Friday, 6 August 2010

Ultrasound sessi ke-3

Kali ini (6 Ogos 2010, 9:30 pagi) merupakan kali terakhir Ummi menghadiri temujanji di City Hospital sebelum ditukar ke Queens Medical Center (QMC). Alhamdulillah setakat usia 19 minggu + 5 hari, tiada masalah lain yang timbul  pada bayi kecuali masalah exomphalus yang sedia ada. Kebiasaannya bayi yang mempunyai masalah exomphalos akan mempunyai masalah jantung. Oleh sebab itu Doktor perlu kerap memantau perkembangan bayi untuk memastikan jika ada sebarang masalah lain yang timbul. 

Usia bayi 19 minggu + 5 hari

Kali ini Doktor mengatakan exomphalus yang dialami oleh bayi kemungkinan "large defect" kerana ianya mengandungi hati sekali. Jika sebelum Doktor mengatakan saiznya adalah dalam kategori pertengahan (moderate), tapi kali ini boleh dikategorikan sebagai besar. Namun, Doktor masih perlu memantau perkembangan bayi seterusnya. Hanya kepada Allah kami berserah. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, insyaAllah. 

Temujanji Ummi seterusnya bersama Doktor pakar di QMC bersama dengan pakar bedah kanak-kanak pada 9 September 2010..

Friday, 16 July 2010

Ultrasound sessi ke-2

Alhamdulillah setelah keputusan ujian kromosom yang lepas normal, maka selepas 3 minggu Ummi perlu hadir pada temujanji yang seterusnya pada 16 Julai 2010, jam 12.30 tengah hari. Bermulalah episod pemeriksaan bayi pada setiap bulan untuk memantau perkembangan bayi.

Usia bayi ketika ini 16 minggu + 5 hari. 

Setelah diperiksa, tiada masalah lain yang timbul kecuali masalah exomphalos yang ada. Cumanya jika sebelum ini Doktor mengatakan usus (bowel) sahaja yang berada diluar, tapi kali ini Doktor mengenalpasti hati (liver) juga turut berada diluar. Maknanya exomphalus yang dialami oleh bayi mengandungi usus dan hati. Allahuakbar! Makanya pembedahan yang perlu dilalui oleh bayi selepas lahir nanti bertambah kompleks lagi. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan.

Ketika ini juga Doktor mengatakan yang Ummi akan dipantau seterusnya oleh Doktor lain yang berada di  Queens Medical Center (QMC) kerana Ummi perlu melahirkan bayi di QMC, bukan di City Hospital seperti yang dirancang pada awalnya. Alhamdulillah kerana pihak QMC boleh melakukan pembedahan ke atas bayi selepas lahir nanti dan bayi tidak perlu ke Great Ormond Hospital, London seperti yang tertera di dalam surat yang diberikan sebelum ini. 

Friday, 2 July 2010

Insyirah ke sekolah

30hb Jun 2010 merupakan hari pertama Insyirah menjejakkan kakinya ke sekolah, Nursery Forest Field, Nottingham. Kebiasaannya di UK ini, kanak-kanak yang berusia 3 tahun sudah mula bersekolah. Namun ada sesetengah sekolah yang menerima kanak-kanak yang berusia seawal 2 tahun dengan jumlah yang terhad. Sessi persekolahan Insyirah di sebelah pagi, 9am-12 pm.




Sebelum berjalan ke sekolah, Ummi ambil gambar dahulu di hadapan rumah. Kalau ikutkan, hari pertama Insyirah hanya perlu hadir selama sejam bagi nak membiasakan kanak-kanak dengan keadaan Nursery dan bersemangat untuk datang kembali keesokan harinya. Namun Insyirah seronok berada di sekolah hinggakan taknak pulang:D Nengok muka Nuha di atas yang bosan menunggu si kakak yang tidak menghiraukannya, hehehe. Ada seorang kawan Insyirah ni asyik memegang tangan Insyirah ke hulu ke hilir bersama, sampaikan naik rimas dibuatnya. Ummi nak ambil gambar Insyirah sendirian pun tak boleh kerana kawannya asyik memegang tangannya ke mana sahaja, hehehe. Kebiasaannya, para penjaga perlu menunggu di sekolah sehinggalah kanak-kanak sesuai berada di sekolah atau dengan erti kata lain tidak menangis bila ditinggalkan.

Alhamdulillah, Insyirah mudah menyesuaikan diri dengan keadaan di Nursery dan tidak menangis bila ditinggalkan. Hari ke 3 ke sekolah, Ummi tidak perlu menunggunya di sekolah lagi. Semoga Insyirah lebih bersemangat lagi belajar dan bermain dengan kawan-kawan. Oh ya, sebulan sebelum Insyirah ke sekolah, Ummi sering mengingatkan bahawa Insyirah akan mula bersekolah. Insyirah perlu mendengar kata cikgu/teacher. Insyirah perlu sharing bila bermain dengan kawan-kawan/friends, jangan bergaduh. Alhamdulillah, bila Insyirah ke sekolah, Insyirah berkata balik kepada Ummi, sharing friends Ummi :)

Monday, 28 June 2010

Ultrasound sessi pertama

Alhamdulillah, Insyirah dan keluarga telah mendapat berita baik pada bulan April yang lepas tentang kehadiran bakal ahli keluarga baru. Hari berkenaan juga merupakan ulangtahun perkahwinan Ayah dan Ummi yang kelima :)

Di UK, ibu-ibu yang mengandung kebiasaannya hanya perlu untuk scan keadaan bayi sebanyak 2 kali, iaitu pada minggu ke-12 atau 13 (dipanggil "dating scan") dan keduanya pada minggu ke-20 (detailed scan). Setelah membuat temujanji dengan midwife, temujanji pertama telah ditetapkan pada Khamis 24 Jun 2010 di City Hospital, Nottingham.

Insyirah, Nuha dan Ayah turut sama menemani Ummi ke hospital. Kami sekeluarga menaiki bas Medilink untuk ke hospital disebabkan kami masih tak biasa dengan keadaan di City Hospital. Dah lama rasanya Insyirah sekeluarga tak menggunakan kenderaan awam bersama-sama, mungkin kena amalkan selalu ni :D

Temujanji pada hari tersebut sekitar 2.30pm. Mulanya Ummi di scan oleh bidan atau lebih mesra di UK ini dengan panggilan "midwife". Scan kali ini agak kurang lancar berbanding dengan scan semasa mengandungkan Nuha dulu. Ada sesuatu di luar kebiasaan pada kandungan Ummi kali ini. Midwife menghadapi kesukaran untuk mengesahkan keadaan bonjolan pada perut bayi yang beliau perhatikan pada imej imbasan. Di fikiran beliau, tanda tersebut mungkin "exomphalos" atau "gastrochisis". Kami terpinga-pinga mendengar istilah yang kali pertama didengari itu. Lalu satu temujanji baru telah dibuat dengan doktor pakar keesokan harinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Usia bayi ketika ini 13 minggu + 4 hari. Gambar scan di atas menunjukkan ada bonjolan di atas perut bayi yang kemungkinan "exomphalos" atau "gastrochisis".

Pulang ke rumah dengan fikiran yang risau dan melayang-melayang, Ummi terus melayari beberapa laman web untuk memahami serba sedikit mengenai 2 keadaan yang dimaksudkan midwife tadi. Barulah kami sekeluarga dapat gambaran sedikit mengenai apa yang dimaksudkan midwife. Mungkin boleh dikatakan, ketika itu seolah-olah antara detik yang tersedih sepanjang kehidupan berkeluarga Ayah dan Ummi. Terdetik di hati, nasib baiklah kita dikurniakan nikmat Islam di mana kita percaya segalanya akan berbalik kepada kehendak Allah. Walaupun susah dan berat untuk menerima pada mulanya, Alhamdulillah, sikit demi sedikit keresahan hati cuba dikurangkan.

Jumaat, 25 Jun 2010, kami sekali lagi ke City Hospital untuk temujanji dengan pakar pada pukul 10.30am. Kali ini, tidak perlu menunggu di ruang pesakit. Terus saja diberi layanan "istimewa" di "fetal care unit". Hati dipaksakan tabah, tetapi resah tetap menghimpit jiwa. Doktor pakar, yang rasanya berumur sekitar 50-an, membuat pemeriksaan Ummi pada hari itu. Beliau mengesahkan yang kandungan Ummi menghadapi exomphalos di mana saluran usus (bowels) bayi dipercayai berada di luar perut. Beliau anggarkan saiz exomphalos itu dalam keadaan pertengahan (moderate).

Doktor menyarankan Ummi menjalan ujian bilangan kromosom (@ nama saintifiknya: Chorion-villus sampling) untuk mengenal pasti sekiranya terdapat masalah genetik seperti syndrome down. Tetapi tiba-tiba kami terfikir tentang bayaran tambahan. Alhamdulillah, kami terlupa tentang rawatan kesihatan yang percuma di UK. Midwife juga mengingatkan kami tentang kebarangkalian kecil untuk berlaku kes keguguran. Ummi bersetuju untuk menjalankan ujian demi kebaikan bayi. Terus saja Ummi masuk semula ke dalam bilik scan dan sampel air diambil dari plasenta Ummi dengan jarum. Keputusannya akan dimaklumkan kepada kami melalui telefon pada hari Isnin nanti. Doktor juga menasihatkan Ummi untuk berehat selama 3 hari daripada membuat kerja-kerja berat.

Mulanya kami merancang untuk membuat majlis makan-makan di rumah kami pada hujung minggu berkenaan, tetapi terpaksa dibatalkan untuk merehatkan diri dan emosi :D Ada rakan-rakan yang berkunjung bertanya khabar, terima kasih diucapkan. Tak lupa juga buat yang mendoakan melalui facebook.

Berkenaan keputusan ujian kromosom tersebut, doktor memaklumkan sekiranya bilangan kromosom terlebih atau terkurang dari 46, doktor menjangkakan yang bayi mungkin akan sukar untuk terus hidup sehingga tempoh kelahiran. Alhamdulillah, jumlah kromosom dalam bilangan yang normal dan jantina bayi dikenalpasti sebagai lelaki (XY).

Jadi, kami akan berjumpa lagi dengan doktor pakar untuk pemeriksaan selanjutnya selepas 3 minggu dimana kandungan berusia 16 minggu.

Sunday, 27 June 2010

Insyirah 3 tahun

Selamat Hari Ulangtahun yang ke-3 Insyirah. Masih segar dalam ingatan 3 tahun yang lalu, Ummi selamat melahirkan Insyirah secara pembedahan. EDD sepatutnya 19 Jun 2007. Walaubagaimanapun, Insyirah masih belum bersedia keluar waktu tu. Syok sangat duduk dalam perut Ummi:) Setelah beberapa hari menunggu,hari Isnin, 25 Jun 2007, Ummi pergi buat pemeriksaan di klinik desa dan disuruh untuk terus ke HSAJB. Ummi diperiksa (bukaan baru 1cm) dan dimasukkan ke wad. Keesokan paginya baru diinduce dan Ummi mula merasa contraction dan mengalami sedikit pendarahan. Lebih kurang jam 2 petang, sekali lagi Ummi diperiksa dan bukaan baru 4cm. Doktor mengatakan ada sedikit masalah dan Ummi ditolak masuk ke labour room walaupun bukaan hanya 4cm. Lebih kurang jam 4 lebih, sekali lagi Ummi diperiksa dan bukaan masih sama, 4cm, huhuhu. Akhirnya doktor mengambil kputusan untuk memecahkan air ketuban. Setelah itu contraction semakin kuat tetapi bukaan masih 4 cm. Setelah lebih kurang 10jam menahan sakit di labour room,akhirnya Ummi ditolak ke bilik pembedahan dan Insyirah pun dilahirkan pada hari Rabu, 01:49 pagi, alhamdulilllah :)

Selamat Hari Lahir sayang. Semoga menjadi anak yang solehah penyejuk hati Ayah dan Ummi. Semoga Insyirah membesar dalam iman dan menjadi kakak yang baik dan menjadi inspirasi buat adik-adik. Serta sentiasa menjadi kakak yang sentiasa menggembirakan dan memudahkan orang disekelilingnya sesuai dengan namanya Nihlah Insyirah, pemberian kegembiraan. Gambar kat bawah ni diambil pada hari lahir Insyirah di rumah, masa tengah makan laksa utara yang di masak oleh Ummi:)



Scrapbook at WiddlyTinks.com
Digital Scrapbooking Photo Tinks by WiddlyTinks.com