Hi, salam kepada semua :)
Apa khabar orang kampung, sihat tak? Insyirah dan keluarga sihat, Alhamdulillah. Baru-baru ini, 6 Nov 2007, Insyirah kena cucuk, 3 jarum pula tu. Alhamdulillah, Insyirah menangis sekejap saja :) Insyirah kan kuat, minum susu Ummi, InsyaAllah sihat dan kuat, membesar bagai johan, macam iklan Dumex tu :D. Lagi sebulan lagi, Insyirah kena pergi semula jumpa doktor untuk terima "injection" lagi, tak tahu pula berapa jarum yang bakal diterima.
Kat rumah kami, tiada TV lagi buat masa ni. Insyirah cuma tengok rancangan TV Malaysia dengan gunakan website youtube, dapatlah juga Ummi tengok cerekarama :D. Beberapa hari lepas, kami tengok cerekarama bertajuk "Malang Hari Kerana Hati", jalan cerita taklah dahsyat sangat (santai saja), tetapi ada pengajaran yang boleh di ambil darinya. Kami agak tersentuh dengan satu babak ni, yang skripnya lebih kurang seperti berikut:
"Kita selalu minta kekuatan daripada Allah,
Allah duga kita dengan kesusahan, agar kita jadi kuat.
Kita minta kebijaksanaan daripada Allah,
Allah duga kita dengan masalah, agar dapat kita selesaikan.
Bila kita mengidamkan cinta,
Allah jumpakan kita dengan orang-orang yang bermasalah,
agar dapat kita bantu.
Kita selalu mohon bantuan daripada Allah,
Allah takkan hampakan kita, Allah turunkan peluang.
Dalam hidup ini, Allah sediakan apa yang kita perlukan,
bukan apa yang kita inginkan. "
Kata-kata dalam dialog tu buat kami sekeluarga sedar dan insaf dengan keadaan hidup ini. Memang banyak kesusahan yang kita lalui, itu mungkin Allah ingin jadikan kita semua ni hamba yang kuat, bukan hamba yang hidup senang lenang tetapi punya banyak kelemahan. Kebijaksanaan yang kita inginkan terutamanya bagi mereka yang sedang menuntut ilmu, ianya bukan datang bergolek. Kita kena usaha belajar dan terus berusaha walaupun kita sukar untuk memahami sesuatu pada mulanya. InsyaAllah, dengan kesabaran kita dalam menghadapinya, pasti cahaya ilmu dikesan oleh kita.
Teringat pula zaman Nabi S.A.W, baginda dan sahabat-sahabat ditindas dan diseksa dengan pelbagai cabaran dan seksaan, tetapi mereka semua cekal dan tabah menghadapinya. Setelah mereka menerima Islam, begitu pula balasan yang diterima, kesan penyaksian terhadap keESAan Allah dan kerasulan Nabi S.A.W. Sekiranya hati masih was-was dan penuh kemunafikan, pastinya mudah menyoal keadaan tersebut. Tetapi, Allah menjadikan golongan Muslimin pada ketika itu suatu insan yang penuh dengan integriti. Mesej Islam tersebar luas dan Islam dipertahankan dari musuh di medan peperangan. Kejayaan mereka bukan datang bergolek sahaja atau hanya mengharapkan bantuan Allah, tetapi hasil latihan dan tarbiyah dari Allah dan rasulnya.
Sebenarnya, "post" kali ini bertujuan untuk mengingatkan kami sekeluarga di sini, yang kadang-kadang kurang bersemangat dan tidak bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Jika ikutkan hati yang malas dan leka ni, pasti terasa juga kekesalan melanjutkan pengajian ini. Tetapi sampai bila kita hendak lemah, mundur dan terkebelakang. Islam menyuruh kita maju, berjaya dan mempunyai pelbagai kekuatan supaya boleh membantu sesama kita, buat bekalan di alam akhirat sana nanti. Teringat kata-kata Tun Dr Mahathir, "hanya yang cekal dan tabah, dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya". Semoga kami sekeluarga dapat menggunakan PELUANG yang diberi ini sebaiknya dan sentiasa di dalam landasan yang benar, terus berusaha demi agama, bangsa dan negara. Doakan kami berjaya dan sentiasa beristiqamah dalam amalan :)
p/s: ada kisah saudara Muslim, Melayu, Malaysia di bumi UK (Coventry) yang lebih sukar kehidupan mereka. Isteri dan anak-anak baru kehilangan ayahanda mereka yang pergi ke Rahmatullah pada 29 Oktober 2007 (ayahnya mengidap penyakit kanser). Semoga Allah beri kekuatan dan hidayah kepada mereka sekeluarga dan tempatkan arwah ayahanda mereka di kalangan orang yang soleh.. Amiin http://pausetoreflect.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment