Tuesday 13 September 2011

5 kali Aidilfitri bersama anak-anak

Tadi baru saja menyiapkan photobook. Sambil-sambil itu, terlihat gambar-gambar semasa sambutan Aidilfitri yang lepas. Sudah 5 kali kami beraya Aidilfitri sebagai ibu dan ayah dan kelima-limanya disambut di bumi Nottingham ini.

Sebagai rekod, kami telah menyambut 1 Syawal di Nottingham, UK  pada tarikh berikut:
  1. 1428H - 12 Oktober 2007
  2. 1429H - 29 September 2008
  3. 1430H - 20 September 2009
  4. 1431H - 10 September 2010
  5. 1432H - 30 Ogos 2011

Setelah lebih kurang 17 hari berada di bumi Nottingham dan juga ketika itu usia Insyirah baru 3 bulan setengah, kami telah menyambut Aidilfitri pertama di Nottingham pada hari Jumaat. Pertama kali beraya di perantauan dalam keadaan serba kekurangan dan masih dalam proses penyesuaian diri dengan pengajian, cuaca dan masyarakat sekeliling. Juga tidak dapat dilupakan, kami sekeluarga tertidur di pagi raya sehingga terlepas solat sunat Aidilfitri. Pada hari yang sama, Ayah Insyirah bersolat Jumaat di Masjid Karimia yang mana jemaahnya (majoritinya warga British berketurunan Pakistan) masih lagi berpuasa dan akan menyambut Syawal pada esok hari. Warga Malaysia di Nottingham beraya berdasarkan tarikh yang diumum oleh London Central Mosque. Majlis rasmi Aidilfitri warga Malaysian Nottingham Community telah dianjurkan pada hari raya kedua di Noel Street Leisure Centre.

Ketika Aidilfitri yang kedua bagi kami sekeluarga di Nottingham, kami diserikan dengan berita kehadiran cahaya mata kedua. Juga kali kedua beraya Aidilfitri di 106 Bradgate Road, NG7 6HJ, Nottingham. Ummi baru sahaja menyelesaikan pengajian MSc nya dengan menghantar dissertation pada 15 September 2008. Ummi juga telah memohon untuk bercuti tanpa gaji dan menangguhkan dulu hasratnya untuk menyambung pengajian PhD. Kami sekeluarga juga berpeluang menjadi host kepada warga baru Nottingham ketika itu. Aunty Ecah, guest kami, yang jadi jurugambar bagi gambar kami sekeluarga di bawah.


Aidilfitri ketiga kami diserikan dengan kehadiran Nuha yang ketika itu baru berusia 4 bulan. Raya warga Malaysia di Nottingham dimeriahkan dengan pelbagai rumah terbuka yang dianjurkan pada setiap minggu sepanjang Syawal. Setiap kawasan tempat tinggal warga Malaysia di Nottingham telah berpakat bersama-sama untuk menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing. Kami warga Forest Field turut menganjurkan majlis "dewan" terbuka Aidilfitri pada 3 Oktober 2009.


Aidilfitri keempat kami diserikan dengan 2 anak dara kami yang semakin membesar dan boleh bermain antara dua beradik ini. Ketika itu, Ummi Insyirah juga sedang mengandung sekitar 6 bulan. Walaupun bayi dalam kandungan disahkan menghadapi masalah exomphalos, tetapi kami bersyukur dan gembira kerana kami bakal diserikan dengan kehadiran hero pertama buat kami sekeluarga.

Pada tahun ini, kami telah menyambut Aidilfitri yang kelima di Nottingham pada 30 Ogos 2011 setelah berpuasa selama 29 hari. InsyaAllah, Aidilfitri kali ini merupakan yang terakhir buat kami sekeluarga sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk memulakan fasa hidup yang baru. Alhamdulillah, putera sulung kami, Ahmad Mujahid, juga semakin membesar dengan sihat dan ceria.

Sepanjang beraya di perantauan ini, kami rasa bersyukur dengan kehadiran rakan-rakan terutamanya warga Malaysia di Nottingham yang memeriahkan suasana hari raya kami di sini dengan hubungan yang rapat dan juga pelbagai sajian tradisi Malaysia. Semoga hubungan ini berterusan sepanjang hayat dan beroleh manfaat di akhirat. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih buat sanak saudara dan sahabat handai di Malaysia yang  mengutus bungkusan kuih raya dan juga baju raya untuk kami sekeluarga :)

3 comments:

Nurul said...

salam aidilfitri utk ana sekeluarga..

Kay said...

a ah laa...

rasanya ikut blog Zuraihana ni dh lama, dr insyirah kecik, sampai lah lahirnya hero malaya...

best tak raya kat perantauan?

Nihlah Insyirah said...

Salam aidilfitri buat nurul juga:)

kay, thanks sudi ziarah ke blog ini sejak tahun 2007 lagi. raya kat sini best juga, meriah dengan kehadiran kawan2:)