Friday, 23 September 2011

Kisah di minggu pertama Aildilfitri 2011

Ada sanak saudara dan rakan taulan yang bertanya bagaimana sambutan perayaan diperantauan. Dulu pun sebelum sampai di bumi Nottingham ini, terfikir juga bagaimana sambutan raya di sini. Masa tu hanya terbayang keadaan raya yang serba ringkas tidak seperti di Malaysia. Tambah pula dengan lagu-lagu raya yang sedih tentang raya diperantauan, hanya suasana suram tentang gambaran hari raya di perantauan. Namun gambaran itu tidak tepat kerana suasana hari raya diperantauan bergantung kepada jumlah warga Malaysia yang berada di sesuatu tempat itu dan bagaimana mereka meraikannya. Alhamdulillah, ramai warga Malaysia di Nottingham sepanjang kami berada di sini dan hubungan sesama kami juga agak baik. Bagi Ana pengalaman setiap kali raya di sini agak menarik dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan pada masa yang sama dapat merasai pelbagai jenis masakan :)

Pada hari raya pertama, buat pertama kalinya Ana tidak menyediakan rendang, nasi impit dan kuah kacang sepanjang berada di Nottingham. Ana hanya menyediakan laksa penang di pagi hari beserta kuih muih yang dipos dari Malaysia. Juadah itu juga yang kami hidangkan buat Kak Min sekeluarga yang berkunjung ke rumah kami sesudah solat aildilfitri di masjid yang berdekatan. Sesudah solat zohor kami memulakan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan yang telah menjemput secara rasmi ke rumah mereka.

Juadah di hari raya pertama dan bergambar kenangan bersama keluarga Kak Min dan anak-anak jiran

Kunjungan pertama kami ke rumah Afdhal yang juga terletak di Forest Field. Kemudian kami pergi ke kawasan Radford, yang jauhnya lebih kurang 5 minit berkereta (kalau trafik lancar) untuk beraya ke rumah Kak Zana dan juga ke rumah Kak Haz. Baru 3 buah rumah, waktu sudah jam 6 petang dan kami solat Asar di rumah Kak Haz. Setelah itu, kami berkunjung ke rumah Kak Azie di Wilkinson Street, yang tidak jauh dari kawasan Forest Field. Kemudian pulang ke rumah untuk bersolat maghrib dan membersihkan anak-anak, hajatnya selepas itu hendak beraya lagi namun tidak kesampaian bila mana anak-anak sudah letih dan hendak tidur.

Di Rumah Afdhal, Kak Zana, Kak Haz dan Kak Azie.

Pada hari raya ke-2 kami menerima kunjungan daripada Kak Zehan sekeluarga dan Ana merebus laksa sekali lagi dan menjamu mereka. Insyirah dan Nuha gembira bila rakan sebaya datang beraya ke rumah. Sesudah zohor, kami memenuhi jemputan rakan-rakan untuk beraya ke rumah mereka. Antaranya rumah Kak Mashitah, Kak Nadira dan Kak Zehan. Semasa beraya, Elly yang juga kenalan USM turut mengajak beraya ke rumahnya. Kami ke rumah Elly sudah hampir maghrib dan kami bersolat di situ sahaja. Pada sebelah malam, kami berkunjung ke rumah Kak Zura dan kak Farizah. Kami tiba di rumah semula hampir jam 12 tengah malam. Kira rekod tiba di rumah selepas beraya kali ini agak awal berbanding tahun-tahun yang lalu yang menjangkau ke awal pagi :D    

Bergambar kenangan di rumah Kak Mashitah, Kak Nadira, Kak Zehan, Elly, Kak Zura dan Kak Farizah

Hari raya ke-3 tiba-tiba Ana rasa hendak masak-masak sikit. Memandangkan rumah kami yang semakin mengecil yang dipenuhi barang-barang, kami hanya memanggil sebahagian rakan-rakan terlebih dahulu berkunjung raya ke rumah. Menu hari itu hanyalah mee rebus (guna resepi kak Yati, jiran yang sudah kembali ke Malaysia :D)
Antara rakan yang berkunjung ke rumah di hari raya ke-3.

Pada hari raya ke-4 kami hanya beraya ke rumah kak Ani sekeluarga setelah menghantar Insyirah ke kelas mengaji.
Bergambar di rumah kak Ani bersama Kak Sherryn dan Kak Ary.

Pada hari raya ke-5, Sabtu kami menerima jemputan sarapan pagi raya di rumah Kak Fae. Kemudian kami memenuhi jemputan Kak Wan dan Hanna yang bergabung menganjurkan rumah terbuka di kawasan Lenton. Setelah itu kami pergi ke rumah terbuka adik-adik Medik di Dunkirk. Pelajar-pelajar Medik di tahun-tahun akhir tidak bercuti ketika ini walaupun pelajar undergrad lain sedang bercuti semester dan kebiasaannya mereka pulang ke Malaysia setiap kali cuti semester musim panas. Setelah solat zohor di rumah adik-adik Medik, kami meneruskan raya ke rumah Eda di Radford dan ke rumah Kak Nila di Forest Field.

Bergambar di rumah Kak Fae, Kak Wan-Hanna, Adik-adik Medik, Eda dan Kak Nila.

Hari raya ke-6, Nottingham Malaysian Community (NMC) menganjurkan majlis sambutan aidilfitri di Atrium, Jubilee campus, University of Nottingham. Sempat juga berkunjung ke rumah cikgu-cikgu mengaji Insyirah @ pelajar Medik tahun akhir di Dunkirk.

Sekitar majlis aidlifitri NMC di UoN

Bergambar ramai-ramai dalam The Atrium sebelum menjamu selera :)

Sekali lagi bergambar kenangan di penghujung majlis

Kesimpulannya, di mana pun kita berada kita sendirilah yang mencorakkan suasana raya itu. Yang paling penting, kita gembira di hari raya dan mengeratkan tali persaudaraan sesama kita. InsyaAllah semoga Allah memberi ganjaran kepada kita dalam mengeratkan silaturahim ini. 

Nota: 
Teringat coretan Dr MAZA tentang kelebihan ziarah saudara sesama muslim seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).

Thursday, 22 September 2011

Projek Ramadhan 1432H

Sepanjang ramadhan yang lalu, ada rakan-rakan yang menjemput kami untuk berpuka puasa bersama-sama di rumah mereka. Terima kasih di atas jemputan tersebut dan semoga Allah memurahkan rezeki kalian dan mempermudahkan segala urusan kalian di dunia dan di akhirat. Kami juga teringin untuk menjemput rakan-rakan berpuka puasa bersama-sama di rumah namun memandangkan keadaan diri yang tidak berapa kuat dan cergas di bulan ramadhan yang lalu, kami tidak dapat berbuat demikian. Namun kami suami isteri mencari alternatif yang lain iaitu dengan memasak juadah berbuka puasa yang banyak dan diagih-agihkan kepada rakan-rakan sekeliling. Juadah yang sempat di masak oleh Ummi ialah pasembor a.k.a rojak mee :)

Pasembor / rojak mee Nottingham :)

Alangkah indahnya hidup jika dapat memberi kerana Yang Maha Esa, alhamdulillah :)

Wednesday, 21 September 2011

Baby highchair/booster seat

Ahmad suka duduk dikerusi makannya namun ada yang tidak puas hati :D

Muka orang yang tidak puas hati di belakang Ahmad, hehehe.

Seronok dapat duduk di booster ini. Senang hendak makan katanya. Jika tidak perlu angkat pinggan letak atas peha kerana kedudukan meja yang agak tinggi buat dirinya yang rendah :)

Nasib baik Nuha tidak berebut sama hendak duduk dikerusi ini. Harus cari lagi kerusi seperti ini. Best dan mudah untuk anak-anak duduk makan sekali semeja kerana boleh laras ketinggian kerusi :). Selain itu :-

-Mudah untuk membasuh tray makanan kerana tray boleh ditanggalkan.
-sesuai untuk bayi dari umur 6 bulan hingga berat 20kg
-Ada 3 ketinggian dan tray boleh dilaras untuk sesuaikan dengan saiz badan bayi
-Mudah untuk travel dan di bawa kemana sahaja

Sebelum ini guna folding high chair dan ikea high chair yang warna putih itu, dua-dua pun best. Tapi yang ini lebih suka sebab jimat ruang dan booster seat ini boleh letak atas kerusi makan. Anak-anak lebih mudah hendak duduk makan sekali dengan ibubapa semeja :)


Tuesday, 20 September 2011

Allergic Telur

Selain daripada allergic terhadap susu lembu dan antibiotik Flucloxacillin, Ahmad Mujahid allergic terhadap telur juga yang mana kami mula mengenalpastinya pada 28 Ogos 2011, jam 6.20 petang, 2 hari sebelum umat Islam menyambut hari raya aildilfitri 1432H. 

Semuanya bermula ketika Ummi sedang sibuk memasak didapur untuk juadah berbuka dan Ayah sedang bertadarus di masjid Madni. Untuk melekakan Ahmad bermain sendirian untuk membolehkan Ummi memasak didapur, Ummi meletakkan Ahmad di kerusi makannya dan memberikannya pelbagai struktur makanan untuk dipegangnya. Antaranya spagethhi, timun dan akhir sekali telur rebus yang masih belum dikupas kulitnya. Pada mulanya Ahmad hanya membelek-belek telur rebus tersebut dan kemudian menggolek-golekkan di atas meja makannya. Ummi leka didapur memasak dan tiba-tiba terdengar Ahmad menangis dan Ahmad menoleh ke arah Ummi di dapur. Alangkah terkejutnya apabila melihat mata kirinya bengkak dan mukanya naik merah-merah. Allahuakbar! Terus Ummi mengangkatnya dan menyusukannya untuk meredakan tangisnya. Tangannya asyik menggosok-gosok mukanya kerana kegatalan. Ummi melihat telur rebus yang diberikan telah dimakannya sedikit. Kulit-kulit bertaburan di atas meja dan lantai. Selepas tangisnya reda, Ummi terus memandikannya dan melumurkan krim ke seluruh badannya untuk mengurangkan kegatalannya. Alhamdulillah keesokan harinya matanya yang bengkak sudah surut walaupun tidur malamnya tidak lena kerana kegatalan.

Mata Ahmad terus naik bengkak mendadak hanya kerana sebiji telur rebus :D

Inilah telur yang dimakan Ahmad, huhuhu. Tidak tahu bagaimana Ahmad mengopek telur ini dan memakannya. Gigi sebatang pun belum ada lagi, huhuhu.

Tuesday, 13 September 2011

5 kali Aidilfitri bersama anak-anak

Tadi baru saja menyiapkan photobook. Sambil-sambil itu, terlihat gambar-gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas. Sudah 5 kali kami beraya Aidilfitri sebagai ibu dan ayah dan kelima-limanya disambut di bumi Nottingham ini.

Sebagai rekod, kami telah menyambut 1 Syawal di Nottingham, UK  pada tarikh berikut:
  1. 1428H - 12 Oktober 2007
  2. 1429H - 29 September 2008
  3. 1430H - 20 September 2009
  4. 1431H - 10 September 2010
  5. 1432H - 30 Ogos 2011

Setelah lebih kurang 17 hari berada di bumi Nottingham dan juga ketika itu usia Insyirah baru 3 bulan setengah, kami telah menyambut Aidilfitri pertama di Nottingham pada hari Jumaat. Pertama kali beraya di perantauan dalam keadaan serba kekurangan dan masih dalam proses penyesuaian diri dengan pengajian, cuaca dan masyarakat sekeliling. Juga tidak dapat dilupakan, kami sekeluarga tertidur di pagi raya sehingga terlepas solat sunat Aidilfitri. Pada hari yang sama, Ayah Insyirah bersolat Jumaat di Masjid Karimia yang mana jemaahnya (majoritinya warga British berketurunan Pakistan) masih lagi berpuasa dan akan menyambut Syawal pada esok hari. Warga Malaysia di Nottingham beraya berdasarkan tarikh yang diumum oleh London Central Mosque. Majlis rasmi Aidilfitri warga Malaysian Nottingham Community telah dianjurkan pada hari raya kedua di Noel Street Leisure Centre.

Ketika Aidilfitri yang kedua bagi kami sekeluarga di Nottingham, kami diserikan dengan berita kehadiran cahaya mata kedua. Juga kali kedua beraya Aidilfitri di 106 Bradgate Road, NG7 6HJ, Nottingham. Ummi baru sahaja menyelesaikan pengajian MSc nya dengan menghantar dissertation pada 15 September 2008. Ummi juga telah memohon untuk bercuti tanpa gaji dan menangguhkan dulu hasratnya untuk menyambung pengajian PhD. Kami sekeluarga juga berpeluang menjadi host kepada warga baru Nottingham ketika itu. Aunty Ecah, guest kami, yang jadi jurugambar bagi gambar kami sekeluarga di bawah.


Aidilfitri ketiga kami diserikan dengan kehadiran Nuha yang ketika itu baru berusia 4 bulan. Raya warga Malaysia di Nottingham dimeriahkan dengan pelbagai rumah terbuka yang dianjurkan pada setiap minggu sepanjang Syawal. Setiap kawasan tempat tinggal warga Malaysia di Nottingham telah berpakat bersama-sama untuk menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing. Kami warga Forest Field turut menganjurkan majlis "dewan" terbuka Aidilfitri pada 3 Oktober 2009.


Aidilfitri keempat kami diserikan dengan 2 anak dara kami yang semakin membesar dan boleh bermain antara dua beradik ini. Ketika itu, Ummi Insyirah juga sedang mengandung sekitar 6 bulan. Walaupun bayi dalam kandungan disahkan menghadapi masalah exomphalos, tetapi kami bersyukur dan gembira kerana kami bakal diserikan dengan kehadiran hero pertama buat kami sekeluarga.

Pada tahun ini, kami telah menyambut Aidilfitri yang kelima di Nottingham pada 30 Ogos 2011 setelah berpuasa selama 29 hari. InsyaAllah, Aidilfitri kali ini merupakan yang terakhir buat kami sekeluarga sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk memulakan fasa hidup yang baru. Alhamdulillah, putera sulung kami, Ahmad Mujahid, juga semakin membesar dengan sihat dan ceria.

Sepanjang beraya di perantauan ini, kami rasa bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan terutamanya warga Malaysia di Nottingham yang memeriahkan suasana hari raya kami di sini dengan hubungan yang rapat dan juga pelbagai sajian tradisi Malaysia. Semoga hubungan ini berterusan sepanjang hayat dan beroleh manfaat di akhirat. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih buat sanak saudara dan sahabat handai di Malaysia yang  mengutus bungkusan kuih raya dan juga baju raya untuk kami sekeluarga :)