Pejam celik, pejam celik sudah 30 hari kami berada di bumi Malaya ini. Realiti kehidupan yang sebenar buat kami sekeluarga (di UK kehidupan ala-ala fantasi/ fairy tale :D). Alhamdulillah Allah memberi peluang untuk merasai menjadi suri di rumah selama 3 tahun. Seronok melihat anak-anak membesar di depan mata, bermain bersama mereka, menyusukan mereka selama mungkin. Kini, diriku bukan lagi surirumah sepenuh masa. Anak-anak semuanya di hantar ke taska dan tadika. Masa yang ada sekarang sangat mencemburui diri ini untuk menulis di blog kecil ini. Namun sebelum November melabuhkan tirainya, kugagahkan jua untuk menulis walau sebuah entri buat tatapan di masa hadapan, hehehe.
1 November 2011 (Selasa) - Kami tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada jam 10.10 malam (bertolak dari London Heathrow --> KLIA --> Pulau Pinang. Kami disambut oleh semua adik-beradik sebelah Ayah dan anak-anak menakan di lapangan terbang. Alhamdulillah, Allah izinkan kami untuk bersua kembali setelah 4 tahun sebulan tidak berjumpa. Buat masa ini, kami sekeluarga tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah Mak Ayah di Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang.
2 November 2011 (Rabu) - Seawal 8 pagi waktu Malaysia (UK jam 1 pagi) anak-anak telah dikejut bangun dari tidur untuk mengikut Ayah & Umminya melapor diri di USM Kampus Kejuruteraan dan melihat rumah yang bakal disewa. Ummi dan Ayah melapor diri di bahagian pendaftar di PPK Mekanik dan memohon cuti seminggu untuk pulang ke Johor. Pengalaman pertama Insyirah dan Nuha menaiki kereta tanpa "carseat" dan duduk sendirian di belakang memeningkan kepala Ummi dan Ayah. Kedua-duanya menangis sebab takut jatuh. Macam-macam perkataan keluar dari mulut mereka, "this car wobbly-wobbly", "Ayah's drive too fast", I'm scared etc. Nuha menangis-nangis sambil memegang "seat" kerusi dengan kedua-dua belah tangannya. Riak wajah mereka berdua masing-masing memang dalam ketakutan yang amat sangat. Ahmad seorang yang lena di dalam "carseat" nya. Akhirnya Nuha terpaksa di bawa ke bahagian hadapan dan duduk bersama Ummi barulah tangisannya berhenti, huhuhu.
3 November 2011 (Khamis) - Ummi membuat kad perubatan dan kad staf di jabatan pendaftar, memohon komputer baru dan mendapatkan kembali password email USM di Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi. Pagi itu, kami menerima mesej dari adik Ummi menyatakan Atuk dalam keadaan tenat. Kami merancang-rancang sama ada mahu pulang ke Johor atau tidak kerana rancangan awal hendak pulang ke Johor pada hari Selasa, selepas hari raya haji. Apabila Abah Ummi menelefon mengatakan arwah Wak telah meninggal dunia (lebih kurang jam 12.40 tengah malam), Ayah terus bergegas ke rumah Mak Ndak untuk melihat tiket kapal terbang online. Ayah terus membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke Johor untuk melihat Arwah buat kali terakhir.
4 November 2011 (Jumaat) - Kami bertolak dari Lahar Kepar jam 5 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang di Bayan Lepas pada jam 6 pagi. Kapal terbang bertolak pada jam 6.55 pagi dan tiba di Lapangan terbang Senai, Johor pada jam 8 pagi. Kakak sulung dan Abang Ipar Ummi telah menunggu di Lapangan Terbang Senai untuk membawa kami pulang ke Pontian untuk melihat jenazah buat kali terakhir. Alhamdulillah kami tiba pada jam 9.30 pagi dan Allah mengizinkan untuk Ummi mengucup dahi arwah buat kali terakhir sebelum di bawa ke tanah perkuburan. Semoga Allah merahmati Arwah dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang Soleh. Selepas Isyak, setelah kenduri tahlil selesai, barulah kami pulang ke rumah Mak Abah Ummi di Pengeli Timur, Kulai.
5 November 2011 (Sabtu) - Menolong Atuk Nenek memasak untuk juadah hari raya haji. Mak Long/Pak Long bergerak pulang ke Kedah pagi itu dan singgah di tol Bertam untuk mengambilkan passport kami anak beranak daripada Abang Zul (abang ipar kami). Kami terlupa hendak membawa sebarang pengenalan diri anak-anak dan mereka perlukan semasa kami hendak "check-in" masuk kapal terbang. Setelah buat rayuan, nasib baik mereka benarkan kami menaiki kapal terbang dengan syarat semasa penerbangan balik WAJIB tunjukkan pengenalan diri anak-anak.
6 November 2011 (Ahad) - Meraikan Hari raya AidilAdha di rumah Atuk Nenek di Johor setelah 4 kali raya haji diraikan di UK. Kita hanya mampu merancang, namun Allah lah yang sebaik-baik perancang. Sesungguhnya rancangan Allah adalah yang terbaik. Selesai sembahyang raya, kami bertolak pulang ke kampung di Pontian dan menghadiri kenduri tahlil sekali lagi. Anak-anak masih belum dapat menyesuaikan diri mereka di mana Nuha asyik hendak berkepit dengan Ayah dan Insyirah pula asyik hendak berkepit dengan Ummi. Insyirah asyik menarik baju Ummi sahaja dan menyukarkan Ummi untuk menolong orang di dapur. Dalam Ummi dok geram-geram dengan perangai Insyirah, tiba-tiba Acu (adik bongsu Ummi) berkata "Haip", bergurau memarahi Insyirah. Tiba-tiba Insyirah menangis tersedu sedan dan macam-maca perkataan yang keluar dari mulutnya yang tidak di sangka-sangka. "Insyirah nak balik Insyirah's house". "Insyirah tak suka Malaysia". "Insyirah don't like nenek house". "Insyirah nak balik Insyirah's house". "Insyirah tak nak Malaysia". "Insyirah nak toys Insyirah". "Insyirah nak barbie Insyirah" etc. Sampaikan Ummi dan Acu nya pun turut sama meleleh air mata melihat Insyirah menangis, hahaha. Selesai kenduri tahlil, kami pergi beraya ke rumah sanak saudara. Dapatlah merasa burasak, paklo, asam pedas ikan parang dll :D
7 November 2011 (Isnin) - Pergi jalan-jalan sekejap di Kluang Mall sebelum pulangkan kereta pada Mak Ngah Ani. Selepas tu singgah sebentar rumah Mak Tam/Pak Tam (adik lelaki Ummi) di Parit Raja Batu Pahat dan kemudian ke rumah Mak Ngah/Pak Ngah (Kakak Ummi) di Kulai untuk pulangkan keretanya. Kami pulang ke Pengeli bersama Atuk yang telah sedia menunggu kami di rumah Mak Ngah Ani :D
8 November 2011 (Selasa) - Mak Long/Paklong sempat singgah di tol air keruh dalam perjalanannya pulang ke Air Hitam dari Kedah untuk mengambilkan beras 2 kampit yang kami tumpangkan di kontena rakan kami yang telah tiba di Seremban pagi itu. Kami menukar tiket kapal terbang untuk pulang ke Penang daripada hari Khamis kepada hari Ahad kerana Atuk dan Nenek hendak buat kenduri pada hari Sabtu, 12 November 2011.
9 - 11 November 2011 (Rabu - Jumaat) - Duduk di rumah Atuk Nenek sahaja sambil menolong mereka mengemas rumah.
12 November 2011 (Sabtu) - Kenduri Aqiqah Ahmad Mujahid, Farihin, Izuan dan Aini (seekor lembu), majlis khatam Al-quran kakak Iqah dan bacaan yassin perempuan (petang) dan yassin dan tahlil lelaki (malam).
13 Novermber 2011 (Ahad) - Seawal 6.30 pagi kami telah bergerak ke Lapangan Terbang Senai untuk pulang ke Penang. Penerbangan bertolak pulang pada jam 8.00 pagi dan tiba pada jam 9.30 pagi. Mak Ndak/Pak Ndak mengambil kami di lapangan terbang. Dalam perjalanan pulang sempat singgah di Jusco Bukit Mertajam. Anak-anak seronok sangat bermain di situ dan sempat masuk ke Petrosains. Insyirah dan sepupunya sempat masuk pertandingan mewarna yang dianjurkan oleh pihak Petrosains.
14 November 2011 (Isnin) - Hari ini sepatutnya hari pertama anak-anak ke taska dan tadika. Tetapi disebabkan Umminya kurang sihat, anak-anak hanya duduk di rumah di Lahar Kepar bersama Ummi. Ayah seorang yang pergi ke tempat kerja dan mengambil kunci rumah sewa. Nasib baik hari ini Umminya memang cuti. Ingat selepas hantar anak-anak ke nursery hendak membasuh rumah bersama-sama, namun hajat tidak kesampaian.
15 November 2011 (Selasa) - Hari pertama Insyirah ke Tadika Cinta Bistari dan Nuha & Ahmad ke Taska Cinta Bistari.Masing-masing semangat nak pergi ke sekolah masing-masing. Kami bertolak dari Lahar Kepar dan lagi 5 minit hendak sampai ke Taska dan tadika masing-masing bergaduh suruh hantar mereka dulu. "Ayah hantar kakak first" (Insyirah said). "Ayah hantar Nuha first, not kakak first" (Nuha said). Begitulah dok ulang-ulang sampai menangis-nangis. Walaupun tadika dan taska ini di bawah naungan yang sama, namun bangunannya berbeza-beza. Tadika hanya menerima kanak-kanak dari 4-6 tahun sahaja di mana taska pula hanya menerima kanak-kanak dari umur 1-3 tahun. Insyirah dan Ahmad tiada masalah untuk tinggal di Tadika dan Taska, cuma Nuha sahaja yang menangis bila hendak meninggalkannya dan mengambilnya dari Taska. Cikgunya memberitahu Nuha menangis sekejap-sekejap dan kadang-kadang bila dia teringat Ummi dan Ayahnya suaranya tidak keluar, hanya air mata sahaja meleleh mengingatkan Ummi dan Ayahnya. Bila mengambil mereka pulang, Insyirah dan Ahmad seronok, hanya Nuha yang menangis apabila nampak kelibat Ummi dan terus berlari memeluk Umminya. Nuha sangat menjaga adiknya dan tidak bagi peluang langsung untuk kanak-kanak lain menyentuh Ahmad atau pun memegang mainan Ahmad. Kemana sahaja cikgu membawa Ahmad, pasti Nuha hendak ikut. Memang Nuha menjaga amanat Ummi dan Ayah yang suruh dia menjaga adiknya :) Hari pertama berakhir dan bila ditanya apa yang dipelajari di sekolah, Insyirah menjawab yang dia belajar sembahyang (siap tunjukkan perbuatan solat), nyanyi ABC, belajar A for epal dan nengok TV. Nuha pula bila ditanya, dia menjawab yang dia belajar Alif, ba, taa. Sepanjang perjalanan pulang kami dari Nibong tebal ke Lahar Kepar, Nuha menyanyi alif ba taa sampai yaa. Ingatkan hanya menangis sepanjang hari sahaja, rupanya dia perhati juga apa yang orang lain buat. Itulah Nuha :)
16 Novermber 2011 (Rabu) - Selamat hari lahir Ayah! Ummi, Insyirah, Nuha & Ahmad sayang Ayah. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik pada Ayah dan memberkati usia Ayah. Kasihan Ayah, di hari lahirnya perlu membasuh rumah sewa kami sendirian sebab Ummi terpaksa menjaga anak-anak yang tidak sihat. Hari ini Ummi terpaksa MC sebab anak-anak masing-masing tidak sihat. Ahmad demam panas dan Nuha & Insyirah terkena campak. Kami ke Klinik panel Dr Jammy untuk mengambil ubat demam dan Dr Jammy menyarankan untuk mengambil anti viral untuk mempercepatkan pengeluaran campak tersebut. Namun di kliniknya tiada anti viral tersebut. Kami mengambil anti viral untuk mencepatkan pengeluaran campak Nuha dan Insyirah di klinik Ho Paedtrician. Boleh tahan juga harga anti viral ini tetapi memandangkan cuti Ummi yang tidak banyak kami pejamkan mata sahaja mengambilnya. Kalau tidak siapalah yang nak jaga mereka kerana Taska dan tadika tidak membenarkan menghantar mereka ke sana. Baru sehari ke taska dan tadika sudah cuti hingga hari Jumaat. Malamnya, kami menumpang bermalam di rumah rakan kami selang sebuah rumah dari rumah sewa kami.
17 November 2011 (Khamis) - Pagi-pagi lagi kereta comel kami meragam, alarm bunyi tidak berhenti. Ayah menelefon perodua Nibong Tebal dan mengikut arahan yang disarankan namun masih tidak berjaya memberhentikan alarmnya. Akhirnya pekerja perodua terpaksa datang ke rumah kami di Taman Ilmu. Kemudian kami pula ke perodua untuk servis kereta kami. Hari ini Ummi terpaksa EL kerana Ahmad masih demam panas. Hari ini hari pertama kami menginap di rumah sewa kami walaupun rumah tersebut serba kekurangan dan kosong sekosongnya. Kami hanya menggantungkan kain selimut menggantikan kain langsir yang masih belum dipasang di bilik tidur utama :) Kami tidak larat hendak berulang alik dari Lahar Kepar, Kepala batas ke USM Nibong Tebal setiap hari. Kalau berdua mungkin boleh tahan lagi, tetapi dengan 3 orang anak rasa macam nak pengsan apabila setiap pagi bersilat dan siapkan mereka :D
18 November 2011 (Jumaat) - Membawa anak-anak ke tempat kerja kerana mereka masih tidak sihat. Ayah terpaksa menjaga ketiga-tiga mereka kerana Ummi ada mesyuarat bersama guru-guru lain berkenaan opsyen tukar lantik guru. Petangnya kami ke Tadika untuk membayar deposit Tadika Insyirah untuk kemasukan tahun hadapan bagi mendapatkan potongan 20%.
19 November 2011 (Sabtu) - Sambung membasuh rumah yang masih belum selesai.
20 November 2011 (Ahad) - Pergi ke kenduri Aqiqah kawan di Taman Abdullah Fahim dan pulang ke Lahar Kepar
21 November 2011 (Isnin) - Hari kedua anak-anak ke Taska dan Tadika. Kami terpaksa juga menghantar mereka ke Taska dan Tadika kerana Ayah dan Umminya ada mesyuarat dengan Dekan Pusat Pengajian. Pada malam hari, tiba-tiba terdengar Insyirah mengajar Ahmad membaca doa penerang hati. Alhamdulillah, baru 2 hari pergi ke tadika, Insyirah sudah boleh membaca doa penerang hati, Allahummaftaha'laina....Nuha seperti biasa menangis kerana sudah 2 tahun lebih Nuha duduk berkepit dengan Umminya dan tiba-tiba kena duduk di Taska. Ahmad ok sahaja kerana dia tidak takut dengan orang. Cuma kasihan Ahmad terpaksa minum susu formula sepanjang di nursery kerana pam susu, botol semuanya masih di dalam kontena. Alhamdulillah Ahmad boleh minum susu formula dari botol.
23 -24 November 2011 (Rabu- Khamis) - Bekerja seperti biasa.
25 November 2011 (Jumaat) - Ummi menandatangani borang opsyen tukar lantik guru (DG41) kepada pegawai penyelidik (Q41) setelah bermesyuarat dengan dekan pada jam 9 pagi tentang bidang kerja Ummi. Setakat ini, Ummi tidak perlu megajar, dan tidak perlu melanjutkan PhD. Bidang kerja sekarang menguruskan dokumentasi OBE dan penyelidikan dalam "engineering education". Semoga Allah memberkati pekerjaanku ini dan memudahkan segalanya. Malamnya menghadiri majlis ramah mesra di rumah sahabat yang merupakan pensyarah di PPK Mekanik juga.
26 November 2011 (Sabtu) - Menghadiri majlis kenduri kahwin di Dewan Lahar Kepar dan kenduri tahlil di rumah saudara.
27 November 2011 (Ahad) - Selamat tahun baru Islam. Salam maal hijrah dari kami sekeluarga. Hari ini kami pergi ziarah ke rumah saudara mara di Lahar Kepar.
28 November 2011 (Isnin) -Dalam perjalanan pulang ke Nibong Tebal, kami singgah sekali lagi di Jusco Bukit Mertajam. Hari ini merupakan hari cuti umum. Hari ini juga Nuha demam panas.
29 November 2011 (Selasa) - Nuha masih belum sihat sepenuhnya dan hari ini Nuha tidak ke Taska tetapi mengikut Ummi ke pajabat. Hari ini Ummi bekerja seperti biasa.
30 November 2011 (Rabu) - Hari ini genap 30 hari kami di Malaysia dan kami semakin menyesuaikan diri di sini. Anak-anak sering demam dan kulit mereka sangat sensitif menjadi cabaran kami sekeluarga. Pelbagai corak kulit-kulit mereka akibat daripada parut-parut kesan gigitan nyamuk, semut mahu pun campak :D Semoga mereka semakin kuat dan semakin serasi hidup di sini. Semoga Allah memudahkan urusan kami di sini. Alhamdulillah kami tidak lagi perlu berjaket bagai menahan kesejukan di bumi asing dan runsing dengan bil gas/elektrik yang melambung tinggi. Cumanya kini kami perlu menahan panahan terik mentari yang mengeluarkan peluh yang telah lama tidak keluar mencurah-curah selama 4 tahun lebih di sana. Harapannya semoga badan ini cepat menyesuaikan diri di sini. Setakat ini jarang memasak di rumah kerana keterbatasan masa dan barang yang kebanyakannya masih berada di dalam kontena :D Hanya beli lauk siap di cafe dan memasak nasi di rumah atau pun makan di kedai sahaja. Duit terasa macam air pengeluarannya, laju sahaja, hehehe :D
6 comments:
alhamdulillah....selamat sudah menjejak kaki ke bumi malaysia.. welcome back friend..
thanks Aidah:)
wah, mcm2 cerita.. suka duka semua ada.. apa pun, rs nk blk malaysia sungguh lps baca cerita Ana ni. anyway, semoga segala urusan sentiasa Allah mudahkan.. ameen.
riena yg baca entry ni pun rasa termengah2, apatah lg kalian yg melaluinya. semoga Allah beri kekuatan utk kalian. amin.
hidayah-thanks hidayah. Semoga Allah mudahkan urusan hidayah sekeluarga di sana. Snow dah turun ek? Boleh gi main sledging;)
Riena- mana tak termengah-mengah riena, entry terlalu panjang, sempot nak membacanya :D esok kontena kami sampai, bertambah mengahlah jawabnya. apa pun thanks for your doa. Semoga Allah juga memberi kekuatan untuk Riena dan abg Aleh di atas rompakan yang berlaku. Pasti ada hikmah disebaliknya. be strong dear!
adeh! penat baca! hahaha.. apa2pun tumpang seronok dan sedih bila membaca kisah Ana hehehe.. dgn ucapa slmt menempuh perjalanan panjang di Malaysia! hehe..
Post a Comment