Saturday, 23 February 2008

4 bulan sudah berlalu, kini .....

Assalamualaikum semua, apa khabar? Lama juga Insyirah tak mencoretkan cerita kami sekeluarga di sini. Alhamdulillah, secara umumnya kami sekeluarga sihat selalu.


4 bulan sudah berlalu...

Sekarang ni kami sudah di suku kedua berada di Nottingham, iaitu lebih kurang 4 bulan kami melalui suka duka kehidupan Insyirah sekeluarga dan juga pembelajaran Ummi dan Ayah di Nottingham. Keputusan peperiksaan Ummi untuk semester pertama pun telah diperolehi, Alhamdulillah, cukup-cukup saja untuk lepas :D (tetapi boleh dikira OK juga laa jika diambil kira keadaan Ummi sekarang yang agak luar biasa berbanding semasa belajar di USM dulu). Ayah pula dah semakin sibuk dengan tugasan mingguan yang perlu disiapkan, dan rasanya selepas ini mungkin akan turut melakukan ujikaji untuk pengajian PhD nya.


Kini ...

Kini, Ummi dan Ayah merancang untuk menghantar Insyirah ke nursery dan nama Insyirah telah pun didaftarkan di "University of Nottingham Day Nursery" dan dijangka untuk memulakan "persekolahan" Insyirah ini pada 31 Mac 2008. Bila bercakap berkenaan nursery di UK ni, masalah utama bagi pelajar seperti Ummi dan Ayah ialah berkenaan yuran nursery yang terlalu mahal. Ummi dan Ayah perlu membayar lebih kurang £400 sebulan untuk menghantar Insyirah selama 4 hari seminggu ke Day Nursery UoN (kalau hantar ke private nursery yg lain, yuran mungkin mencecah sekitar £600). Ada juga sebahagian pelajar Malaysia, yang kedua-duanya belajar, menghantar anak mereka kepada warga Malaysia yang lain untuk dijaga. Bagi kes Insyirah, Ummi ambil keputusan untuk hantar Insyirah ke Nursery sebab Insyirah suka sangat menangis dan masih taknak menyusu dengan botol, takut akan membebankan rakan Malaysia sekiranya menghantar Insyirah kepada mereka.

Jadi, terpaksalaa ayah bekerja "part-time" untuk menampung sebahagian besar kos nursery Insyirah ni. Ayah dah mula bekerja dengan syarikat Ideal Cleaning Services Ltd yang menjalankan "health-care services" di Queens Medical Centre, Nottingham bermula sejak 30 Januari 2008 yang lalu, setiap Isnin hingga Jumaat dari 6.30pm hingga 9.00pm. Alhamdulillah, tempat kerja ayah ni pun dekat dengan University of Nottingham dan terdapat 5 lagi rakan Malaysia yang turut bekerja disitu (sebenarnya ada 6 orang, tapi sorang tu dia tak "join" dengan Malaysian yang lain buat masa ni). Ayah cakap dia ditugaskan untuk membersih bahagian B-floor, iaitu kawasan bilik-bilik doktor mata. Buat masa sekarang ini, kerja ayah berjalan lancar dan harap-harap ayah dapat terus diberikan kesihatan yang baik untuk belajar dan buat kerja part-time ni.

Hujung minggu ini, sekali lagi "Nottingham Malaysian Community" akan menganjurkan SUKAN MUSIM SEJUK 2008 (tahun ke-2 penganjuran) di mana masyarakat Malaysia di Notts ni, khususnya pelajar-pelajar dan kaum keluarga pelajar Sarjana, akan bersukan (sukan rakyat) di samping beramah mesra sesama mereka. Insyirah dan keluarga akan menyertai pasukan Iswara yang diketuai oleh Dr Basri (dah nak balik Malaysia tak lama lagi untuk kembali berkhidmat di UUM, Dr Basri juga merupakan anak jati Kepala Batas, satu kawasan dengan Ayah, P041 Kepala Batas). InsyaAllah, kalau berkelapangan, Insyirah akan melaporkan aktiviti kami pada hari tersebut.

Uikss, panjang pula coretan Insyirah buat kali ini. Mungkin sebab dah lama tak menukilkan perkembangan terkini "kisah Insyirah" di alam maya ini. Semoga apa yang dicoretkan ini dapat menjadi ingatan buat diri Insyirah dan keluarga di masa hadapan, dan juga dapat memberikan perkhabaran kami sekeluarga di Notts buat kaum keluarga dan rakan taulan di Malaysia.

SALAM PILIHANRAYA KE-12, 2008.

No comments: