Saturday, 20 August 2011

Insyirah & Ramadhan 1432H

Alhamdulillah, Allah masih mengizinkan Ummi Insyirah untuk berpuasa hingga ke hari 20 ini. Bila ditanya sama ada Insyirah mahu berpuasa atau tidak, dijawabnya tidak mahu berpuasa. Mungkin melihat keadaan Ummi yang letih terutamanya di petang hari tidak memberi semangat untuknya berpuasa, huhuhu. Kalau Insyirah terdengar bunyi sesuatu sibuk dia bertanya, "who's tummy rumbling, Ummi?". Bila dijawab perut Ummi, Insyirah jawab "isk, isk naughty Ummi." Aikk bunyi perut pun naughty ke, huhuhu. Walaubagaimanapun, Ummi Insyirah masih bersyukur walau berpuasa rezeki susu Ahmad masih mencukupi untuknya, cuma Umminya kena bertahan sikit. Minggu pertama ramadhan alhamdulillah ada perubahan tetapi masuk hari ke10 Ramadhan, semangat membara agak menurun sedikit, astaghfirullahalazim.

Bila asyik letih memanjang, tiba-tiba suatu hari Insyirah menegur setelah Ummi selesai bersolat zohor, "Ummi dah siap semayang?", "Why you semayang only one?", "Why Ummi not solat lots?", huhuhu. Terkesima sekejap Umminya tidak tahu hendak memberi jawapan apa. Insyirah maksudkan kenapa Umminya solat fardhu sahaja tanpa solat-solat qabliah dan ba'diah. Ya, jangan kita ingat anak kecil 4 tahun tidak ambil peduli apa yang ibubapanya lakukan. Mereka diusia ini gemar memerhati setiap perilaku kita. Maka hendaklah kita menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka dan menerangkan kepentingan sesuatu perbuatan itu dilakukan. Agak berasa malu dengan anak kecil itu namun sepatutnya malu pada Allah lah yang paling besar. Susahnya diri untuk istiqamah atas setiap perbuatan itu :(

Sekarang ini, kita sudah berada di 10 malam terakhir ramadhan dan semoga kita masih diberi kekuatan untuk meningkatkan amalan kita di 10 malam ini dan ke malam-malam seterusnya. Istimewanya di 10 malam terakhir ini terselit satu malam yang memberi peluang terbaik kepada kita untuk memburu redha Ilahi. Apakah malam itu? Itulah malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Marilah sama-sama kita mengabdikan diri, memohon ampun, berserah diri sepenuhnya kepada Allah, semoga kita  diberi pengampunan olehNya dan setiap amalan kebaikan kita diterima.

Marilah sama-sama kita rebut peluang ini kerana mungkin ini ramadhan terakhir buat kita.

Salam 20 ramadhan.

No comments: