Tuesday, 13 December 2011

Kontena

Alhamdulillah kontena selamat tiba di perkarangan rumah kami di Taman Ilmu, Nibong tebal pada 7 Disember 2011 (Rabu), jam 11.30 pagi. Kontena telah tiba di pelabuhan Pulau Pinang sejak hari Sabtu (3 Disember 2011)  lagi pada jam 7.30 malam dan ditarik ke bahagian pemeriksaan pada hari Isnin petang. Jadual pemeriksaan bersama kastam (joint inspection) pada awalnya pada jam 10.30 pagi Selasa, tetapi telah ditunda ke jam 2.30 petang kerana pegawai kastam yang bertugas pada waktu pagi tu agak terperinci orangnya (selalu periksa 100% barang berdasarkan pengalaman ejen yang menguruskan kontena kami). Kami hanya menerima cadangan ejen yang berpengalaman yang ingin menundanya ke petang hari. Alhamdulillah pemeriksaan berjalan lancar dan tiada sebarang masalah. Pegawai kastam hanya bertanyakan sama ada kami membawa balik "souvenir" dalam kontena ini atau tidak.


Kontena dibenarkan berada di pelabuhan selama 5 hari sahaja untuk mengelakkan sebarang bayaran dikenakan. Kami mengambil keputusan untuk menarik kontena tersebut ke rumah kami pada hari yang ke-5 bersamaan dengan 11 Muharram / 7 Disember kerana ingin mengambil peluang berpuasa sunat pada hari 9 dan 10 Muharram.


Alhamdulillah setelah 2 jam (11.30 pagi - 1.30 petang), proses mengangkat barang keluar dari kontena selesai. Terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan bersama-sama mengangkat barang-barang tersebut. Proses mengangkat barang keluar dari kontena lebih cepat berbanding menyusunnya ke dalam kontena walaupun dengan bilangan tenaga kerja yang kecil. Ini kerana ruang rumah yang lebih luas berbanding ruang di dalam kontena yang memerlukan penyusunan yang teliti bagi mempastikan semua barang muat untuk dibawa pulang. Ummi sempat menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari untuk mereka yang membantu mengangkat barang-barang tersebut. Menu yang dimasak hanyalah kuey teow kerang (sarapan pagi) dan nasi ayam (tengahari).


Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan perkhidmatan Arcadia Freight Services Ltd (di UK) dan juga ejen yang dicadangkannya di Malaysia, Bumizara Sdn Bhd. Bumizara sentiasa memberitahu berita terkini berkenaan jangkaan waktu ketibaan kontena kami di pelabuhan Penang. Pada asalnya jangkaan tiba antara 6 - 10 Disember 2011. Kemudian ditukar kepada 6 - 13 Disember 2011 (lagi lewat). Berita terkini, kontena kami tiba di pelabuhan di pelabuhan pada hari Sabtu 3 Disember 2011 (lebih awal dari jangkaan :)

No comments: