Sunday, 31 January 2016

Nuha darjah 1

28 Disember 2015 merupakan Hari Orientasi murid darjah 1 Sekolah Kebangsaan Saujana Indah (SKSI). Sesi Orientasi hari ini lebih kurang masa Insyirah dahulu pada tahun 2013, ada taklimat untuk ibu bapa, bayar yuran dan beli buku. Bezanya kali ini tiada sesi cucuk imunisasi untuk murid darjah 1 dan belum boleh mengambil buku teks lagi kerana stok buku teks tidak mencukupi kerana murid agak ramai pada sesi 2016 nanti. Untuk sesi kali ini juga, murid darjah 1 perlu menduduki ujian saringan untuk menentukan kedudukan kelas. Ada 4 kelas kesemuanya; Brilliant, Excellent, Intelligent dan Dilligent.

Pada mulanya Nuha dimasukkan ke kelas 1 Intelligent untuk menduduki ujian saringan tersebut. Setelah memperoleh keputusan ujian, hari pertama persekolahan pada 4 Januari 2016 yang lepas, murid darjah 1 perlu masuk ke kelas berdasarkan prestasi keputusan masing-masing. Nuha ditempatkan di kelas 1 Brilliant (Nuha beritahu masa ambil Nuha dari sekolah pada hari pertama yang Allah dengar doa Nuha Ummi. Nuha doa pada Allah bagi Nuha masuk kelas 1 Brilliant malam tadi, masa sebelum Nuha tidur). Kami memberitahu tak kisah kelas mana pun Nuha ditempatkan, yang pasti teruskan berusaha dan jangan mudah putus asa.

 Hari Orientasi 28 Disember 2015 - 8 pagi :)



 Hari Orientasi 28 Disember 2015 - nama murid dibacakan mengikut kelas, kemudian Nuha dan rakan-rakan mengikuti guru kelas menuju ke kelas 1 Intelligent
Nuha di kelas 1 Intelligent, bersedia untuk menjawab ujian saringan (kesian, hari pertama sekolah dah kena uji, huhuhu)

Selesai Orientasi, di tempat menunggu ibu bapa ambil setelah selesai sesi persekolahan. Nuha bagi tahu yang soalan ujian matematik senang sangat. Tapi yang bahasa melayu Nuha tak tahu nak eja perkataan "Nyanyi", Nuha tak boleh nak fikir dah, jadi Nuha tak jawab soalan tu tadi :)


Ini gambar pada hari pertama persekolahan sesi 2016 (4 Januari 2016) Nuha duduk di belakang sekali - 1 Brilliant


Meja, kerusi dan murid-murid kecil-kecil semua :D

Waktu rehat hari pertama, Ummi datang ke sekolah untuk lihat keadaan Nuha, Alhamdulillah Nuha seronok. Asyik bercerita apa yang dilakukan di sekolah sampai tak sempat nak habiskan makanan :D Nuha kata cikgu cakap "kita belajar sambil bermain 3 minggu pertama ni, bestla ada aktiviti setiap hari".

Selepas habis rehat, murid darjah 1 perlu berkumpul di dewan ini beratur mengikut kelas sebelum masuk ke kelas masing-masing

Beratur mengikut kelas. Mereka perlu berkumpul di sini dahulu kerana ada murid yang masih tersilap masuk ke kelas lain :) 

Selama 3 minggu, sesi penyesuaian murid-murid baru di sekolah. Cikgu membawa mereka melawat sekeliling sekolah termasuk ke perpustakaan dll. Waktu ini jadual rasmi pun masih belum diterima. Buku teks diterima pada minggu kedua persekolahan dan jadual waktu diterima pada akhir minggu ke-3 jika tidak silap. 

Hari kedua Nuha tragis sikit, balik sekolah dia menangis keletihan. Dia kata sangat penat asyik perlu mewarna sahaja. Banyak sangat kertas yang perlu diwarna. Bila ditanya berapa banyak kertas yang cikgu beri, jawabnya setiap cikgu bagi satu kertas. Cikgu kata 3 minggu ni belajar sambil bermain, tapi takde aktiviti pun hari ini. Kena warna sahaja. Kami memberitahu warna setakat yang Nuha larat jelah dan Nuha kata tak boleh. Cikgu suruh habiskan juga warna, penat sangat dah tangan Nuha ni, hehehe. Insyirah bagi tahu dekat bilik air pun nampak Nuha meleleh air mata sebab terlalu penat. (Nuha ni memang ingat apa yang dijanjikan padanya, sebab sebelumni cikgu yang beritahu akan belajar sambil bermain, ada aktiviti dll) Jika bagi dia cikgu tidak kotakan janji, memang dia akan sedih. Kami pujuk yang mewarna tu pun salah satu aktiviti yang meneyronokkan juga. (tapi mungkin bagi budak-budak sekarang aktiviti mewarna tu agak memboringkan, sebab mereka dah terlalu banyak mewarna semasa di tadika). Esoknya bila cikgu bawa ke padang (perlu pakai pakaian sukan), lompat-lompat, lari-lari....balik sekolah sangat ceria. Masa ambil dari sekolah sibuk bercerita hari ini Nuha ada aktiviti, cikgu bawa pergi padang, seronok sangat..... alahaiiii....yang pasti bagi Nuha aktiviti selain mewarna sangat menyeronokkan bagi dia :D

Hari ketiga dan seterusnya tidak lagi menangis, alhamdulillah. KAFA (sesi petang) juga bermula pada hari Rabu di pusat islam USM = hari ketiga di SKSI (sesi pagi). 

No comments: