Friday 20 May 2011

Air mata darah :)

Pulang dari temujanji bersama pakar kulit di Hospital QMC pada 4 Mei 2011 yang lalu, mata kanan Ahmad sudah mula membengkak tetapi tidak merah. Keesokannya, mata kanannya membengkak lagi dan bila bangun dari tidur menyebabkan mata kanannya sukar dibuka dan bertahi mata, tetapi tidaklah merah seperti orang sakit mata. Ingatkan bengkak disebabkan tangannya yang menggosok-gosok matanya. Pada hari berikutnya nampak mata putihnya dah mula merah dan bengkak masih ada. Dan bermula dari pagi Sabtu jam 2pagi, Ahmad tiba-tiba diserang demam panas pula seperti di entry Ahmad 5 bulan yang memaksa kami membawanya ke bahagian kecemasan. Selain daripada antibiotik yang diberikan untuk merawat jangkitan di dadanya, Ahmad juga diberikan ubat sakit mata "eye oinment" untuk dipakai selama 5 hari pada mata kanannya yang disahkan conjuctivitis.
Chloramphenicol Eye Oinment

Namun setelah lebih daripada 5 hari, matanya masih merah dan bengkak, tiada perubahan walau sudah menyapu ubat mata yang diberi, 4 kali sehari. Setelah 7 hari memakai ubat mata tersebut dan tiada perubahan, kami memutuskan ingin membawa Ahmad ke klinik untuk berjumpa dengan GP pada hari Isnin, 16 Mei 2011. Tetapi pada hari Sabtu, 14 Mei 2011, lebih kurang jam 9.45 malam ketika sedang menyusukan Ahmad, terlihat air matanya yang bertakung berwarna merah. Ummi agak panik ketika itu dan macam tidak percaya air matanya berwarna merah. Setelah dilapkan dengan tisu, ya ternyata air mata itu berwarna merah. Terus kami bergegas ke bahagian kecemasan, hospital QMC tempat yang sama kami bawa minggu sebelumnya akibat demam. Secara kebetulan, bilik rawatan pun sama seperti minggu lalu (nampaknya Ahmad jadi pelawat setia QMC pula, hehehe).

Di bahagian kecemasan, doktor menyapu kelopak mata Ahmad dengan alat yang macam putik kapas tu (untuk korek telinga) dan kapas tu memang merahlah, huhuhu. Inilah pertama kali Ummi lihat air mata bercampur dengan darah. Ummi bertanya kenapa jadi macam tu. Doktor jawab disebabkan keadaan matanya dah "inflame" menyebabkan salur darah dikelopak matanya bocor. Ummi pelik juga sebab tidak pernah mengalami pengalaman conjuctivitis yang sebegini. Lalu Ummi menanyakan kepada doktor "adakah ini normal conjuctivitis?. Doktor menjawab ianya lebih teruk dari conjuctivitis" dan agak luar biasa. Apa pun doktor terus menguruskan temujanji dengan pakar mata pula keesokan paginya tepat jam 10 pagi di "eye casualty", ENT hospital QMC. Kami dibenarkan pulang kerana Ahmad masih boleh menyusu dan kelihatan sihat selain dari sakit matanya. Alhamdulillah. Pada malam yang sama, mata kiri Ummi pula sudah mula merah dan gatal-gatal. Alamak berjangkit pula ke Ummi sakit mata Ahmad ini :)

Antibiotik untuk dititiskan 2 kali sehari ke dalam mata Ahmad.

Ubat mata untuk Ummi, Hypromellose eye drop (artificial tears) untuk melembapkan keadaan mata yang kering. Kalau sakit sangat berdenyut-denyut, bolehlah ambil kain dan basahkan dengan air sejuk, kemudian tekupkan pada mata yang sakit tu:)


Keesokan paginya, kami berjumpa pakar mata dan beliau mengesahkan yang mata Ahmad terkena jangkitan bakteria. Lalu Ahmad diberikan antibiotik untuk dititiskan pada matanya bagi membunuh bakteria tersebut. Mulanya doktor memberikan eryhtmicyn ointment tetapi bila ingin diambil di farmasi, antibiotik tersebut kehabisan stok pula. Lalu orang farmasi telefon doktor memberitahu tentang kehabisan stok antibiotik yang dicadangkan. Antibiotik tersebut ditukar kepada antibiotik lain yang disebut Fucithalmic fucidic acid.
  
Bergambar selepas berjumpa pakar mata ;)

Alhamdulillah, setelah dititiskan 2 kali sehari selama 3 hari antibiotik tersebut tiada lagi merah di mata putih Ahmad. Bengkak matanya juga semakin surut. Hari Rabu jam 2.00 petang Ahmad perlu ke eye casualty lagi bagi rawatan susulan. Alhamdulillah keadaan matanya semakin ok. Jenuh Ummi nak tunggu doktor periksa Ahmad sebab kami perlu tunggu 20-30 minit setelah dititiskan "dilation drop" pada mata Ahmad untuk membuka mata hitamnya bagi membolehkan doktor memeriksa keadaan dibahagian belakang matanya (tak berapa faham untuk tujuan apa). Namun setelah 30 minit menunggu, bila doktor periksa, mata hitamnya tak terbuka lagi. Lalu dititiskan sekali lagi dan kami perlu menunggu 30 minit lagi. Bila periksa lagi selepas 30 minit, mata hitamnya tak terbuka lagi dan proses yang sama berulang. Haish, dah naik boring dibuatnya. Selepas kali ke-3 dititis "dilation drop" dan menunggu 30 minit, barulah doktor dapat periksa keadaan di belakang mata Ahmad dan keputusannya semua ok, alhamdulillah. Dari jam 2 petang sampai jam 5 petang baru boleh balik, huhuhu.

Alhamdulillah, Allah memberikan air mata yang bercampur darah kepada Ahmad kerana dengan itu membuatkan kami segera membawanya ke hospital (jika tidak tunggu hari Isnin baru nak bawa ke doktor biasa (GP) dan dapat bertemu dengan pakar mata seterusnya diberikan antibiotik. Dengan izin Allah, matanya pulih selepas 3 hari menitiskan antibiotik tersebut ke dalam matanya. Sama dengan kes demamnya minggu lalu, setelah 3 hari makan antibiotik baru demamnya yang datang dan pergi pulih sepenuhnya. Kalau tidak setiap 6-7 jam demamnya panas balik. Di UK ini susah sangat nak dapatkan antibiotik, kalau boleh dia nak sistem daya tahan badan seseorang itu sendiri melawan penyakit tu. Kalau sakit sikit-sikit susah sangat nak jumpa doktor. Kalau dah meleret dan sampai terkena jangkitan, barulah diberikan antibiotik. Setiap kali kami hendak membawa Ahmad ke klinik/hospital, kami mesti bertanya sesama sendiri, betulke boleh bawa Ahmad ke hospital ni sebabnya Ahmad tu kadang ceria jer walau tengah sakit. Kadang siap boleh gelak-gelak kuat lagi, tu yang konpius nak bawa atau tidak ke hospital :D 

p/s: Di Nottingham ini jika sakit mata rupanya boleh buat temujanji terus di "eye casualty" di bangunan ENT (Eyes, Nose & Throat). Rasanya lebih baik dari pergi ke klinik GP sebab di "eye casualty" ini, mata diperiksa dengan lebih teliti. Pada mulanya kami ingat jika direfer oleh doktor baru boleh datang ke "eye casualty" ini, rupanya tidak. Hari itu Ummi pun boleh buat temujanji terus di "eye casualty" ini.

No comments: