Saturday, 18 February 2012

Siapa kamu mahu memilih bentuk ujian yang datang?

Tiada siapa yang dapat menentukan ujian yang datang melainkan hanya Dia yang satu, Allah yang Maha Agung. Bila datangnya ujian dalam hidup, kita seringkali berasa kecewa, sedih dan putus asa. Namun sebenarnya Allah menurunkan ujian sesuai dengan kesanggupan hambaNya seperti firman Allah yang bermaksud "Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah: 286). Kita juga perlu sedar bahawa ujian dalam kehidupan ini merupakan tarbiyah dari Allah. Setiap yang berlaku dalam kehidupan ini merupakan satu pelajaran yang tidak akan diperoleh dari mana-mana institusi pengajian. Ia akan menjadikan mereka yang jauh agar lebih mendekatiNya dan mereka yang lalai agar lebih mengingatiNya.  


Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan sebarang masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah. Ingatlah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. Namun, bukan mudah untuk mendidik diri agar bersabar contohnya apabila menerima tohmahan yang dilemparkan tidak berasas. Hati melonjak-lonjak ingin bersua muka dengan sipemberi tohmahan tersebut untuk meluahkan apa yang terbuku didada. Sungguh tidak disangka, keringat yang dikerah sehabis mungkin tidak ada nilai padanya. Rasa sedih, kecewa, marah meluap-luap didada. Namun dengarlah sabda Nabi S.A.W yang bermaksud "Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal diri daripada sifat marah" (HR Bukhari & Muslim). Kita kena benar-benar kuat untuk mengawal diri daripada berasa marah kepada sipemberi tohmahan tersebut. Kadangkala rasa sampai berdenyut-denyut kepala dan mengigil-gigil tangan dalam mengawal perasaan amarah tersebut sehingga memerlukan kita menelan panadol untuk menghilangkannya :D.  

Sebenarnya Allah menurunkan musibah dan Allah juga ada mengajarkan kita cara menghadapi musibah. Banyak hadis dan ayat quran yang membicarakan mengenai cara menghadapi musibah. Ada tiga peringkat mengenai sikap manusia ketika ditimpa sesuatu musibah seperti yang dinyatakan di bawah (http://www.ustazamin.com)


1. Pada permulaannya, berlaku penolakan. Di peringkat ini, manusia tidak menerima hakikat bahawa sesuatu telah hilang darinya, sesuatu telah tiada, sesuatu telah menimpa dan sebagainya. Dia akan cuba lari dari hakikat dan masalah. Jika dia cuba lari dari menerima hakikat, jiwanya akan semakin tertekan, hatinya semakin sempit dan fikirannya semakin keliru.


Di dalam Islam, kita perlu jujur menerima hakikat diri kita. Semakin berani kita untuk jujur menerima hakikat diri semakin tenang jiwa kita. Sebab itu di dalam Islam ada konsep muhasabah. Muhasabah bererti menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Jika kita tidak dapat menerima hakikat diri kita, maka kita tidak akan dapat membuat perubahan di dalam diri kita.


2. Peringkat kedua, manusia akan mengeluh, marah-marah, mendongkol, menyalahkan orang lain dan yang paling parah ialah apabila menyalahkan takdir. Di peringkat ini, mereka telah menerima hakikat bahawa mereka sedang melalui masa getir, tetapi mendongkol dengan keadaan diri.Sesungguhnya, mengeluh tidak merubah apa-apa. Sikap marah-marah juga tidak merubah apa-apa. Dia akan membuatkan kita semakin tertekan dan terhimpit. Sudahlah ditimpa musibah, hati pula hilang bahagia. 


Di dalam Islam, kita ada konsep muraqabah, iaitu rasa sentiasa diawasi oleh Allah. Hari ini jika kita senang, Allah mahu melihat apa yang kita lakukan begitu juga apabila kita susah. Allah akan melihat apa yang akan kita lakukan. Semua, susah dan senang ada nilaian pahala jika kita membuat sesuatu dengan betul. Jika kita rasa sentiasa diawasi Allah, kita akan selalu mencari keredhaannya. Waktu senang kita tidak lupa Allah, waktu susah kita bergantung penuh denganNya. Akhirnya, senang dan susah tetap tenang dan tetap bahagia.


3. Peringkat ketiga barulah biasanya manusia menerima segala apa ketentuan hidupnya. Barulah tidak marah-marah, tidak mengeluh dan sebagainya. Walaubagaimana pun, jika salah kefahamannya, manusia akan putus asa, hilang harapan, hilang semangat, hilang rasa untuk terus berusaha. Akhirnya, hidupnya semakin murung, semakin tidak ceria dan semakin kusut.


Di dalam Islam, apabila kita telah menerima kita di dalam keadaan susah, ada konsep tawakkal. Tawakkal ialah kita berusaha dan bakinya kita serahkan pada Allah untuk menyempurnakannya. Jika perniagaan kita gagal, kita usahakan terus, ubah sana dan sini, baki serah pada Allah. Jika rumah tangga kita gagal, kita usahakan untuk perbaiki, baki yang diluar kemampuan kita, kita serah pada Allah.Orang yang ada konsep muhasabah, muraqabah dan tawakkal akan sentiasa positif di dalam hidupnya. Dia akan sentiasa tenang walaupun musibah itu ibarat bukit yang menghempapnya. Sesungguhnya, semua manusia akan diuji dengan ujian, yang membezakan orang beriman atau tidak ialah di hujung ujian.Jika di hujung ujian dia tetap tidak putus asa, tetap berusaha, tetap tenang, tetap berjuang maka dia adalah pemenang di dalam ujian tersebut.

Ya Allah, tabahkanlah hatiku menghadapi segala ujianMu dan berikanlah yang terbaik buatku. Amin.


p/s: Coretan peringatan apabila berasa kecewa dan tidak bermotivasi selepas 3 bulan melaksanakan kerja yang diamanahkan.  


02.45 am

2 comments:

kak cahaya said...

moga Allah bantu insan yg ingin berubah demi kebaikan..aminnn

Nihlah Insyirah said...

amin. thanks kak.