Friday, 23 September 2011

Kisah di minggu pertama Aildilfitri 2011

Ada sanak saudara dan rakan taulan yang bertanya bagaimana sambutan perayaan diperantauan. Dulu pun sebelum sampai di bumi Nottingham ini, terfikir juga bagaimana sambutan raya di sini. Masa tu hanya terbayang keadaan raya yang serba ringkas tidak seperti di Malaysia. Tambah pula dengan lagu-lagu raya yang sedih tentang raya diperantauan, hanya suasana suram tentang gambaran hari raya di perantauan. Namun gambaran itu tidak tepat kerana suasana hari raya diperantauan bergantung kepada jumlah warga Malaysia yang berada di sesuatu tempat itu dan bagaimana mereka meraikannya. Alhamdulillah, ramai warga Malaysia di Nottingham sepanjang kami berada di sini dan hubungan sesama kami juga agak baik. Bagi Ana pengalaman setiap kali raya di sini agak menarik dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan pada masa yang sama dapat merasai pelbagai jenis masakan :)

Pada hari raya pertama, buat pertama kalinya Ana tidak menyediakan rendang, nasi impit dan kuah kacang sepanjang berada di Nottingham. Ana hanya menyediakan laksa penang di pagi hari beserta kuih muih yang dipos dari Malaysia. Juadah itu juga yang kami hidangkan buat Kak Min sekeluarga yang berkunjung ke rumah kami sesudah solat aildilfitri di masjid yang berdekatan. Sesudah solat zohor kami memulakan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan yang telah menjemput secara rasmi ke rumah mereka.

Juadah di hari raya pertama dan bergambar kenangan bersama keluarga Kak Min dan anak-anak jiran

Kunjungan pertama kami ke rumah Afdhal yang juga terletak di Forest Field. Kemudian kami pergi ke kawasan Radford, yang jauhnya lebih kurang 5 minit berkereta (kalau trafik lancar) untuk beraya ke rumah Kak Zana dan juga ke rumah Kak Haz. Baru 3 buah rumah, waktu sudah jam 6 petang dan kami solat Asar di rumah Kak Haz. Setelah itu, kami berkunjung ke rumah Kak Azie di Wilkinson Street, yang tidak jauh dari kawasan Forest Field. Kemudian pulang ke rumah untuk bersolat maghrib dan membersihkan anak-anak, hajatnya selepas itu hendak beraya lagi namun tidak kesampaian bila mana anak-anak sudah letih dan hendak tidur.

Di Rumah Afdhal, Kak Zana, Kak Haz dan Kak Azie.

Pada hari raya ke-2 kami menerima kunjungan daripada Kak Zehan sekeluarga dan Ana merebus laksa sekali lagi dan menjamu mereka. Insyirah dan Nuha gembira bila rakan sebaya datang beraya ke rumah. Sesudah zohor, kami memenuhi jemputan rakan-rakan untuk beraya ke rumah mereka. Antaranya rumah Kak Mashitah, Kak Nadira dan Kak Zehan. Semasa beraya, Elly yang juga kenalan USM turut mengajak beraya ke rumahnya. Kami ke rumah Elly sudah hampir maghrib dan kami bersolat di situ sahaja. Pada sebelah malam, kami berkunjung ke rumah Kak Zura dan kak Farizah. Kami tiba di rumah semula hampir jam 12 tengah malam. Kira rekod tiba di rumah selepas beraya kali ini agak awal berbanding tahun-tahun yang lalu yang menjangkau ke awal pagi :D    

Bergambar kenangan di rumah Kak Mashitah, Kak Nadira, Kak Zehan, Elly, Kak Zura dan Kak Farizah

Hari raya ke-3 tiba-tiba Ana rasa hendak masak-masak sikit. Memandangkan rumah kami yang semakin mengecil yang dipenuhi barang-barang, kami hanya memanggil sebahagian rakan-rakan terlebih dahulu berkunjung raya ke rumah. Menu hari itu hanyalah mee rebus (guna resepi kak Yati, jiran yang sudah kembali ke Malaysia :D)
Antara rakan yang berkunjung ke rumah di hari raya ke-3.

Pada hari raya ke-4 kami hanya beraya ke rumah kak Ani sekeluarga setelah menghantar Insyirah ke kelas mengaji.
Bergambar di rumah kak Ani bersama Kak Sherryn dan Kak Ary.

Pada hari raya ke-5, Sabtu kami menerima jemputan sarapan pagi raya di rumah Kak Fae. Kemudian kami memenuhi jemputan Kak Wan dan Hanna yang bergabung menganjurkan rumah terbuka di kawasan Lenton. Setelah itu kami pergi ke rumah terbuka adik-adik Medik di Dunkirk. Pelajar-pelajar Medik di tahun-tahun akhir tidak bercuti ketika ini walaupun pelajar undergrad lain sedang bercuti semester dan kebiasaannya mereka pulang ke Malaysia setiap kali cuti semester musim panas. Setelah solat zohor di rumah adik-adik Medik, kami meneruskan raya ke rumah Eda di Radford dan ke rumah Kak Nila di Forest Field.

Bergambar di rumah Kak Fae, Kak Wan-Hanna, Adik-adik Medik, Eda dan Kak Nila.

Hari raya ke-6, Nottingham Malaysian Community (NMC) menganjurkan majlis sambutan aidilfitri di Atrium, Jubilee campus, University of Nottingham. Sempat juga berkunjung ke rumah cikgu-cikgu mengaji Insyirah @ pelajar Medik tahun akhir di Dunkirk.

Sekitar majlis aidlifitri NMC di UoN

Bergambar ramai-ramai dalam The Atrium sebelum menjamu selera :)

Sekali lagi bergambar kenangan di penghujung majlis

Kesimpulannya, di mana pun kita berada kita sendirilah yang mencorakkan suasana raya itu. Yang paling penting, kita gembira di hari raya dan mengeratkan tali persaudaraan sesama kita. InsyaAllah semoga Allah memberi ganjaran kepada kita dalam mengeratkan silaturahim ini. 

Nota: 
Teringat coretan Dr MAZA tentang kelebihan ziarah saudara sesama muslim seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
“Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim).

No comments: