop ini sebab yang ini lebih interactive dan keadaannya yang masih cantik. Tambahan pula dengan harganya yang murah, sebab itu Umminya sangat suka, hehehe. Nuha pun suka laptop ini. Mereka banyak belajar semasa bermain dengannya. Kalau Nuha yang main dengan laptop ini, bila cinderella menyoalnya pasti dia akan menjawab balik. Contohnya bila cinderella sebut, "shall we play games?", mesti dia jawab "yes" :D 


Kebanyakan mainan anak-anak kami perolehi daripada carboot sale yang mana keadaannya masih dalam keadaan baik dan harga yang sangat berpatutan. Sesekali ada juga beli yang baru jika terdapat sale :). Jika membeli di carboot sale, kebiasaannya ianya bergantung kepada nasib dan perlu datang awal kerana barang yang masih elok dengan harga yang murah selalunya cepat habis. Kalau datang lewat ke carboot, kebiasaannya harga untuk barang-barang yang elok keadaannya agak mahal, namun ianya bergantung kepada rezeki masing-masing. Jika membeli barang di carboot perlu bijak memilih dan berhati-hati kerana ada barang yang sudah tidak berfungsi tetapi masih dijual, huhuhu. Tetapi ada juga barang yang masih belum dipakai dan masih baru dijual di situ. Pernah juga mendapat baju anak-anak yang masih baru dan masih bertag dengan harga yang sangat murah, semurah 20 pence = RM 1:) Buku-buku juga sangat murah. Pastinya kami akan merindui kenangan bercarboot apabila sudah pulang ke Malaysia nanti :)

Monday 26 September 2011

4 tahun sudah

Semalam, genap 4 tahun kami berada di bumi permaisuri ini. Masih segar dalam ingatan detik-detik ketibaan kami di Heathrow London pada jam 5.30 pagi, 25 September 2007 yang lalu. Pelbagai suka duka yang dilalui ditempuhi bersama sehingga saat ini. Perjalanan hidup di bumi Nottingham ini bakal sampai dipenghujungnya tidak lama lagi insyaAllah. Kini kami sedang sibuk mempersiapkan diri untuk pulang ke tanah air tercinta. Semoga Allah memudahkan segala urusan kami di sini dan selamat pulang ke Malaysia. Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui segalanya.

Alangkah baiknya jika kita sentiasa mempersiapkan diri sebaik-baiknya untuk kehidupan di SANA yang kekal abadi.

Saturday 24 September 2011

Minggu ke 2 Aidilfitri

Pada hari Sabtu, minggu ke-2 Aidilfitri yang lepas, kami dikunjungi rakan USM yang belajar di London yang tiba di rumah kami pada Sabtu tengah hari. Pada sebelah pagi yang sama juga Ayah menolong angkat barang masuk ke kontena rakan-rakan yang akan pulang ke Malaysia. Nampaknya semakin berkurangan lagi jumlah warga Malaysia di Nottingham ini. Pagi esok pun ada lagi upacara mengangkat barang masuk ke kontena dan giliran kami juga akan menyusul bulan depan insyaAllah, huhuhu.


Pada petang Sabtu kami membawa mereka berjalan-jalan sekitar bandar Nottingham dan keesokannya ke East Midland Designer Outlet :)

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke rumah kami dan semoga persahabatan yang terjalin kekal selamanya :)


Friday 23 September 2011

Kisah di minggu pertama Aildilfitri 2011

Ada sanak saudara dan rakan taulan yang bertanya bagaimana sambutan perayaan diperantauan. Dulu pun sebelum sampai di bumi Nottingham ini, terfikir juga bagaimana sambutan raya di sini. Masa tu hanya terbayang keadaan raya yang serba ringkas tidak seperti di Malaysia. Tambah pula dengan lagu-lagu raya yang sedih tentang raya diperantauan, hanya suasana suram tentang gambaran hari raya di perantauan. Namun gambaran itu tidak tepat kerana suasana hari raya diperantauan bergantung kepada jumlah warga Malaysia yang berada di sesuatu tempat itu dan bagaimana mereka meraikannya. Alhamdulillah, ramai warga Malaysia di Nottingham sepanjang kami berada di sini dan hubungan sesama kami juga agak baik. Bagi Ana pengalaman setiap kali raya di sini agak menarik dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan pada masa yang sama dapat merasai pelbagai jenis masakan :)

Pada hari raya pertama, buat pertama kalinya Ana tidak menyediakan rendang, nasi impit dan kuah kacang sepanjang berada di Nottingham. Ana hanya menyediakan laksa penang di pagi hari beserta kuih muih yang dipos dari Malaysia. Juadah itu juga yang kami hidangkan buat Kak Min sekeluarga yang berkunjung ke rumah kami sesudah solat aildilfitri di masjid yang berdekatan. Sesudah solat zohor kami memulakan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan yang telah menjemput secara rasmi ke rumah mereka.

Juadah di hari raya pertama dan bergambar kenangan bersama keluarga Kak Min dan anak-anak jiran

Kunjungan pertama kami ke rumah Afdhal yang juga terletak di Forest Field. Kemudian kami pergi ke kawasan Radford, yang jauhnya lebih kurang 5 minit berkereta (kalau trafik lancar) untuk beraya ke rumah Kak Zana dan juga ke rumah Kak Haz. Baru 3 buah rumah, waktu sudah jam 6 petang dan kami solat Asar di rumah Kak Haz. Setelah itu, kami berkunjung ke rumah Kak Azie di Wilkinson Street, yang tidak jauh dari kawasan Forest Field. Kemudian pulang ke rumah untuk bersolat maghrib dan membersihkan anak-anak, hajatnya selepas itu hendak beraya lagi namun tidak kesampaian bila mana anak-anak sudah letih dan hendak tidur.

Di Rumah Afdhal, Kak Zana, Kak Haz dan Kak Azie.

Pada hari raya ke-2 kami menerima kunjungan daripada Kak Zehan sekeluarga dan Ana merebus laksa sekali lagi dan menjamu mereka. Insyirah dan Nuha gembira bila rakan sebaya datang beraya ke rumah. Sesudah zohor, kami memenuhi jemputan rakan-rakan untuk beraya ke rumah mereka. Antaranya rumah Kak Mashitah, Kak Nadira dan Kak Zehan. Semasa beraya, Elly yang juga kenalan USM turut mengajak beraya ke rumahnya. Kami ke rumah Elly sudah hampir maghrib dan kami bersolat di situ sahaja. Pada sebelah malam, kami berkunjung ke rumah Kak Zura dan kak Farizah. Kami tiba di rumah semula hampir jam 12 tengah malam. Kira rekod tiba di rumah selepas beraya kali ini agak awal berbanding tahun-tahun yang lalu yang menjangkau ke awal pagi :D    

Bergambar kenangan di rumah Kak Mashitah, Kak Nadira, Kak Zehan, Elly, Kak Zura dan Kak Farizah

Hari raya ke-3 tiba-tiba Ana rasa hendak masak-masak sikit. Memandangkan rumah kami yang semakin mengecil yang dipenuhi barang-barang, kami hanya memanggil sebahagian rakan-rakan terlebih dahulu berkunjung raya ke rumah. Menu hari itu hanyalah mee rebus (guna resepi kak Yati, jiran yang sudah kembali ke Malaysia :D)
Antara rakan yang berkunjung ke rumah di hari raya ke-3.

Pada hari raya ke-4 kami hanya beraya ke rumah kak Ani sekeluarga setelah menghantar Insyirah ke kelas mengaji.
Bergambar di rumah kak Ani bersama Kak Sherryn dan Kak Ary.

Pada hari raya ke-5, Sabtu kami menerima jemputan sarapan pagi raya di rumah Kak Fae. Kemudian kami memenuhi jemputan Kak Wan dan Hanna yang bergabung menganjurkan rumah terbuka di kawasan Lenton. Setelah itu kami pergi ke rumah terbuka adik-adik Medik di Dunkirk. Pelajar-pelajar Medik di tahun-tahun akhir tidak bercuti ketika ini walaupun pelajar undergrad lain sedang bercuti semester dan kebiasaannya mereka pulang ke Malaysia setiap kali cuti semester musim panas. Setelah solat zohor di rumah adik-adik Medik, kami meneruskan raya ke rumah Eda di Radford dan ke rumah Kak Nila di Forest Field.

Bergambar di rumah Kak Fae, Kak Wan-Hanna, Adik-adik Medik, Eda dan Kak Nila.

Hari raya ke-6, Nottingham Malaysian Community (NMC) menganjurkan majlis sambutan aidilfitri di Atrium, Jubilee campus, University of Nottingham. Sempat juga berkunjung ke rumah cikgu-cikgu mengaji Insyirah @ pelajar Medik tahun akhir di Dunkirk.

Sekitar majlis aidlifitri NMC di UoN

Bergambar ramai-ramai dalam The Atrium sebelum menjamu selera :)

Sekali lagi bergambar kenangan di penghujung majlis

Kesimpulannya, di mana pun kita berada kita sendirilah yang mencorakkan suasana raya itu. Yang paling penting, kita gembira di hari raya dan mengeratkan tali persaudaraan sesama kita. InsyaAllah semoga Allah memberi ganjaran kepada kita dalam mengeratkan silaturahim ini. 

Nota: 
Teringat coretan Dr MAZA tentang kelebihan ziarah saudara sesama muslim seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).

Thursday 22 September 2011

Projek Ramadhan 1432H

Sepanjang ramadhan yang lalu, ada rakan-rakan yang menjemput kami untuk berpuka puasa bersama-sama di rumah mereka. Terima kasih di atas jemputan tersebut dan semoga Allah memurahkan rezeki kalian dan mempermudahkan segala urusan kalian di dunia dan di akhirat. Kami juga teringin untuk menjemput rakan-rakan berpuka puasa bersama-sama di rumah namun memandangkan keadaan diri yang tidak berapa kuat dan cergas di bulan ramadhan yang lalu, kami tidak dapat berbuat demikian. Namun kami suami isteri mencari alternatif yang lain iaitu dengan memasak juadah berbuka puasa yang banyak dan diagih-agihkan kepada rakan-rakan sekeliling. Juadah yang sempat di masak oleh Ummi ialah pasembor a.k.a rojak mee :)

Pasembor / rojak mee Nottingham :)

Alangkah indahnya hidup jika dapat memberi kerana Yang Maha Esa, alhamdulillah :)

Wednesday 21 September 2011

Baby highchair/booster seat

Ahmad suka duduk dikerusi makannya namun ada yang tidak puas hati :D

Muka orang yang tidak puas hati di belakang Ahmad, hehehe.

Seronok dapat duduk di booster ini. Senang hendak makan katanya. Jika tidak perlu angkat pinggan letak atas peha kerana kedudukan meja yang agak tinggi buat dirinya yang rendah :)

Nasib baik Nuha tidak berebut sama hendak duduk dikerusi ini. Harus cari lagi kerusi seperti ini. Best dan mudah untuk anak-anak duduk makan sekali semeja kerana boleh laras ketinggian kerusi :). Selain itu :-

-Mudah untuk membasuh tray makanan kerana tray boleh ditanggalkan.
-sesuai untuk bayi dari umur 6 bulan hingga berat 20kg
-Ada 3 ketinggian dan tray boleh dilaras untuk sesuaikan dengan saiz badan bayi
-Mudah untuk travel dan di bawa kemana sahaja

Sebelum ini guna folding high chair dan ikea high chair yang warna putih itu, dua-dua pun best. Tapi yang ini lebih suka sebab jimat ruang dan booster seat ini boleh letak atas kerusi makan. Anak-anak lebih mudah hendak duduk makan sekali dengan ibubapa semeja :)


Tuesday 20 September 2011

Allergic Telur

Selain daripada allergic terhadap susu lembu dan antibiotik Flucloxacillin, Ahmad Mujahid allergic terhadap telur juga yang mana kami mula mengenalpastinya pada 28 Ogos 2011, jam 6.20 petang, 2 hari sebelum umat Islam menyambut hari raya aildilfitri 1432H. 

Semuanya bermula ketika Ummi sedang sibuk memasak didapur untuk juadah berbuka dan Ayah sedang bertadarus di masjid Madni. Untuk melekakan Ahmad bermain sendirian untuk membolehkan Ummi memasak didapur, Ummi meletakkan Ahmad di kerusi makannya dan memberikannya pelbagai struktur makanan untuk dipegangnya. Antaranya spagethhi, timun dan akhir sekali telur rebus yang masih belum dikupas kulitnya. Pada mulanya Ahmad hanya membelek-belek telur rebus tersebut dan kemudian menggolek-golekkan di atas meja makannya. Ummi leka didapur memasak dan tiba-tiba terdengar Ahmad menangis dan Ahmad menoleh ke arah Ummi di dapur. Alangkah terkejutnya apabila melihat mata kirinya bengkak dan mukanya naik merah-merah. Allahuakbar! Terus Ummi mengangkatnya dan menyusukannya untuk meredakan tangisnya. Tangannya asyik menggosok-gosok mukanya kerana kegatalan. Ummi melihat telur rebus yang diberikan telah dimakannya sedikit. Kulit-kulit bertaburan di atas meja dan lantai. Selepas tangisnya reda, Ummi terus memandikannya dan melumurkan krim ke seluruh badannya untuk mengurangkan kegatalannya. Alhamdulillah keesokan harinya matanya yang bengkak sudah surut walaupun tidur malamnya tidak lena kerana kegatalan.

Mata Ahmad terus naik bengkak mendadak hanya kerana sebiji telur rebus :D

Inilah telur yang dimakan Ahmad, huhuhu. Tidak tahu bagaimana Ahmad mengopek telur ini dan memakannya. Gigi sebatang pun belum ada lagi, huhuhu.

Tuesday 13 September 2011

5 kali Aidilfitri bersama anak-anak

Tadi baru saja menyiapkan photobook. Sambil-sambil itu, terlihat gambar-gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas. Sudah 5 kali kami beraya Aidilfitri sebagai ibu dan ayah dan kelima-limanya disambut di bumi Nottingham ini.

Sebagai rekod, kami telah menyambut 1 Syawal di Nottingham, UK  pada tarikh berikut:
  1. 1428H - 12 Oktober 2007
  2. 1429H - 29 September 2008
  3. 1430H - 20 September 2009
  4. 1431H - 10 September 2010
  5. 1432H - 30 Ogos 2011

Setelah lebih kurang 17 hari berada di bumi Nottingham dan juga ketika itu usia Insyirah baru 3 bulan setengah, kami telah menyambut Aidilfitri pertama di Nottingham pada hari Jumaat. Pertama kali beraya di perantauan dalam keadaan serba kekurangan dan masih dalam proses penyesuaian diri dengan pengajian, cuaca dan masyarakat sekeliling. Juga tidak dapat dilupakan, kami sekeluarga tertidur di pagi raya sehingga terlepas solat sunat Aidilfitri. Pada hari yang sama, Ayah Insyirah bersolat Jumaat di Masjid Karimia yang mana jemaahnya (majoritinya warga British berketurunan Pakistan) masih lagi berpuasa dan akan menyambut Syawal pada esok hari. Warga Malaysia di Nottingham beraya berdasarkan tarikh yang diumum oleh London Central Mosque. Majlis rasmi Aidilfitri warga Malaysian Nottingham Community telah dianjurkan pada hari raya kedua di Noel Street Leisure Centre.

Ketika Aidilfitri yang kedua bagi kami sekeluarga di Nottingham, kami diserikan dengan berita kehadiran cahaya mata kedua. Juga kali kedua beraya Aidilfitri di 106 Bradgate Road, NG7 6HJ, Nottingham. Ummi baru sahaja menyelesaikan pengajian MSc nya dengan menghantar dissertation pada 15 September 2008. Ummi juga telah memohon untuk bercuti tanpa gaji dan menangguhkan dulu hasratnya untuk menyambung pengajian PhD. Kami sekeluarga juga berpeluang menjadi host kepada warga baru Nottingham ketika itu. Aunty Ecah, guest kami, yang jadi jurugambar bagi gambar kami sekeluarga di bawah.


Aidilfitri ketiga kami diserikan dengan kehadiran Nuha yang ketika itu baru berusia 4 bulan. Raya warga Malaysia di Nottingham dimeriahkan dengan pelbagai rumah terbuka yang dianjurkan pada setiap minggu sepanjang Syawal. Setiap kawasan tempat tinggal warga Malaysia di Nottingham telah berpakat bersama-sama untuk menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing. Kami warga Forest Field turut menganjurkan majlis "dewan" terbuka Aidilfitri pada 3 Oktober 2009.


Aidilfitri keempat kami diserikan dengan 2 anak dara kami yang semakin membesar dan boleh bermain antara dua beradik ini. Ketika itu, Ummi Insyirah juga sedang mengandung sekitar 6 bulan. Walaupun bayi dalam kandungan disahkan menghadapi masalah exomphalos, tetapi kami bersyukur dan gembira kerana kami bakal diserikan dengan kehadiran hero pertama buat kami sekeluarga.

Pada tahun ini, kami telah menyambut Aidilfitri yang kelima di Nottingham pada 30 Ogos 2011 setelah berpuasa selama 29 hari. InsyaAllah, Aidilfitri kali ini merupakan yang terakhir buat kami sekeluarga sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk memulakan fasa hidup yang baru. Alhamdulillah, putera sulung kami, Ahmad Mujahid, juga semakin membesar dengan sihat dan ceria.

Sepanjang beraya di perantauan ini, kami rasa bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan terutamanya warga Malaysia di Nottingham yang memeriahkan suasana hari raya kami di sini dengan hubungan yang rapat dan juga pelbagai sajian tradisi Malaysia. Semoga hubungan ini berterusan sepanjang hayat dan beroleh manfaat di akhirat. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih buat sanak saudara dan sahabat handai di Malaysia yang  mengutus bungkusan kuih raya dan juga baju raya untuk kami sekeluarga :)

Monday 12 September 2011

Tragedi Raya 2011

Aidilfitri tahun ini tidak seperti tahun-tahun lalu. Disebalik kegembiraan meraikan hari raya, tiba-tiba kami di sini dikejutkan dengan 2 berita sedih yang agak memilukan pada hari raya yang ke-4, 2 September 2011. Dua kematian pada hari yang sama agak mengejutkan. Ibu mertua kakak meninggal dunia pada pagi Jumaat, jam 6.30 pagi di hospital dan diikuti dengan kematian sepupu (sebelah Ummi Insyirah) yang terlibat dalam kemalangan pada jam 2 petang, sehari sebelum majlis akad nikahnya. Rasa terkejut dan sedih sangat mendengar khabar berita ini, tambahan pula sepupu yang meninggal ini rapat dengan kami sekeluarga. Majlis pernikahannya bertukar menjadi kenduri arwah.  Ajal maut, jodoh pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Allah yang lebih mengetahui segalanya. 
Sebelum ini hanya membaca kisah orang lain sahaja, tetapi bila anggota keluarga sendiri yang terlibat, terasa lemah tidak berdaya. Rasa macam tidak percaya apa yang berlaku. 

Kami di sini hanya mampu berdoa semoga Allah menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan mengampunkan segala dosa-dosanya. Salam takziah dari kami sekeluarga di sini. 

Hari pertama ke sekolah

6 September 2011 yang lalu, Insyirah mula ke sekolah setelah lebih kurang 6 minggu bercuti. Ini juga merupakan kali pertama Insyirah menggayakan uniform sekolahnya kerana sebelum ini hanya memakai baju harian biasa sahaja. Pada mulanya ingatkan Insyirah ditempatkan di kelas, namun jangkaan kami meleset. Insyirah masih di nursery, cuma sepenuh masa hingga 3.30 petang kerana umurnya yang masih muda. Insyirah boleh masuk ke kelas bermula Disember 2011 ini. Nampak gayanya tidak sempatlah Insyirah merasa pengalaman berada di kelas bersama rakan-rakan lain. 

Ayah dan Nuha menghantar Insyirah ke sekolah pada jam 8.55 pagi

Insyirah dan uniform sekolahnya :)

Hari pertama ke sekolah hingga jam 12 tengah hari sahaja sepanjang minggu pertama. Aktiviti waktu petang Insyirah setelah pulang dari sekolah hari ini ialah menggunting rambutnya sendiri dan rambut Nuha. Tidak tahu kenapa tiba-tiba tergerak hatinya untuk memotong rambut sendiri dan Nuha. Bukannya sehari dua baru pegang gunting, lama dah. Kebiasaannya hanya menggunting kertas-kertas dan kadang-kadang tergunting baju sikit. Yang sangat pelik bagaimana Nuha boleh duduk diam sehingga gondol rambut depannya digunting Insyirah. Umminya yang sedang asyik melihat komputer sambil menyusukan Ahmad hanya menyedari apabila Insyirah cakap "It's ok Nuha. Bila Umminya toleh sahaja lihat ya Allah habis rambut anak-anakku. Rasa macam nak menangis tapi nak tergelak pun ada juga. Lagi-lagi bila tengok rambut Nuha yang sangat kelakar.

 
Rambut yang dipotong Insyirah. Ada lebih kurang 1 genggam lebih  genggaman Umminya:). Banyak juga tu!


Tara!! Ini hasil kreativiti Insyirah terhadap rambut Nuha. Bila ditanya kenapa potong rambut Nuha. Insyirah jawab, "I just helping you", huhuhu. Cantik tak rambut Nuha kakak potong? Sambil gelak-gelak Insyirah menjawab, "Nuha likes a clown Ummi", huhuhu.


Rambut Insyirah boleh tahan lagi sebab dia gunting bahagian tepi sahaja tetapi rambut belakang dah jadi macam ekorlah pula. Bila tepi kiri kanan dipotong, rambut belakang dah nipis. 

Bila Umminya nak betulkan balik rambut Nuha, Nuha tidak mahu. Sepanjang hari disebutnya "No way" bila dipujuk untuk gunting rambutnya. Akhirnya Umminya membuat keputusan untuk potong dikedai sebelah rumah sahaja. Semasa potong rambut Insyirah ok, duduk diam sahaja tetapi potong rambut Nuha rasa tak cukup tenaga nak pegang dia bila meronta-ronta taknak potong. Siap kena 2 orang pegang nak gunting rambut dia masa tukang gunting nak potong. Marah sungguh bila orang potong rambutnya, sampai teresak-esak menangis. Bila dah sampai rumah masih teresak-esak menangis suruh pergi balik ambil rambut dia yang sudah digunting, huhuhu. Kemudian sampai tertidur keletihan setelah letih bergelut semasa nak dipotong rambutnya. Kasihan Nuha. Bila tersedar dari tidur masih ingat lagi akan rambutnya yang dipotong dan disuruhnya lagi kami pergi ambil balik rambutnya :D

Nuha dan Insyirah berambut baru ;) 

Teringat semasa selesai sahaja Insyirah menggunting rambut dihadapan cermin dan tukang gunting, "Is this boy hair or girl hair?" dengan muka sedih melihat rambutnya yang telah dipotong pendek. She said "everyone will laughing at me, this is boy hair", huhuhu. Lalu Umminya cakap, ini adalah akibat daripada perbuatan kakak yang menggunting rambut Insyirah dan Nuha. Lepasni jangan buat lagi ok. Bila Umminya tanya salah siapa rambut Insyirah dan Nuha jadi macam ini, Insyirah mengaku yang salah dia, huhuhu. Kasihan anak-anak Ummi. Walaubagaimanapun, terima kasih kakak Insyirah yang berniat untuk tolong Ummi menggunting rambut Nuha. Memang beberapa hari sebelum Umminya asyik berkata ingin memotong rambut depan Nuha kerana sudah mencucuk mata, tetapi dok cakap sahaja, tapi tak buat-buat :D Kiranya salah Umminya juga, hehehe.

Wednesday 7 September 2011

Gaya baby bersilat?

Catatan lepas masa Ahmad Mujahid 8 bulan, ada menyatakan habit Ahmad yang suka menepuk-nepuk kedua belah tangannya seperti aksi nak buka langkah silat (ye ke?). Lebih-lebih lagi jika dia berlawan dengan si Ayah yang meniru aksi tangannya itu. Namun kini habitnya ini sudah berkurangan. Di bawah ini ada video yang merakamkan aksi tangannya itu ketika usianya 8 bulan lebih namun kali ini Ahmad tidak begitu fokus seperti sebelumnya. Sekarang ini sudah jarang-jarang dapat melihat aksi tangannya ini kerana habitnya sekarang menghisap ibujari kaki dan jelir lidah pula, huhuhu :D


Kalau dulu,lagi pantas aksi tangannya ini dan sangat fokus. Kini Ahmad buat santai-santai sahaja sekadar mengisi masa lapangnya bermain sendirian :)