Sunday 12 December 2010

Nikmat kehidupan

Alhamdulillah, Allah masih kurniakan nikmat kehidupan untuk diri ini merasainya lagi. Masih terbayang saat untuk melahirkan Ahmad Mujahid ke muka bumi Allah ini. Ketika itu terbayang mungkin Allah makbulkan permintaan Ana diawal kandungan ketika diberitahu oleh doktor tentang masalah yang menimpa kandungan ketika itu agar diri dapat menggantikan tempatnya bagi mengurangkan beban kesakitan yang bakal dilaluinya. Tidak sanggup rasanya untuk membiarkan anak dalam kandungan ini menghadapi segalanya seorang diri, perlu dibedah sejurus selepas kelahirannya. Ditambah lagi setelah lihat video-video di youtube yang berkaitan dengan masalah anakku itu. http://www.youtube.com/watch?v=0C7QAWCan6c . EXOMPHALOS @ OMPHALOCELE. Ketika itu pun Doktor menyatakan kandunganku mempunyai moderate to large exomphalos size yang menyebabkan pembedahannya lebih rumit berbanding small exomphalos. Diri ini terbayang mampukah tubuh kecil itu menanggungnya. Namun, doa itu tidak lama setelah encik suami berpesan supaya berbaik sangka pada Allah dan jangan terlalu pentingkan diri sendiri dengan hanya menginginkan yang baik-baik sahaja buat diri dan keluarga. Mungkin ini yang terbaik buat kita walaupun merasakan masalah itu agak berat, tapi itu mungkin adalah yang terbaik dari Allah. Lalu, doaku pohon agar Allah memudahkan segala urusan kami dan berilah yang terbaik buat diri dan keluarga. Sejak itu, diri ini pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Tiada lagi air mata bila berbicara tentang masalah yang menimpa kandungan dan diri seakan kuat dan dapat menerima segalanya. Alangkah indahnya jika semuanya kita kembalikan pada Allah. Tak dinafikan pada awalnya diri ini asyik berendamkan air mata mengenangkan nasib anak yang dikandung. Alhamdulillah ianya tidak berlarutan, akhirnya Ana berjaya menerima hakikat sebenar.


Kali ini sekali lagi Ana ditakdirkan untuk melahirkan anak secara pembedahan, emergency ceasearian bagi menyelamatkannya. Air ketuban sudah mula keluar sejak dari pagi 7 Disember 2010 dan kami ke hospital (Antenatal Triage), pada jam 11 pagi. Midwife dan Doktor melakukan pemeriksaan dan  terus ditahan diwad B26, Green bay. Walaupun air ketuban sudah keluar, namun masih tiada rasa sakit lagi. Sekiranya masih tak merasa sakit, Doktor terpaksa melakukan pembedahan keesokan paginya. Suami dan anak-anak tercinta setia menunggu Umminya diwad sehingga habis waktu melawat, jam 9 malam. Riuh rendah dibuatnya wad dengan suara Insyirah dan Nuha, nasib baik ada bilik untuk keluarga beristirehat :)


Walaubagaimanapun, lebih kurang jam 10 malam, tiba-tiba badan menggigil kesejukan, badan rasa seram sejuk. Langsung tak boleh nak bangun dari katil. Suhu badan dan tekanan darah naik mendadak. Denyutan jantung bayi dalam kandungan pula semakin lemah. Lalu, diriku ditolak ke bilik bersalin. Tak lama kemudian mereka memutuskan untuk melakukan pembedahan bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan yang semakin lemah. Mereka menyuruhku untuk menelefon suami menyatakan yang diri akan dibedah. Di UK, suami dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin sama ada bersalin secara normal ataupun melalui pembedahan. Bagaimanapun Allah tidak mengizinkan suamiku untuk bersama-sama berada di dalam bilik pembedahan kerana anak-anak sudah tidur di rumah dan tidak sampai hati nak mengejutkan mereka. Ana terbesalin 3 minggu awal daripada jangkaan sepatutnya yang jatuh pada hari boxing day, 26 Disember 2010.


Lebih kurang jam 1 pagi, 8 Disember 2010, Ana masuk ke bilik pembedahan. Kali ini Ana masih mampu berjalan ke bilik pembedahan sebab masih tiada rasa "contraction" berbeza ketika melahirkan Insyirah dahulu. Walaupun tiada suami disisi, ramai Midwife dan doktor yang menemaniku dan memberikan sokongan. Seronok melihat semua tenaga kerja dalam bilik pembedahan terdiri daripada golongan Hawa. Midwife siap menawarkan diri untuk mengambil gambarku dan bayi. Anasthetic menyuntik ubat bius di tulang belakang bagi membius separuh badan, dari perut ke hujung kaki. Setelah semua persiapan pembedahan selesai dan badanku telah ditutup sepenuhnya (kecuali bahagian perut yang ingin dibedah), barulah dua orang doktor masuk ke bilik pembedahan, doktor lelaki dan perempuan. Kemudian doktor dan nurse dari Neonatal Intensive Care Unit (NICU) juga masuk untuk menyambut kelahiran bayi.


Doktor tak mempunyai masalah untuk mengeluarkan bayi dan uri. Ahmad Mujahid berjaya dikeluarkan tepat jam 1:25 pagi dan diikuti dengan uri tidak lama setelah pembedahan dijalankan. Namun doktor mempunyai masalah untuk memberhentikan pendarahan yang berlaku disebabkan oleh rahimku yang tidak mengecut setelah bayi dan uri dikeluarkan. Bermulalah detik-detik yang mencemaskan bila mana Ana sudah mula terasa sakit dengan apa yang doktor lakukan ke atas perutku. Badan siap terangkat-angkat menahan kesakitan. Dada pula terasa sempit dan sukar untuk bernafas. Akhirnya Ana diberikan bantuan pernafasan dan doktor meminta persetujuanku untuk memberikan bius sepenuhnya (general anasthetic) kepadaku. Mulanya Ana menolak dan cuba untuk bertahan kerana risau takut-takut tak bangun balik jika dibius penuh (gara-gara banyak nengok tv la ni;). Namun akhirnya diri ini pasrah dan redha akan segala-galanya. Siap mengucap bagai sebab memang terasa diri tak boleh nak bertahan dan ditambah dengan sesak dada tak boleh bernafas. Terbayang-bayang wajah suami, anak-anak dengan mak abah dan sekiranya Allah menjemputku kembali, apalah nasib ku di SANA. Sebelum ditidurkan doktor juga meminta izinku untuk membuang rahimku sekiranya mereka tidak dapat memberhentikan pendarahanku. Aku mengizinkannya jika itu yang terbaik buat diriku.


Lebih kurang jam 3.30 pagi, diri dah mula sedar tapi masih mamai-mamai (menurut suamiku siap cakap omputih dengan dia lagi, seyes memang tak ingat langsung masa ni :D). Kali ini Ana dah dipindahkan ke High Dependency Unit dan suami dah ada kat sebelah. Terima kasih banyak pada Lee dan Eija yang sanggup datang tidur di rumah menemani Insyirah dan Nuha. Sebanyak 4 beg darah dimasukkan ke dalam badan bagi menggantikan 2.5liter darah yang hilang semasa pembedahan. Sedar-sedar, soalan pertama yang terpacul keluar bertanyakan tentang rahimku sama ada masih ada atau tidak. Alhamdulillah, dengan izin Allah rahimku masih ada. Doktor berjaya memberhentikan pendarahan dengan cara mengikat/menjahit rahimku bagi mengecutkannya ke keadaan asal. Dalam ayat perubatan dipanggil "compression suture". Sepanjang di HDU, Ana terpaksa mengambil morphin dan ubat penahan sakit lain bagi mengurangkan sakit "contraction". Masa ni terasa macam belum bersalin pula, sebab baru rasa "contraction" dan perut pun masih buncit ditambah tiada bayi di sebelah katil seperti kebiasaan.


Sepanjang pagi tu doktor, consultant, midwife kerap datang memeriksa rahimku sama ada mengecut atau tidak. Rasa sakit sangat bila mereka menekan-nekan perutku untuk memastikan tiada lagi pendarahan di dalam rahim. Oh ye, selain dari catherer (beg air kencing) yang disambung, drain (beg darah) juga disambung bagi menempatkan lebihan darah yang keluar dari rahim. Asyik berharap cepatlah kedua-dua beg ini dibuka sebab tak sabar nak turun dari katil dan ziarah Ahmad Mujahid di NICU. Seharian duduk di HDU dengan dijaga oleh seorang midwife sepenuh masa mengikut shif kerja. Terima kasih pada semua midwife yang sangat baik dan sabar menjagaku.


Esoknya, Khamis 9 Disember 2010, alhamdulillah lepas pemeriksaan doktor pagi tu, mereka menyuruh membuka kedua-dua beg (catherer and drain). Seronok sangat, terus bangun daripada katil dan menuju ke bilik air untuk mandi. Kemudian bersiap-siap dan petang tu juga dibenarkan keluar dari HDU dan dipindahkan ke ward B26, green bay. Dalam perjalanan ke wad B26, singgah sebentar di NICU melawat Ahmad Mujahid di NICU. Malam tu midwife suruh duduk green bay, wad yang berhadapan dengan reception dan menempatkan 4 orang pesakit. Midwife kata esok boleh dapat bilik sendiri. Tak minta pun untuk diberikan bilik sendiri dan dah rasa bersyukur sangat dengan apa yang diberikan. Malam tu juga lebih kurang jam 9 malam, midwife memberikan pam susu elektrik, streliser dan botol susu untuk menggalakkan Ana memerah susu. Pertama kali perahan hanya berjaya mendapatkan 9ml susu. Namun susu semakin bertambah dengan banyaknya setiap kali perahan. Setiap 3 jam boleh dapat hingga 180ml dan kadang lebih dari itu. Alhamdulillah rezeki Ahmad.






Esok, Jumaat 10 Disember 2010, pagi-pagi (7.30pagi) lagi dah disuruh berkemas untuk tukar wad. Kali ini Ana dipindahkan ke bilik Side Room 12 di hujung koridor, bilik seorang yang dilengkapi dengan bilik air, tv dan sinki di tepi katil. Pagi ini juga, Ana diberikan stokin ketat untuk mengelakkan blood clot. Bilik ini agak besar dan masa malam pertama duduk bilik tu agak menyeramkan sebab besar sangat, hehehe. Lama-lama ok dah. Alhamdulillah kerana dipindahkan ke bilik ini kerana senang sikit Nuha dan Insyirah nak bermain-main, lepak-lepak. Petang tu Ummi terpaksa menjaga Nuha dibilik kerana En suami nak berjumpa dengan supervisornya sekejap untuk mengambil balik pembetulan conference paper. Tak sangka boleh terbesalin awal sebab masa ini En suami sangat sibuk dengan kerja-kerja PhD nya. Deadline paper yang perlu dihantar untuk conference tu pada 15 Disember 2010. Hari ini Ana berasa sihat daripada hari sebelumnya dan sangat bertenaga ulang-alik dari wad ke NICU untuk melawat Ahmad Mujahid.


11 Disember 2010,  Sabtu, Hari ini kesihatan agak kurang memuaskan berbanding hari sebelumnya. Suhu badan tetiba naik dan Ana tak boleh turun dari katil pagi tu sebab sangat takde kudrat. Alhamdulillah ada staff yang masuk ke bilik untuk menggantikan jug air masak dan Ana memintanya mencapaikan buzzer dikepala katil untuk Ana memanggil midwife. Midwife datang dan memberikan paracetamol dan periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah selepas makan paracetamol baru boleh gagahkan diri untuk bangun dari katil untuk ambil sarapan pagi. Hari ini Ana hanya berehat dalam bilik sahaja sebab terasa diri seakan nak bentan pula. Mungkin sebab hari sebelumnya Ana sangat aktif berjalan ke hulu ke hilir macam tak bersalin :D  


12 Disember 2010, Ahad - Kesihatanku semakin pulih walaupun kadang-kadang terasa pening-pening. En suami dan rakannya pergi ke lapangan terbang Stansted, London untuk mengambil Mak dan Abah yang baru sampai dari Malaysia. Alhamdulillah perjalanan mereka ke sini lancar. Mereka sampai ke Nottingham dalam jam 12 tengah malam. Rutin harian seperti biasa, midwife periksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung setiap 8 jam, perah susu setiap 3 jam (tapi bila malam kadang terlajak tidur lepas 6, 7 jam baru perah susu:D) perah lambat sikit dari 3 jam tu yang dapat berbotol-botol sekali perah, sampai 8 botol :D. Sepanjang waktu melawat akan ditemani dengan anak-anak dan suami sehingga habis waktu melawat jam 9 malam, cuma hari ini mereka balik awal 3.30 petang sebab En suami nak ke lapangan terbang. Anak-anak dihantar ke rumah rakan. Bab makan pula, sepanjang duduk dihospital, alhamdulillah ada rakan-rakan yang bergilir-gilir memasak untuk meringankan beban kami sekeluarga. Bantuan rakan-rakan SANGAT membantu memudahkan kerja-kerja suami semasa Ana di hospital. Semoga Allah memurahkan REZEKI rakan-rakan semua. Hanya doa daripada Ana sekeluarga yang mampu Ana berikan buat masa sekarang. 


13 Disember 2010, Isnin hari ke-6 berpantang, staples diperut Ana dibuka oleh ketua midwife. Sepatutnya staples ini dibuka pada hari ke-5 selepas bersalin tapi Ana terlambat sehari. Patutlah rasa tak selesa jer kat perut ni bila nak bergerak-gerak. Rasa pedih kat perut bila bergerak sebab stapler tu berlaga-laga dengan kulit perut. Nak batuk, ketawa dan berjalan pun seksa. Kena pegang perut tu betul-betul kalau nak batuk ke ketawa. Malah berjalan pun terpaksa pegang perut betul-betul. Bila stapler tu dah dibuka, rasa selesa sangat. Hilang dah rasa sakit nak batuk, ketawa atau berjalan. Alhamdulillah. Hari ini mendapat tetamu yang amat istimewa :D Mak dan Abah datang melawatku di hospital. Gembira tak terkira. Alhamdulillah, selepas kedatangan Mak Abah ni, mudah sikit urusan En Suami. Tak payahlah nak membawa Insyirah dan Nuha ke sana ke mari.


14 Disember 2010, Selasa, Ana dah di discharge dari pemerhatian doktor sebab kesihatan dah semakin pulih. Doktor tak perlu datang setiap pagi untuk memeriksa keadaanku. Sekali lagi ditukar bilik ke Room 4, bahagian kediaman ibubapa yang menunggu anak di NICU. Bilik ini kecil sedikit berbanding bilik sebelumnya yang sangat luas namun dilengkapi dengan almari baju, bilik air, tv dan sinki. Ubat tahan sakit pun diberikan sepapan-sepapan dan makan bila perlu. Tak perlu midwife datang setiap 4 jam untuk memberikan ubat tahan sakit sebab Ana tak berada di bilik sepenuh masa, masa banyak dihabiskan di NICU. Namun, midwife masih datang ke bilik setiap 8 jam bagi memeriksa suhu badan, tekanan darah dan denyutan jantung. Alhamdulillah sepanjang berada dihospital, mereka menjagaku sepenuhnya.


15 - 18 Disember 2010 - Masih duduk di wad B26, room 4 dan rutin seperti biasa. Lebih kurang jam 1 tengah hari, nurse memberitahu yang Ahmad Mujahid akan dipindahkan dari NICU ke wad C29. Ana terlompat dari katil bila mendengar khabar yang amat menggembirakan. Alhamdulillah jam 6 petang 18 Disember tu, Ana juga dipindahkan ke wad C29 untuk bersama-sama dengan Ahmad Mujahid.


21 Disember 2010 - Selepas 4 hari tinggal di wad C29 (bersamaan dengan 15 hari dihospital), akhirnya kami dibenarkan pulang pada petang itu. Alhamdulillah. Bawah ini laporan daripada pihak hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

No comments: