Wednesday, 19 February 2014

Insyirah darjah satu


31 Disember 2013, Insyirah mendaftarkan diri di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan mengikuti Hari Orientasi murid tahun 1. Selesai pendaftaran dan ucapan dari Guru Besar, Ayah pergi mengambil pinjaman buku teks (18 buah kesemuanya, buku teks & buku latihan). Ummi pula membeli buku tulis dan lencana sekolah di koperasi sekolah. Aktiviti akhir orientasi ialah membawa Insyirah untuk mendapatkan suntikan imunisasi (booster) yang dijadualkan khas untuk murid baru tahun 1 di sekolah. Insyirah nangis beria taknak dicucuk :(

Hari pertama Insyirah berpakaian seragam sekolah

di hadapan sekolah
  
Hari pertama, murid-murid ditempatkan di dalam kelas secara rawak, 1 Brilliant, 1 Excellent, 1 Intelligence dan 1 Diligent dan Insyirah ditempatkan di 1 Excellent pada mulanya. Insyirah agak sedih kerana rakan-rakannya semasa di tadika cinta bestari, kebanyakkannya di 1 Brilliant. Kemudian murid-murid dikelaskan kembali berdasarkan pencapaian peperiksaan yang dijalankan pada minggu pertama dan Insyirah ditukarkan ke kelas Brilliant bersama rakan-rakan tadikanya. Kami memberitahunya, tidak kisah berada di kelas mana-mana pun, yang penting kakak perlu berkawan dengan semua orang dan saling tolong menolong. Kakak kena rajin belajar dan tolong rakan-rakan lain kalau diperlukan. Semua orang akan mula dengan tidak tahu, tetapi jika rajin usaha dan prektis berulang kali, insyaAllah akan berjaya. Insyirah gembira dapat ajar rakan-rakannya lukis gambar rama-rama di sekolah :)
  
Hari pertama (orientasi) di dalam kelas 1 Excellent

Waktu persekolahan dari jam 7.45 pagi hingga 1.05 petang. Namun Guru Besar meminta semua ibubapa menghantar anak ke sekolah sebelum 7.30 pagi kerana setiap hari mereka perlu berhimpun dahulu di ruang perhimpunan. Pengajaran dimulakan pada jam 7.45 pagi setiap hari kecuali pada hari Isnin agak lewat kerana ada perhimpunan besar. Waktu rehat pula dari jam 9.45 pagi hingga 10.05 pagi. Setiap hari, Ayah memberikan RM2 untuk belanja Insyirah di sekolah. Namun kebiasaannya duit itu disimpan kerana Insyirah membawa bekal setiap hari ke sekolah. Duit pertama yang dibelanjakannya ialah sebanyak 20 sen dengan membeli buku nota kecil dan kali kedua membeli buku nota "bear" berharga RM1.50 di koperasi sekolah. Sepanjang hampir 2 bulan bersekolah, pernah dua kali Insyirah membeli laksa berharga RM1 di kantin sekolah. Walaupun bawa bekal, tetap beli laksa sebab itu memang makanan kegemarannya. Air pula, setiap hari Insyirah bawa air masak sebotol ke sekolah  :)

tunggu giliran dicucuk 

Waktu rehat di kantin sekolah


Coretan kenangan bersekolah di darjah 1 SKSI untuk tatapan Insyirah di masa hadapan. Insyirah sangat teruja dan seronok ke sekolah. Setiap pesanan guru akan diingatinya dan akan menyampaikannya kepada kami di rumah berulang-ulang kali sehinggalah kami menyelesaikannya :) Sekejap sahaja rasanya Insyirah dah nak masuk 7 tahun. Bermulalah fasa kedua kehidupan Insyirah, 7 tahun berikutnya. Semoga berjaya di dunia dan di akhirat.



No comments: