Monday, 4 May 2009

Sejarah Nama 1

28 tahun yang lalu, Encik Mad dan Puan Leha telah dikhabarkan dengan kehadiran bakal ahli keluarga yang baru setelah lebih kurang 11 tahun puteri bongsu mereka dibesarkan. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah kampung yang hampir keseluruhan penduduknya bertani untuk menyara kehidupan.

Ketika proses mengandungkan anaknya yang ke-6 ini, Puan Leha seringkali teringatkan gurunya, iaitu Ustaz Abdullah, yang mengajar beliau di sekolah agama, juga merupakan seorang guru yang terkenal di kawasan berkenaan. Atas dasar terhutang budi dengan ilmu yang dicurahkan oleh gurunya itu dan rasa hormat yang tinggi terhadap gurunya, Puan Leha berhasrat untuk menamakan bakal cahaya matanya nanti dengan nama Abdullah. Mudah-mudahan anaknya nanti itu akan menjadi orang yang berguna kepada masyarakat seperti bekas gurunya itu.

Pada tahun itu juga, Encik Mad telah berjaya mencukupkan simpanan untuk menunaikan haji ke Mekah, hasil usaha memerah keringat di sawah padi sambil dibantu anaknya yang sulung iaitu Encik Mi. Alhamdulillah, usaha berbudi kepada tanah tidak pernah memutuskan rezeki untuk keluarganya. Yaa, walaupun hasilnya tidak begitu banyak pada permulaan, tetapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit kan?!! Encik Mad pernah menulis di buku catatannya yang berbunyi "biar tidak bergaya, asalkan tidak papa". Mungkin dengan semangat inilah beliau melalui dan membina kehidupannya yang serba sederhana dan mengumpul wang untuk menunaikan hajatnya ke Mekah ini.

Tetapi ada satu perkara yang merisaukan mereka berdua iaitu kandungan Puan Leha akan "cukup bulan" pada musim haji berkenaan. Menurut peraturan, bakal jemaah haji yang sarat mengandung tidak akan dibenarkan untuk meneruskan hajat mereka. Alhamdulillah, mungkin telah ditakdirkan Ilahi, Encik Mad dan Puan Leha telah melepasi saringan ujian kesihatan tersebut seterusnya berangkat ke tanah suci buat pertama kalinya bagi menyahut "panggilan Baitullah".

Ketika di Mekah, Puan Leha berada dalam keadaan sihat dan boleh melaksanakan amal ibadat dengan baik walaupun ketika itu beliau sarat mengandung. Setiap waktu solat, Puan Leha bersama suaminya akan ke Masjidil Haram dengan melalui pintu Baabul Malikul Aziz. Uniknya, masjid ini mempunyai banyak pintu dan setiap pintu diberi nama tertentu, contohnya pintu yang dilalui Encik Mad dan Puan Leha ini adalah bersempena dengan nama raja Saudi pada ketika itu. Dipendekkan cerita, mereka berdua telah selamat menjalani ibadah haji dan seterusnya pulang ke Malaysia.

Setelah pulang ke Malaysia, Puan Leha telah selamat melahirkan puteranya yang ke-4 di Hospital Butterworth. Dipercayai, Puan Leha telah mengandungkan anaknya lebih daripada 9 bulan. Sebagai tanda ingatan terhadap ibadah haji yang lepas, Encik Mad dan Puan Leha turut menyematkan nama pintu yang dilalui mereka berdua pada nama anakandanya itu. Lalu didaftarlah dengan nama, *bdull*h *ziz bin S**d (*=a).

No comments: