Thursday 31 October 2013

Insurans PTPTN

Semalam terbaca post rakan di FB berkenaan dengan insuran yang dikenakan kepada peminjam PTPTN. Bila semak penyata kira-kira PTPTN online, selain dari kos pentadbiran yang dinyatakan, insuran juga diletakkan di dalam penyata tersebut. Dulu detail insuran ni tiada, sekarang ni baru ada (tak pasti bila mula dimasukkan tetapi masa semak penyata pada 18 September lalu detail insuran ini masih tiada).

Semasa saya minta pengesahan baki akhir pada Julai 2013 lalu, penyata saya ada dikenakan kos insuran sebanyak RM80.50 manakala pengesahan baki akhir suami tiada dikenakan insuran tersebut. Bila saya tanya sebab perbezaan ini pihak PTPTN menjawab ianya bergantung kepada universiti dan tahun pengajian peminjam. Masalahnya saya dan suami belajar di universiti yang sama dan tahun pengajian juga sama. Macam mana pula saya dikenakan insuran tetapi suami tidak? Pihak PTPTN tersebut tidak pasti akan masalah kami dan oleh kerana tiada jawapan lanjut beliau meminta saya bertanya kepada pihak HQ berkenaan isu perbezaan insuran ini. (mungkin jika saya tiada rujukan lain(bayar sorang2), saya akan menerima terus bulat-bulat alasan tersebut - bergantung kepada universiti dan tahun pengajian).

Dalam beberapa hari kemudian, saya dihubungi oleh pegawai PTPTN menerangkan isu perbezaan ini. Jawapannya seperti berikut. Kos insuran suami telah ditolak semasa pinjaman diberikan ketika belajar manakala saya masih belum ditolak. Oleh sebab malas nak fikir lanjut dan pening-pening saya menerima sahaja alasan tersebut.

Pada bulan September lepas saya cuba semak kembali penyata kira-kira ptptn. Tujuannya nak lihat sama ada bayaran keseluruhan yang dibuat beserta potongan 20% telah diselaraskan ke belum (pendek kata nak lihat baki keseluruhan pinjaman = 0.00). Tetapi pelarasan belum dibuat ketika itu dan kos pentadbiran masih dikenakan walaupun telah 2 bulan bayaran telah diselesaikan. Selepas itu saya tiba-tiba teringin nak semak kembali penyata kira-kira ptptn saya dan suami dari tahun 2000 bermula dari pinjaman diberikan sehingga pinjaman diselesaikan pada 18 Julai 2013.  Saya cuba nak semak bila kos insuran suami ditolak. Tetapi ketika itu detail insuran tiada dinyatakan di dalam penyata, hanya ada kos pentadbiran sahaja. Bila dibandingkan kedua-dua penyata, tiada perbezaan pun bayaran yang diberikan kepada kami berdua. Saya tidak dapat kesan bila waktu kos insuran tersebut dipotong. Saya cuba menghubungi pihak PTPTN sekali lagi berkenaan insuran ini tetapi tidak dapat sebarang balasan sehingga hari ini.

Sehinggalah saya semak penyata kira-kira PTPTN hari ini dan mendapati detail insuran telah dimasukkan ke dalam penyata tersebut. Memang betul suami telah membayar kos insuran sebanyak RM140 pada tahun 2001 dan RM140 pada tahun 2003 (jumlah RM280 yang telah dibayar). Manakala saya pula hanya membayar RM140 pada tahun 2001. Memang tak ingat langsung ada bayar RM140 insuran ni dulu dan tak sedar pun kena bayar insuran :) Bermula dari Mei 2007, insuran mula dibayar kepada "syarikat" (dalam penyata tulis "sykt" dan saya anggap ianya bermaksud "syarikat") dengan ditolak dari jumlah yang kita telah bayar. Contoh saya ditolak sikit-sikit dari jumlah RM140 dan suami ditolak dari RM280. Daripada RM140 itu, insuran mampu dibayar kepada syarikat hanya sehingga April 2009 sahaja. Kos insuran selepas semakin naik dan jumlah yang perlu saya tambah adalah RM80.50 sehingga 2 Julai 2013. Tetapi penyata suami pula masih berbaki insurannya kerana kos insuran beliau ditolak dari RM280. Malahan jika disemak pada penyata, pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada beliau sebanyak RM61.88 (data sehingga 2 Julai 2013).

Penyata kira-kira PTPTN suami masih belum diselaraskan kerana masih berbaki RM2462.74. Nanti kita tengok selepas dah selaraskan tu sama ada mereka bayar balik atau tidak baki kos insuran RM61.88 tu. Penyata saya telah diselaraskan baki keseluruhan pinjaman pada Oktober 2013 = 0.00. Alhamdulillah. Kiranya bila dikira-kira jumlah pembayaran keseluruhan yang telah dibuat kepada PTPTN ialah sebanyak RM29,444.84 tidak termasuk diskaun 20% (sebanyak RM2693.59). Kos pentadbiran yang dikenakan bermula daripada Disember 2004 sehingga Julai 2013 adalah sebanyak RM4057.93 dan jumlah kos insuran yang dikenakan sebanyak RM220.50 (RM140 + RM80.50). Jumlah pinjaman PTPTN yang diperolehi selama 4 tahun (2000-2003) adalah sebanyak RM28000. Semuanya ini saya kira manual berdasarkan penyata kira-kira yang diberikan. Sebelum tu dah telefon PTPTN untuk bertanyakan jumlah keseluruhan yang telah saya bayar kepada PTPTN dan beliau memberikan jumlah RM29,344.84 kurang RM100 daripada yang saya kira. Beliau minta saya kira kembali berdasarkan paparan terperinci di dalam penyata kira-kira kerana beliau juga kira secara manual satu-satu tekan kalkulator kerana tiada data bayaran keseluruhan dalam sistem. Saya copy & paste penyata kira-kira ke dalam excel dan buat kira-kira menggunakan excel.

Semoga sistem pinjaman PTPTN ini dapat ditambah baik lagi di masa hadapan, dan lebih telus dalam setiap bayaran tambahan yang dikenakan. Apa pun kami  mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PTPTN kerana memberi pinjaman kepada kami untuk belajar.

Semoga bermanfaat.

Nota: Itulah dulu taknak baca betul-betul perjanjian pinjaman yang ditandatangan. Bila kena bayar tambahan, kalut :D Yang tahu dulu setiap semester duit masuk jer, huhuhu. Rasanya insurans ni cover si peminjam jika berlaku hilang upaya kekal/kematian, waris peminjam tidak perlu membayar baki pinjaman kepada PTPTN, sama konsep dengan insuran untuk mana-mana pinjaman (tak sempat nak google lanjut berkenaan hal insuran PTPTN ini, siapa ada info lanjut bolehlah kongsi untuk manfaat bersama).

________________________________________________________________________
Entry tambahan: Bulan Januari lepas semak akaun PTPTN suami, baki dah diselaraskan, betul seperti jangkaan yang mana pihak PTPTN yang perlu bayar kembali kepada suami. Bukan RM61.88 seperti yang dikira, tetapi RM68 ++ :)

Friday 11 October 2013

Ahmad dan selipar Upin & Ipin



Video di atas diambil pada beberapa bulan lepas (14 April 2013) di Mydin Ipoh. Kami singgah selepas menghadiri kenduri kahwin rakan sekerja kami di Taman Meru Ipoh. Dalam Mydin ini terdapat kedai makan Upin & Ipin. Pertama kali belikan Ahmad selipar yang perlu selit jari di tengah-tengah. Selalu pakai kasut sarung terus tu jer. Tu yang macam pelik je Ahmad mula-mula nak suaikan diri dengan selipar tu (diseretnya dulu selipar tu mula-mula takut tertanggal), hehehhe.

Dalam kedai makan Upin & Ipin, Mydin Ipoh :))

Thursday 10 October 2013

Nuha dan "little pony"

"Little PONY" merupakan mainan kegemaran Nuha. Telah berbulan-bulan Nuha minta kami membelikan Pony tersebut. Bila dilihat di dalam youtube, asyiklah ditanya "bolehlah Ummi, bolehlah Ayah". Berulang-ulang kali sehingga kami menyebut perkataan boleh baru Nuha berhenti bertanya. Sampaikan kadang Insyirah dan Ahmad pun tolong sama jawabkan "boleh" bagi pihak kami sebab bising asyik sebut "bolehlah Ummi/Ayah" berulang-ulang, hehehe :)

Kami pun baru tahu rupanya setiap ekor tu mempunyai nama masing-masing seperti Fluttershy, Princess Luna, Applejack, Apple Bloom, Rainbow Dash, Sunsets Shimmer, Sweettie Belle, Cadhens dan banyak lagi :) Umminya agak tidak faham apa yang best dengan mainan ni. Bila ditanya sebabnya adalah sebab suka pada rambutnya yang cantik dan outfit yang comel-comel (suka dandan rambut dan hias-hias si Pony ni, hehehe :)



Nuha : I'm so happy to have this Ummi. It's so cute :)

-----------------------------------------------------------------------------------------------
Nuha berjanji untuk lebih rajin solat, mengaji, belajar dan jadi anak yang solehah. Suatu hari bila disuruh solat, Nuha taknak solat sebab dah solat sebelumnya. Letih katanya. Ada banyak persoalan yang ditanya antaranya:

Nuha : Ummi, kenapa kita kena solat 5 kali Ummi?
Ummi: Sebab Allah suruh.
Nuha: Nuha tak nampak pun Allah Ummi.
Ummi: Memanglah kita tak boleh nampak Allah. Tapi Allah sentiasa nampak kita. Nuha buat apa pun semua Allah tahu. Walaupun Ummi tak nampak Nuha tak solat, tapi Allah nampak. Kalau Nuha nak tahu semua benda yang ada pada Nuha ni Allahlah yang bagi. Mata, hidung tangan, mulut semua-semua ni Allah yang bagi. Malah mainan Nuha tu pun Allah yang bagi. Ya lah, kalau Allah tak bagi duit pada Ayah macam mana Ayah nak beli mainan Nuha. Nuha ada duit ke?
Nuha: Ada.
Ummi: Mana duit Nuha?
Nuha: Ada dalam tabung.
Ummi: Cukupke? Ginilah, Nuha kena rajin solat dan doa pada Allah tau. 
Nuha: Allah turunkan hujankan Ummi. Allah hidupkan pokokkan Ummi....(Allah itu Allah ini).
Ummi: Aah, Allah berkuasa untuk buat apa sahaja. Sebab tu kalau Nuha nak apa-apa, Nuha minta pada Allah lah.

(tak tahulah sesuai ke tidak jawapan Ummi untuk anak sekecil 4 tahun untuk memahaminya, hehehe).

- Itu tak sambung lagi cerita pasal mula-mula turun perintah solat 50 waktu. Bersyukur sangat dah tinggal 5 sahaja sekarang. Yang ini cerita bersama Nuha dan Insyirah sekali.

Wednesday 9 October 2013

Yeay berjaya naik basikal

Petang tadi Ayah Insyirah mengajar Insyirah naik basikal tanpa roda stabilizer di luar rumah. Tiba-tiba Insyirah masuk ke dalam rumah sambil menangis mengadu sakit.

Insyirah: Ummiiii..sakitttt.... (menangis sambil pegang tangan dengan siku yang berdarah)
Ummi   : Kenapa?
Insyirah: Jatuh basikal (makin kuat tangisannya sakit luka disiku)
Ummi   : Alaaa sikit jer ni. Kebiasaannya kalau dah jatuh berdarah macam ni, mesti kakak akan pandai kayuh tak lama lagi. Selalu macam tulah kakak. Kakak dah belajar sampai jatuh-jatuh berdarahni, mesti lepas ni kakak boleh kayuh punya.
Ummi   : Kenapa kakak tak pakai "pads" kat siku dan lutut? Kalau jatuh pun takdelah sakit sangat nanti. Gi basuh siku tu dulu sambil si Ayah ambil "pads" dari kotak mainan.
Ayah    : Cuba pakai ni, muat tak sambil menunjukkan "pads" kepada Insyirah.
Ummi  : Hah, nak naik basikal lagi tak kakak (bila Insyirah telah lengkap memasang "pads" di siku dan lututnya.)
(Nuha juga turut sama memakai "pads" di siku dan lututnya. Kebetulan ada 2 set "pads" yang dibeli di "carboot sale" dulu :) Si Ahmad nak pakai juga tapi  tak cukup, dulu tak terfikir pula nak cari untuknya sebab masih kecil. Lalu Ahmad meminta belikannya "pads" upin ipin :D)

Insyirah masih tidak berputus asa untuk teruskan latihan mengayuh basikal. Berkat kesungguhannya yang tidak mengaku kalah, akhirnya berjaya juga :)

Tanggal 9 Oktober 2013, hari Rabu, lebih kurang jam 6.30 petang, hari bersejarah untuk Insyirah, tarikh yang akan dikenang di masa hadapan, hehehehe.  Insyirah pandai kayuh basikal tanpa bantuan stabilizer lagi. Selamat tinggal stabilizer ;)

Insyirah: Sebab Insyirah selalu prektislah Ummi, lama-lama Insyirah pandai kayuh. (sebelum ni Insyirah sering menolak basikal dengan kakinya sahaja untuk membiasakan diri dan belajar mengimbangi badan, tak boleh kayuh lagi).
Ummi  : Apa pun yang Insyirah buat perlu prektis berulang-ulang kali, baru boleh pandai. Sama juga dengan belajar, baca quran. Semua kena rajin prektis. Memang semua perkara selalunya mula dengan tak tahu, tapi perlu belajar dan rajin prektis, baru boleh pandai. So bila dah pandai ni, Insyirah perlu cakap apa ya?
Muka gembira setelah pandai kayuh basikal 2 roda buat pertama kali :)
 
Insyirah: Alhamdulillah.

Wasalam.

p/s: video akan menyusul kemudian insyaAllah :)