Thursday 31 October 2013

Insurans PTPTN

Semalam terbaca post rakan di FB berkenaan dengan insuran yang dikenakan kepada peminjam PTPTN. Bila semak penyata kira-kira PTPTN online, selain dari kos pentadbiran yang dinyatakan, insuran juga diletakkan di dalam penyata tersebut. Dulu detail insuran ni tiada, sekarang ni baru ada (tak pasti bila mula dimasukkan tetapi masa semak penyata pada 18 September lalu detail insuran ini masih tiada).

Semasa saya minta pengesahan baki akhir pada Julai 2013 lalu, penyata saya ada dikenakan kos insuran sebanyak RM80.50 manakala pengesahan baki akhir suami tiada dikenakan insuran tersebut. Bila saya tanya sebab perbezaan ini pihak PTPTN menjawab ianya bergantung kepada universiti dan tahun pengajian peminjam. Masalahnya saya dan suami belajar di universiti yang sama dan tahun pengajian juga sama. Macam mana pula saya dikenakan insuran tetapi suami tidak? Pihak PTPTN tersebut tidak pasti akan masalah kami dan oleh kerana tiada jawapan lanjut beliau meminta saya bertanya kepada pihak HQ berkenaan isu perbezaan insuran ini. (mungkin jika saya tiada rujukan lain(bayar sorang2), saya akan menerima terus bulat-bulat alasan tersebut - bergantung kepada universiti dan tahun pengajian).

Dalam beberapa hari kemudian, saya dihubungi oleh pegawai PTPTN menerangkan isu perbezaan ini. Jawapannya seperti berikut. Kos insuran suami telah ditolak semasa pinjaman diberikan ketika belajar manakala saya masih belum ditolak. Oleh sebab malas nak fikir lanjut dan pening-pening saya menerima sahaja alasan tersebut.

Pada bulan September lepas saya cuba semak kembali penyata kira-kira ptptn. Tujuannya nak lihat sama ada bayaran keseluruhan yang dibuat beserta potongan 20% telah diselaraskan ke belum (pendek kata nak lihat baki keseluruhan pinjaman = 0.00). Tetapi pelarasan belum dibuat ketika itu dan kos pentadbiran masih dikenakan walaupun telah 2 bulan bayaran telah diselesaikan. Selepas itu saya tiba-tiba teringin nak semak kembali penyata kira-kira ptptn saya dan suami dari tahun 2000 bermula dari pinjaman diberikan sehingga pinjaman diselesaikan pada 18 Julai 2013.  Saya cuba nak semak bila kos insuran suami ditolak. Tetapi ketika itu detail insuran tiada dinyatakan di dalam penyata, hanya ada kos pentadbiran sahaja. Bila dibandingkan kedua-dua penyata, tiada perbezaan pun bayaran yang diberikan kepada kami berdua. Saya tidak dapat kesan bila waktu kos insuran tersebut dipotong. Saya cuba menghubungi pihak PTPTN sekali lagi berkenaan insuran ini tetapi tidak dapat sebarang balasan sehingga hari ini.

Sehinggalah saya semak penyata kira-kira PTPTN hari ini dan mendapati detail insuran telah dimasukkan ke dalam penyata tersebut. Memang betul suami telah membayar kos insuran sebanyak RM140 pada tahun 2001 dan RM140 pada tahun 2003 (jumlah RM280 yang telah dibayar). Manakala saya pula hanya membayar RM140 pada tahun 2001. Memang tak ingat langsung ada bayar RM140 insuran ni dulu dan tak sedar pun kena bayar insuran :) Bermula dari Mei 2007, insuran mula dibayar kepada "syarikat" (dalam penyata tulis "sykt" dan saya anggap ianya bermaksud "syarikat") dengan ditolak dari jumlah yang kita telah bayar. Contoh saya ditolak sikit-sikit dari jumlah RM140 dan suami ditolak dari RM280. Daripada RM140 itu, insuran mampu dibayar kepada syarikat hanya sehingga April 2009 sahaja. Kos insuran selepas semakin naik dan jumlah yang perlu saya tambah adalah RM80.50 sehingga 2 Julai 2013. Tetapi penyata suami pula masih berbaki insurannya kerana kos insuran beliau ditolak dari RM280. Malahan jika disemak pada penyata, pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada beliau sebanyak RM61.88 (data sehingga 2 Julai 2013).

Penyata kira-kira PTPTN suami masih belum diselaraskan kerana masih berbaki RM2462.74. Nanti kita tengok selepas dah selaraskan tu sama ada mereka bayar balik atau tidak baki kos insuran RM61.88 tu. Penyata saya telah diselaraskan baki keseluruhan pinjaman pada Oktober 2013 = 0.00. Alhamdulillah. Kiranya bila dikira-kira jumlah pembayaran keseluruhan yang telah dibuat kepada PTPTN ialah sebanyak RM29,444.84 tidak termasuk diskaun 20% (sebanyak RM2693.59). Kos pentadbiran yang dikenakan bermula daripada Disember 2004 sehingga Julai 2013 adalah sebanyak RM4057.93 dan jumlah kos insuran yang dikenakan sebanyak RM220.50 (RM140 + RM80.50). Jumlah pinjaman PTPTN yang diperolehi selama 4 tahun (2000-2003) adalah sebanyak RM28000. Semuanya ini saya kira manual berdasarkan penyata kira-kira yang diberikan. Sebelum tu dah telefon PTPTN untuk bertanyakan jumlah keseluruhan yang telah saya bayar kepada PTPTN dan beliau memberikan jumlah RM29,344.84 kurang RM100 daripada yang saya kira. Beliau minta saya kira kembali berdasarkan paparan terperinci di dalam penyata kira-kira kerana beliau juga kira secara manual satu-satu tekan kalkulator kerana tiada data bayaran keseluruhan dalam sistem. Saya copy & paste penyata kira-kira ke dalam excel dan buat kira-kira menggunakan excel.

Semoga sistem pinjaman PTPTN ini dapat ditambah baik lagi di masa hadapan, dan lebih telus dalam setiap bayaran tambahan yang dikenakan. Apa pun kami  mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PTPTN kerana memberi pinjaman kepada kami untuk belajar.

Semoga bermanfaat.

Nota: Itulah dulu taknak baca betul-betul perjanjian pinjaman yang ditandatangan. Bila kena bayar tambahan, kalut :D Yang tahu dulu setiap semester duit masuk jer, huhuhu. Rasanya insurans ni cover si peminjam jika berlaku hilang upaya kekal/kematian, waris peminjam tidak perlu membayar baki pinjaman kepada PTPTN, sama konsep dengan insuran untuk mana-mana pinjaman (tak sempat nak google lanjut berkenaan hal insuran PTPTN ini, siapa ada info lanjut bolehlah kongsi untuk manfaat bersama).

________________________________________________________________________
Entry tambahan: Bulan Januari lepas semak akaun PTPTN suami, baki dah diselaraskan, betul seperti jangkaan yang mana pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada suami. Bukan RM61.88 seperti yang dikira, tetapi RM68 ++ :)

5 comments:

Pasrah said...

betul, baru perasan ada insurans kat bahagian penyata bila nak wat pembayaran balik thru e-fes td. da call hotline ptptn tp pegawai yg jawab pon mcm xphm soalan dan xtau nk terangkan dengan details.huhu..

Nihlah Insyirah said...

Itulah, saya pernah tanya berkenaan insuran ini dengan menelefon staff ptptn di kaunter ptptn berhampiran seperti kiraan insuran dibuat, bayar pada syarikat mana etc.. Beliau pun tidak boleh jawab dan menyuruh saya call bahagian yang menguruskan insurans di HQ. Bila minta no telefon utk bahagian insuran tersebut pula, dia pun tak tahu. Dia boleh bagi no hotline sahaja seperti yang tertera pada website :D

Elly said...

Selamat sejahtera. Saya terbaca blog ini apabila mencari maklumat mengenai insuran PTPTN. Saya mempunyai soal tanya yang sama. :) Selepas itu, saya dapat maklumat ini dari website PTPTN seperti berikut: Skim Pinjaman/ Pembiayaan Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan untuk melindungi pinjaman/ pembiayaan yang telah dikeluarkan oleh PTPTN sekiranya berlaku kematian kepada peminjam/ penerima biaya atau peminjam/ penerima biaya mengalami keilatan kekal menyeluruh.

Di bawah konsep perlindungan takaful berkelompok ini, amaun pinjaman/ pembiayaan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada semua peminjam/ penerima biaya akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful.

Setiap peminjam/ penerima biaya dikehendaki menanggung segala kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pinjaman/ pembiayaan. Bagi peminjam/ penerima biaya yang masih belajar, kaedah potongan sumbangan takaful dibuat pada setiap kali pengeluaran pinjaman/ pembiayaan. Manakala bagi peminjam/ penerima biaya yang telah menamatkan pengajian dan potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi atau berbaki negatif, amaun tersebut akan didebitkan sebagai pembiayaan tambahan.


Kemaskini:10/10/2013


http://www.ptptn.gov.my/web/guest/skim-perlindungan-insurans/-takaful

Cuma nak share kat sini:) Thank you.

Daripada
Elly

Nihlah Insyirah said...

Thanks Elly for the info :)
Haritu cuba juga cari maklumat dari website ptptn berkenaan insuran ini tetapi tidak jumpa sebarang maklumat. Mungkin terlepas pandang. Thanks sudi berkongsi maklumat.

Anonymous said...

Salam , saya nak tanya . Insuran pada ptptn saya ada Tanda - negative . Apa maksudnya yer ?