Di sini ingin kami kongsikan suatu kisah buat tatapan bagi pembakar semangat kita semua. Tulisan ini diambil dari blog Nobisha, blog pilihan Ayah Insyirah. Semoga bermanfaat.
SEBUAH MASA DEPAN DI BUMI MALAYSIA
Emak saya bekerja di sawah, mengambil upah menanam padi. Ayah saya bekerja sebagai penebang tebu di Felda Chuping, Perlis. Hidup kami cukup susah. Dalam kesusahan itulah mereka membesarkan saya dan adik. Pernah sewaktu saya di Darjah Enam, ayah dan emak tidak mampu menyediakan makan malam. Saya dan adik hanya mampu minum air panas sebelum tidur. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Rendah Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah.Sewaktu di Tingkatan Satu, ayah terpaksa menjual rumah kampung. Saya masih ingat lagi bagaimana penduduk kampung mengusung rumah itu ke lokasi baru. Dek kemiskinan, kami terpaksa menumpang rumah nenek di Padang Lumat, Guar Chempedak. Saya memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Guar Chempedak.
Untuk selama dua tahun di situ, saya berbasikal tidak kurang lima kilometer (mungkin lebih) ke sekolah. Emak masih bekerja mengambil upah di sawah dan saya setiap pagi sebelum ke sekolah saya akan memasak nasi dan lauk untuk emak dan ayah. Setelah selesai, barulah saya bersiap untuk ke sekolah.
Berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), saya mula menjejaki kaki ke Sekolah Menengah Teknik, Alor Setar. Walaupun hidup susah, saya tidak berpeluang tinggal di asrama. Mahu tak mahu, terpaksalah menyewa bilik di sebuah rumah di depan sekolah. Menguruskan hidup sendiri pada usia 16 tahun.
Tatkala itu, bukan sedikit airmata emak mengalir. Kos membeli peralatan dan buku sekolah cukup tinggi. Itu belum lagi dicampur dengan sewa rumah dan makanan harian. Entahlah, emak tidak pernah mengeluh nasibnya, tetapi saya tidak terperanjat sekiranya ada hari-hari tertentu emak terpaksa mengikat perut untuk menghantar saya ke sekolah.
Dari Sekolah Menengah Teknik, saya meneruskan pengajian ke Amerika Syarikat. Masih ingat lagi bagaimana ayah, emak dan saya menaiki bas dari Kodiang untuk ke Kuala Lumpur. Itulah kali kedua saya datang ke ibukota (kali pertama sewaktu mengambil ujian kelayakan). Di Perhentian Bas Puduraya, sepupu saya datang menjemput untuk dibawa bermalam di rumah bujangnya.
Mereka bertigalah yang menghantar saya ke Lapangan Terbang Subang. Saya bertolak ke luar negeri dengan hanya sebuah beg kecil dan beberapa ratus Dollars. Itu saja bekalan saya. Saya berterima kasih kepada emak dan ayah. Saya juga berterima kasih kepada sepupu saya yang sewaktu menghantar saya ke lapangan terbang dulu hanyalah seorang pensyarah biasa di Universiti Pertanian Malaysia. Beliau yang juga berasal dari keluarga yang cukup miskin, hari ini menjadi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Perguruan Sultan Idris.
Semua itu kini menjadi kenangan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah s.w.t. memberikan sedikit kesenangan duniawi kepada saya sekeluarga. Semoga Allah s.w.t. memberikan juga kelapangan di Alam Barzakh dan di Hari Akhirat nanti.
Saya imbaskan kembali semua ini kerana saya tidak punya negara lain selain Malaysia. Inilah bumi tempat tanah tumpah darah saya. Biarpun hidup susah-payah, di bumi inilah saya membina sebuah kehidupan dan masa depan.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 52!
1 comment:
hmm..sedihh..sayang sgt msia tp skrg mcm dh xramai org baik..hari2 ada jek kes2 jahat...:(
Post a Comment