Wednesday, 22 February 2012

Kisah kucing

Pagi semalam 21 Feb 2012,  semasa hendak keluar pergi kerja ternampak seekor kucing liar yang sangat lemah keadaannya. Kucing tersebut cuba untuk bangun tetapi tiada kudrat, lalu terbaring di atas lantai. Melihat keadaannya yang sangat dalam kesakitan (macam selesema sukar hendak bernafas), kami memutuskan untuk membawanya ke klinik haiwan di sebelah Parit Buntar Inn.

Setelah Doktor mengambil suhu badannya dan memeriksa keadaan badannya, doktor memutuskan untuk memasukkan air ke badannya untuk memberinya tenaga kerana kucing itu dijangka sudah tidak makan selama 3 hari. Kasihannya! Namun keadaannya masih lemah. Kami tidak boleh meninggalkan kucing itu di klinik tersebut kerana mereka tiada staf yang boleh menjaga selepas jam 5 petang. Kami perlu menghantar kucing tersebut ke Klinik besar di Ipoh jika mahu mendapatkan rawatan rapi. Jauh sangatlah pula, lalu kami mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah. Doktor menyarankan supaya saya memberikannya minum air glukos untuk menambahkan tenaganya.

Sesampai sahaja di rumah, saya membancuh air glukos dan cuba memberikannya minum melalui picagari namun agak sukar kerana kucing itu sudah tidak berdaya membuka mulutnya. Melihat keadaannya yang agak busuk dan dikerumuni semut, kami memandikannya sebersih-bersihnya. Saya juga menumbukkan kunyit hidup dan melumurkan ke atas hidungnya dengan harapan masalah selsemanya selesai (bila anak selsema, calitkan kunyit hidup atas hidungnya). Selesai menguruskannya, kami membiarkannya berehat dan kami pergi bekerja semula dengan harapan dirinya beransur pulih.

Namun Allah lebih menyayanginya. Sesampai sahaja kami di rumah melihat dirinya sudah tidak bernyawa lagi. Nuha sibuk menyuruh kami membawa kucing tersebut ke hospital, namun setelah diterangkan bahawa kucing tersebut dah mati dan nanti Ayah akan tanam kucing itu. Tidak perlu membawanya ke hospital kerana Doktor pun tidak boleh buat apa-apa. Kasihan kucing itu, semasa hidupnya saya tidak sedar pun akan kehadirannya (suami pernahlah memberinya makan) tetapi bila dia jatuh sakit, barulah timbul perasaan simpati itu. Suami kata, itulah kita, kalau kucing comel kita suka melayan, tapi bila kucing comot, kita tidak pandang pun kepadanya. Patutnya yang comot itu kita ambillah dia dan bersihkan dirinya serta beri makan. Begitu juga kepada manusia, janganlah kita memandang rendah pada yang miskin dan daif itu, berilah sebanyak yang mungkin kepada mereka, bantulah mereka mengecap kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini.

No comments: